Categories
AGENDA NASIONAL

JPA diarah laksana pusingan kerja pegawai di jawatan sensitif

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah.

Dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan ekoran pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket kartel tender kerajaan, Mohd Zaki menyatakan kekesalannya terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.

“Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah,” katanya.

Mohd Zuki berkata pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

Menurutnya, kes tersebut mula dikesan sejak 2014, dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM telah berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion, dengan penahanan tujuh individu termasuk ketua sindiket pada Ahad.

Ketua sindiket yang berumur 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada ‘orang dalam’ untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Mohd Zuki berkata beliau menyokong penuh usaha untuk membanteras apa jua bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

“Saya telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman tubuh pasukan petugas khas pantau integriti

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk memastikan maklumat rekod peribadi, profil perkhidmatan dan data perjawatan setiap pegawai polis, dikemas kini dan berintegriti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut pasukan petugas khas itu beliau berkata, pasukan petugas khas berkenaan adalah bagi melicinkan proses pengemaskinian Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), selain mengelakkan pegawai atau anggota polis terlibat salah laku dan salah guna kuasa.

“Saya berharap pasukan petugas khas itu akan mengangkat HRMIS sebagai satu platform pengurusan sumber manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbaik,” katanya kepada pemberita sempena perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, setiap warga PDRM perlu bertanggungjawab mengemas kini data peribadi masing-masing dalam sistem HRMIS.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pengemaskinian dan kesahihan maklumat HRMIS masih menjadi isu dalam pengurusan sumber manusia PDRM, sehingga boleh menjejaskan pengurusan kerjaya dan pembayaran emolumen pegawai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Bukit Aman akan memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan setiap pegawai atau anggota polis mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Arahan pentadbiran yang melarang salah guna aset sumber kerajaan dan jabatan untuk kepentingan peribadi telah dikeluarkan, jika kita ada terima aduan kita siasat dan ambil tindakan sewajarnya.

“Selain itu, saya juga telah beri peringatan kepada semua pesuruhjaya polis dan ketua polis negeri, untuk memastikan setiap anggota dan kakitangan awam di tempat kerja masing-masing tidak salah guna aset kerajaan,” katanya mengulas tindakan beberapa pegawai polis menggunakan anggota bawahan untuk urusan peribadi dan salah guna aset kerajaan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan beberapa pegawai dan anggota polis yang didapati menggunakan aset kerajaan seperti kenderaan milik PDRM bagi kepentingan peribadi, telah diambil tindakan termasuk tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya memaklumkan, tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 melibatkan prosiding tatatertib.

-BERNAMA