Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan bersasar ikut saranan WHO, kata pengerusi STFC

SHAH ALAM, 27 JULAI: Langkah Kerajaan Selangor mengadakan saringan Covid-19 besar-besaran sejak tahun lalu selaras gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam mengawal wabak, kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), berkata badan dunia itu mengesyor kaedah FTTIS (cari, uji, jejak, asing, sokong) diguna pakai Kerajaan Negeri.

Tambahnya, STFC menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan titik panas sebelum saringan dilaksana tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) waktu itu hanya memberi tumpuan ujian kontak rapat.

“Kami melakukan saringan bersasar sebelum berlaku kluster dan menerusinya kita mendapati ada kawasan jangkitan positifnya melangkaui lebih 20 peratus.

“Andai tidak dilakukan inilah menyebabkan terjadi perebakan dan menjangkiti komuniti, jangkitan boleh berlaku dua arah sama ada dari rumah atau di tempat kerja,” katanya pada hari kedua sidang khas Parlimen.

Sejak diperkenal April tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring lebih 120,000 penduduk  menerusi tiga fasa Saringan Komuniti yang berakhir Jun lalu.

Dr Dzulkefly berucap apabila diberi laluan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan penerangan berhubung peranan kerajaan mengawal Covid-19.

 

Categories
ADN SELANGOR

Kes Covid-19 tinggi, ADN gesa ujian bersasar buat warga Seri Kembangan

SHAH ALAM, 30 JUN: Saringan Covid-19 secara besar-besaran perlu dijalankan kerajaan terhadap penduduk di Seri Kembangan susulan kebimbangan jangkitan harian wabak.

Ahli Dewan Negerinya Ean Yong Hian Wah berkata usaha mengesan jangkitan awal harus disegerakan bagi mengelak situasi lebih parah termasuk kes kematian.

“Pusat khidmat saya masih terima laporan kes positif setiap hari. Kami risau wabak bertambah serius sekiranya langkah proaktif tidak diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengikut maklumat, lebih kurang 40 penduduk Seri Kembangan meninggal dunia di Hospital Serdang sejak lebih setahun pandemik melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut kesal dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam mengurus isu pandemik selain menjaga keselamatan rakyat, namun gagal berbuat demikian.

Pada 25 Jun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mengambil inisiatif menjalankan program Saringan Komuniti secara bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya berikutan rantaian jangkitan Covid-19 sukar diputuskan.

Seramai 683 individu berjaya disaring menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan 86 daripadanya disyaki positif wabak.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kajang cadang saringan bersasar di lokaliti kes tinggi

KAJANG, 26 JUN: Saringan bersasar di lokaliti mencatat jangkitan tinggi Covid-19 akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Wakil rakyatnya Hee Loy Sian berkata inisiatif itu akan dijalankan selepas hasil keputusan Saringan Komuniti fasa tiga hari ini dinilai.

“Contoh jika kawasan tertentu mencatat kes positif tinggi, semua penduduk di komuniti tersebut diwajibkan melakukan saringan.

“Tujuannya untuk mengesan mereka yang positif tetapi tidak bergejala dan masih keluar melakukan aktiviti harian,” katanya pada Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Seri Cempaka hari ini.

Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula Sabtu lalu di DUN Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang hari ini selain Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa esok.

EXCO Kerajaan Negeri itu juga berkata pihaknya menyasarkan memeriksa 2,000 peserta termasuk penduduk di Semenyih, Balakong, Dusun Tua dan Sungai Ramal.

“Individu disyaki positif hari ini dipakaikan gelang merah jambu selain menjalani saringan kit ujian pantas polimeras masa nyata (rt-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan serta dibekalkan kit khas kuarantin di rumah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peserta saringan tidak lagi was-was buat ujian calitan

SERI KEMBANGAN, 26 JUN: Jika dahulu Anna Wong agak ragu-ragu terhadap saringan Covid-19 kerana bimbang perhimpunan orang ramai bakal meningkatkan risiko jangkitan dan mencetuskan kluster baharu.

Namun, wanita berusia 24 tahun itu membuktikan sebaliknya apabila buat pertama kali menyertai saringan bersasar anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium MBSJ Serdang Jaya semalam.

Anna Wong

Penuntut kolej swasta itu mengakui nekad merasai sendiri pengalaman membuat ujian calitan bersama orang awam selain melihat proses pengambilan sampel dijalankan petugas kesihatan Klinik Selcare.

“Sebelum ini saya hanya buat saringan di klinik swasta kerana tidak mahu beratur panjang dan berhimpun dengan ramai orang. Walaupun sering melihat hebahan program percuma ini di media sosial, tetapi saya seperti kurang yakin.

“Kebetulan hari ini ada program saringan diadakan berdekatan rumah, jadi apa salahnya saya cuba dulu. Jika diikutkan rasa ragu-ragu itu masih ada, namun saya tetap teruskan dan mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Mohd Abu Hanifah Ibrahim

“Sejujurnya, apa yang difikirkan selama ini jauh berbeza. Proses saringan sangat cepat dan teratur malah fasiliti disediakan kepada pengunjung selesa selain dibekalkan makanan serta minuman ,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Seorang lagi peserta, Mohd Abu Hanifah Ibrahim, 35, berkata beliau sanggup meninggalkan seketika tugasan pejabat yang perlu disiapkan di rumah kerana enggan mensia-siakan peluang percuma itu.

K Ganapathy

“Ini pengalaman pertama saya buat saringan selepas tengok ada iklan di Facebook dan ‘curi’ masa kerja sekejap memandangkan rumah pun tidak jauh dari sini.

“Dengan perebakan pantas Covid-19, penting untuk kita buat pemeriksaan bagi mengenal pasti tahap kesihatan ditambah pula banyak kes tanpa simptom,” kata pembantu tadbir syarikat swasta itu.

Sementara itu, K Ganapathy, 53, berharap masyarakat memanfaatkan program saringan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri tanpa perlu ke klinik swasta bagi mendapat perkhidmatan yang sama untuk meringankan kos.

“Kalau mereka pergi klinik sudah tentu kena bayar sehingga RM200, jadi ambil peluang ini sebaik-baiknya,” kata bapa empat anak yang turut membawa isteri menjalani saringan tersebut.

Categories
ADN SELANGOR

Saringan DUN Seri Serdang kekang penularan Covid-19 dalam komuniti

SERI KEMBANGAN, 25 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menjalankan program saringan bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya di sini berikutan rantaian jangkitan Covid-19 sukar diputuskan.

Ahli Dewan Negerinya Dr Siti Mariah Mahmud berkata ujian percuma ditawarkan pusat khidmat bagi mengekang penularan wabak dalam komuniti sekali gus mengelak peningkatan kes kematian.

Katanya kes Covid-19 membabitkan penduduk kawasan sekitar sentiasa ada, malah lapan kematian direkodkan di Serdang Jaya sejak November tahun lepas.

“Diharap penduduk menjalani ujian ini supaya kes positif dapat dikesan, seterusnya kuarantin di rumah dengan dibekalkan kit pemantauan kendiri,” katanya ditemui selepas meninjau program tersebut hari ini.

Kira-kira 1,000 individu disasar menyertai saringan menggunakan kaedah ujian pantas antigen (RTK-Ag) bermula jam 9 pagi hingga 6 petang ini, dengan 400 peserta membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Petugas terlibat akan berusaha memastikan sasaran ini dicapai memandangkan cabaran utama adalah membawa golongan berusia menjalani saringan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan DUN Subang Jaya kesan 15 individu disyaki positif Covid-19

SHAH ALAM, 25 JUN: Seramai 15 individu disyaki positif Covid-19 daripada 659 individu yang menjalani saringan bersasar di USJ14, Subang Jaya, semalam.

Ahli Dewan Negerinya berkata mereka dirujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.

“Team Subang Jaya juga akan menghantar kit penilaian yang mengandungi alat pengukur kandungan oksigen (oximeter) dan ubat-ubatan.

“Selain itu, bakul makanan juga akan dihantar kerana kami faham mereka tidak boleh keluar kerana perlu menjalani kuarantin,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika dihubungi hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menjalankan program saringan bersasar di USJ14 susulan kes positif membabitkan pekerja di dua premis restoran di situ.

Ujian saringan tersebut bagi mengenal pasti sebarang potensi kluster sekali gus mengekang penularan wabak dalam komuniti.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami positif Covid-19, wanita tekad bawa dua anak jalani saringan

SUBANG JAYA, 25 JUN: Khuatir dijangkiti Covid-19 daripada bapa mereka, seorang ibu tekad membawa dua anak perempuannya menjalani saringan bersasar.

Noorul Haish Ahmad Haja, 28, berkata suaminya disahkan positif baru-baru ini hasil saringan tempat kerja dan kini diarahkan kuarantin di rumah.

Salah seorang anak Noorul Haish Ahmad Haja menjalani ujian calitan pada 24 Jun 2021. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya mengambil keputusan untuk datang buat saringan bersama dua anak perempuan berusia empat dan 11 tahun kerana khuatir berjangkit dengan suami.

“Setibanya di sini saya buntu kerana dimaklumkan perlu berdaftar terlebih dahulu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan risau jika tidak dibenarkan buat saringan.

“Namun pihak pengurusan membantu melancarkan proses pendaftaran dan membolehkan saya, anak-anak bersama anak saudara buat saringan,” katanya ketika ditemui pada program saringan bersasar di Laman Sukan USJ 1 semalam.

Yeo Seng Huat

Program saringan bersasar dianjurkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya susulan terdapat dua restoran di USJ 14 merekodkan kes positif.

Warga emas, Yeo Seng Huat, 72, pula berkata beliau hadir melakukan saringan kerana pernah mengunjungi salah sebuah restoran tersebut pada 9 Jun lalu.

“Anak meminta melakukan saringan kerana saya merupakan antara yang berisiko tinggi kerana mempunyai penyakit darah tinggi dan jantung.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya dan keluarga tiada sebarang simptom dan berharap keputusan negatif kerana khuatir kini terdapat individu disahkan positif tetapi tidak bergejala,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Saringan bersasar kawasan sekolah tumpu empat daerah

SHAH ALAM, 24 APRIL: Saringan bersasar di kawasan berhampiran sekolah akan bermula minggu hadapan dengan menumpukan empat daerah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia meliputi Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi jangkitan Covid-19.

Beliau menjelaskan pemilihan sekolah berkenaan ditentukan pasukan petugas khas terdiri daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan dalam Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Mereka (pasukan petugas khas) baru bermesyuarat beberapa hari lepas dan akan tentukan di mana akan dibuat saringan tersebut kerana kita (Kerajaan Negeri) tiada maklumat terperinci,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Persidangan Wanita Selangor sempena Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybird di Foyer SUK di sini hari ini.

Sebelum ini, sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari mulai Isnin bagi mengekang peningkatan kluster sekolah.

Sepanjang minggu lalu, Kerajaan Selangor memantau jangkitan wabak dalam kalangan warga sekolah sebelum tindakan lanjut diambil.

Ia termasuk mengesan punca jangkitan serta potensi perebakan kes.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor laksana saringan bersasar dalam tempoh terdekat

KAJANG, 22 APRIL: Selangor akan melaksanakan saringan bersasar Covid-19 di kawasan panas dalam tempoh terdekat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mengelak perebakan wabak menjadi lebih parah menjelang sambutan Aidilfitri atau tercetus gelombang keempat.

“Saya baru adakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, kita lahirkan kembimbangan mengenai kluster sekolah atau pusat pendidikan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan pek makanan kepada peniaga bazar Ramadan selepas merasmikan Laman Niaga Komuniti MPKj di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 22 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita sedang kumpul data guru, pelajar dan ibu bapa terlibat, Insya-Allah sehari dua lagi dapat maklumat penuh, kemudian kita jejak mereka,” katanya selepas merasmikan Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi hari ini.

Sebelum ini, Selangor mengumumkan penutupan 19 sekolah selama tujuh hari mulai Isnin lepas bagi mengekang perebakan Covid-19.

Tindakan itu merupakan cadangan Kerajaan Selangor kepada Kementerian Pendidikan berikutan peningkatan kes melibatkan warga sekolah.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan bersasar di Petaling hujung April, elak wabak tular

SHAH ALAM, 22 APRIL: Saringan bersasar di Petaling bagi mengekang penularan Covid-19 dijangka bermula hujung bulan ini, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata lokasi bersesuaian sedang dikenal pasti untuk mencegah kewujudan kluster baharu terutama membabitkan kakitangan dan pelajar sekolah.

“Perbincangan dilakukan bersama Jabatan Pendidikan Negeri, pejabat daerah dan Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO).

“Sebaik sahaja kita kenal pasti lokasi dalam tempoh seminggu kita akan terus jalankan saringan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 21 April, Dato’ Menteri Besar berkata saringan bersasar akan ditumpukan di Petaling susulan peningkatan kes dan penutupan 19 sekolah di daerah itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu untuk mengesan pembawa virus dalam komuniti sekali gus mengekang gelombang keempat wabak.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung wabak.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri buat saringan bersasar di kawasan sekolah minggu depan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Saringan bersasar di kawasan berhampiran sekolah akan dilaksanakan minggu depan bagi mengekang peningkatan kluster sekolah.

Dato’ Menteri Besar berkata kawasan sasaran akan dikenal pasti pasukan petugas khas terdiri daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Unit Pengurusan Bencana Negeri serta pejabat daerah.

“Mungkin kaedah pandu lalu turut digunakan supaya penularan dapat dikawal dan dalam masa sama mengelakkan perebakan.

“Kerajaan Negeri akan bantu JKNS lakukan saringan ini. Saringan juga akan dilakukan di kawasan kediaman pelajar yang dikesan positif serta menjadi kontak rapat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook hari ini.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 12 kluster yang masih aktif manakala empat kluster lain sudah diisytiharkan tamat.

“Kerajaan Negeri memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan golongan pelajar, guru serta pegawai dan berharap usaha ini mampu ditangani.

“Ibu bapa dilarang membenarkan anak ke sekolah jika mempunyai simptom berkaitan (Covid-19) serta perlu rujuk pusat kesihatan untuk rawatan,” katanya.

Sepanjang minggu lalu, Kerajaan Selangor memantau jangkitan wabak dalam kalangan warga sekolah sebelum tindakan lanjut diambil.

Ia termasuk mengesan punca jangkitan serta potensi perebakan kes.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan bersasar pekerja industri diteruskan, kawal penularan di kilang

SABAK BERNAM, 26 FEB: Saringan bersasar melibatkan pekerja industri negeri ini bakal diteruskan bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.

Bermula di Sabak Bernam, pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor berkata kaedah sama akan dilaksana di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rusli, inisiatif secara percuma itu akan kekal menggabungkan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

“Matlamat kami apabila pekerja industri jalani ujian, ahli keluarga juga ikut serta untuk mendapat gambaran sebenar siapa positif atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program saringan semalam.

Beliau menjelaskan program tersebut dibuat secara berfasa meliputi syarikat industri besar yang memiliki ramai pekerja selain perusahaan kecil dan sederhana.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pula merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan saringan.