Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC ikat Samuel, perkuat posisi penjaga gol

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Selangor FC hari ini secara rasmi mendapat penjaga gol baharu, Samuel Somerville yang berhijrah dari Penang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Samuel atau lebih mesra dipanggil Sam berkata status Selangor FC sebagai sebuah pasukan yang besar dalam saingan liga tempatan menjadi faktor utama beliau memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah itu.

“Apabila anda bercakap tentang bola sepak di Malaysia, saya rasa Selangor FC merupakan antara pasukan pertama yang akan disebut.

“Jadi, saya faham betapa besarnya makna bermain untuk kelab ini. Saya tahu Selangor FC mempunyai cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan musim hadapan dan ia sama seperti apa yang saya mahukan. Kami mahu mencapai kemenangan bersama,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Selangor FC hari ini.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England berusia 27 tahun itu juga menyeru penyokong Selangor FC agar terus kekal menyokong dan bersama pasukan berkenaan tidak kira pada saat suka atau duka pada musim depan.

Pasukan baharunya itu turut mendoakan kejayaannya bersama mereka selain berharap Samuel mampu menjelmakan prestasti terbaik dalam Liga-M musim depan.

Berasal dari Farnborough, England, beliau mula melakar nama dalam Liga-M pada 2016 sewaktu berusia 21 tahun.

Nama Samuel mula meniti di bibir peminat bola sepak tempatan apabila menjadi salah seorang tonggak utama yang membantu Penang FC menjuarai Liga Premier 2020 sekali gus melayakkan mereka ke Liga Super musim 2021.

Beliau kemudian berjaya mendapatkan panggilan kebangsaan pertamanya bersama Harimau Malaya pada Mei 2021 susulan aksi yang mengagumkan bersama kelabnya dalam saingan Liga Super 2021.

— BERNAMA