Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima syarikat rintis menang keseluruhan RM50,000, terima peluang pelaburan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak lima syarikat tunas rintis terbaik berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) kohort keempat semalam.

Syarikat eMLab, GFI Fintech, NexMind AI, Boss Boleh dan Farmy turut menerima Huawei Freebuds Pro serta peluang pelaburan dengan rakan strategik SAP meliputi RHL Ventures, AgroBank serta The Hive South East Asia.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata juri sukar menentukan syarikat layak berikutan 30 yang terpilih sangat kompetitif serta mahir dalam bidang masing-masing.

“Saya berharap semua syarikat tunas rintis terpilih akan memanfaatkan ilmu dan nasihat yang diberikan kepada mereka sepanjang program tiga bulan ini.

“Saya gembira melihat lebih banyak syarikat mengambil peluang mempamerkan idea dan penyelesaian mereka untuk diangkat agensi berkaitan,” kata Yong Kai Ping ketika berucap pada hari demo dan penganugerahan tersebut.

Acara kemuncak selepas tiga bulan latihan, bimbingan dan pembelajaran untuk 30 peserta SAP 2021 disempurnakan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Hari demo dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang program berlangsung.

Kai Ping turut berterima kasih kepada Affin Bank atas komitmen menyokong perusahaan kecil dan sederhana, syarikat tunas rintis serta inisiatif inovatif Sidec dalam menonjolkan Selangor sebagai hab digital Asia Tenggara.

SAP 2021 menerima 165 penyertaan berbanding 110 tahun lalu terdiri daripada pelbagai industri dengan memfokuskan lima tonggak utama iaitu teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perhebat digitaliasasi perniagaan, pacu pemulihan ekonomi

SHAH ALAM, 13 SEPT: Selangor giat menumpukan usaha pemulihan ekonomi melalui proses digitalisasi  perniagaan, kata EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia selaras perkembangan pesat perniagaan berkaitan teknologi perbankan, pertanian dan e-dagang terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Langkah ini menjadi tumpuan Selangor untuk memulihkan ekonomi melalui digitalisasi atau menumpukan penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.

“Menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan platform dan inisiatif yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital,” katanya berucap pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) 2021 secara maya semalam.

Hari demo terakhir menyaksikan 30 peserta SAP berpeluang membuat pembentangan kepada pelabur, syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Mereka dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang tiga bulan latihan, bimbingan serta pembelajaran.

10 syarikat rintis terbaik adalah eMLab, GFI Fintech, NextMind AI, Boss Boleh, Farmy, Xhinobi, Umorie, i-3s, Securepay dan SnappEd.

Sementara itu, Chang Khim menaruh kepercayaan terhadap peserta SAP supaya memainkan peranan dalam membantu pemulihan ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri.

“Sidec (Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor) telah berusaha keras dalam membantu Kerajaan Negeri untuk memastikan ekosistem digital dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

30 syarikat dipilih sertai pemula niaga, bantu lonjak perniagaan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 30 syarikat pemula bakal dipilih menyertai Program Pemecut Selangor (SAP) 2021, iaitu inisiatif untuk melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.

EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata pemilihan syarikat dibuat berdasarkan lima bidang iaitu
teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

“Banyak syarikat terjejas akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun perniagaan dalam lima bidang ini mampu bertahan serta diteruskan ketika pandemik.

“Ini adalah fokus utama Kerajaan Selangor untuk memulih serta melonjakkan ekonomi melalui digitalisasi selain penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran SAP 2021 melalui aplikasi Zoom hari ini.

Program terbabit merangkumi sembilan syarikat berkaitan e-dagang, masing-masing enam berkaitan teknologi pertanian dan perbankan, lima berkaitan teknologi hijau, tiga berkaitan teknologi pendidikan serta satu berkaitan perbandaran pintar.

SAP merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan untuk memberi persediaan 30 syarikat pemula dalam menerima pelaburan.

Program itu dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).