Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Aplikasi syarikat pemula dibimbing Sidec mudahkan pendidikan secara maya

SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebuah syarikat pemula bimbingan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) membangunkan aplikasi pendidikan yang setakat ini memanfaatkan lebih 10,000 pengguna.

Pengasas IX Ventura Tech Sdn Bhd Iliyas Jamil berkata SnappEd menyediakan platform secara percuma memudahkan guru dan murid memberi, menghantar serta menyemak kerja sekolah secara dalam talian.

Menurutnya, idea menghasilkan platform itu bermula sejak 2018 dan menjadi kenyataan April lalu disebabkan keperluan mendesak apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat diadakan susulan Covid-19.

“Menerusinya guru hanya perlu menghantar arahan ke platform boleh diakses murid yang kemudiannya menyiapkan kerja sekolah itu dan menghantar gambar kertas jawapan.

“Guru boleh menyemak di peranti dan buat pembetulan menggunakan pen stylus, kami masih tekankan menulis di kertas kerana mengikut sistem pendidikan negara serta melatih murid,” katanya ditemui SelangorKini hari ini.

Iliyas Jamil. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

SnappED boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store.

Sidec membimbing IX Ventura Tech menerusi Program Pemecut Selangor (SAP) 2021, iaitu inisiatif untuk melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Iliyas berkata setakat ini aplikasi berkenaan digunakan 10,600 pengguna di 26 sekolah di Perak, Perlis dan Sarawak yang majoritinya dimanfaatkan di luar bandar.

Jelasnya, program SAP 2021 diharapkan dapat meluaskan rangkaiannya membantu pendidikan digital di Selangor dan mengurangkan beban ibu bapa menyediakan kemudahan kerana hanya satu peranti diperlukan bagi sebuah keluarga.

“Sidec melatih kami mengharungi fasa seterusnya sebagai syarikat pemula seperti bagaimana membuat pembentangan dan meningkatkan kutipan.

“Di akhir program nanti, kami juga berpeluang membuat pembentangan mengenai aplikasi ini di hadapan potensi pelabur,” katanya.