Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM: Pembersihan fasa dua pascabah siap 70 peratus

SHAH ALAM, 4 FEB: Operasi pembersihan fasa dua di kawasan terjejas banjir seluruh Selangor mencecah 70 peratus setakat ini, maklum KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir menjangka proses pembersihan longkang dan parit di semua lokasi terlibat selesai sepenuhnya hujung Mac ini.

“Kerja pembersihan mengambil masa agak lama kerana kita perlu menguruskan sampah pukal yang dibuang oleh penduduk. Insya-Allah hujung Mac ini selesai.

“Diharap penduduk bersabar dan memberi kerjasama dengan baik,” katanya ketika dihubungi.

Sejak 20 Disember lalu, KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas bah secara berperingkat.

Sepanjang proses pembersihan fasa pertama yang selesai pada 7 Januari lalu, sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Pada fasa kedua mulai 8 Januari pula, syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor kutip lebih 2,500kg sampah, mahu pulihara alam

SHAH ALAM, 30 JAN: Sukarelawan Team Selangor mengutip 2,719 kilogram (kg) sampah pelbagai jenis di 14 kawasan tumpuan tahun lalu.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata sampah meliputi plastik (1,122 kg), kertas (1,320 kg), kaca (122 kg) dan aluminium (155 kg) dikutip menerusi program pemuliharaan alam sekitar.

“Aktiviti mengutip sampah itu dijalankan bermula 18 September hingga 4 Disember. Sepanjang tempoh itu kami juga kutip 188 pelitup muka yang di buang merata-rata.

“Lokasi melibatkan beberapa kawasan antaranya Semenyih, Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, Jeram, Kuang dan Sungai Tua dengan kekuatan 1,112 sukarelawan,” katanya.

Pada 3 Oktober tahun lalu pasukan sukarelawan itu mula mengadakan program gotong-royong kutipan sampab bermula di Pantai Remis, Kuala Selangor sebagai langkah menyedarkan masyarakat kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pascabanjir: Sampah pukal masih banyak, kutip lebih 3,000 tan dalam 10 hari

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir fasa kedua yang dijadual selesai Mac mungkin berlarutan hingga lima bulan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata kelewatan itu kerana orang ramai masih lagi membuang sampah banjir walaupun tempoh yang diberikan sudah berakhir pada 16 Januari lalu.

“Dalam tempoh sepuluh hari ini masih ada yang keluarkan sampah seperti katil, tilam, perabot yang diletak di tepi jalan, tetapi tidak mengapa ia sudah menjadi tanggungjawab KDEBWM.

“Kita tidak boleh terus begini kerana kita sudah masuk ke fasa kedua untuk kita lakukan kerja pembersihan longkang, belakang rumah tetapi bila berlaku begini kita perlu selesaikan juga sampah pukal ini,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata dalam tempoh 16 Januari hingga hari ini, KDEBWM mengutip lebih 3,000 tan sampah banjir.

“Kita takut sebenarnya, macam semalam hujan lebat kita tidak mahu dijadikan sebab punca saliran tidak mengalir.

“Kita kena fokus kepada pembersihan fasa kedua. Sebab masih ada lebihan tanah, selut yang tinggal di dalam longkang tetapi bila ada sampah pukal yang masih dibuang ia melambatkan proses fasa kedua,” katanya.

Bermula 8 Januari KDEBWM melaksanakan pembersihan fasa dua dengan memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat.

Usaha membasmi kuman mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM) sebagai langkah mengelak wujud penyakit selepas banjir melanda.

KDEBWM merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

85,134 tan sisa banjir enam negeri dikutip, pembersihan di Lembah Klang capai 98 peratus

MUAR, 16 JAN: Sebanyak 85,134 tan sisa banjir telah dibersihkan di enam negeri yang terjejas bencana itu, setakat semalam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata kerja-kerja pembersihan membabitkan negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Selangor telah mencapai 98 peratus, manakala Johor mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata untuk semalam sahaja, sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan melibatkan 112 jentera dan 354 pekerja di bawah seliaan SWCorp (SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan E-Idaman).

“Sebanyak 48,589 tan sisa banjir dibersihkan di Selangor; 34,100 tan di Pahang; 1,400 tan di Negeri Sembilan; 630 tan di Kuala Lumpur dan 139 tan di Melaka.

“Manakala di Johor, sebanyak 275.63 tan sisa banjir dibersihkan sehingga semalam,” kata beliau kepada pemberita ketika Operasi Mega Pembersihan Pascabanjir di Johor di Kampung Baru Lenga, dekat sini, hari ini.

Menurut Ismail lagi ketika pascabanjir, kementeriannya telah membelanjakan sebanyak RM117.5 juta untuk pelbagai program pemulihan.

Antaranya pemulihan fasiliti awam melibatkan kos sebanyak RM50 juta dan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah rosak dan bina rumah baharu.

Selain itu, bagi kerja-kerja pembersihan sisa banjir membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan dan RM5 juta lagi adalah untuk Bantuan Bakul Bencana.

“Pihak kementerian juga akan mengumpul dan mengemas kini data, memandangkan ada beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dan menjangkakan akan menambah jumlah peruntukan untuk program pemulihan pascabanjir ini.

“Proses mengumpul dan mendapatkan data terkini ini juga akan melibatkan pelbagai pihak seperti pejabat daerah, PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pembersihan fasa dua dilaksana, tumpu usaha basmi kuman di kawasan bekas banjir

SHAH ALAM, 15 JAN:  Pembersihan fasa dua pascabanjir memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat, kata pengarah urusan  KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata usaha membasmi kuman mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM) sebagai langkah mengelak wujud penyakit selepas banjir melanda.

“Pada minggu lalu Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) sudah melihat kerja penyemburan itu di Kampung  Padang Jawa, jadi mulai Isnin ini kita akan perluas lagi di kawasan lain.

“Kita mahu ambil langkah pencegahan yang lebih ketat dengan membuat semburan di kawasan terjejas banjir,” katanya ketika ditemui di stesen pemindahan sementara sisa pepejal, Seksyen 21 di sini, hari ini.

Ramli berkata pihaknya menyasarkan tempoh pembersihan fasa kedua di kawasan terjejas banjir negeri selesai dalam tiga bulan.

Pada 8 Januari, Kerajaan Negeri memperkenal serta memperluaskan kaedah EM bagi mengelak penyakit pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya bukan hanya menumpukan pembersihan secara fizikal tetapi merawat kawasan longgokan sampah dan bekas longgokan di 11 stesen pemindahan sementara.

Amirudin memaklumkan sampah di stesen pemindahan sementara sisa pepejal yang dilonggok lebih 10 hari mungkin meninggalkan bakteria yang boleh membawa penyakit.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Proses bawa sisa bah ke tapak pelupusan selesai, stesen pemindahan ditutup

SHAH ALAM, 14 JAN: Proses pemindahan sampah pukal pascabanjir dari stesen pemindahan sementara (TS) ke tapak pelupusan selesai sepenuhnya hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata TS di Seksyen 21 di sini menjadi stesen terakhir ditutup selepas 10 lagi ditutup sebelum ini mana tiga TS di Sepang menjadi yang terawal ditutup pada 4 Januari lalu.

“Tempat ini beroperasi sejak 21 Disember lalu sebagai pusat transit sementara bagi kawasan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum di bawa keluar ke Tanjung 12 dan Jeram.

“Pada waktu kemuncak pernah ia mencecah sehingga 12,000 tan sampah pascabanjir pada satu-satu masa,” kata Ramli Mohd Tahir, hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir bergambar bersama kakitanganya selepas meninjau lori Roll On Roll Off (RoRo) terakhir mengangkut sampah pascabanjir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam pada 14 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas melihat lori terakhir membawa sampah pascabanjir keluar dari stesen itu, petang tadi.

Katanya sepanjang tempoh 25 hari TS itu beroperasi sebanyak enam jengkaut, 40 lori 10 tan digunakan bagi memastikan sampah dibawa keluar dalam kadar segera.

Terdahulu, KDEBWM memberi tempoh sehingga Ahad untuk mangsa banjir mengeluarkan baki sampah pukal dari kediaman masing-masing.

Ramli berkata kerjasama orang ramai diperlukan bagi memudahkan urusan kutipan setelah pembersihan fasa kedua bermula 8 Januari lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

77,465 tan sisa banjir diurus di lima negeri, lebih separuh di Selangor

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 77,465 tan sisa banjir diurus SWCorp di lima negeri iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor setakat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata daripada jumlah itu sebahagian besarnya adalah di negeri ini iaitu 48,100 tan yang diurus secara bersama KDEB Waste Management.

“Sebanyak RM12.5 juta telah disediakan KPKT bagi membolehkan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri terjejas. Ini termasuk RM5.03 juta bagi Selangor sahaja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin (tengah) membuat tinjauan bagi melihat keadaan sampah sarap lonkang tersumbat ketika Program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hasil kerjasama SWCorp dan KDEB hampir 50,000 tan sisa sampah dikeluarkan dengan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sahaja sebanyak 20,500 tan sisa banjir diuruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian program mega pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini, hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada program itu seramai 1,400 sukarelawan dan 600 pekerja pembersihan terlibat untuk sama-sama membersihkan kawasan terjejas khususnya longkang dan belakang lorong yang sukar dimasuki lori.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pascabanjir: Operasi bersih sampah jangka selesai hujung Januari

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri menjangkakan operasi pembersihan pasca banjir di Selangor selesai sepenuhnya hujung Januari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini operasi pembersihan berada pada fasa pertama dan dijangka beralih ke fasa kedua pada 14 Januari depan.

“Kita sasarkan dua minggu pembersihan untuk fasa pertama dan berjaya dicapai walaupun mungkin terlebih waktu, tetapi secara asasnya berjaya diselesaikan.

“Semua sampah di depan rumah dan taman dikeluarkan sepenuhnya, cuma dari semasa ke semasa ada beberapa hal timbul antaranya mangsa pulang lewat ke rumah dan membersihkan, jadi ada tinggalan sampah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata fasa kedua operasi pembersihan memfokuskan kutipan sisa banjir dan membersihkan longkang yang diuruskan KDEB Waste Management.

“Fasa kedua menjurus kepada tinggalan-tinggalan sebab ada sebahagian yang menyewa lori daripada syarikat swasta mengambil jalan pintas membuangnya di tepi jalan. Kita dapati banyak kes berlaku dan itu proses fasa kedua,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

77,000 tan sampah pukal dikutip di kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 JAN: Sebanyak 77,000 tan metrik sampah pukal dikutip susulan banjir melanda negeri ini pada Disember lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 47,000 tan metrik dikutip syarikat pengurusan sisa pepejal KDEB Waste Management manakala 30,000 tan metrik pula oleh pihak berkuasa tempatan dan beberapa agensi lain.

“Terima kasih kepada semua pihak khususnya semua yang terlibat dalam program pembersihan pascabanjir,” katanya pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

KDEBWM membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat yang dijangka selesai sekitar Januari.

Bermula 27 Disember, operasi pembersihan dilanjut sehingga malam untuk mempercepatkan kutipan sampah pukal pascabanjir terutama di kawasan kritikal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembersihan sampah banjir di Shah Alam selesai, kutip 20,577 tan

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerja pembersihan sampah pukal banjir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk di Taman Sri Muda yang paling terjejas teruk selesai hari ini.

Dalam laporan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management, 48,136 tan sampah sisa banjir dibersihkan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terjejas banjir sejak air mulai surut 20 Disember lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

41,000 tan sampah dibersih, paling banyak di kawasan Shah Alam

SHAH ALAM, 4 JAN: Hampir 41,000 tan sampah pukal dibersihkan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terjejas banjir sejak air mulai surut 20 Disember lalu.

Dalam laporan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management, kebanyakan sampah dibersihkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam dengan jumlah 16,503 tan.

Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun operasi pembersihan di kawasan terbabit belum siap sepenuhnya setakat 3 Januari, hanya mencapai 80 peratus.

Jumlah sampah yang banyak dibersihkan antaranya seperti berikut:
– Majlis Bandaraya Subang Jaya – 7,411 tan (siap 82 peratus)
– Majlis Perbandaran Klang – 6,060 tan (85 peratus)
– Majlis Perbandaran Kajang – 5,820 tan (100 peratus)

Maklumat bagi empat lagi PBT seperti dalam infografik yang disediakan di Facebook KDEB Waste Management.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ selesai bersihkan sisa banjir di Kampung Baru Hicom

SHAH ALAM, 3 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membersihkan sampah pascabanjir di Jalan Bunga Tanjung 4a dan Jalan Bunga Tanjung 1, Kampung Baru Hicom di sini hari ini.

Laporan dikongsikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menunjukkan seramai 19 orang terlibat iaitu enam anggota Skuad Pantas, sukarelawan (tiga), pegawai (dua) dan baki ialah pemandu.

Pembersihan mulai jam 8 pagi tadi menggunakan beberapa logistik antaranya dua pickup, van dan van pantas, lori, lori Roll-on-Roll-off (Roro) tiga dan lima tan, pengorek kaut serta pancutan air.

Kesemua tugasan terbabit tamat jam 2.50 petang dengan lima perjalanan membuang sisa banjir.

Kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir giat dilakukan sejak 20 Disember melibatkan kerjasama banyak pihak antaranya PBT dan sukarelawan bersama KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pagi tadi, Majlis Bandaraya Shah Alam memaklumkan sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbirannya mulai hujung Disember hingga semalam.