Categories
NASIONAL

PAS Pertaruh Husam Tawan Putrajaya

PAS Pertaruh Husam Tawan Putrajaya 01

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa diumumkan sebagai calon Parlimen Putrajaya bagi mencabar penyandang semasa, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara arkitek berpengalaman Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah diumumkan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Abdul Hadi turut mengumumkan tiga lagi kerusi Parlimen yang bakal ditandingi tiga pimpinan tertinggi PAS Pusat.

Mereka adalah Timbalan Presiden, Mohammad Sabu (Mat Sabu) yang diumumkan bertanding di Parlimen Pendang, Kedah, Naib Presiden, Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai, Johor manakala Datuk Mahfuz Omar kekal bertanding di Pokok Sena.

Pada sidang media sama turut dimaklumkan Abdul Hadi kekal bertanding di Parlimen Marang.

Turut diumumkan, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Fauzi Shaari bertanding di Parlimen Larut dan artis terkenal Wan Aisyah Wan Arifin bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.

Abdul Hadi turut menyatakan kesemua calon PAS yang bertanding di peringkat negeri akan diumumkan sendiri PAS negeri masing-masing manakala calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan diumumkan kemudian.

Datuk Husam Musa yang menggalas cabaran PAS di Parlimen Putrajaya dalam ucapannya mengakui bakal berdepan tugas sukar untuk memenangi kawasan berkenaan namun mengambil pendekatan positif dalam menjadi penyumbang kemenangan di kerusi Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

“(Tengku Adnan) Tokoh yang hebat. Seorang strategis.

“Kawasan ini pengundinya sangat kecil. Kemudahan asas sudah baik. Tidak seperti masalah dikampung.

“Saya minta bantuan rakan-rakan media,” katanya yang juga Adun Salor, Kelantan.

Menurutnya lagi, beliau akan turun mendengar aspirasi rakyat yang perlu diketengahkan selain mengingatkan petugas PAS agar tidak menaikkan sebarang bendera parti di jalan protokol memandangkan Putrajaya menempatkan pelbagai agensi pentadbiran negara.

Beliau berharap agar kempen dapat berlaku secara aman tanpa sebarang diskriminasi.

Bagi Salahuddin Ayub, amanah yang diberikan parti untuk bertanding di Parlimen Pulai akan digalas sebaik mungkin dan percaya Johor boleh menyumbang 12 kerusi Parlimen bagi bantu PR ke Putrajaya.

“Terima kasih atas kepercayaan parti walaupun ini tugas besar, sehinggakan BN kata ‘Gali kubur Sendiri’

“PR tidak akan sampai ke Putrajaya tanpa sumbangan kerusi parlimen ke putrajaya

“Terima kasih kepada rakyat Johor, kerana memberikan sambutan baik sejak setahun lalu.

“Kawan-kawan berkumpul memberikan sumbangan. Keluarga kembali dekat. Ini sangat menarik. Saya akan pikul,” katanya.

Secara keseluruahan, PAS bertanding 76 kerusi Parlimen dan 230 kerusi DUN dalam PRU-13.

Categories
SELANGOR

PR Tawar Gaji Minima RM1,100 Kepada Kakitangan Awam

KUALA LUMPUR 26 SEPT: Pakatan Rakyat (PR) menawarkan gaji minima RM1,100 kepada kakitangan awam dalam Belanjawan 2013 yang bertemakan ‘Ekonomi Rakyat, Negara Berkat’.

Selain itu menaikkan bantuan kebajikan kepada RM550 sebulan bagi meringankan beban golongan miskin.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam taklimat belanjawan yang diadakan hari ini, penetapan gaji minima tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam.

Kata Anwar, kenaikan tersebut bakal melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion dan mampu memberi kesan kepada kenaikan gaji dari pelbagai sektor lain dengan kenaikan dalam lingkungan dua hingga lapan peratus.

“Meningkatkan Pembayaran Kebajikan daripada RM300 sekarang kepada RM550 sebulan yang boleh membebaskan 84,000 keluarga yang mempunyai pendapatan di bawah paras RM500 sebulan daripada kemiskinan,” kata Anwar.

Selain itu semua data dari agensi kerajaan termasuk Risda, Felcra dan lain-lain akan disatukan ke dalam pengkalan data Jabatan Kebajikan bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan one-off sebanyak RM500 kepada golongan yang terjejas akibat kejatuhan harga getah dan lain-lain komoditi.

Dalam belanjawan yang terlebih dahulu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu turut menyasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2013 sebanyak 5.2 peratus dengan kadar inflasi 3.0 peratus.

Dalam taklimat yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat itu, Anwar turut mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sering gagal mencapai unjuran yang disasarkan.

Taklimat Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 itu turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pemimpin lain dari ketiga-tiga parti pakatan itu.

Categories
NASIONAL

Kontroversi Akta Keterangan, Najib Terus Terburu-Buru

SHAH ALAM 17 OGOS : Keputusan Kabinet berhubung pindaan undang-undang kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 baru-baru ini menyerlahkan sikap ‘terburu-buru’ kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Demikian ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengulas mengenai pindaan Seksyen 114A terhadap Akta Keterangan yang digazetkan pada 31 Julai lalu berkenaan internet dan rangkaian sosial.

Menurutnya, tindakan Najib itu disifatkan sebagai tergopoh-gapah terutama dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan pindaan Akta ke dalam Parlimen.

“Kelemahan Najib ialah beliau tidak mempunyai fokus dalam setiap perkara yang dilakukan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan pindaan akta atau rang undang-undang. Antara yang ketara ialah penarikan semula cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Selain itu, pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan beberapa projek lain yang kemudiannya ditarik balik. Pindaan ini juga biasanya dibuat tanpa perbincangan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat juga dilihat ‘separuh masak’ sehingga ia kemudian terpaksa ditarik balik.

Pindaan akta kontroversi tersebut diluluskan Dewan Rakyat April lalu dan digazetkan sebagai undang-undang oleh Datuk Seri Nazri Aziz pada bulan Julai baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Senator MCA, Gan Ping Sieu antara individu yang menyokong protes yang semakin membesar terhadap undang-undang baru itu.

Kempen menentang undang-undang tersebut turut disokong Majlis Peguam dan Pakatan Rakyat yang ‘memggelapkan’ laman web mereka sempena kempen memboikot internet tempoh hari.


Categories
NASIONAL

Salahuddin : Tiada Niat Hina Perarakan Thaipusam

KUALA LUMPUR – MP Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menegaskan beliau tidak berniat menghina agama Hindu atau Thaipusam pada sesi debat bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu.

Menurutnya, apa yang diperkatakan dalam debat itu berkaitan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak mengadakan perhimpunan aman di negara ini.

“Saya tidak berniat untuk menghina agama Hindu atau kaitkan Thaipusam dengan perhimpunan haram saya tidak berniat kearah itu.

“Ketika debat itu berlangsung pelbagai contoh berkaitan dengan perhimpunan yang pernah berlaku di negara ini diberikan. Pemuda MIC telah salah erti semasa debat bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Jika sesorang itu faham bahasa Melayu dengan baik, sudah tentu mereka boleh faham apa yang saya maksudkan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan membidas kenyataan Salahuddin yang menyamakan perarakan Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Kamalanathan menegaskan dalam blognya, bagaimana perayaan suci itu boleh disamakan dengan demonstrasi jalanan.

Sinar Harian pada 19 Jun lalu telah menganjurkan debat antara Saifuddin dengan Salahuddin yang bertajuk Demonstrasi Jalanan Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi.

Semasa debat berlangsung, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS turut memberikan contoh perayaan Thaipusam dan perarakan maulidurrasul yang diadakan sebagai suatu perhimpunan yang pernah diadakan tetapi berlaku secara aman disebabkan tidak berlaku sebarang provokasi pihak tertentu.

Categories
NASIONAL

Pas : Siasat Anwar Untuk Bersihkan Namanya

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Pas mengalu-alukan siasatan terhadap pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membersihkan nama mereka daripada dakwaan yang dipaparkan di dalam media.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Anwar, yang merupakan Ketua Pembangkang, telah mencabar mana-mana Ahli Parlimen dan Menteri untuk membahaskan perkara tersebut di dalam Parlimen, tetapi tiada yang tampil.

Kata Salahuddin, Pas mengalukan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang Anwar memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Pas juga tiada masalah kika SPRM ingin menjalankan siasatan terhadap Nik Aziz, yang merupakan Mursyidul Am Pas, kata Salahuddin yang juga MP Kubang Kerian.

Kita tidak mempunyai masalah untuk mana-mana pihak untuk menjalankan siasaatan atas apa-apa tuduhan dan itu adalah pendirian Pas,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Anwar sebelum ini menafikan beliau memiliki akaun tersebut dan berkata perkara ini pernah disiasat semasa dakwaan tersebut muncul pada tahun 1999.

Akan tetapi, kes tersebut telah ditutup dan tiada apa-apa tindakan diambil terhadap Anwar.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Tak Laksana Pilihan Raya Bersih, Dorong Rakyat Turun Berdemonstrasi

SHAH ALAM, 20 JUN: Keluhan yang tidak ditangani dengan serius akhirnya mendorong rakyat turun ke jalan raya bagi melahirkan bantahan mereka terhadap kerajaan dan pengendali pilihan raya di negara ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata keputusan untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu dibuat apabila suara rakyat tidak dipedulikan oleh kerajaan Umno-BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Umno-BN menolak lapan cadangan yang dibawa pegerakan BERSIH 3.0 bagi penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

“Selama 54 tahun kita mintak satu sistem pilihan raya yang adil dan bersih, tetapi kita tak capai lagi.

“Dalam forum, dalam seminar, dalam perbincangan yang subur, dalam jawatankuasa terpilih, PAC (jawatankuasa kira-kira am) dan macam-macam lagi.

?Kita dah mintak secara lembut akan lapan tuntutan kita.

“Jadi sekali-sekali eloklah kita adakan protes jalanan yang sihat. Suara rakyat haruslah didengari,” ujar Salahuddin dalam Debat Sinar yang di adakan di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini malam tadi.

Debat yang bertajuk ‘Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi’ di antara Salahuddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia dipengerusikan pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Debat itu dihadiri kira-kira 400 penyokong kedua-dua pihak, dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TVSelangor, MobTV dan Astro Awani.

Salahuddin menambah kerajaan yang takut menghadapi demontrasi adalah kerajaan yang tidak memiliki sistem demokrasi yang kukuh, tadbir urus yang baik dan korup.

“Seperti di Amerika Syarikat, sistem mereka telah kukuh, ‘good gonernance’, ‘seperation of power’ wujud.

?Tidak korup menyebabkan kerajaan mereka tidak jatuh disebabkan demontrasi walaupun sejuta yang turun di jalan raya,” kata beliau.

Salahuddin turut mempertikaikan tindakan kerajaan mengketepikan hak rakyat negara ini untuk berhimpun, berpersatuan, berhimpun seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Negara.

“Datuk Saifuddin menyebut hak perlu dihormati, tetapi perlu diingat dalam falsafah undang-undang, ?the small print? tak boleh lawan ?the big print?.

?Tetapi di negara ini the ?small print?, perintah Majistreet yang arah kepong satu tempat takkanlah boleh melawan artikel 10,” ujarnya lagi.

Salahuddin turut menyanggah dakwaan Saifuddin bahawa kerajaan Malaysia telah memberikan ruang secukupnya kepada semua rakyat untuk mengamalkan sistem demokrasi yang berwibawa.

“Kita sedang menuju sebuah negara demokrasi yang falsafahnya mungkin autokrasi ataupun ‘partial’ demokrasi.

“Saya cakap begitu kalau kita diberi cukup ruang taklah perlu kita buat demontrasi.

“Kalau kita diberi cukup ruang taklah perlu saya dan YB Datuk Saifuddin kena tunggu sampai jam 1.00 petang untuk mendapat kelulusan untuk siaran langsung disiarkan malam ini.

“Bagi negara yang menolak demokrasi atau cuba-cuba untuk berpura-pura dengan demokrasi atau cuba menyembunyikan keadilan dalam demokrasi, demontrasi jalanan akan melahirkan demokrasi,” beritahu Salahuddin.

Video Debat – Demontrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi

 

 


Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung menerusi TVSelangor di http://www.selangorkini.net bermula jam 9 malam sehingga 10:30 malam.

Pendebat: Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)

Moderator: Prof Dr Mohamad Abu Bakar

Categories
NASIONAL SELANGOR

Salahuddin: Umno Boleh Berdemo Jika Pakatan kuasai Putrajaya

SHAH ALAM, 20 JUN: Kesungguhan Pakatan Rakyat (PR) menyuburkan demokrasi dibuktikan apabila Umno akan dibenarkan berdemontrasi sekiranya Pakatan menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pada masa itu Pakatan akan memberi ketetapan bahawa polis tidak akan memakai gas pemedih mata sekirannya perhimpunan Umno berjalan dengan aman.

“Sebagai rakyat dan pemimpin, PR akan menyuburkan demokrasi sebab apa yang penting, berikan demokrasi itu kepada rakyat. Ia istrumen penting yang kita rasakan Umno memang perlu pada waktu itu.

“Mungkin mereka pun pada waktu itu akan kerap buat demontrasi,” ujar beliau dalam program ‘Debat Sinar’ yang bertajuk ‘Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi’ malam tadi.

Salahuddin, yang juga MP Kubang Kerian mewakili Pakatan, manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mewakili Umno-BN.

Salahuddin memberi jaminan bahawa pihak polis akan bertindak lebih profesional berbanding di dalam peristiwa himpunan BERSIH 3.0 pada April 28 lalu.

“Insyaallah pada masa itu kita akan berikan SOP (Piawaian Prosedur Operasi) yang profesional kepada Polis Diraja Malaysia, tidak ada gas, tidak ada belantan.

“Sejauh mana yang kita tahu, selagi demontrasi itu aman tidak bersenjata.

?Pada ketika itu Insyaallah kalau Datuk Saifuddin masa tu dah sertai PR dan jadi Menteri Dalam Negeri dia akan pastikan selagi mana ia aman dan tidak bersenjata,” katanya lagi dalam debat yang diadakan di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini.

Salahuddin turut menjelaskan, Umno sendiri mula menerima demontrasi jalanan sebagai sebahagian dari demokrasi apabila parti itu kerap menganjurkan demontrasi terhadap Kerajaan Pakatan Pulau Pinang dan Selangor.

“Umno pun sekarang ini mungkin belajar nak jadi pembangkang, mula buat demontrasi,” ujar Salahuddin.

 

Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 : Polis Mengaku Tangkap Pemimpin Pas Di Luar Kawasan Larangan

KUALA LUMPUR 07 JUN : Seorang pegawai kanan polis mengaku telah menangkap dua pemimpin Pas pada hari perhimpunan BERSIH 2.0 tahun lalu di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Inspektor Mohd Zaidi Mad Zizat juga mengaku naib presiden Pas Datuk Mahfuz Omar dan dan Salahuddin Ayub tidak terdiri daripada peserta perhimpunan itu.

Dalam keterangannya di mahkamah tinggi sivil Kuala Lumpur hari ini, Zaidi juga mengaku tangkapan dibuat berdasarkan alasan untuk mencegah Mahfuz dan Salahuddin daripada menyertai himpunan itu.
Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena dan Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian memfailkan saman pada 8 Ogos tahun lalu berhubung penahanan mereka semasa Bersih 2.0.

Saman itu difailkan terhadap Zaidi, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Kerajaan Pusat.

Zaidi merupakan lima individu yang menjadi saksi bagi pihak defendan hari ini, selain Supritenden Aida Abdul Hamid, ASP R.Muthusamy, ASP Zulkifli Osman dan Jurugambar Polis Ganeson.

Beliau mengaku melakukan perkara terbabit ketika menjawab pertanyaan peguam plaintif, Abdul Aziz Hamzah.
Zaidi turut bersetuju yang kedua-dua plantif hanya mengatakan hendak ke Hotel Hilton yang terletak berhampiran Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).

KL Sentral berada di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistreet pada 6 Julai 2011.
Perbicaraan hari ini dilakukan di depan Prasad Sandosham Abraham.

Kedua-dua plantif diwakili peguam Zulhasme Sharif, Muhammad Faiz Fadzil, Abdul Aziz Hamzah, Surya Putra Taulan.
Di dalam saman itu, Mahfuz dan Salahuddin mendakwa tangkapan dan penahanan mereka adalah salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Mereka turut menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am dan kos lain-lain.

Pada 9 Julai lalu, Mahfuz dan Salahuddin ditahan di KL Sentral pada pukul 11.50 pagi dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Mereka dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam dan sepanjang tempoh penahanan mereka tidak dibenarkan untuk menghubungi sesiapa termasuk peguam.

Mahfuz yang hadir pada sesi pendengaran itu berkata tangkapan tersebut menjatuhkan imej beliau sebagai seorang wakil rakyat.

“Kami juga tidak dinyatakan mengapa kami ditahan dan polis juga tidak mengambil apa-apa keterangan kami sepanjang ditahan di Balai Polis Jinjang.

 

“Kami ditahan selepas menaiki escalator di KL Sentral untuk ke Hotel Hilton. Tindakan mereka adalah satu peringatan kepada pihak berkuasa agar bertindak mengikut undang-undang yang ditetapkan.”

Sementara itu, Faiz berkata saman itu dituntut kerana defenden melanggar hak perlembagaan plantif yang berhak bergerak bebas di mana-mana tempat.

Mahkamah telah menetap 3 Sept untuk keputusan.

 

Categories
NASIONAL

Salahuddin : DBKL Harus Biarkan Mahasiswa Terus Berkhemah

KUALA LUMPUR, 17 APR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur didesak agar membenarkan aktivis mahasiswa terus berkhemah di Dataran Merdeka bagi memperjuangkan permansuhan PTPTN.

Mereka harus dibenarkan terus berkhemah sebagai lanjutan dari himpunan mereka pada 14 April, selagi mereka tidak mencetuskan keadaan huru hara atau porak peranda, kata MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub.

Salahuddin, yang turun untuk berunding dengan DBKL bagi pihak aktivis tersebut pada Ahad lalu, berkata, setakat ini, diyakini tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya rasa semua pihak perlu memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk menyatakan hasrat dan perjuangan mereka.

?Saya telah menyatakan selagi mana perhimpunan itu terkawal dan aman serta tidak mencetuskan porak peranda maka peluang harus diberikan kepada mereka,” katanya kepada TVSelangor di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, lebih 500 aktivis mahasiswa telah mengadakan perhimpunan aman di Kuala Lumpur untuk pemansuhan PTPTN dan mendesak agar kerajaan memberikan pendidikan percuma.

Sebahagian daripada mereka telah memasang lima buah khemah di satu sudut Dataran Merdeka bagi meneruskan kempen mereka.

Bagaimanapun, semalam DBKL bertindak merampas khemah yang dipasang biarpun pada awalnya, agensi itu bersetuju membenarkan mereka berkhemah.

“Tidak perlulah sampai DBKL merampas khemah-khemah mereka. Prinsipnya mana-mana perhimpunan pun selagi mana ia dianjurkan dengan jelas matlamatnya maka ia tetap punya hak dan tidak bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.