Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesta buku: Sambutan luar biasa meski terikat SOP ketat

SHAH ALAM, 12 DIS: Pempamer Pesta Buku Selangor 2021 tidak jangka menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung meskipun program itu dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Pengurus Hijjaz Records Publishing berkata pihaknya menyangka sambutan pada tahun ini sama seperti tahun lepas, namun berlaku sebaliknya apabila ramai yang hadir.

Katanya, pada tahun lalu pengunjung tidak ramai kerana masing-masing masih takut dengan pandemik Covid-19.

Pengurus Hijjaz Records Publishing, Syamiel Amir bercakap kepada Media Selangor ketika Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Namun, selepas ramai menerima vaksin, SOP yang ketat jadi memberi keyakinan kepada orang ramai untuk datang ke pesta buku.

“Kita tak sangka sambutan yang diterima kali ini sebab stok buku pun kita tak bawa banyak, alhamdulilah kutipan yang diterima amat baik berbanding sebelum ini,” kata Syamiel Amir ketika ditemui semalam.

Penulis buku Kumpulan Cerpen Etos Anak Negeri Anak Negeri mengakui sambutan terhadap karyanya memberangsangkan pada pesta buku ini dengan menerima permintaan yang tinggi.

“Terima kasih kepada penganjur kerana memberi ruang dan peluang kepada kami penulis untuk memberi pendedahan kepada masyarakat menerusi karya masing-masing.

“Seperti buku saya dalam tulisan jawi sepenuhnya ia adalah mekanisme kepada orang ramai untuk mendapatkan karya dalam tulisan jawi,” katannya.

Muzdalifah Mamat, 39

Sementara itu, seorang ibu memperuntukan RM200 pada pesta buku kali ini bagi memenuhi kehendak anak-anaknya dalam mendapatkan bahan bacaan.

Muzdalifah Mamat, 39 mengakui dia hanya mengetahui mengenai pesta buku selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya yang berusia sembilan tahun.

“Saya tidak pasti dari mana dia tahu, jadi saya dan suami bawa dia dengan adik-adiknya untuk memilih sendiri buku yang mereka minat,” katanya.

Pekerja swasta, Hilman Fikri, 26 berkata dia kagum dengan pelaksanaan pesta buku yang menitik berat SOP dan memberi keyakinan kepada pengunjung.

“Jika ikutkan masing-masing takut untuk datang memadangkan Covid-19 masih ada, namun melihat kaedah yang SOP yang digunakan penganjur saya rasa yakin untuk datang,” katanya yang memperuntukan RM300 untuk membeli bahan bacaan.