Categories
NASIONAL

SAMM Johor Sokong Petisyen Terhadap RAPID

PENGERANG, 30 MAC: Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor menyokong tindakan MP Bakri, Er Teck Hwa melancarkan satu kempen Petisyen Rakyat berhubung dengan projek Refinery And Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.

Petisyen ini dijangka akan dijadikan sebagai satu usul di bawah Perkara 19, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Menurut Penyelaras SAMM Johor, Ahmad Anwar Asyraf walaupun projek RAPID mampu membuka peluang pekerjaan namun rintihan rakyat berhubung isu pampasan, pencemaran, masalah ekosistem dan pemindahan penempatan baru perlu diselesai secara menang-menang.

“Soalan-soalan ini harus didengari dahulu agar satu penyelesaian menang-menang jangka panjang dapat diadakan tanpa menolak pembangunan yang bakal berlaku di kawasan tersebut.

“SAMM Johor memandang serius ketiga-tiga aspek ini atas nama pembangunan yang menjaga kemaslahatan rakyat. Pihak syarikat yang diberikan kelulusan untuk membangunkan projek di kawasan tersebut perlu memikirkan soal pampasan yang setimpal perlu diberikan, bukan hanya sekadar memberikannya semata-mata.

“Ia seharusnya turut memikirkan kemungkinan ada di antara rakyat kawasan ini yang akan kekurangan hasil pencarian atau lebih malang lagi mungkin akan terus kehilangan mata pencarian.” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya Rakyat turut berhak mengetahui secara terperinci kemungkinan-kemungkinan pencemaran yang boleh berlaku sekiranya terdapat kemalangan di loji-loji Petrokimia ini dan apakah langkah-langkah pemuliharaan yang akan diambil.

‘SAMM JOHOR dengan ini menyokong penuh usaha kempen tersebut dan akan bersama-sama dengan seluruh kekuatan aktivis kami untuk memberikan bantuan seupaya mungkin bagi menjayakan kempen ?Kampungku  Suaraku? ini.

“SAMM Johor turut merayu kepada semua anak muda Pengerang tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik harus bersama-sama menjayakan kempen ini agar satu referendum atau pungutan suara penduduk Pengerang dapat diadakan dan dipersembahkan kepada Parlimen Malaysia demi masa depan Pengerang yang lebih baik tanpa menjejaskan kualiti kehidupan setiap penduduknya.” ujar beliau

Categories
NASIONAL

Felda: SAMM Kecam Najib Beri Arahan Pada Hakim

SHAH ALAM 21 MAC : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa memberi arahan kepada hakim untuk memberi kemenangan kepada Felda dalam kes-kes perbicaraan yang membabitkannya.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan SAMM, ucapan yang dikeluarkan Najib itu jelas menunjukkan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman negara dalam membuat sebarang keputusan perbicaraan yang sepatutnya bebas dari sebarang campur tangan politik.

“Ia berasaskan minit mesyuarat Felda yang dipengerusikan oleh Najib Abdul Razak yang diadakan di bangunan Parlimen pada 27 Jun tahun lalu.

“Kenyataan Najib yang berbunyi ‘Pastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya’ jelas bertujuan untuk mempengaruhi keputusan mahkamah,” jelas SAMM dalam kenyataan akhbarnya.

SAMM menambah tindakan sebegini bukan sahaja menyelar kredibiliti institusi mahkamah tetapi juga memberi kesan kepada warga Felda secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, SAMM menyeru warga Felda untuk bangkit daripada terus terlena dengan tipu daya Umno/BN.

“Pastikan maklumat ini sampai ke seluruh peneroka berjumlah 112,635 ribu orang, serta generasi kedua dan ketiga yang sudah boleh membuang undi.

“Pastikan generasi peneroka Felda celik dengan maklumat betapa mereka ditipu hidup dan mati,” pesan SAMM lagi.

Felda kini berdepan ratusan saman daripada peneroka berkenaan kes dakwaan penipuan kadar perahan minyak (OER) dan kemenangan peneroka Felda Kemahang 3 di Kelantan menjadi ‘precedent case’ bukan sahaja kepada pihak Felda tetapi juga Kerajaan Umno/BN.

Categories
NASIONAL

SAMM gesa MP Johor Bentang Kes Pelik KPN

SHAH ALAM, 12 MAC : Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM) menggesa Ahli Parlimen terutamanya kawasan parlimen Johor bagi membentangkan dan membahaskan satu usul berhubung kes pelik bekas Ketua Polis Negara, AG dan ketua kongsi gelap.

Dalam satu laporan media Malaysiakini hari ini mendakwa Peguam Negara telah campur tangan dengan menggunakan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk mengakses fail sulit yang digelar ‘Cicero’ dalam kes itu.

Penyelaras SAMM negeri Johor, Ahmad Anwar Asyraf berkata usul itu perlu dibahas agar tindakan proaktif dan siasatan terperinci dapat dilakukan untuk mengkaji kesahihan dakwaan ini dan seterusnya melaksana tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang sekiranya dakwaan ini terbukti benar dan sahih.

Katanya, SAMM menyifatkan pendedahan dakwaan ini merupakan satu perkara yang mengejutkan dan perlu diberi perhatian serius dan segera oleh pihak pemerintah.

” Satu siasatan menyeluruh perlu diadakan bagi menyiasat dakwaan yang ditimbulkan ini ekoran daripada ia melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang negara untuk melindungi kerja-kerja jenayah sindiket perjudian dan pengubahan wang haram di Negeri Johor.

” Kebelakangan ini, Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Negara sememangnya dalam ‘masalah yang besar’ dan dakwaan yang timbul ini berpotensi untuk menjerumuskan pandangan umum dan antarabangsa terhadap amalan penguatkuasaan perundangan negara ke tahap yang lebih buruk lagi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, Negeri Johor dewasa ini sibuk dengan pelan pembangunan Iskandar Johor, skandal ini boleh menghakis keyakinan pelabur antarabangsa terhadap mutu keselamatan di negeri ini dan seterusnya meranapkan imej Negeri Johor sebagai wilayah pembangunan ekonomi Selatan Malaysia.                                                                                                                                                              

” SAMM turut menzahirkan ingatan kepada pihak Kerajaan Pemerintah agar menyiasat dakwaan ini dengan penuh ketelusan. Jangan ada niat untuk sekadar menutup kepincangan dan kejelikan yang wujud dalam agensi penguatkuasaan undang-undang Negara. Siapa yang bersalah wajib diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Jelasnya lagi, skandal itu tidak boleh dipandang mudah kerana rakyat sudah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga keselamatan rakyat bukannya berkompromi dan bersekongkol dengan aktiviti-akviti yang melanggar norma perundangan.

” Amanah rakyat terhadap pemerintah negara ini telah dipersiakan sekiranya kejahatan tersembunyi ini terus didiamkan demi mengekalkan kuasa.

” Kita merasakan perlunya pemerintah dan agensi-agensi yang terlibat untuk tampil membersihkan diri dari terpalit dengan skandal-skandal seperti ini.

” Kami, sebagai anak muda merasa amat belas melihat kesungguhan anggota-anggota Agensi Kerajaan yang selama ini telah mengerah keringat seikhlas hati demi menabur bakti kepada Negara tetapi terpaksa menanggung malu ekoran dari sikap beberapa ‘Orang Besar’ dalam agensi-agensi ini yang mudah ‘Gelap Mata’,” katanya.

Beliau menambah, sebagai pewaris masa depan negara, pihaknya merasa amat jelik dengan perangai sebegini dan menggesa agar ia dibanteras dengan segera.

” Cukuplah kerosakan dan kehinaan yang telah anda campakkan kepada sistem pemerintahan negara tercinta selama ini dengan isu-isu yang tidak terjawab,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hubungan Dagang Malaysia-Israel Guna 4 Pelabuhan Israel

SHAH ALAM, 20 FEB: Malaysia dan Israel menjalin hubungan dagang menerusi empat pelabuhan di negara zionis tersebut melalui Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas, Johor.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Baharin atau lebih dikenali dengan Chegu Bad berkata menerusi carian laman web www.linescape.com pihaknya telah menemukan beberapa transaksi.

Menurut Chegu Bad hubungan dagang tersebut didakwa melibatkan syarikat perkapalan ZIM (yang punya kepentingan Israel) dengan menggunakan pelabuhan Haifa (Israel) terus ke Pelabuhan Klang.

“Terdapat juga laluan perdagangan lain antara Israel-Malaysia termasuklah melibatkan beberapa pelabuhan utama kedua-dua buah negara yang kononnya tidak mempunyai hubungan diplomatik.

“Antaranya ialah Haifa(Israel)-Pelabuhan Klang, Ashdod(Israel)-Pelabuhan Klang dan Ashdod(Israel)-Tanjung Pelepas dan Ashdod(Israel)- WestPort Klang.” kata beliau.

Menurut beliau sikap hipokrit kerajaan Malaysia membuktikan helah politik untuk menipu rakyat negara ini sedangkan hakikatnya Malaysia- Israel merupakan rakan dagang yang baik.

“Dr. Mahathir minggu lepas konon mengatakan betapa data permedagangan Israel – Malaysia dibekalkan oleh Israel kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah sebuah tuduhan terdesak serta memperkukuhkan lagi amalan fitnah yang diamalkan Mahathir selama ini.

“Sedangkan data kemasukan perdagangan Israel melalui kapal ZIM ini hanya memerlukan carian di ruang awam maka terdedahlah hipokrasi regim Umno.” jelas beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Sehubungan itu SAMM meminta rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang prihatin dengan nasib Palestin menuntut jawapan dari kerajaan mengenai pendedahan terbaru tersebut.

Pada 8 Febuari 2012 lalu, SAMM telah membuat pendedahan awal mengenai wujudnya dagangan Sawit terus oleh syarikat tempatan dan penghantaran secara terus dilakukan dari Johor ke Israel.

Namun tiada jawapan rasmi dari kerajaan. Pada hari yang sama SAMM telah dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa serta salinan ke Perdana Menteri dan pihak media untuk memberikan respon mengenai perkara ini.

Sementara dalam ‘Index Mundi’ dan IMF menunjukkan bagaimana penjualan minyak sawit Malaysia dalam matawang New Israeli Syeqel dan harga minyak sawit Malaysia telah di senaraikan dalam futures trading (harga masa depan) sehingga Januari 2012.

Melalui index tersebut mencatatkan Syarikat Sime Darby dari Malaysia terlibat dalam urusan penjualan minyak sawit tersebut.

Sime Darby adalah syarikat milik kerajaan (GLC) hasil penggabungan Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby yang menimbulkan kontroversi pada awal tahun 2000 lalu.

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Gagal Fitnah Liwat, Dr M Guna Isu Israel Serang Anwar

SHAH ALAM, 16 FEB : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad cuba mengalihkan perhatian umum terhadap pelbagai masalah dihadapi Umno-BN ketika ini dengan membuat kenyataan Israel membantu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membekalkan butiran perdagangan antara Malaysia dan Israel.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkata, memang wujud hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Israel tetapi cuba disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Menurutnya, isu hubungan dagangan Malaysia-Israel telah lama dipersoal malah pada 7 November 2011 lalu Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa telah membantu dengan mengemukakan isu perdagangan Malaysia – Israel di Parlimen.

Malah menurut Chegu Bad sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sememangnya telah sedia maklum berhubung hal tersebut.

“Semua sedia maklum fitnah Dr Mahathir terhadap Anwar sebelum ini telah gagal maka sekarang dicuba lagi untuk menfitnah dengan menggunakan isu Israel pula,” kata beliau

Menurut beliau yang juga Ketua Cabang Rembau, Parlimen Malaysia telah diperakui sememang negara mempunyai hubungan dagang dengan Israel yang melibatkan syarikat Multy Nasional Corperations (MNC).

“Umum perlu sedar Malaysia ialah negara yang bukan sahaja mengiktiraf Israel tetapi membantu ekonomi Israel dalam membekalkan minyak sawit. Berdasarkan rekod perdagangan dengan Israel, ia telah wujud sejak 1967 lagi malah kemungkinan secara tidak lansung lebih awal dari itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badrul Hisham berkata, sebagai orang lama dan licik politik, bekas Perdana Menteri memang bijak bermain politik persepsi dan kenyataan itu jelas bagi membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang terkapai-kapai dengan pelbagai pendedahan bagaimana Malaysia sebenarnya hipokrit dengan sikapnya dalam isu Palestin – Israel.

Jelasnya, ketika era kebangkitan kesedaran untuk menyokong perjuangan Palestin dan anti apartheid di Afrika Selatan dalam negara, Umno-BN terpaksa memperkenalkan akta larang perdagangan yang melarang perdagangan kerana takut populariti mereka merundum.

“Namun akta larangan perdagangan ini telah ditarik balik serentak dengan jatuhnya regim apartheid di Afrika pada tahun 1994. Kabinet di bawah Dr Mahathir lah yang membuka ruang dagang dengan Israel semula dengan mengambil kesempatan pada Mei 1994 apabila Parlimen meluluskan Akta Larangan Import (Pindaan bil 7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel dan Afrika Selatan.

“Ia boleh menggugurkan larangan kepada Afrika Selatan sahaja tetapi begitulah liciknya politik Dr Mahathir tanpa sedar ia mengambil kesempatan membuka ruang berdagang dengan Israel secara terbuka,” katanya.

Menurutnya, berdasarlan laporan Kesatuan Eropah, Malaysia merupakan rakan dagang ke 15 yang bersungguh membantu ekonomi Israel.

Maka dengan itu, katanya, umum harus menolak kenyataan Dr Mahathir itu dan SAMM sebagai gerakan muda yang sering membuat pendedahan menegaskan tuduhan Dr Mahathir itu adalah salah dan fitnah semata-mata.

“Umum harus sedar perang anti Israel dan sokongan terhadap Palestin dalam negara ini hanya untuk mengaburi sokongan dalam negara semata-mata.

“Kita tidak harus lupa ucapan Dr Mahathir yang begitu bersifat perkauman dan anti Yahudi, anti Barat dalam Persidangan Umno yang telah mengundang rasa kurang senang Barat khususnya Amerika Syarikat.

“Mungkin ketika berucap itu Dr Mahathir lupa bahawa dalam dunia moden ini ucapanya boleh diikuti di seluruh dunia. Panik dengan itu, maka Dr Mahathir telah menggunakan Heritage Foundation melalui Jack Abramoff dan telah membazirkan sehingga hampir RM40 juta wang negara untuk membolehkan pertemuan ‘meminta maaf’ dengan Presiden Amerika Syarikat dapat dilansungkan,” ujarnya.

Beliau berkata, SAMM berharap umum khususnya generasi muda sedar akan perkara ini dan tidak terpengaruh dengan amalan fitnah Dr Mahathir yang sering menggunakan taktik sama bagi mengalihkan perhatian umum.

 

Categories
NASIONAL

Rosmah Mansor Dicabar Saman Akhbar Australia

SHAH ALAM, 26 JAN : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencabar isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyaman akhbar Australia, The Sydney Morning Herald yang mendakwa beliau berbelanja sebanyak RM325 ribu sewaktu percutian ke Sydney baru-baru ini, tegas Penyelaras Pusat SAMM, Zulkifli Ibrahim.

Menurut beliau, di atas segala pemborosan yang tidak berkesudahan seorang isteri Perdana Menteri seolah-oleh diselindung dan dihalalkan, rakyat dirayu untuk menolak semua calon BN dalam PRU-13.

“Ini kerana sikap boros, angkuh dan tidak bertanggungjawab mereka, rakyat perlu memberi pengajaran total buat BN selain memberi laluan kepada sebuah kerajaan baru untuk menguruskan kerajaan pusat dengan lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Pereka fesyen Sydney, Carl Kapp turut mengesahkan bahawa Rosmah telah membeli pakaian di butiknya tetapi enggan mendedahkan jumlah pembelian.

“Ia segaligus menyokong dakwaan oleh wartawan Andrew Hornery yang mendakwa Rosmah belanja lebih RM300,000 masa cuti di Sydney.

“Pendedahan tersebut telah dinafikan segera oleh Rosmah dengan alasan yang cukup lemah, sedangkan pendedahan itu perlu dinafikan beserta dengan fakta dan bukti bahawa dakwaan akhbar tersebut memfitnah beliau,” kata Zulkifli.

Selain itu, kata Zulkifli, Rosmah juga perlu menjawab mengenai isu kemasukan cincin berharga RM24 juta yang didedahkan pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin sebelum ini.

“Antara persoalan yang masih tidak terjawab sehingga hari ini ialah, mengapa wujud nama Rosmah yang tertera dalam rekod kemasukan cincin RM24juta di dalam borang Kastam Di Raja Malaysia,” soal beliau.

“Namun jawapan yang diperolehi ketika itu amat mengecewakan apabila rakyat hanya disajikan dengan jawapan penafian oleh Rosmah, seolah-olah melepaskan batok di tangga, cukup lemah dan dangkal,” katanya.

Categories
NASIONAL

SAMM Kecam MB Kedah Guna AUKU

SHAH ALAM, 23 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM) segmentasi mahasiswa mengecam tindakan pimpinan PAS Kedah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang menggunakan akta zalim, AUKU ke atas lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Penyelaras SAMM Segmentasi Mahasiswa, Wan Farel dalam kenyataan medianya berkata tindakan Azizan tersebut bercanggah dengan janji Pakatan Rakyat yang termaktub dalam Buku Jingga.

“Selaku MB Kedah beliau harus sedar bahawa tindakkanya menggunakan AUKU ini telah menyebabkan janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan AUKU di dalam Buku Jingga dianggap retorik dikalangan mahasiswa.

“Pakatan Rakyat secara jelas dalam Buku Jingga ingin memansuhkan terus AUKU tetapi tindakan MB Kedah Azizan Razak secara jelas telah bertindak menggunakan AUKU terhadap mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) ternyata membelakangkan akur janji pakatan Rakyat tersebut.

“Walaupun memerima banyak kecaman dari pelbagai pihak termasuk dari pimpinan PR sendiri dan gerakan-gerakan mahasiswa Azizan masih bersikap ofensif dalam menghadapi serangan-serangan tersebut Azizan telah menunjukkan sikap bebal dan sombong apabila berhadapan dengan mahasiswa.” jelas beliau.

Menurutnya, golongan mahasiswa adalah kumpulan yang amat sensitif dengan isu-isu semasa yang melibatkan perjuangan golongan muda di masa depan.

“Suara mahasiswa jangan dipandang sebelah mata, peranan mereka harus diiktiraf suara mereka hendaklah di dengar oleh pihak pemerintah.

“SAMM berangapan mahasiswa adalah golongan yang tiada kepentingan politik mereka berjuang atas kebenaran dan kebebasan.” tegas beliau.

Katanya, jika Azizan terus dengan sikap egonya untuk tidak menyelesaikan masalah KUIN ini secara berhemah jangan terkejut sekiranya kuasa mahasiswa akan digunakan untuk menyingkirkan beliau nanti.

Sebelum ini Ketua, Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi dalam kenyataan medianya mempersoalkan tindakan Azizan tersebut.

Kenyataan Nasaruddin tersebut ekoran kenyataan Azizan pada 19 Januari lalu dilapor berkata AUKU tetap dikenakan terhadap mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan.

Kata Azizan, penggantungan lima mahasiswa KUIN tahun lalu adalah mengikut peruntukan bawah kesalahan AUKU serta pentadbiran berbuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.