Categories
AGENDA NASIONAL

Isteri arwah Abam Bocey menang saman fitnah, adik ipar kena bayar RM60,000

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Isteri kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali melakukan ‘sujud syukur’ selepas menang dalam kes samannya terhadap adik iparnya yang juga pelawak Ali Puteh berhubung kenyataan fitnah yang mengaibkan wanita itu dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman oleh Siti Nor Hidayah, 30, terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, dan memerintahkan lelaki itu membayar ganti rugi am RM60,000 kepada wanita berkenaan dan kos RM13,000.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Siti Nor Hidayah selaku plaintif untuk mendapat perintah injunksi bagi menghalang Syed Ali daripada menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman fitnah difailkan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya selaku plaintif terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah sebagai defendan dengan kos sebanyak RM13,000.

Tiga ahli keluarga itu ialah ibu Syed Ali, Allahyarham Sabariah Arshad; bapanya, Syed Mohd Ridzuan Syed Hassan dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah.

Zulqarnain dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat hantaran oleh Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 telah menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya, Siti Nor Hidayah.

“Ia adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan. Jika kata-kata seperti ‘kamu bodoh’ atau ‘kamu jahat’ boleh mengaibkan, apatah lagi perkataan ‘binatang’.

“Jika ditujukan kata-kata itu kepada pesakit yang uzur dan terlantar di hospital, dia akan cuba bangun dan mempertahankan maruahnya. Apatah lagi ia ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari hilang tempat bergantung selepas kehilangan suami dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” kata hakim itu.

Zulqarnain berkata setelah meneliti keterangan kesemua saksi, mahkamah berpuas hati bahawa pihak yang mengejar harta bukannya isteri arwah, sebaliknya ahli keluarganya.

“Ini jelas kerana pada hari kedua arwah meninggal, ahli keluarganya adalah pihak yang mengajak isteri arwah untuk berbincang mengenai harta arwah tanpa mengambil kira perasaan sedih isterinya. Telefon arwah diambil oleh Syed Ali dan beg duit arwah diambil oleh ibunya, (Allahyarham Sabariah).

“Perbuatan mereka seolah-olah tidak memahami kesedihan isteri arwah yang juga dalam dilema sedang memikirkan bagaimana untuk mengharungi masa depan dan membesarkan anak yang masih kecil,” katanya.

Zulqarnain berkata mahkamah tidak dapat menerima pembelaan kesemua plaintif bahawa isteri arwah tidak boleh menggunakan kereta arwah untuk balik kampung, tidak boleh mengambil wang di dalam dompet arwah, tidak boleh menggunakan telefon arwah atas alasan urusan harta pusaka belum dimuktamadkan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa tiada apa-apa keterangan dikemukakan oleh kesemua plaintif yang menunjukkan bahawa ada undang-undang yang menyatakan sekiranya seorang suami meninggal, isteri dilarang sama sekali untuk menggunakan kereta suaminya walaupun untuk balik kampung, atau isteri dilarang mengambil wang di dalam dompet suami walaupun untuk kegunaan dan kebajikan anak ataupun isteri dilarang menggunakan telefon bimbit suaminya.

“Pada pendapat mahkamah, jika digunakan sekalipun kereta arwah suami atau mengambil wang suami untuk berbelanja, tiada apa yang melarang harta pusaka tidak boleh diagihkan atau diputuskan. la boleh diambil atau dipulangkan semula atau diperintahkan untuk memulang semula kemudiannya,” katanya.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati isteri arwah lebih memikirkan masa depan anak yang masih kecil dan wang RM10,000 yang diambil olehnya bukan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya ke dalam akaun anaknya.

Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.

Sementara itu, Siti Nor Hidayah yang diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, dia bersyukur dengan keputusan hari ini yang berpihak kepadanya.

“Saya syukur sangat-sangat sebab hari ini, hari Jumaat. Saya maafkan apa yang orang kata pada saya. Terima kasih kerana mendoakan saya dan anak,” katanya dalam nada sebak.

Syed Ali yang hadir bersama peguamnya, Noorazmir Zakaria pula berkata beliau menghormati serta menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy saman aktivis politik, pendakwah fitnah tidak ambil vaksin

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Lokman Noor Adam dan Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial.

Khairy, 46, selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Rashid Zulkifli pada 25 Januari lepas, dengan menamakan Lokman, 49, dan Mohd Rasyiq, 41, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Khairy mendakwa Mohd Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lepas, 6 dan 10 Januari lalu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Plaintif juga mendakwa penerbitan fitnah itu adalah bertentangan dengan kepentingan awam dan ia mengganggu usaha serta semua yang terbabit dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan dalam perjuangan menentang Covid-19, menjejaskan tindak balas masyarakat terhadap pandemik dan menjejaskan data serta fakta rasmi yang diberikan oleh KKM kepada orang ramai.

Oleh itu, plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya kedua-dua defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam dan suatu injunksi menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Plaintif juga memohon defendan-defendan untuk memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita serta akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Plaintif juga menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk, faedah, permohonan maaf daripada defendan-defendan yang dimuat naik di media sosial serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, mahkamah menetapkan 17 Februari ini untuk pendengaran injunksi inter parte (dua pihak).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman fitnah selesai, Jamal mohon maaf kepada Yeo

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kes saman fitnah Yeo Bee Yin terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) selesai selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memohon maaf kepada bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkenaan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Jamal, 50, yang membacakan kenyataan maaf itu di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata beliau memohon maaf kerana memfitnah Yeo sebelum ini.

“Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.

“Saya ingin memohon maaf kepada YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” katanya.

Hari ini dan Khamis sepatutnya prosiding perbicaraan kes saman itu di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Terdahulu, Hakim Rozana merekodkan penghakiman persetujuan kes itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat kerana bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut di luar mahkamah.

“Hari ini kita dah capai penyelesaian, jadi mahkamah telah rekodkan persetujuan. Mahkamah juga berterima kasih kepada pihak-pihak kerana kes ini agak lama memandangkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, mahkamah perlu dahulukan kes-kes lama,” katanya.

Berdasarkan deraf penghakiman persetujuan, Jamal selaku defendan yang diwakili peguam Mohammed Nasser Yusof, perlu memohon maaf kepada Yeo sebagai plaintif di hadapan semua wartawan dan jurugambar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Defendan dihalang sama ada menerusi dirinya sendiri, ejen atau pekerjanya daripada selanjutnya mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar ucapan yang dikatakan memfitnah.

Jamal juga dihalang mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam penyataan tuntutan terpinda pada 16 Jun 2017 atau kata-kata yang mempunyai kesan sama berkenaan plaintif atau penyataan yang boleh dikira sebagai memfitnah.

Penghakiman persetujuan itu tidak boleh mengikat dan diguna pakai ke atas defendan oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai tindakan saman serupa terhadap Jamal. Penghakiman persetujuan itu juga tanpa perintah mengenai kos.

Yeo memfailkan saman itu, pada 14 Jun 2017 menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal atas kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah berhubung isu penyelewengan dana Yawas.

Penyataan tuntutan Yeo, yang juga ahli parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan itu pada 21 Mac 2017 dan diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta akaun Facebook defendan.

Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain memberi tanggapan bahawa beliau menyalahgunakan dana awam serta menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Datuk Sankara N Nair yang mewakili Yeo berkata ada pernyataan umum dalam undang-undang bahawa semua orang mempunyai reputasi yang baik sehingga terbukti sebaliknya dan reputasi adalah komoditi berharga untuk semua.

“Dengan prosiding hari ini dan permohonan maaf secara terbuka oleh Datuk Seri Jamal kepada klien saya berhubung episod serius ini yang telah mencemarkan reputasi klien saya, kini ia telah dihapuskan secara kekal,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman fitnah selesai, Azwanddin mohon maaf kepada Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kes saman fitnah difailkan P. Waytha Moorthy terhadap Datuk Azwanddin Hamzah berhubung ucapan dalam satu perhimpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) selesai selepas Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu bersetuju untuk membuat permohonan maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan.

Peguam Annou Xavier, yang mewakili Waytha Moorthy memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Defendan (Azwanddin) akan membuat satu permintaan maaf kepada plaintif (Waytha Moorthy) yang diterbitkan di tiga laman berita iaitu Berita Harian, Makkal Osai dan di Facebook defendan.

“Defendan akan membayar kepada plaintif sebanyak RM90,000 sebagai ganti rugi am dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman hari ini sama ada secara bank deraf atau pemindahan online kepada firma peguamcara plaintif, Tetuan Azri Lee Swee Seng & Co,” katanya ketika membacakan deraf penghakiman persetujuan pada prosiding kes itu yang ditetapkan untuk perbicaraan hari ini.

Annou berkata defendan secara sendiri dan/atau pekerjanya dan/atau sesiapa sahaja adalah dilarang mengucapkan, menerbitkan semula, meneruskan penerbitan atau menyebabkan untuk dicetak, diterbitkan atau disalurkan kenyataan-kenyataan fitnah itu.

Azwanddin bersetuju dengan terma penghakiman persetujuan itu dan Rohani merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak terlibat.

Waytha Moorthy ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau bersetuju dengan terma berkenaan.

Pada 13 Februari lepas, Waytha Moorthy, 53, selaku plaintif memfailkan saman itu selepas mendakwa Azwanddin, 46, yang dinamakan sebagai defendan telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran Geras di Dataran Seni Klang, pada 25 Disember 2018.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan juga telah menyebabkan ucapan dan perkataan fitnah itu diterbitkan semula di pelbagai media cetak, portal berita dan laman web selain mendakwa ucapan berkenaan yang dimuat naik ke laman Facebook defendan telah mendapat 187,912 paparan, 4,705 like, 943 kongsian dan 362 komen setakat 8 Februari 2019.

Dakwanya ucapan itu adalah tidak benar dan berniat jahat selain mendakwa ia memberi kesan terhadap reputasinya sebagai senator dan sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengucapkan atau menerbitkan ucapan memfitnah tersebut di dalam mana-mana media, secara bercetak, atas talian atau sebaliknya serta memohon ganti rugi am, teladan, terlampau, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Azwanddin dalam penyataan pembelaan yang difailkan pada April lepas, menafikan secara keseluruhan pernyataan tuntutan plaintif kerana kenyataan defendan tidak melibatkan plaintif secara eksklusif tetapi untuk menangani isu-isu politik yang lebih luas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman fitnah Yeo terhadap Jamal mungkin selesai secara baik

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kes saman fitnah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mungkin diselesaikan secara baik.

Peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan meneliti syarat-syarat penyelesaian yang ditawarkan plaintif (Yeo) pada 3 September lalu.

“Sekiranya ada penyelesaian kita (defendan) akan tulis surat kepada mahkamah (untuk tindakan lanjut) namun sekiranya gagal, perbicaraan akan didengar pada 5 dan 6 Mac serta 20 dan 21 April tahun depan,” katanya selepas pengurusan kes saman itu di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini.

Pada 14 Jun 2017, Yeo memfailkan saman itu terhadap Jamal selaku defendan bagi menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah terhadap plaintif berhubung penyalahgunaan dana YAWAS.

Dalam pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pihak defendan telah mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan tersebut.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi lain menetapkan 10 Oktober untuk pengurusan kes saman Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok terhadap Jamal yang didakwa memfitnahnya berhubung dana YAWAS.

Perkara itu dimaklumkan oleh Mohammed Nasser kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Bache hari ini.

Pada 6 April 2017, Kok memfailkan saman terhadap Jamal berhubung dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan itu, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.

Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes saman fitnah Lim Kit Siang cuba selesai di luar mahkamah

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Pihak dalam kes saman fitnah oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, akan berbincang untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Peguam Rayveni Asogan, yang mewakili Kit Siang, berkata demikian selepas pengurusan kes itu dalam kamar Hakim Datuk Azimah Omar.

“Mahkamah menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes akhir bagi kedua-dua pihak untuk kemas kini dengan mahkamah sama ada pihak terbabit ada untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Kedua-dua pihak terbuka untuk penyelesaian tetapi ia bergantung kepada syarat penyelesaian. Jika gagal capai kesepakatan (untuk penyelesaian luar mahkamah) mahkamah akan teruskan dengan penetapan tarikh perbicaraan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Peguam Janani Kumari yang mewakili Mohammed Hanif turut hadir pada prosiding itu.

Pada 17 Oktober tahun lepas, Kit Siang sebagai plaintif menyaman Mohammed Hanif selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 September 2018, yang telah diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, hari yang sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Johor Bahru itu mendakwa defendan juga telah secara salah dan berniat jahat menyebabkan kata-kata fitnah itu disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada hari sama (6 September) dan keesokannya.

Pemimpin Kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa beliau bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Lim turut mendakwa kata-kata fitnah itu telah menyebabkan reputasinya selaku anggota Parlimen dan orang kenamaan terjejas.

Dakwanya, satu surat bertarikh 12 September telah dihantar supaya defendan menarik balik kata-kata fitnah serta memohon maaf, namun peguam defendan telah menjawab surat berkenaan dan menafikan kata-kata fitnah itu terhadap plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah itu selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan. -BERNAMA