Categories
AGENDA NASIONAL

KKM analisis ratusan sampel telur tercemar

SHAH ALAM, 15 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap ladang pengeluaran telur di Jeram, Kuala Selangor berikutan penemuan bakteria.

Pengarah kanan keselamatan dan kualiti makanannya berkata daripada 364 sampel telur ayam yang dianalisis, hanya dua daripadanya mengandungi Salmonella Enteritidis (SE), lapor Berita Harian.

“KKM mengambil maklum isu penarikan balik telur ayam keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dicemari bakteria SE seperti yang dilaporkan Agensi Makanan Singapura (SFA) Jumaat lalu.

“Laporan berkenaan juga menyatakan pihak SFA sudah mengarahkan telur ayam terbabit ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria SE,” katanya.

Mohd Salim berkata SE hadir melalui pencemaran silang najis ayam atau semasa pembentukan telur jika jangkitan berlaku terhadap tisu pembiakan ternakan terbabit.

Jelasnya, pengendalian tidak sempurna boleh menyebabkan keracunan makanan (Salmonellosis) dan mengalami gejala seperti demam, kekejangan perut dan cirit-birit.

“Jika ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

Kelmarin, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat beri kerjasama penuh siasat penemuan bakteria Salmonella

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Lay Hong Bhd memberi kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Malaysia dan merancang untuk memperkukuhkan amalan kawalan dan pemantauan ladang berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) dalam telur yang dieksport daripada salah satu ladangnya di Jeram, Selangor.

“Keutamaan kami adalah keselamatan pelanggan kami. Kami kini bekerjasama erat dengan DVS bagi menyiasat dan memantau ladang yang didakwa terlibat dengan penemuan SE itu,” kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yap Chor How.

Kumpulan telah bersetuju dengan DVS untuk menggantung operasi di ladang Jeram 1, pengeluaran dari ladang itu kebanyakannya dieksport ke Singapura.

“Operasi di ladang Jeram 1 ketika ini dihentikan daripada pasaran domestik dan eksport sementara menunggu siasatan oleh DVS selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Lay Hong memberi jaminan bahawa tiada telur yang akan dijual dari ladang Jeram 1 dan kumpulan itu hanya akan menyambung semula bekalan telur dari ladang tersebut selepas siasatan mengenainya selesai.

Buat masa ini, semua ladang lain di Jeram (ladang Jeram 2 hingg 6) telah diuji negatif untuk Salmonella dan ladang itu dibahagikan kepada ladang satelit yang lebih kecil dan terpisah antara satu sama lain secara fizikal walaupun berada di Jeram.

“Setiap ladang satelit ini memiliki peralatan penggredan imtuk menangani pencemaran antara ladang-ladang itu. Semua langkah pencegahan ini telah dijalankan selama bertahun-tahun untuk memastikan bekalan telur kami tidak terjejas sekiranya satu daripada ladang berkenaan tercemar.

“Langkah tersebut membolehkan kami terus membekalkan telur kami dari ladang lain kepada pelanggan kami,” kata Yap.

Beliau berkata Lay Hong akan memantapkan proses pertanian syarikat dan yakin dapat mengatasi insiden tersebut dengan kawalan dan pemantauan yang lebih teliti pada masa depan.

Semalam, empat pengimport di Singapura telah diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Bhd Layer Farm di Jeram, Malaysia berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.

– BERNAMA