Categories
PBT SELANGOR

Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan raih anugerah kepujian khas tempat awam

SHAH ALAM, 17 NOV: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima Anugerah Kepujian Khas: Kerajaan (Tempat Awam) sempena Placemaker Awards ASEAN 2021.

Pengiktirafan kepada santuari yang menjadi tarikan pelancong menikmati panorama cahaya indah kelip-kelip itu dilakukan secara dalam talian pada 10 November lalu.

“Tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek Khas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) kerana Projek Pembangunan Semula Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan mendapat anugerah.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan tempat-tempat awam di daerah Kuala Selangor ke arah reka bentuk dan pengurusan ruang awam yang kondusif, selamat serta selesa,” kata MPKS menerusi Facebook.

Placemaker Awards ASEAN merupakan anugerah cetusan organisasi, Nextdor Property Communications yang memfokuskan peremajaan bandar.

Inisiatif tersebut bagi mengkomersialkan kawasan terbaik dan memberi pengiktirafan kepada komuniti di rantau Asia Tenggara.

Menerusi anugerah itu, turut menerima Anugerah Kepujian Khas: Kerajaan (Tempat Awam) ialah Taman Komuniti Presint 16, Perbadanan Putrajaya dan Penyabong Waterfront, Majlis Daerah Mersing.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan terima sumbangan korporat beli sampan

SHAH ALAM, 13 NOV: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima sumbangan RM45,000 daripada LBS Foundation (LBSF) bagi pembelian sampan.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan sebanyak 10 sampan akan dibeli dan diserahkan kepada pendayung di santuari kendaliannya itu bagi tujuan pelancongan.

“Sumbangan ini dapat melengkapkan wajah dan imej baharu santuari tersebut yang selesai dinaiktaraf sekali gus menjadi pilihan utama kepada pelancong untuk menikmati panorama cahaya indah kelip-kelip.

“Ia dapat meringankan beban kumpulan pendayung yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Dengan pengoperasian semula bermula Oktober lalu ia menjana semula pendapatan pendayung dan ekonomi penduduk setempat,” katanya menerusi Facebook.

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Besar LBSF, Amal Abdul Aziz kepada Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat.

Katanya, sokongan dari sektor korporat seperti LBSF sebagai rakan strategik MPKS dapat membantu dalam pembangunan yang turut meliputi kebajikan, pendidikan dan kemudahan lebih baik di santuari berkenaan.

Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang ditutup sejak Julai tahun lalu beroperasi semula pada 9 Oktober.

Rahilah berkata pembukaan semula itu susulan kerja menaik taraf telah siap dilaksanakan pada 19 September lalu.

“Kita telah peruntuk RM1.75 juta untuk kerja pengubahsuaian dan diharap penambahbaikan ini akan menghadirkan ramai lagi pengunjung ke Santuasi Kampung Kelip-Kelip Kampung Kuantan,” katanya.