Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan jenamakan wilayah Sabah, Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk menjenamakan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia (198,354 km2 atau 60 peratus daripada tanah Malaysia) dijangka ditanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) kepada Perdana Menteri memandangkan Federation of Malaya (132,265 km2 hanya 40 peratus daripada tanah Malaysia) sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air mengenai perkembangan terkini projek pembinaan tebatan banjir di tepi Sungai Golok yang melibatkan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Perdana Menteri mengesahkan sekiranya data yang dikumpul oleh Jabatan Perangkaan menggambarkan situasi sebenar kepelbagaian dimensi kemiskinan yang wujud di negara ini.

Selepas sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM195,036,300 dan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM835,666,800 yang diperuntuk kepada Kementerian Sumber Manusia dalam Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara menyokong.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil tangan masyarakat Penan kualiti tinggi, pikat pembeli Eropah

MIRI, 22 NOV: Masyarakat Penan yang sinonim dengan usaha memanfaatkan hasil hutan demi kelangsungan hidup kini mengorak langkah ke hadapan tanpa mensia-siakan bakat mereka apabila menghasilkan kraf tangan yang mampu memikat pembeli dari Eropah sekali gus menembusi pasaran di benua itu.

Meskipun tidak terlibat secara langsung dalam proses memasarkan kraf tangan yang dihasilkan mereka, produk seperti beg tangan Penan yang dianyam menggunakan bahan terpakai seperti polipropelina telah mendapat permintaan tinggi dari negara seperti Jerman dan Switzerland, sesuatu yang perlu dibanggakan.

Mendedahkan perkara itu, peniaga di Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati Ibrahim, 52, berkata beliau menjual kraf tangan yang dibeli daripada masyarakat Penan di Ulu Baram selain memiliki beberapa produk yang dihasilkannya sendiri.

“Beg tangan Penan ini memang berkualiti tinggi dan kemasan kerja sangat bagus sebab itu mendapat permintaan yang tinggi di negara luar antaranya New Zealand, Jordan, Australia serta Switzerland.

“Beg ini pun sudah terjual ke Jerman lebih 200 unit. Saya membuat pengeposan dari Kuala Lumpur kerana perlu melalui beberapa proses seperti membuat pengisytiharan bahan untuk membuat beg ini dan sama ada ia dapat dilupuskan atau tidak sebelum diberi kebenaran memasuki negara itu,” katanya kepada Bernama.

Pusat Kraftangan Miri menjadi tumpuan bagi pelancong dan warga tempatan untuk mendapat barangan kraftangan yang diidamkan mereka. Foto BERNAMA

Norsiati berkata selain berjaya dijual di benua Eropah, beg tangan Penan juga berupaya mendapat tempat di butik pereka fesyen terkenal negara Bill Keith.

Menceritakan kembali saat mula menceburi bidang penjualan kraf tangan itu 21 tahun lepas, beliau berkata hanya keazaman dan semangat yang tinggi mampu membawanya ke tahap ini.

“Saya bermula dengan modal RM50. Produk kraf tangan yang dijual pada waktu itu pun tidak banyak…sedikit demi sedikit saya kumpul wang dengan hasil jualan dan ketika ini, saya mampu membuat jualan melebihi lima angka sebulan,” katanya.

Walau sebesar mana cabaran dan halangan yang dihadapi sejak mula berniaga, sifat berputus asa tiada dalam kamus hidup Norsiati dan itulah rahsia beliau mampu bertahan dan pada masa sama, berbangga dengan pencapaiannya hari ini.

Pengunjung membeli barangan kraftangan yang dibuat oleh masyarakat Penan di Pusat Kraftangan Miri pada 22 November 2021. Foto BERNAMA.

Mengulas mengenai Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati berkata ia menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan untuk mendapatkan produk kraf tangan yang diidamkan mereka.

“Dengan adanya tempat seperti ini, ia memudahkan kami para peniaga dan juga pembeli kerana mereka tidak perlu lagi tercari-cari di mana hendak mendapatkan produk kraf tangan. Produk ini masih tidak dilupakan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri selain digunakan sebagai cenderahati pada majlis tertentu,” katanya.

Seorang lagi peniaga Batheria Aming turut mengakui beg tangan Penan merupakan ‘barangan panas’ dan sering menjadi tumpuan pelanggan apabila melangkah masuk ke pusat itu.

“Kebanyakan pelanggan, sama ada dari Semenanjung ataupun tempatan, akan tertarik melihat beg tangan itu, mungkin kerana warnanya yang pelbagai serta kualitinya yang kemas,” katanya.

Boleh dikatakan hampir separuh kedai yang terdapat di premis itu menjual beg tangan Penan yang secara tidak langsung menarik pelanggan untuk menjenguk perniagaan mereka.

Pusat Kraf Tangan Miri di Jalan Merbau di sini, yang dibangunkan dengan kos RM1.9 juta dan beroperasi sejak 2018, menjadi tarikan pelancongan di utara Sarawak bagi membantu usaha memulihara kepelbagaian warisan budaya etnik di Bumi Kenyalang ini.

Secara keseluruhan, terdapat 13 gerai menjual pelbagai produk kraf tangan selain juadah tradisi etnik serta subetnik yang terdapat di sini dan pastinya akan menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar Sarawak.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong perkenan proklamasi darurat Sarawak ditamatkan

SHAH ALAM, 3 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata perkenan Seri Paduka selaras Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang di-Pertua Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penamatan proklamasi darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 setelah tempoh mandat kerajaan negeri tamat pada 6 Jun.

Azuan Effendy berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan selepas menerima menghadap Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara semalam bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri.

Pagi ini, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara dan memberi sembah nasihat berhubung penamatan darurat pada sesi yang berlangsung selama satu jam.

Al-Sultan Abdullah juga menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Turut diterima menghadap ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

“Maka, setelah menimbang permohonon Yang di-Pertua Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat perdana menteri serta peguam negara dan ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda memberi perkenan supaya proklamasi darurat bagi Sarawak ditamatkan,” kata Azuan Effendy.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

“Perkenan Seri Paduka kepada penamatan proklamasi darurat adalah keputusan sukar dan rumit. Namun, diperkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

Pada 31 Julai, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan proklamasi darurat di Sarawak diteruskan hingga 2 Februari 2022 susulan ancaman pandemik, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis bertugas di PRN Melaka, Sarawak keutamaan diberi dos penggalak

KOTA BHARU, 31 OKT: Lebih 10,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak akan diberi keutamaan sebagai penerima dos penggalak vaksinasi Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata walaupun belum ada sebarang arahan mengenainya, namun PDRM membuat permohonan bagi mendapatkan dos ketiga itu.

“Kita sebenarnya telah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 26 Okt lepas untuk mendapatkan suntikan vaksinasi ketiga itu. Bagi dos penggalak ini kita akan tumpukan kepada pegawai dan anggota di kontinjen yang bakal bertugas di PRN terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan 23 kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux GS Cargo dan 11 buah Van Go Auto Higer di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Hadir sama ialah Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Timbalannya, Datuk Muhammad Zaki Harun, Pengarah Eksekutif GO Auto Group Datuk SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin dan Ketua Penolong Pengarah Pengangkutan Jabatan Logistik Bukit Aman SAC Adnan Ahmad.

Mazlan berkata ketika ini terdapat 3,700 pegawai dan anggota di IPK Melaka manakala di Sarawak lebih 7,000 di Sarawak.

“Selain pegawai dan anggota di dua negeri itu, kita juga turut menekankan (pemberian dos penggalak) kepada pegawai dan anggota di Ibu pejabat Polis Bukit Aman yang tidak terkecuali disebabkan pelbagai tugasan yang akan dilaksanakan mereka,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada majlis hari ini Mazlan berkata 640 kenderaan pacuan empat roda dan van jenis sama bernilai RM108 juta turut diserahkan kepada kontinjen lain di seluruh negara.

Menurutnya kenderaan itu yang dilengkapi beberapa kelengkapan termasuk dua unit bracket senjata, perakam digital dan beg peralatan adalah untuk pelbagai kegunaan termasuk penugasan sekatan jalan raya, Light Strike Force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang dan aset untuk mencegah perhimpunan.

“Kenderaan ini adalah sebagai pemudah cara kepada anggota polis dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada PDRM,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Sarawak negeri pertama beri dos penggalak mula Oktober

KUCHING, 26 SEPT: Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 pada bulan Oktober ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menurutnya Sarawak akan menjadi negeri pertama memulakan program pemberian dos penggalak vaksin itu kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.

“Antara yang akan kita sediakan dalam garis panduan klinikal itu nanti adalah berkenaan jenis vaksin yang akan diberikan. Kita masih menilai sama ada mahu beri jenis vaksin sama atau yang berbeza,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas Imunisasi dan pengurusan pandemik bersama wakil kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Khairy berkata di Sarawak, KKM berpendapat bahawa keputusan positif daripada kit ujian RTK Antigen, sama ada dibuat di makmal ataupun secara kendiri, adalah cukup untuk mereka yang dikesan positif diasingkan serta diberikan Perintah Pemantauan di Rumah.

“Ini sangat penting untuk kita maklum kepada rakyat terutamanya di Sarawak, apabila ada apa-apa gejala, secepat mungkin laksanakan ujian RTK Antigen dan jika positif, asingkan diri di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya.

Beliau berkata dalam aspek meningkatkan kapasiti kesihatan untuk tindak balas sekiranya berlaku peningkatan kes-kes yang serius, KKM akan menghantar sejumlah 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen ke Sarawak, yang dijangka tiba pada Selasa ini.

“KKM juga akan menambah modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan penambahan sebanyak 20 katil. Ketika ini 10 katil sedang disiapkan di Hospital Sibu dan kita serah kepada kerajaan negeri untuk tetapkan di mana mereka mahu menempatkan penambahan katil baharu itu,” katanya.

Khairy berkata pihaknya turut menerima permohonan daripada Kerajaan Sarawak untuk mendirikan Hospital Medan di Sibu dan secara prinsip pihaknya telah bersetuju serta akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia mengenainya.

Selain itu katanya 64 pegawai perubatan tambahan akan diatur gerak pada minggu depan untuk dihantar ke Sarawak bagi membantu pengurusan kes Covid-19.

Sementara itu Khairy berkata pihaknya juga akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman, sekali gus mengurangkan bebanan di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu dos ketiga? Menteri ulas kes naik di Sarawak

PUTRAJAYA, 10 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku penurunan dalam keberkesanan vaksin Covid-19 selepas tempoh tertentu yang menjadi punca kes di Sarawak meningkat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata justeru, pihaknya kini meneliti keperluan suntikan dos ketiga atau ‘booster’ terutama untuk golongan warga emas, terimunokompromi dan petugas kesihatan dalam usaha mengatasi situasi itu seperti yang dilakukan di negara lain.

“Jadi kita sama sekali tidak menolak kemungkinan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku penurunan dalam keberkesanan vaksin Covid-19.

Sarawak menyaksikan peningkatan dalam jumlah kes harian baru-baru ini dan mencatatkan 3,118 kes hari ini.

Khairy berkata beliau akan berlepas ke Sarawak minggu depan untuk membincangkan langkah-langkah tambahan dengan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penularan di negeri itu.

“Saya telah meminta agar syor-syor dibuat segera memandangkan kita akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) minggu depan,” katanya.

Beliau berkata KKM akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai strategi seterusnya bagi menangani isu penularan wabak itu.

Khairy berkata langkah mengadakan ujian saringan, pengesanan dan isolasi adalah penting di Sarawak buat masa ini kerana apa yang berlaku di negeri itu mungkin berlaku di negeri lain dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya orang ramai perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap status kesihatan mereka sendiri sebagai sebahagian daripada langkah kesihatan awam.

Beliau berkata individu bergejala perlu melakukan ujian kendiri dengan pantas serta terasing dan menambah bahawa teknologi pengesanan kontak yang baharu akan diperkenal pada akhir bulan ini bagi membantu KKM dalam mengesan kontak rapat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

76,400 remaja Sarawak jadi kumpulan pertama disuntik vaksin hari ini

TAWAU, 8 SEPT: Seramai 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin Covid-19 hari ini menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

“Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak…kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

“Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Medan Sementara di Lapangan Terbang Lama, Jalan Utara, di sini semalam.

Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja.

Khairy berkata selepas Sarawak, vaksinasi kepada golongan remaja akan diberikan kepada negeri yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus golongan dewasa seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, beliau berkata sebuah Hospital Medan Sementara dengan 108 katil serta dua dewan pembedahan dalam pertimbangan untuk dibina di tapak Lapangan Terbang Lama di Jalan Utara bagi menampung kes-kes Covid-19

Menurutnya sebuah yayasan antarabangsa menawarkan untuk membina hospital berkenaan dan permohonan mengenai perkara itu sedang dipertimbangkan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hospital Medan Sementara ini seharusnya dibina dalam tempoh singkat bagi menampung keperluan kes Covid-19 selain menunggu projek pembinaan Hospital Tawau siap sepenuhnya tahun hadapan,” katanya yang menambah projek Hospital Tawau itu kini 60 peratus siap.

Terdahulu pada lawatan rasminya ke Tawau, Khairy yang diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut meluangkan masa ke Klinik Sri Balung bagi menyampaikan Anugerah PeKa B40 berikutan pencapaian klinik itu menjalankan saringan kesihatan tertinggi tahun lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Delta jadi varian dominan di Sarawak

KUCHING, 28 OGOS: Varian Delta Covid-19 kini dikenal pasti sebagai varian dominan yang menjangkiti penduduk di Sarawak, demikian menurut Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera berkata setakat 17 Ogos lepas, institut itu telah melakukan penjujukan genom pada 220 kes positif dengan 179 tambahan varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) telah dikesan daripada kes itu.

“Daripada jumlah VOC/VOI ini, 178 adalah varian Delta manakala satu lagi adalah daripada satu kes dikenali VOI Indonesian yang dikesan di Bintulu baru-baru ini.

“Secara keseluruhan, kadar pengesanan varian Delta adalah 82 peratus yang diperhatikan dalam laporan ini, menunjukkan peningkatan daripada 73 peratus yang dilaporkan pada 17 Ogos,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak wabak Covid-19 melanda negara tahun lepas, IHCM berada di barisan hadapan melawan pandemik di negeri ini, ditugaskan dengan menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan dalam virus itu.

Dr Perera berkata hampir semua jujukan kes di bahagian Kuching adalah varian Delta dengan kadar pengesanan 99 peratus (68 daripada 69 jujukan kes).

“Kadar pengesanan varian Delta yang tinggi turut dikesan di bahagian Samarahan iaitu 93 peratus (38 daripada 41 kes) dan di bahagian Serian dengan 95 peratus (16 daripada 17 kes).

“Peningkatan ketara pada kadar pengesanan varian Delta yang tinggi juga didapati di Bintulu dengan 84 peratus (20 daripada 24 kes), Miri pada kadar 65 peratus (9 daripada 14 kes) dan Sibu sebanyak 60 peratus (16 daripada 27 kes),” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai buku, alat tulis dibenar operasi semasa PKP di Sarawak

KUCHING, 28 JUN: Kebenaran bagi kedai buku dan alat tulis untuk beroperasi merupakan antara penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) yang dilaksanakan di Sarawak susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata tempoh operasi kedai berkenaan adalah mengikut syarat yang ditetapkan untuk sektor perkhidmatan, ekonomi, industri dan aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan semasa PKP.

Selain itu, waktu operasi premis yang menjual makanan adalah antara 6 pagi dan 10 malam manakala individu atau kumpulan individu tidak dibenarkan berada di kawasan awam antara pukul 12.01 pagi dan 5.00 pagi tanpa alasan yang munasabah.

Sarawak mencatatkan 409 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 64,233, dengan dua kematian baharu direkodkan, menjadikan angka kematian bertambah kepada 406 orang.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan lima kluster baharu membabitkan kluster komuniti dan tempat kerja, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negeri ini berjumlah 97 kluster.

Kluster Luteng di daerah Telang Usan dikesan di sebuah kampung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Long Luteng melibatkan 44 kes positif Covid-19.

Kluster Po Ai (Sri Aman) pula membabitkan empat rumah panjang yang turut berada di bawah PKPD dengan sejumlah 103 kes dikesan positif, manakala Kluster Blimbing (Bau) melibatkan 22 kes positif di Kampung Blimbing.

Di daerah Sarikei, 59 kes positif melibatkan empat buah rumah panjang menyebabkan Kluster Simpang Koko diisytiharkan manakala Kluster Jalan Semariang di Kuching membabitkan 36 kes positif di sebuah pasar raya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Varian Filipina dikesan di Sarawak

KUCHING, 30 APRIL: Varian Filipina atau varian P3 virus Covid-19 dikesan di Sarawak, menurut Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCOVAG).

SCOVAG dalam satu kenyataan hari ini berkata varian itu dikesan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak dalam analisis penjujukan genom minggu lepas.

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera berkata varian P3 ditemukan dalam empat sampel diterima dari Kuching dan empat sampel dari Samarahan.

“Mutasi ini didapati mampu mengatasi keimunan daripada perlindungan menerusi pemvaksinan dan perlindungan jangkitan semula jadi serta mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi,” kata Perera yang juga ahli SCOVAG.

Sementara itu, Perera berkata penyebaran tidak terkawal virus Covid-19 akan menjurus kepada kemunculan lebih banyak varian yang mungkin mendatangkan kesan ketara ke atas keberkesanan vaksin dan kebarangkalian jangkitan yang lebih teruk.

Beliau berkata perkembangan berterusan varian baharu Covid-19 menekankan keperluan untuk orang ramai terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan keperluan mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi.

“Usaha ini akan membantu memperlahankan penyebaran virus dan mengurangkan peluang perkembangan varian akan datang di dalam komuniti,” katanya.

Sejak wabak Covid-19 tercetus tahun lepas, IHCM berada di barisan hadapan menentang pandemik itu di negeri ini. Ia diberi tugas melakukan ujian sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan di dalam virus itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis guna CCTV, dron perkukuh kawalan sempadan negara

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Polis memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) selain dron di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata pemasangan CCTV ketika ini sudah dilakukan namun ia terhad seperti di kawasan Padang Besar, Perlis yang jaraknya kira-kira enam kilometer sahaja.

Beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan bagi meletakkan CCTV di kawasan-kawasan tertentu atau hotspot yang telah dikenal pasti memandangkan kos untuk meletakkan CCTV di sepanjang kawasan sempadan adalah tinggi.

“Sebenarnya ada (kawasan) yang telah dipasangkan CCTV yang hasilnya kita akan dapat sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (beberapa tahun lepas) menunjukkan gambar terdapat anggota keselamatan yang terlibat membantu penyeludup,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Abdul Rahim berkata dengan teknologi dron pula, pihaknya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia sebanyak satu batalion iaitu kira-kira 500 anggota dan tidak memerlukan sejumlah anggota yang ramai bagi menjaga serta mengawal sempadan negara.

“Dron akan terbang 24 jam dengan membuat kawalan keselamatan. Jadi, setiap apa yang berlaku, ia akan salurkan sebarang informasi kepada pusat gerakan untuk diambil tindakan,” katanya.

Tambahnya, selain penggunaan dron dan CCTV, teknologi seperti penggunaan radar akan digunakan khusus di kawasan perairan sempadan Sabah bagi meningkatkan kawalan.

Selain itu, Abdul Rahim berkata pihaknya akan menambah jumlah keanggotaan bagi kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak berikutan langkah kerajaan Indonesia ingin menjadikan Borneo sebagai ibu negara baharu negara itu bagi menggantikan Jakarta selain bertujuan mengatasi kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

“PDRM akan tambah satu briged di Sabah dan menempatkan satu batalion di Keningau, Kudat dan Kunak. Kita (polis) juga ada buat tambahan batalion di Sarawak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 858 di 12 PPS

KUCHING, 20 FEB: Banjir yang kembali melanda Sarawak sejak semalam menyaksikan peningkatan seramai 858 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 755 petang semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak setakat 8 pagi ini juga sebanyak 12 PPS telah dibuka berbanding hanya sembilan semalam.

Daripada jumlah itu, tujuh PPS dibuka di daerah Samarahan, tiga di Kuching dan dua di Lundu.

Kira-kira sebulan selepas gelombang pertama banjir di Sarawak, beberapa tempat di bandar raya ini sekali lagi dilanda musibah banjir semalam berikutan hujan berterusan.

Semalam, lalu lintas terhenti menyebabkan berpuluh kenderaan terkandas selepas beberapa jalan utama ditenggelami air berikutan kenaikan air seawal subuh, memutuskan jalan darat utama ke daerah kejiranan seperti Kota Samarahan dan Serian.

– BERNAMA