Categories
NASIONAL

KEADILAN serah SPRM siasat kes Adam Rosly

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 MEI : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan berlakunya konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi parti itu

Beliau berkata, laporan media melaporkan kononnya timbul perselisihan pimpinan ekoran pendakwaan kes rasuah terhadap pimpinan akar umbi, Adam Rosly adalah tidak benar.

“Tidak timbul sebarang pergaduhan. Mungkin itu permainan media,” katanya kepada pemberita di Shah Alam Convention Centre petang ini.

Mengulas isu sama, Mohamed Azmin berkata, KEADILAN kini menyerahkan kes Adam Rosly kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar masyarakat mengambil pendirian terbuka dengan tidak membuat sebarang spekulasi negatif sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita perlu hormati proses undang-undang. Namun perlu diingatkan seseorang itu berhak untuk membela diri selagi kesalahan belum diputuskan terhadapnya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kaji beri kontrak tidak bermakna selagi BN berkuasa

Badrul Hisham Shaharin AMK Negeri SembilanSHAH ALAM 8 NOV : Saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) supaya projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet boleh dianggap sia-sia selagi Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kuasa mereka.

BN dilihat menjadikan anugerah kontrak rundingan terus itu sebagai sumber dana politik mereka sehingga mampu mencecah jutaan ringgit bagi setiap projek.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, keadaan itu menjadikan SPRM sebuah suruhanjaya tidak bertaring.

“Perkara ini masih berlaku kerana tidak ada kehendak politik kerana dana jentera BN sendiri datang dari kontrak kerajaan yang dianugerahkan secara rundingan terus.

“Selagi BN berkuasa, cadangan SPRM itu hampir mustahil untuk dilaksanakan, dan tidak membawa sebarang makna,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Badrul Hisham berkata, jentera BN memerlukan jumlah dana yang tinggi untuk membiayai program kepartian mereka yang berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR)

Terdahulu, SPRM dalam laporannya menyarankan projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet, terutama jika membabitkan ‘keluarga dan sekutu’.

SPRM juga mengemukakan syor mengisytiharkan konflik kepentingan anggota keluarga yang mendapat pinjaman kerajaan, garis panduan untuk pinjaman mudah bagi kementerian kewangan serta peranan dan tanggungjawab pihak mewakili kerajaan dalam lembaga pengarah syarikat.

Laporan itu turut menyebut beberapa masalah dalam penganugerahan projek National Feedlot Corporation (NFC) kepada syarikat yang dimiliki dan diuruskan keluarga Ketua Wanita Umno yang juga bekas menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut SPRM dalam laporan 2012 itu, NFC turut diberikan pinjaman mudah RM250 juta walau tidak mempunyai kemahiran teknikal mahupun kewangan.

-NFN