Categories
AGENDA NASIONAL

Lima anggota badan penguat kuasa ditahan terlibat samun berkumpulan

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Polis menahan lima lelaki dan dua wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan samun berkumpulan dalam serbuan di enam lokasi sekitar Lembah Klang sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata lima daripada mereka merupakan anggota badan penguatkuasaan, namun beliau tidak menyatakan dari agensi mana.

Beliau berkata polis turut merampas dua motosikal, sebuah kereta Proton Iswara, tiga telefon bimbit dalam serbuan itu, dan kesemua yang ditahan berumur antara 19 dan 30 tahun itu kini direman sehingga 11 Oktober ini.

“Tiga suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau antaranya samun serta jenayah berkaitan dadah, dan seorang daripada mereka didapati positif ujian saringan air kencing,” katanya.

Sementara itu Muhammad Idzam berkata polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah premis di Desa Tasik, Sungai Besi, Cheras kira-kira pukul 11 malam tadi kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai penjaga premis judi berkenaan, dan polis turut merampas lima tablet serta beberapa barang elektronik lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan perjudian selain wang tunai RM120,” katanya dan menambah suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata premis itu didapati baru beroperasi kira-kira seminggu dan risikan dilakukan selepas beberapa individu yang dipercayai kalah judi memuat naik rasa tidak puas hati dengan premis itu melalui media sosial.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buru empat suspek samun kedai emas di Kepong

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Polis sedang mengesan empat lelaki dipercayai warga tempatan disyaki terbabit dalam kes samun sebuah kedai emas di Jalan Metro Perdana, Kepong di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata keempat-empat suspek dipercayai melakukan jenayah itu kira-kira 5.30 petang dengan memakai topeng muka dan bertopi keledar, serta bersenjatakan sebilah tukul dan kapak.

Beliau berkata suspek melarikan sejumlah barangan kemas berupa rantai leher dan rantai tangan yang nilainya dipercayai mencecah ratusan ribu ringgit.

“Ketika kejadian, seorang suspek berpura-pura mengimbas MySejahtera sebelum tiga lagi individu menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan dan melarikan sejumlah rantai tangan dan leher dalam tempoh kurang seminit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beh berkata ketika kejadian terdapat tujuh pekerja wanita di dalam premis tersebut dan seorang daripadanya pengsan akibat ditolak suspek.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti dua motosikal digunakan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan, selain meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpaskan kumpulan samun wanita sasar warga emas

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyasarkan warga emas di sekitar Jinjang, di sini, dengan penahanan tiga wanita termasuk dalang utamanya Sabtu lepas dan semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 23 dan 43 tahun itu disyaki terlibat dalam tiga kes kecurian di sekitar Jinjang tahun ini dengan menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian.

Beliau berkata biasanya mereka akan menyamar sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang datang menyerahkan bantuan, dan semasa urusan penyerahan bantuan dilakukan salah seorang daripada suspek akan masuk ke bilik mangsa untuk mencuri.

“Anggota kumpulan berkenaan ditahan susulan satu laporan polis oleh seorang wanita warga emas yang kerugian RM8,000 selepas disamun kumpulan berkenaan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri di sini pada 9 Ogos lepas.

“Semasa tangkapan pertama melibatkan dua anggota kumpulan berkenaan yang berusia 23 dan 43 tahun pada Sabtu lepas, polis turut merampas tujuh bungkusan makanan dan empat buah telefon bimbit. Seorang lagi anggota kumpulan itu ditahan hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beh berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam satu siasatan berhubung laporan kejadian samun melibatkan seorang wanita berusia 20-an di Taman Greenwood, Gombak, di sini, Sabtu lepas, polis mendapati insiden itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati mangsa telah mereka cerita bahawa dia disamun, namun siasatan mendapati dia menipu, dan turut bertindak menikam sendiri peha kanannya.

“Dia mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Dia akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam kenyataan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga lelaki samun barang kemas RM40,000 di Gombak diberkas

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Isnin lepas, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata penahanan kesemua mereka berumur lingkungan 20-an dibuat susulan laporan polis oleh mangsa lelaki berumur 52 tahun memaklumkan kejadian pecah masuk oleh dua daripada suspek yang memakai topi keledar di rumahnya.

Beliau berkata kejadian pada 3.30 petang itu difahamkan berlaku ketika isteri serta anak lelaki mangsa berada di rumah.

“Seorang daripada suspek didapati mengacukan sebilah pisau ke leher isteri mangsa selain memaksanya untuk membuka peti keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, suspek kemudian bertindak mengambil barang kemas peribadi milik keluarga terbabit antaranya empat rantai emas, tiga bentuk cincin emas, empat pasang subang emas, dua gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas serta dua loket emas selain sejumlah wang.

“Mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM40,000,” katanya.

Arifai berkata ketiga-tiga suspek terlibat ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Gombak dan Hulu Selangor dan polis turut merampas barang-barang kes dipercayai adalah milik mangsa.

Menurutnya hasil siasatan lanjut ke atas suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Arifai berkata siasatan lanjut masih lagi diteruskan untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas selain mengenal pasti penglibatan kumpulan ini dalam kes-kes lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan empat lelaki cedera, samun pemandu kereta di Klang

SHAH ALAM, 19 APRIL: Empat lelaki ditahan polis selepas bertindak menarik seorang lelaki keluar dari kereta dan memukulnya dengan kayu di Taman Sentosa dekat Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata dalam kejadian 4.30 petang, mangsa yang memandu bersama sepupunya dilanggar dari arah belakang oleh kereta jenis Honda Civic yang dinaiki empat lelaki.

“Suspek kemudian bertindak memecahkan cermin kereta, menarik mangsa keluar dan memukulnya dengan kayu. Malah telefon bimbit milik sepupu mangsa turut dirampas,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan selepas dua video kejadian itu tular di media sosial dan bertindak mengesan semua suspek.

Katanya, suspek berusia 23 tahun hingga 35 tahun ditangkap antara jam 7 petang hingga 11 malam tadi di sekitar daerah berkenaan.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu. Kes disiasat mengikut Seksyen 394/427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan tujuh individu samun, cedera lelaki di Gombak

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Tujuh individu termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes samun dan mencederakan mangsa, ditahan dalam serbuan berasingan di Gombak, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, semua suspek berusia 24 hingga 43 tahun itu ditahan di dua rumah di Batu Caves dan Gombak dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 5 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan penemuan seorang lelaki dalam keadaan cedera dengan kesan tetakan di sebuah stesen minyak di Taman Greenwood, Gombak pada Sabtu lepas.

“Siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kenalannya, untuk berjumpa di kawasan berhampiran stesen minyak tersebut.

“Semasa mangsa menghampiri kenalannya di kawasan tersebut, lima lelaki memukulnya dan salah seorang daripada suspek telah melibasnya dengan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, mangsa cedera di bahagian lutut dan jari manakala motosikal, telefon bimbit dan beg dompet, turut dilarikan suspek.

Arifai berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal, satu telefon bimbit serta sebilah parang dan pemeriksaan mendapati, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, dengan tiga daripada suspek dikehendaki polis melibatkan kes dadah di Selayang dan Jinjang.

Katanya, kesemua suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine itu ditahan reman lima hari hingga esok, untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, empat lelaki termasuk tiga warga asing ditahan, kerana disyaki terbabit dalam kes pecah masuk kedai serbaneka di Jalan Dataran Selayang, Batu Caves yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

Arifai berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 26 tahun, ditahan pada Ahad lepas di Jalan Besar Selayang Indah, Batu Caves dan Segambut, dalam operasi bermula 1.30 tengah hari itu.

“Kita merampas 66 karton rokok, 264 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM1,800 yang disyaki hasil jualan rokok yang dicuri, daripada kedai serbaneka itu,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Empat lelaki didakwa bunuh pesara Mardi, 9 Mac 2021 sebutan semula

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas.

S. Vickeswaran, 22, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 23 tahun dan T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Kes bunuh: Suspek utama antara tiga ditahan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Seorang suspek utama antara tiga ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh pesara kerajaan dalam kejadian di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, pada Ahad lepas (29 November).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka ditahan menerusi tiga tangkapan di Jalan Genting Klang serta Jalan Air Panas di sini, dan Jalan Rinching, Semenyih, pada awal pagi tadi.

Beliau berkata dua lelaki ditahan pada 3.30 pagi serta 4.30 pagi, dan susulan tangkapan itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun dipercayai suspek utama kes tetak berkenaan dan dia ditahan dalam serbuan di Semenyih pada 5 pagi tadi.

“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya mendapatkan pengakuan daripada suspek. Polis percaya pengakuan dibuat suspek utama iaitu yang ditangkap di Semenyih ialah individu yang menetak mangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki dikenali sebagai T. Sugu, 27, yang disyaki turut terbabit dalam kejadian tersebut.

Berikutan tangkapan terbaru itu, beliau berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut hari ini.

“Sepuluh individu yang ditahan sebelum ini, pula telah dilanjutkan reman tujuh hari hingga 6 Disember depan,” katanya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan sehingga kini seramai 13 orang.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan seramai 10 individu berumur antara 20 dan 29 tahun disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak bekas pesara kerajaan itu, ditahan sejak hari kejadian.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang merupakan bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Tukang masak ditahan buat laporan palsu disamun

BUKIT MERTAJAM, 26 FEB: Seorang lelaki ditahan selepas dikesan membuat laporan palsu kononnya beg mengandungi kad pengenalan, pasport dan wang tunai miliknya disamun tiga lelaki dalam kejadian Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata tindakan tukang masak berusia 24 tahun itu berjaya dikesan polis selepas dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT kira-kira pukul 11 pagi semalam dan ditahan selepas mendapati keterangannya mencurigakan selain gagal menunjukkan lokasi tepat kejadian samun berkenaan.

“Menurut lelaki itu, dia sedang memandu kereta di Pusat Perniagaan Permai, di sini dalam kejadian pukul 3.30 petang Jumaat lepas, telah dihampiri dua buah motosikal dinaiki tiga lelaki yang menunjukkan sesuatu ke arah kenderaannya sebelum dia bertindak memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Tukang masak itu mendakwa dia turun untuk memeriksa bahagian hadapan kereta sebelum seorang daripada suspek membuka pintu pemandu dan mengambil begnya lalu memecut laju motosikal mereka, namun siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut hanya mereka cerita berkenaan kerana telah kehilangan kad pengenalan serta pasportnya,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, lelaki itu mengaku membuat laporan palsu kerana ingin membuat kad pengenalan dan pasport yang telah hilang, namun tidak mahu dikenakan denda, malah dia juga mengaku tidak tahu bila dokumen tersebut hilang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru tabika cedera disamun dalam kelas

MERSING, 2 JAN: Seorang guru wanita cedera di bahagian hidung selepas diserang dan disamun seorang individu di sebuah tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Felda Tenggaroh 1, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari ketika guru itu sedang bersendirian, selepas pembantu dan murid di tabika berkenaan pulang.

Beliau berkata mangsa berusia 40 tahun kemudian didatangi seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan pisau.

“Suspek juga melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi serta wang tunai.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian hidung dirujuk ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kejadian samun tiada kaitan perlawanan bola sepak

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Polis percaya kejadian samun dan pukul membabitkan seorang lelaki warga Indonesia di Bukit Bintang di sini, pada 19 November lalu, tidak mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kes berkenaan diklasifikasi sebagai kes samun memandangkan mangsa iaitu Fuad Naji kehilangan pasport dan sejumlah wang.

Katanya polis menerima laporan daripada Fuad yang memaklumkan telah dipukul serta disamun sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan pukul 2 pagi.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan telah dibuka dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan lelaki warga Indonesia itu kerana pegawai penyiasat tidak dapat merekod kenyataan daripada beliau pada hari kejadian.

“Mangsa (Fuad) terus menghilangkan diri setelah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di Pondok Polis Hospital.

“Usaha mengesan Fuad di hotel juga menemui jalan buntu dan polis menggesa agar beliau serta rakan yang menjadi mangsa tampil membantu siasatan,” katanya.

Huzir berkata polis akan memohon kerjasama Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan kepada Fuad tentang perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang merakam serta menyebarkan rakaman video tular yang dikatakan menunjukkan beberapa warga Indonesia dipukul.

“Mana-mana individu atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia, yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua ditahan selepas lima jam menyamun

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Polis menyelesaikan kes samun dalam tempoh kurang lima jam selepas menahan dua lelaki dipercayai aktif dalam kejadian samun dan kes pecah rumah di sekitar Serdang, Klang dan Johor.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an ditahan kira-kira 5.30 pagi semalam dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun seperti jam tangan, telefon bimbit, cincin emas, sebuah kereta jenis Proton disyaki milik suspek dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai milik mangsa.

“Kedua-dua suspek mempunyai 20 rekod lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, judi dan dadah serta mengaku terbabit dalam kes samun di Serdang dan aktif pecah rumah di Klang dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Bandar Kinrara dan Kuala Lumpur,

Ismadi berkata, ketiga-tiga suspek yang mempunyai 42 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan itu, ditahan dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi.

Selain itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 50 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak di Serdang kerana disyaki terbabit dalam kes samun.

“Dua daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan samun,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka direman sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA