Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Bandar Utama sedia khidmat sanitasi rumah penduduk

SHAH ALAM, 12 JULAI: Lebih 100 lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama disanitasi sejak Januari lalu sebagai usaha mengekang penularan Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata operasi dijalankan melalui Unit Tindak Bandar Utama menumpukan kawalan kebersihan awam di kawasan kejiranan serta kediaman penduduk yang terdapat kes positif Covid-19.

“Kerja pembasmian dilakukan atas dasar kewajipan menjaga keselamatan selain memberi ketenangan emosi kepada penduduk terutamanya jika ada penghuni dalam rumah mereka dijangkiti wabak.

“Oleh itu, saya perlu terus bersama mereka dengan memberikan bantuan langkah pencegahan penularan wabak selain sokongan emosi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kerja nyahkuman diteruskan dari semasa ke semasa sehingga situasi pandemik dalam negara pulih sepenuhnya.

Justeru, Jamaliah memaklumkan penduduk yang mahu mendapatkan perkhidmatan sanitasi boleh berhubung terus dengan penyelaras program John Leong menerusi emel [email protected].

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan Team Selangor sanitasi masjid, kuil di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua rumah ibadat di Batu Caves, Gombak menjalani proses sanitasi dalam usaha mencegah penularan Covid-19 semalam, kata Team Selangor.

Program anjuran sukarelawan Selangor Lestari by Team Selangor dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) dijalankan di Surau Ar-Rahman, Pangsapuri Sunway Batu Caves dan Kuil Ayyappa.

“Antara kawasan yang disanitasi adalah ruang solat utama, tempat berwuduk dan pejabat surau.

“Program ini mendapat kerjasama daripada semua pihak. Syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selesai sanitasi, Balai Polis Ampang kembali operasi

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Operasi Balai Polis Ampang yang digantung sementara kepada orang awam bermula semalam susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota di balai itu, diaktifkan semula kira-kira 4 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata orang awam kini boleh berurusan di balai itu yang telah menjalani proses sanitasi.

“Kerja-kerja sanitasi telah dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak pertubuhan bukan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan 11 anggota polis di balai terbabit disahkan positif Covid-19, manakala sejumlah anggota serta kakitangan awam lain pula diarah menjalani kuarantin kendiri.

Jangkitan itu disahkan berpunca daripada beberapa kes orang kena tahan (OKT) yang didapati positif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP cawangan Shah Alam tutup untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunter Shah Alam mulai esok sehingga diberitahu kelak, selepas beberapa kakitangan di cawangan itu diuji positif Covid-19.

Ini sebagai mengikuti arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk premis yang terlibat dengan pandemik, agar dijalankan pembasmian kuman dan sanitasi.

“Pekerja tersebut kini dalam rawatan manakala pengesanan kontak sedang dijalankan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Semua kakitangan di cawangan itu akan mengambil ujian swab dan jika didapati positif, akan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari.

Semua cawangan lain akan meneruskan langkah penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai pencegahan lain dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Anggota dinasihatkan untuk berurus niaga secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu atau menjadualkan semula lawatan mereka ke satu tarikh yang akan datang melalui kemudahan Janji Temu Online jika terdapat keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP secara peribadi,” katanya.

Selain itu, cawangan Lahad Datu akan dibuka semula pada 4 Feb selepas ditutup sejak 20 Jan apabila beberapa kakitangannya diuji positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sanitasi: Pejabat, kaunter Air Selangor di KL ditutup sementara

SHAH ALAM, 25 JAN: Ibu pejabat dan kaunter khidmat pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ditutup sementara bermula hari ini sehingga ke suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Agensi berkata penutupan pejabat dan kaunter di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur itu bagi proses sanitasi dalam mengekang penularan Covid-19.

“Pelanggan sekitar bandar raya itu boleh berurusan di kaunter berdekatan di Petaling dan Gombak dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Kami menggalakkan pelanggan menggunakan aplikasi dan sistem dalam talian untuk membayar bil bagi mengurangkan kontak rapat antara pelanggan serta petugas,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor menjelaskan pembayaran boleh dibuat melalui perbankan Internet Jompay (Biller Code: 4200), aplikasi agensi, portal perkhidmatan pelanggan dan ejen kutipan berdaftar.

Sebarang pertanyaan dan aduan, pelanggan boleh menghubungi talian 15300, secara dalam talian di aplikasi Air Selangor atau layari laman sesawang http://www.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 10 lagi sekolah rendah di K.Terengganu diarah tutup

KUALA TERENGGANU, 24 JAN: Sepuluh lagi sekolah rendah di daerah Kuala Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 30 Januari, susulan terdapat sejarah perjalanan kes pesakit Covid-19 ke semua sekolah berkenaan.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman dan SK Gong Tok Nasek.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di semua sekolah terbabit.

“Penutupan sementara sekolah-sekolah itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan sekolah terbabit juga memaklumkan kepada ibu bapa mengenai penangguhan agihan buku teks dan alat tulis kepada pelajar kepada satu tarikh dimaklumkan kemudian.

Baru-baru ini, SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Paloh di sini turut diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu berikutan kes yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sanitasi pejabat, LHDN tutup sementara beberapa cawangan

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Wangsa Maju di Kuala Lumpur dan Kaunter Perkhidmatan Percukaian di cawangan Johor Bahru (Penggajian) serta cawangan Johor Bahru (Perniagaan) akan ditutup sementara untuk tujuan sanitasi.

LHDN dalam kenyataan memaklumkan bagi Kaunter Perkhidmatan Percukaian di cawangan Johor Bahru (Penggajian) serta cawangan Johor Bahru (Perniagaan), penutupan bermula hari ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sebagai alternatif bagi melakukan urusan, LHDN memaklumkan pelanggan boleh mengunjungi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru, UTC Pasir Gudang dan Pusat Khidmat Hasil Pontian.

Sementara itu, penutupan pejabat LHDN cawangan Wangsa Maju akan bermula esok hingga suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian dan sebagai alternatif, pelanggan boleh mengunjungi LHDN cawangan Duta, Cheras, Kuala Lumpur Bandar dan UTC Pudu.

Sehubungan itu, dalam tempoh tersebut pelanggan dinasihatkan untuk melakukan semua urusan percukaian secara dalam talian dan bagi pembayar cukai yang benar-benar memerlukan perkhidmatan bersemuka, mereka boleh mengunjungi kaunter perkhidmatan di cawangan LHDN berhampiran.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat atau borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pejabat satelit LHDN Cyberjaya ditutup untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Pejabat satelit Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di Cyberjaya ditutup sementara mulai hari ini hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

Menurut kenyataan LHDN hari ini, sepanjang tempoh itu, pembayar cukai disaran melakukan urusan percukaian secara dalam talian.

Bagi sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat atau borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pejabat LHDN Kompleks Bangunan Kerajaan KL ditutup untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Beberapa pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim ditutup sementara mulai hari ini bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja sanitasi.

Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan tiga pejabat ditutup untuk esok sahaja iaitu Cawangan Siasatan Duta – Blok 8; Cawangan Duta (Penggajian) – Blok 8A dan Cawangan Guaman Kuala Lumpur – Blok 10.

Bagaimanapun Cawangan Tidak Bermastautin – Blok 8; Cawangan Industri Khas – Blok 8; Pusat Bayaran Kuala Lumpur – Blok 8 A (kecuali kaunter bayaran di Aras Tanah beroperasi seperti biasa), manakala Cawangan Duta (Perniagaan) – Blok 10 akan ditutup esok sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sehubungan itu pelanggan dinasihatkan melakukan semua urusan percukaian secara dalam talian bagi tempoh berkenaan.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Pasar Awam Banting ditutup 10 hari untuk sanitasi

SHAH ALAM, 29 DIS: Pasar Awam Banting ditutup 10 hari berkuat kuasa hari ini hingga 7 Januari depan bagi proses sanitasi, kata Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata kerja semburan premis diselia pihaknya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran serta Pejabat Kesihatan Daerah.

“Ia bagi memastikan sanitasi awam dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya menyeru orang awam dapat bersabar dan memberi kerjasama sebaiknya,” katanya melalui hebahan di Facebook.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sanitasi: Pejabat, kaunter Air Selangor Klang ditutup sementara

SHAH ALAM, 28 DIS: Pejabat dan kaunter khidmat pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Klang ditutup dari jam 11 pagi hingga 2.30 petang hari ini.

Agensi berkata penutupan itu bagi proses sanitasi selepas seorang kakitangannya didapati kontak rapat pesakit Covid-19.

“Sebagai alternatif, pelanggan boleh berurusan di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor berdekatan.

“Untuk pembayaran bil, aduan dan pertanyaan berkaitan akaun, pelanggan digalakkan melayari sesawang Air Selangor dan menggunakan aplikasi mudah alih agensi,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pelanggan diminta memakai pelitup muka, mengambil suhu badan, mengguna cecair pembasmi kuman dan mengimbas kod QR MySejahtera atau merekod butiran diri ketika berurusan di kaunter.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Pandamaran jalani 12 operasi sanitasi sejak PKP

KLANG, 24 DIS: Sebanyak 12 operasi sanitasi dan nyahkuman dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tony Leong Tuck Chee berkata proses itu membabitkan kawasan perumahan dan premis perniagaan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Ini merupakan salah satu tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu sekiranya ada kes positif berlaku dalam kawasan perumahan maka sanitasi perlu dijalankan.

“Bagi premis perniagaan pula, nyahkuman dilakukan kerana Pandamaran sering menjadi lokasi keluar masuk penduduk termasuk orang luar, jadi penduduk lega apabila ia dilaksana,” katanya ketika meninjau lokasi Saringan Komuniti di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana semalam.

Beliau menambah pihak swasta yang mahu menjalankan sanitasi di premis mereka disaran memohon kepada Pusat Khidmat Masyarakat Pandamaran untuk pertimbangan.

Tony Leong juga menyeru kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dengan menutup sepenuhnya kilang yang dikesan mencatat lebih lima jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

“Kita sudah hantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara namun tiada maklum balas. Kita akui bahawa ekonomi itu penting tetapi perkara ini tidak boleh dibiarkan dan jangan tunggu sehingga ratusan kes dicatat baru mereka mahu bertindak.

“Sebagai contoh, banyak kes positif dilaporkan di Bandar Sultan Suleiman dan kawasan tersebut seperti tiada kawalan. Kita bimbang jika penyakit ini dibawa keluar ke tempat lain jika tiada tindakan sedemikian,” katanya.