Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 warga Taman Templer terima manfaat baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 1,040 baucar Jom Shopping diagihkan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata baucar beli-belah di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM100 diberikan kepada mereka yang lahir pada September dan Oktober.

“Semua penerima boleh menggunakan baucar tersebut untuk berbelanja di Pasaraya NSK Selayang mulai hari ini hingga 17 Oktober,” katanya.

Beliau memaklumkan agihan dibuat sejak 4 Oktober di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer dari jam 9.30 pagi sehingga 1 petang.

Menurutnya, inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan berkaitan terutama dalam mendepani cabaran pasca Covid-19.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta menerusi SMUE 2.0 dengan pemberian baucar Jom Shopping serta bantuan khairat kematian sebanyak RM500.

 

Categories
ADN SELANGOR

Peniaga sekitar Taman Templer diminta mohon permit sementara, tempoh lulus singkat

SELAYANG, 21 SEPT: Peniaga sekitar Taman Templer di minta memohon permit sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lancar.

ADN Taman Templer Sany Hamzan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata urusan permohonan permit akan dipemudah selain peniaga tidak perlu menunggu kelulusan dalam tempoh lama.

“Peniaga kena manfaatkan peluang ini supaya aktiviti perniagaan mereka lancar, sekarang ramai berniaga kerana terkesan Covid-19.

“Jadi kita minta yang tidak berlesen membuat permohonan segera kerana permit ini penting, mereka boleh berniaga dengan senang tanpa risau disaman atau sita,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyerahkan permit sementara kepada peniaga di Kampung Selayang Indah dan Taman Selayang Mutiara.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi berkata pihaknya mencuba sebaik mungkin membantu peniaga kecil yang terjejas sumber pendapatan akibat Covid-19.

YDP Majlis Perbandaran Selayang Yazid Sairi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“MPS akan kenal pasti tapak baharu untuk beri peluang kepada lebih ramai peniaga asalkan lokasi itu tidak menjejaskan keselamatan,” kata Mohd Yazid Sairi.

Terdahulu Sze Han menyerahkan 17 permit sementara kepada peniaga tidak berlesen bagi melancarkan dan memudahkan operasi mereka.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid, surau Taman Templer dapat sumbangan RM24,000

SHAH ALAM, 19 APRIL: Sebanyak 44 masjid dan surau sekitar Taman Templer menerima sumbangan berjumlah RM24,000 bagi melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan.

Ahli Dewan Negerinya berkata peruntukan melalui pusat khidmat meliputi empat masjid, masing-masing mendapat RM1,000 manakala RM500 diagihkan kepada 40 surau.

“Saya berharap pihak masjid dan surau dapat memanfaatkan bantuan ini untuk mengimarahkan rumah ibadat dan kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” kata Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi.

Beliau menambah program agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat juga diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM400,000 kepada masjid dan surau sekitar Gombak sempena program Ihya Ramadan pada 9 April.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap masjid menerima dana berjumlah RM10,000 manakala RM5,000 diagih kepada surau.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

280 penduduk Taman Templer terima baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 280 kaum Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menerima baucar Jom Shopping.

Ahli Dewan Negerinya berkata agihan itu bagi membantu masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persiapan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.

“Baucar bernilai RM100 ini boleh ditebus dengan membuat pembelian hanya di pasar raya NSK Selayang pada 9 hingga 11 Februari ini.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban penerima,” kata Sany Hamzan menerusi Facebook.

Inisiatif Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.