Categories
SELANGOR

Pindah longgokan sampah, masalah di Kajang dijangka selesai

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 OGOS: Masalah sampah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang berlarutan sejak sekian lama dijangka bakal selesai apabila longgokan sampah di Loji Bahan Bakar Terbitan (RDF) di Semenyih akan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerja memindahkan longgokan sampah yang sudah bermula hari ini akan diuruskan sepenuhnya syarikat Hebat Abadi iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Katanya, Hebat Abadi akan memindahkan semua 30,000 tan longgokan sampah berkenaan ekoran kegagalan RDF menyelesaikan masalah sampah sehingga menimbulkan rungutan penduduk di Kajang.

IMG-20140805-WA0023“Hebat Abadi juga ditugaskan untuk mengutip sampah sekali seminggu bagi mengutip sampah kitar semula. Operasi kutipan sampah akan diteruskan seperti biasa iaitu dua kali seminggu bagi sisa pepejal, manakala sekali seminggu bagi sampah kitar semula.

“Keputusan untuk melantik Hebat Abadi bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah di Kajang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), baru-baru ini yang membincangkan isu kutipan sisa pepejal di kawasan MPKj,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid turut memaklumkan MMKN bersetuju untuk menjalankan audit operasi terhadap loji RDF bagi menentukan keberkesanan pengurangan baki sampah selepas diproses selain menentukan daya maju dan kesinambungan projek berkenaan.

Katanya, ia bertujuan membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti strategi terbaik bagi menangani masalah sampah di Kajang.

“MMKN juga bersetuju supaya satu kajian menyeluruh dijalankan terhadap tapak seluas 100 ekar yang dicadang dijadikan tapak pelupusan sampah baru bagi menampung sampah yang tidak mampu diproses di Loji RDF.

pic-tan-sri-khalid-tokoh-reformasi“Seorang jurutera pakar dalam teknologi RDF akan dilantik secara kontrak untuk menilai teknologi yang digunakan loji RDF itu.

“MPKj juga akan mengambil seorang jurutera pembersihan khusus untuk menyelesaikan isu berkenaan kutipan dan pelupusan sampah serta kerja pemantauan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pihaknya juga bersetuju supaya perjanjian MPKj dan pengusaha loji RDF perlu dikaji semula untuk menentukan tanggungjawab masing-masing.

Masalah sampah di MPKj berlaku apabila Loji RDF yang beroperasi pada 2006 tidak mampu memproses sampah yang dipersetujui dalam perjanjian.

Ini menyebabkan berlaku longgokan sampah di loji itu, sekaligus menganggu operasi kutipan sampah di kawasan MPKj.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Masalah sampah di Kajang: Operasi Loji RDF akan diaudit

Oleh: SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

Masalah sampah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dijangka selesai apabila  30,000 tan longgokan sampah di kawasan Loji Bahan Bakar Terbitan atau Refuse Derived Fuel (RDF) di Semenyih  akan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12.

Kerja-kerja memindahkan longgokan sampah  bermula hari ini oleh syarikat Hebat Abadi iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Hebat Abadi akan memindahkan kesemua 30,000 tan longgokan sampah ini  berikutan kegagalan RDF menyelesaikan masalah sampah sehingga menimbulkan runggutan penduduk di Kajang.

Hebat Abadi juga ditugaskan untuk mengutip sampah sekali seminggu bagi mengutip sampah kitar semula. Operasi kutipan sampah akan diteruskan seperti biasa iaitu dua kali seminggu bagi sisa pepejal manakala sekali seminggu bagi sampah kitar semula.

Keputusan untuk melantik Hebat Abadi bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah di Kajang telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini  yang membincangkan isu kutipan sisa pepejal di kawasan MPKj.

MMKN juga membuat keputusan untuk menjalankan audit operasi terhadap loji RDF bagi menentukan keberkesanan pengurangan baki sampah selepas diproses dan juga menentukan daya maju dan kesinambungan projek ini.

“Kita berharap audit ini membolehkan Kerajaan negeri mengenal pasti strategi terbaik bagi menangani masalah sampah di Kajang,” kata Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim.

MMKN juga bersetuju supaya satu kajian menyeluruh dijalankan terhadap tapak seluas 100 ekar yang dicadang dijadikan tapak pelupusan sampah yang baharu bagi menampung sampah-sampah yang tidak mampu diproses di Loji RDF.

Seorang jurutera pakar dalam teknologi RDF akan dilantik secara kontrak untuk menilai teknologi yang digunakan oleh loji RDF itu.

MPKj juga akan mengambil seorang Jurutera Pembersihan khusus untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kutipan dan pelupusan sampah serta kerja-kerja pemantauan.

MMKN juga telah bersetuju supaya perjanjian MPKj dan pengusaha loji RDF perlu dikaji semula untuk menentukan tanggungjawab masing-masing.

Masalah sampah di MPKj berlaku apabila Loji RDF yang beroperasi pada 2006 tidak mampu memproses sampah yang dipersetujui dalam perjanjian.

Ini menyebabkan berlaku longgokan sampah di loji itu dan sekali gus menganggu operasi kutipan sampah di kawasan MPKj.

Categories
SELANGOR

Dalang sampah Tasik Seri Aman tukar lokasi, enggan kerjasama

Oleh; NAEEM RAFFI

PUCHONG, 17 JULAI: Isu sampah di Tasik Seri Aman yang disangka sudah berakhir berlaku sebaliknya apabila dalang tambakan sampah menukar lokasi aktiviti ke tebing Sungai Klang di Kampung Seri Aman Hilir menuju ke Seri Aman Mas.

Timbunan sampah seperti sisa binaan, kanvas dan plastik, bahkan sinki, atap genting termasuk karpet buruk memenuhi tebing sungai hingga ke jalan kampung, namun penduduk seakan tidak peduli.

“Berdasarkan maklumat daripada aduan penduduk, difahamkan aktiviti pembuangan sampah haram berleluasa hingga ke sempadan Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

OLYMPUS DIGITAL CAMERA“Selepas beberapa tindakan proaktif termasuk penguatkuasaan MPSJ di lokasi pembuangan sampah di Tasik Seri Aman, mereka beralih ke kawasan lain dan lokasi di tebing Sungai Klang itu mungkin serpihan daripadanya,” jelas Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Rosharizan Mohd Roslan.

Pada Jun lalu, MPSJ memulakan kerja pembersihan di Taman Rekreasi Tasik Seri Aman yang sebelum ini tercemar teruk ekoran kerja penambakan haram dengan sampah.

Selangor Kini difahamkan dalang menambak tasik seluas 12 ekar itu bagi tujuan pembangunan, selepas tanah di dalam tasik diagihkan kepada pihak tertentu.

Selangor Kini dan MPSJ melakukan tinjauan susulan, namun usaha mendekati tebing sungai berhampiran Kampung Seri Aman Hilir dihalang sekumpulan pemuda dengan walkie-talkie.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA“Boleh saya tahu kenapa abang ambil gambar kawasan ini. Dari mana dan sudah berapa lama abang pantau tempat ini?” soal seorang pemuda awal 30-an yang mendakwa dirinya sebagai penyelia projek tambakan tebing sungai dari kontraktor yang ditugaskan.

“Laluan tepi sungai terhakis dan kami diarahkan untuk tambak tebing sungai ini untuk pastikan hakisan tidak musnahkan jalan,” dakwanya.

Dakwaan lelaki itu bagaimanapun tidak disahkan MPSJ dan Selangor Kini beredar sebelum kejadian tidak diingin berlaku.

“Kita akan siasat sama ada ia berlaku di dalam kawasan seliaan MPSJ atau Majlis Perbandaran Sepang MPS. Jika benar ia adalah pembuangan sampah haram, tindakan tegas akan dikenakan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penduduk gesa PBT segera ambil tindakan pada pihak cemar Taman Tasik Seri Aman

Oleh: NAEEM RAFFI

PUCHONG, 9 MEI: Beberapa penduduk dan kaki pancing melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah hingga mencemarkan keindahan dan lanskap Taman Tasik Seri Aman, di sini.

Mereka juga menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segara ke atas pihak terbabit bagi mengatasi masalah longgokan sampah di taman terbabit hingga mengundang rasa tidak selesa di kalangan masyarakat sekitar.

Penduduk, Abdul Wahab Ngah Hashim, 70, berkata tasik yang terkenal dengan gelaran Lombong Buaya itu semakin sempi daripada kunjungan orang ramai terutama kaki pancing kerana tidak tahan dengan longgokan sampah.

Penduduk Abdul Wahab Ngah Hashim, 70“Saya pernah bertugas melakukan kerja pembersihan di kampung ini selama 12 tahun dengan sebuah syarikat yang dilantik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Ketika itu, tasik ini dalam keadaan bersih sehingga ramai keluarga yang berkelah dan dipenuhi kaki pancing,”

“Berbanding hari ini, tasik yang satu ketika dahulu bersih dan menjadi tumpuan orang ramai bertukar menjadi tempat sampah, ia sangat mengecewakan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Penduduk Zainuddin Mansor, 60Bagi seorang lagi penduduk, Zainuddin Mansor, 60, tasik yang menjadi kebanggaan penduduk setempat itu perlu segera dibaik pulih demi mengekalkan keindahnnya dan menarik kembali jumlah pengunjung.

“Sebagai penduduk di sini, tasik ini adalah kebanggaan kami. Ia adalah mercu tanda yang tidak ada pada kampung lain, malangnya ia tidak dipelihara dengan baik.

“Saya sering mempromosi tasik ini kepada kenalan untuk beriadah dan mencuba nasib memancing di sini, tetapi kini tasik ini bukan lagi tumpuan orang ramai dan lubuk ikan, ia adalah ‘tong sampah besar’ yang merosakkan keindahan yang ada,” katanya.

Peniaga, Usman Idris 47Sementara itu, peniaga makanan, Usman Idris, 47, menyifatkan pendapatannya terjejas ekoran keadaan tasik yang semakin tercemar dan sampah berlonggokan di merata tempat.

“Saya berniaga di sini lebih tujuh tahun, daripada berniaga di bawah pokok yang terlatak di tebing tasik sehingga beralih ke sini (gerai makan). Dahulu meriah, sehingga ke pukul tiga pagi kedai saya dipenuhi orang awam dan kaki pancing.

“Kalau dulu, saya boleh meraih pendapatan harian RM800 , tetapi hari ini untuk cecah RM250 sehari pun susah,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Taman Tasik Seri Aman hilang seri, bakal lenyap dengan timbunan sampah

Oleh: NAEEM RAFFI

PUCHONG, 9 MEI: Taman Tasik Sri Aman yang satu ketika dahulu terkenal di kalangan kaki pancing kerana ikan patin kini berubah wajah sebagai lokasi pilihan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah.

Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Seri Aman, Rosman Rahmad, 46, berkata aktiviti menambak tanah menggunakan sampah di tebing tasik itu semakin berleluasa, sejak kebelakangan ini.

“Kampung Seri Aman hilang serinya akibat aktiviti yang tidak bermoral ini. Taman rekreasi ini bukan lagi destinasi pilihan buat kaki pancing, bahkan aktiviti ekonomi peniaga makanan di sini juga terjejas teruk.

Tasik Sampah 5“Perlu ada tindakan segera, jangan sampai Kampung Seri Aman dikenali sebagai ‘Kampung Seri Sampah’ baru pihak berwajib mahu ambil perhatian,” katanya.

Difahamkan, tasik yang terkenal dengan jolokan Lombong Buaya itu dipenuhi sampah, sejak setahun lalu.

Tinjauan Selangor Kini mendapati dalam tempoh kurang daripada 30 minit terdapat beberapa buah lori sarat dengan muatan membuang sampah di tebing tasik.

Perabot rosak, sisa binaan dan juga serpihan kayu antara sampah yang kelihatan jelas terapung di tasik berkenaan dan sehingga kini, kira-kira 10 peratus daripada kawasan lombong berjaya ditambak.

Rosman membayangkan kurang dari lima tahun, tasik terbabit akan lenyap menjadi tanah rata jika tiada tindakan serius diambil bagi menanganinya.

Tasik Sampah 1“Selain sebagai tempat rekreasi, ia berperanan sebagai kawasan takungan air hujan sebelum mengalirkannya ke Sungai Klang.

“Kini, tasik semakin cetek dan sempit. Tidak mustahil jika hujan lebat, kampung ini akan banjir dan bagaimana pula jika tasik ini tiada, sudah pasti banjir akan kerap berlaku, selain suatu ancaman kepada penduduk,” katanya.

Rosman menggesa Pihak Berkuasa Tempatan memandang serius perkara itu demi kepentingan bersama dan generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri dan PBT perlu mengambil tindakan drastik bagi memulihara tasik ini. Penduduk juga perlu memainkan peranan, jangan mengambil mudah dengan menjadikan tasik sebagai ‘tong sampah’ termasuk aktiviti menambak.

“Kalau tidak dipelihara, yang rugi adalah penduduk sendiri,” katanya.

Tasik Sampah 7Taman Tasik Sri Aman adalah bekas lombong bijih sebelum dinaik taraf menjadi taman rekreasi dengan pelbagai kemudahan seperti pondok rehat, kerusi, pelantar memancing, tandas awam dan gerai makanan.

Kemudahan serta keindahan tasik itu menjadi daya penarik buat orang awam daripada serata tempat untuk beriadah, berkelah dan memancing.

Keindahannya juga berjaya menarik perhatian pengiat seni dengan menjadikan ia sebagai lokasi pengambaran drama dan klip video artis tempatan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tapak pelupusan sanitari selesai masalah penduduk Semenyih

Oleh : AFEEQA AFEERA

HULU LANGAT, 30 APRIL: Kerajaan Negeri memberi jaminan pembinaan tapak pelupusan sanitari yang akan dibina tidak lama lagi di Kampung Pasir Baru, Semenyih menghala ke Sungai Tekala, dekat sini, tidak menggugat keselesaan penduduk di kawasan itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tapak seluas 50 ekar khusus untuk sampah pukal itu dapat menyelesaikan masalah bau busuk dan pencemaran alam sekitar yang ditanggung penduduk ekoran lori sampah didakwa menggunakan jalan di kampung berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri kini giat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat termasuk mengadakan perbincangan hampir setiap minggu berhubung isu terbabit.

Yunus-Hairi“Buat masa ini, kita putuskan untuk menggunakan Sungai Kembung dan Tanjung 12 sebagai tapak pembuangan sampah sebelum dibangunkan tapak pelupusan sanitari oleh pihak Worldwide Holding Berhad.

“Tapak itu juga khusus untuk kompaktor sahaja, manakala lori sampah (open tipper) tidak dibenarkan masuk ke situ,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, di sini.

Dilaporkan, lokasi tapak pelupusan sampah berkenaan terletak sejauh lapan kilometer dari Pusat Perolehan Semula Sumber Sisa Pepejal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kampung Pasir Baru yang juga dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF).

RDF itu wujud sejak 2004 dan tidak mampu beroperasi untuk menampung dan mengeluarkan sampah lebihan sejumlah 50,000 tan, sejak Mei tahun lalu.

Namun, sudah diberi amaran oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menamatkan operasi atas beberapa faktor termasuk mengakibatkan pencemaran.

Dr Yunus sampahBagaimanapun, ia menyebabkan kesulitan kepada MPKj kerana terpaksa menguruskan 500 tan sampah sehari berikutan penduduk di kawasan MPKj berjumlah 780,000.

Pada 7 April lalu, RDF tidak dapat menerima sampah daripada MPKj dan operasi berkenaan tidak dapat menampungnya lagi ekoran masalah teknikal.

Sebagai langkah kecemasan, lokasi pembuangan ditukarkan ke tapak pelupusan di Sungai Kembong lebih kurang tiga kilometer daripada RDF.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan negeri beri tempoh hingga 21 April cari tapak baru buang sampah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 21 April ini kepada kilang pelupusan sampah di Kampung Pasir Baru, Semenyih untuk memindahkan lokasi pembuangan ke tempat lain kerana menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata terdapat kerosakan yang berlaku dalam kilang pemprosesan sampah terbabit sehingga menyebabkan sampah terpaksa dikumpulkan di luar kilang.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengarahkan kilang terbabit supaya menjalankan kerja pembaikan supaya masalah itu tidak berlarutan untuk jangka masa panjang.

khalid“Kita akan meminta kilang itu meneruskan pembaikan, tetapi kita terpaksa alihkan sampah bertimbun di kilang itu ke tempat lain kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan kerja memproses sampah memakan masa yang lama.

“Kosnya (pembaikan) akan ditanggung oleh kilang berkenaan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),” katanya.

Terdahulu, penduduk di Kampung Pasir Baru, Semenyih bertindak menghalang lori sampah daripada menggunakan laluan di kampung itu untuk ke sebuah kilang pelupusan yang didakwa menyebabkan masalah bau busuk dan kotor.

Difahamkan, kira-kira 100 penduduk bertindak sedemikian bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang yang menyebabkan pihak polis terpaksa mengawal keadaan.

Media melaporkan, lori berkenaan tidak berjaya melalui jalan terbabit dan terpaksa berpatah balik ekoran sekatan daripada penduduk.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Syarikat tidak berpengalaman punca longgokan sampah di MRR2

SAMPAH_MRR2Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 DIS: Insiden longgokan sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada minggu lalu didakwa berpunca daripada pengurusan syarikat kontraktor sampah tidak berpengalaman.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata syarikat Umpan Jaya Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak mengurus Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin, Kepong itu hanya berpengalaman menaikkan paras tanah timbus di beberapa kawasan sebelum ini.

Ong Kian Ming 01Katanya, syarikat itu juga dipercayai dimiliki bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan bersama ahli keluarganya.

“Mengapa pihak kerajaan memberi kontrak kepada syarikat ini walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman luas untuk menguruskan pusat pemindahan sampah. Adakah kerana ia dimiliki bekas pimpinan Umno,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga didakwa gagal mengambil langkah awal bagi menangani masalah itu walaupun menyedari syarikat kontraktor berkenaan tidak beroperasi dengan baik.

Beliau berkata, sikap DBKL yang sengaja membiarkan situasi itu menyebabkan kejadianitu mengganggu lalu lintas dan keselesaan orang ramai.

“DBKL sedar Umpan Jaya menghadapi banyak masalah operasi di Taman Beringin tetapi kenapa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan sampah diuruskan dengan betul dan dipindahkan ke Pusat Pelupusan Sampah Bukit Tagar,” katanya.

Beliau turut mendesak Menteri Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mendedahkan kos kontrak pengurusan yang diberi kepada Umpan Jaya dan bagaimana syarikat itu boleh dilantik.

“Menteri juga diminta beri jaminan yang pihak terbabit disiasat dengan teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati bertanggungjawab, bahkan jaminan kontrak seterusnya akan diberi melalui tender terbuka,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok sepanjang bahu jalan MRR2 menyebabkan kesesakan teruk dan penduduk serta pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau busuk sepanjang jalan itu.

-NFN-