Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sampah pukal masih banyak, pembersihan pascabanjir fasa dua dilanjut

SHAH ALAM, 25 FEB: Operasi pembersihan pascabanjir fasa dua di Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang sepatutnya berakhir hujung Mac dilanjutkan ke satu tempoh susulan beberapa kekangan yang timbul.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata pekerja sepatutnya hanya memfokuskan pembersihan saliran, longkang dan parit namun terpaksa mengutip sampah pukal ditinggalkan penduduk.

“Sampah pukal seperti perabot sepatutnya dikeluarkan pada fasa pertama namun penduduk masih membuang barang-barang ini hingga menjejaskan fokus kita yang menyebabkan sasaran masa berubah.

“Ada juga pemilik rumah melakukan ubah suai pada longkang dan saluran air. Jadi masa untuk proses pembersihan itu lama,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau turut meminta kerjasama penduduk untuk mengambil inisiatif menyewa tong roro daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mahu membuang sampah pukal.

“Minggu ini kita sekali lagi adakan gotong-royong dan sediakan tong roro. Jadi penduduk yang masih ada sampah pukal diminta memanfaatkan peluang ini,” katanya.

Sejak 20 Disember lalu, KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas bah secara berperingkat.

Sepanjang pembersihan fasa pertama yang selesai pada 7 Januari, sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dikutip dengan kerjasama PBT serta agensi lain.

Fasa kedua bermula 8 Januari memberi tumpuan kepada operasi pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa bah diberi tempoh hingga Ahad keluarkan sampah pukal

SHAH ALAM, 14 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) memberi tempoh sehingga Ahad untuk mangsa banjir mengeluarkan baki sampah pukal dari kediaman masing-masing.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata kerjasama orang ramai diperlukan bagi memudahkan urusan kutipan setelah pembersihan fasa kedua bermula 8 Januari lalu.

“Kita dapati masih ramai tidak keluarkan sampah pukal seperti meja dan kerusi sedangkan barangan ini perlu dibuang kerana pembersihan sudah masuk fasa dua pada 8 Januari lalu.

“Justeru, kita minta kerjasama orang ramai supaya operasi pembersihan pascabanjir lancar dan kita dapat tumpukan pembersihan longkang serta parit,” katanya kepada Selangorkini.

Anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.

Categories
EXCO SELANGOR

Proses pindah sampah bah ke tapak pelupusan selesai minggu depan

CHERAS, 9 JAN: Proses pemindahan sampah pukal dari stesen pemindahan sementara ke tapak pelupusan di Jeram dijangka selesai minggu depan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata hanya dua stesen masih beroperasi iaitu di Seksyen 21, Shah Alam dan Bukit Puchong manakala yang lain ditutup.

“Kita yakin dalam seminggu dapat bersihkan sampah di stesen pemindahan,” katanya ditemui pada Program BAIK di Kampung Baru Batu 11 di sini hari ini.

Pada 26 Disember tahun lalu, Sze Han memaklumkan sebanyak 11 stesen pemindahan sampah pukal di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dibuka bagi mempercepat kerja pembersihan pascabanjir.

PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Semua stesen digunakan secara optimum dengan lebih 50 mesin jentolak dan pengorek kaut beroperasi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

78,000 tan sampah bah dikutip, tumpu bersihkan longkang

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 78,000 tan sampah pukal dibersihkan di kawasan terjejas banjir di seluruh negeri sejak air mulai surut 20 Disember lalu.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata sebanyak 48,000 tan dikutip pihaknya manakala baki oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Ramli Mohd Tahir menjelaskan tumpuan seterusnya melibatkan pembersihan longkang di kawasan terkesan setelah operasi kutipan selesai sepenuhnya malam tadi.

“Justeru, saya mohon penduduk yang masih ada sampah banjir yang perlu dibuang boleh keluarkan dalam tempoh sehari dua ini,” katanya dalam program Bual Bicara disiarkan SelangorTV malam tadi.

Mengulas cabaran sepanjang operasi itu, beliau berkata pihaknya berdepan kekurangan aset apabila hampir 14 peratus lori Roll on Roll off (RoRo) dan 10 peratus kompaktor ditenggelami banjir.

Ramli memaklumkan hampir 454 lori RoRO masuk ke kawasan terjejas setiap hari bagi mengutip sampah dan pihaknya berusaha membantu memudahkan individu terkesan bencana.

“KDEBWM memohon maaf kepada penduduk sekiranya lambat dalam menghulurkan bantuan,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kutipan sampah di kawasan terjejas banjir selesai sepenuhnya

SHAH ALAM, 8 JAN: Operasi pembersihan sampah fasa pertama di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan banjir bulan lalu selesai 100 peratus setakat 8 malam tadi.

Dalam laporan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management, sebanyak 48,589.95 tan sampah pukal dibersihkan antara 20 Disember 2021 hingga semalam.

“Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan membantu sama ada secara langsung atau sebagainya serta sokongan dan kerjasama erat dari Kerajaan Negeri,” kata syarikat itu di Twitter.

Kebanyakan sampah dibersihkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam  berjumlah 20,577.50 tan.

Jumlah sampah yang banyak dibersihkan antaranya seperti berikut:
– Majlis Bandaraya Subang Jaya – 8,989 tan
– Majlis Perbandaran Klang – 7,933 tan
– Majlis Perbandaran Kajang – 5,820 tan

Maklumat lengkap bagi semua PBT seperti dalam infografik yang disediakan.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA jangka kutipan sampah pukal pascabanjir selesai dua minggu lagi

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan proses pembersihan sampah pukal di kawasan pascabanjir yang sedang dilaksanakan secara maksimum ketika ini, akan selesai dalam tempoh dua minggu.

Datuk Bandar MBSA Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata MBSA kini giat melaksanakan operasi pembersihan di seluruh kawasan Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini yang terjejas teruk susulan banjir sejak 18 Disember lepas.

Namun katanya, lorong dan jalan kecil serta jumlah kenderaan banyak diletakkan di tepi jalan di kawasan Padang Jawa dan Taman Sri Muda antara sebab yang menyukarkan proses pembersihan dan juga pergerakan lori sampah masuk ke kawasan tersebut.

“Justeru, kita minta penduduk untuk bersabar kerana MBSA kini ‘full force’ dalam operasi pembersihan sampah pukal pascabanjir ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MBSA hari ini.

Zamani Ahmad berkata setakat ini, sebanyak 824 tan metrik sampah telah dikutip di sekitar Shah Alam dan menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat, dan MBSA telah membuka satu kawasan transit sampah di Seksyen 21 susulan banjir yang melanda.

“Sebelum ini, sampah yang dikutip akan dihantar ke tempat pelupusan di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam bagi satu perjalanan tidak termasuk masa menunggu, jadi ekoran banjir dan sampah yang banyak, ia dikumpulkan dahulu di pusat transit berkenaan,” katanya.

Mengulas berhubung status kereta tersadai di sekitar Shah Alam, Zamani Ahmad berkata pihaknya akan mengalihkan kereta ke bahu jalan untuk memastikan kelancaran trafik dan memudahkan kerja-kerja pembersihan serta pergerakan jentera sampah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan diperlukan bersih sampah pukal di lorong sempit

SHAH ALAM, 23 DIS: Khidmat sukarelawan diperlukan bagi mempercepat operasi pembersihan sampah pukal di kawasan terjejas banjir di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga dapat membantu mengangkut sampah dari rumah penduduk yang tidak dapat diakses lori.

“Sekarang bukan masalah di luar kerana sampah sudah dibersihkan semalam, namun masih berlonggok di lorong, jadi selagi tidak dikeluarkan, selagi itu pembersihan tidak selesai.

“Saya harap selain bantuan makanan dan selamatkan mangsa, sukarelawan juga boleh bantu keluarkan barang daripada rumah di lorong kecil untuk diuruskan KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan KDEBWM pascabanjir di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 16 di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan sebanyak 600 tan metrik sampah pukal diangkut dari kawasan itu sejak Isnin dan menjangka proses pembersihan selesai antara satu hingga dua minggu.

Categories
PBT SELANGOR

MPS sedia enam tong buang perabot terpakai, e-sisa

SHAH ALAM, 4 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan enam tong Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal e-sisa dan perabot lama.

Pengarah jabatan korporatnya berkata program ‘Spring Cleaning’ sempena Tahun Baharu Cina meliputi enam lokasi bermula esok hingga 7 Februari.

Mohamad Zin Masoad memaklumkan lokasi terlibat ialah Kampung Desa Aman, Taman Selayang Jaya, Kampung Baru Kundang, Kampung Sungai Terentang, Kampung Lee kim Sai dan Desa Jaya.

“MPS berharap penduduk mengambil peluang ini bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan sekali gus memastikan kawasan sekitar bersih dan selesa,” katanya dalam kenyataan.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan di talian
03-61266024 atau layari www.mps.gov.my.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: KDEBWM hanya urus sampah domestik PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 4 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) hanya bertanggungjawab mengurus kutipan sisa pepejal domestik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail menjelaskan sampah pukal pula dikendalikan badan pengurusan bersama PPR terbabit.

“Kita harus betulkan perkara ini kerana ramai keliru selepas KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) maklumkan kutip sampah pukal diserahkan kepada KDEBWM.

“Kita risau orang mempersoal kenapa baru sekarang (KDEBWM) mahu masuk sedangkan mereka (masuk) untuk kutip sampah domestik,” katanya selepas meninjau masalah penduduk di sini semalam.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan keresahan penduduk PPR terbabit yang terpaksa hidup dalam sampah dan menghidu bau busuk ekoran kegagalan syarikat kontraktor mengurus sisa pukal.

Lebih mengecewakan apabila khidmat syarikat tersebut yang tamat pada 31 Disember lalu gagal menyelenggara sistem perparitan dan membaiki infrastruktur bangunan.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar kutip sampah pukal percuma sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program Spring Cleaning sempena Tahun Baharu Cina bermula semalam hingga 14 Februari ini.

Pihak berkuasa tempatan berkata penduduk boleh membuang sampah pukal secara percuma ke dalam tong RORO yang ditempatkan mengikut lokasi dan tarikh ditetapkan.

“Antara barang diterima adalah sofa, kerusi, meja, almari, katil, tilam serta barang diperbuat daripada besi dan kaca seperti basikal, buaian bayi, akuarium dan lampu hiasan.

“Hanya barangan mengikut spesifikasi dibenarkan dibuang ke dalam tong manakala bahan berkaca perlu dibungkus dengan baik supaya tidak mudah pecah,” katanya menerusi Facebook.

MBSA berkata tempoh penempatan tong RORO selama tujuh hari di setiap lokasi ditetapkan dan akan ditarik setelah ia penuh.

Untuk maklumat lokasi dan tarikh penempatan tong RORO sila kunjungi Facebook rasmi MBSA.