Categories
AGENSI SELANGOR

Ramai bayar zakat fitrah bersemuka, LZS lantik 2,800 amil mudahkan urusan

SHAH ALAM, 20 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menempatkan 2,800 amil fitrah di 431 masjid dan surau bagi urusan kutipan zakat sepanjang Ramadan nanti.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bilangan itu lebih tinggi berbanding 1,878 amil tahun lalu memandangkan ramai umat Islam memilih cara bayaran secara bersemuka.

“LZS galakkan pembayaran dalam talian tambahan lagi ketika pandemik Covid-19 ini. Bagaimanapun kita dapati cara bayaran kepada amil tetap jadi pilihan.

“Tahun lalu sebanyak RM18 juta dikutip menerusi transaksi secara maya selama sebulan. Kutipan menerusi amil untuk dua minggu pula RM13 juta, jadi kita putuskan tambah bilangan,” kata Saipolyazan Mat Yusop ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya kadar zakat fitrah ditetapkan tahun ini sama seperti tahun lalu iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“LZS menyeru orang ramai yang masih tidak mampu mengganti puasa membuat bayaran fidyah secepat mungkin.

“Untuk tahun ini, kita peruntukkan RM33 juta bagi bantuan raya dan mula disalurkan sehari sebelum Ramadan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Inisiatif khas LZS bantu 5,000 keluarga asnaf sementara

SHAH ALAM, 27 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu 5,000 keluarga yang berdepan masalah ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Ketua pengarah eksekutifnya berkata Bantuan Alternatif Insan Terkesan antara tiga hingga enam bulan menyasarkan asnaf sementara.

Saipolyazan Mat Yusop menjelaskan inisiatif itu dilaksana bulan ini dan dijangka berakhir tahun depan.

“Mereka yang terkesan seperti hilang kerja akibat penularan Covid-19 akan dibantu untuk beberapa bulan, namun selepas bekerja semula mereka akan dikeluarkan daripada senarai.

Saipolyazan Mat Yusop berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital LZS di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Bantuan juga berbeza mengikut keperluan dan semua penerima sudah dikenal pasti. Pelaksanaannya menggunakan dana sedia ada,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, Saipolyazan menyeru orang ramai untuk menjalankan tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan memerlukan.

Mac lalu, LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 sebanyak RM500 kepada 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf. Seramai 20,000 penjaja dan peniaga kecil serta keluarga miskin turut dibantu.

Agensi itu juga mengagihkan insentif khas RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas hadapan serta pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: LZS peruntuk RM1 juta bantu pekerja syarikat terkesan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM1 juta untuk membantu pekerja syarikat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata mereka dibantu terdiri dalam kalangan pekerja daripada syarikat yang pernah membayar zakat perniagaan kepada agensi tersebut.

“Ada syarikat yang membayar zakat pada setiap tahun tetapi perniagaan mereka alami kerugian akibat PKP, jadi LZS terpanggil untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan atau hanya dibayar separuh gaji.

“Ini salah satu unsur dakwah yang mana kita bantu mereka saat susah, sebelum ini syarikat tempat mereka bekerja bayar zakat dan hasil kutipan kita guna untuk tolong orang lain, jadi apa salahnya sekarang kita bantu mereka pula,” kata Saipolyazan Mat Yusop selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangkan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital oleh LZS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Beliau berharap syarikat korporat terus membayar zakat memandangkan golongan asnaf, fakir dan miskin di Selangor semakin meningkat susulan penularan Covid-19.

“Kita mendapati zakat dikeluarkan syarikat besar banyak membantu LZS menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan dan kutipan zakat ini amat penting bagi memastikan bantuan terus disalurkan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yakin kutip RM800 juta zakat, LZS giat kempen digital

SHAH ALAM, 22 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) yakin dapat mengutip RM800 juta zakat perniagaan dan pendapatan tahun ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan Mat Yusop berkata bagi menjayakannya, pihaknya akan melaksanakan promosi giat menerusi kempen digital.

“Sehingga Mei, LZS berjaya mengutip RM340 juta, jadi saya yakin sekiranya usaha menerusi landasan digital diteruskan, kita akan mencapai sasaran kutipan zakat itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sistem E-dialisis di Hotel Acapella di sini semalam.

Hadir sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Emeritus Prof Dr Mohamad Awang dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.

Pada 11 Julai lalu, LZS menurunkan sasaran kutipan zakat dari RM855.1 juta kepada RM800 juta akibat penularan Covid-19.

Tahun lalu, zakat perniagaan dan pendapatan menyumbang sebanyak 78 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan di Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS turunkan sasaran kutipan zakat kepada RM800 juta

SHAH ALAM, 11 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka kutipan zakat perniagaan dan pendapatan pada tahun ini menurun akibat penularan Covid-19, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan Mat Yusop berkata berdasarkan situasi negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pemulihan, LZS menurunkan sasaran kepada RM800 juta berbanding RM855.1 juta pada tahun lalu.

“Penularan Covid-19 menyebabkan pendapatan syarikat merosot malah ada yang tidak mampu bertahan sehingga terpaksa menghentikan operasi atau membuang pekerja.

“Malah krisis ini bukan sahaja menjejaskan golongan B40 sebaliknya golongan pertengahan M40 yang membayar zakat pendapatan pada setiap tahun, mungkin tidak lagi mampu berbuat demikian,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Saipolyazan berkata zakat perniagaan dan pendapatan menyumbang sebanyak 78 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan di Selangor pada tahun lalu.

Pada Mac lalu, LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 sebanyak RM500 seorang kepada 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf di samping sumbangan maksimum sehingga jumlah sama kepada 20,000 penerima terdiri penjaja dan peniaga kecil serta keluarga golongan B40.

LZS turut mengagihkan bantuan khas berjumlah RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.