Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni 300 asnaf terkesan pada Ramadan

SHAH ALAM, 11 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan barangan keperluan asas kepada 300 asnaf, fakir, miskin dan mualaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari semalam, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan M Yusof berkata program sumbangan Dapur Ramadan Asnaf Selangor (DRAS) itu adalah aktiviti turun padang LZS bagi menyantuni asnaf terkesan di negeri ini pada Ramadan terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ia mula dilaksanakan sejak 2 Ramadan lalu (26 April) membabitkan serahan di beberapa daerah di Kuala Langat, Gombak, Petaling dan Sepang.

“Ia menjadi kelaziman LZS menyalurkan keperluan dapur kepada golongan tersebut bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara dan tidak terputus bekalan makanan sepanjang Ramadan,” katanya menerusi Facebook LZS.

Saipolyazan berkata sumbangan itu juga hasil bantuan bulanan disalurkan kepada golongan asnaf di Selangor dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

Setiap bulan, LZS menyalurkan bantuan keperluan asasi kepada lebih 14,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan agihan zakat sebanyak RM1 juta.

Turut hadir, Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.