Categories
AGENDA NASIONAL

KPM kaji semula laksana program sarapan percuma kepada murid

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula pelaksanaan Program Sarapan (PSP) Percuma untuk murid sekolah rendah yang cuba diperkenalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji mana-mana bersesuaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) yang bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksana program sarapan percuma susulan lebih ramai keluarga terjejas susulan pandemik Covid-19.

PSP sepatutnya bermula Januari tahun lalu namun tidak dilaksanakan susulan perubahan kerajaan PAKATAN kepada Perikatan Nasional pada waktu itu.

Program itu dimulakan secara rintis di beberapa sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 selama 64 hari persekolahan.

Menjawab soalan asal Maszlee, Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan dasar mengutamakan pengambilan pelajar dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) ke sekolah berasrama penuh yang diperkenal pada 2018.

“Pada waktu itu ditetapkan 60 peratus penawaran kepada pelajar B40 namun pada 2019 jumlahnya hanya 37.9 peratus dan 36.5 peratus pada 2020.

“Tahun ini jumlahnya meningkat 51.4 peratus, antara faktornya adalah strategi kementerian memperkenal kaedah permohonan secara berpusat yang membolehkan lebih ramai mendapat tempat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

4,000 murid di seluruh negara mula nikmati sarapan percuma

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kira-kira 4,000 murid di 100 sekolah terpilih di seluruh negara menikmati sarapan percuma menerusi Program Sarapan Percuma (PSP) fasa pertama yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata ia satu penambahbaikan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diperkenal Kementerian Pelajaran sejak 1979, lapor BH Online.

Antara penambahbaikan dilaksana termasuk pemilihan kriteria murid dalam golongan miskin berbanding hanya miskin tegar sebelum ini.

“Berdasarkan paras kemiskinan nasional, kita perluaskan kepada murid miskin. Jadi, lebih ramai murid dapat manfaat,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Seri Suria di Puchong pagi ini.

Beliau berkata, makanan disediakan berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan iaitu setiap sajian mengandungi nutrisi dan kalori sesuai kepada murid.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pelajar PT3, SPM SMK Seksyen 18 diberi sarapan percuma

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 9 OKT: Sebanyak 300 bungkusan sarapan percuma disediakan setiap hari kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 di sini yang menduduki pemeriksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Naib Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Isa Ishak berkata, penyediaan sarapan menerusi program Santapan Kasih PT3 dan SPM telah dimulakan pada hari pertama PT3 berlangsung iaitu 1 Oktober lalu.

“Sarapan percuma itu disediakan oleh PIBG sama ada menerusi tempahan atau disediakan sendiri dalam kalangan ibu bapa,” kata Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Norani Husain, di sini, hari ini.

Norani berkata, program ini secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan.

“Program itu juga mampu mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan guru sekolah ini,” katanya.

Penjaga memberi bungkusan sarapan kepada pelajar pada Program Santapan Kasih PT3 & SPM 2019 di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 9 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya, sebelum pelajar-pelajar bersarapan pada jam 8 pagi, mereka akan membaca yassin dan solat hajat di Surau Al-Madani di sekolah berkenaan.

Menurutnya, program itu akan diteruskan sehingga 26 November ini iaitu bagi pelajar yang menduduki SPM.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

2.7 juta murid bersarapan percuma tahun depan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Program Sarapan Percuma (PSP) yang dirancang dimulakan pada tahun depan, dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah seluruh negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, program itu akan menggunapakai dua mekanisme bagi menjayakannya.

“Mekanisme pertama ialah pengoperasian PSP selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan.

“Mekanisme kedua pula ialah pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu seperti minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas berkonsepkan sedia dimakan seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih dan telur rebus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang mahu tahu mengenai mekanisme pelaksanaan PSP untuk semua pelajar sekolah rendah mulai tahun depan.

Maszlee berkata, senarai menu PSP dibangunkan bersama-sama dengan kepakaran pihak Kementerian Kesihatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memenuhi khasiat yang diperlukan oleh murid.

Beliau berkata, waktu pemberian sarapan pagi ialah sebelum jam 8.30 pagi bagi murid sesi pagi dan sebelum 4 petang bagi murid sesi petang serta dijadualkan secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian sekolah.

”Waktu makan murid akan dijadualkan secara berperingkat-peringkat dan lokasi tempat makan murid akan dipelbagaikan menggunakan ruang ataupun bilik yang ada di sekolah. Ini dapat memberikan masa untuk murid mencuci peralatan makanan masing-masing.

”Di samping itu, kaedah makanan di dalam kelas bersama guru merupakan satu langkah praktikal daripada segi ruang dan hubungan mesra guru dengan murid dan membimbing mengenai adab,” katanya.

Menyentuh mengenai kos, Maszlee menjelaskan, program tersebut menelan belanja antara RM800 juta hingga 1.67 bilion, bergantung kepada jumlah hari persekolahan iaitu 200 hari.

“Kos juga bergantung kepada penyediaan bahan mentah termasuk di kawasan pendalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Kementerian juga akan memastikan pihak sekolah melaksanakan SOP yang ditetapkan bagi mengelak kejadian keracuan makanan,” tambahnya.

– BERNAMA