Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Caj murah saringan Covid-19 ringan beban rakyat kurang mampu

SHAH ALAM, 23 JAN: Tawaran serendah RM50 bagi saringan Covid-19 inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mendorong orang ramai untuk melakukan ujian itu.

Seorang peserta Elya Athirah A Jalil berkata caj murah bagi menilai status kesihatan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) meringankan beban individu dan syarikat.

Pegawai keselamatan dan kesihatan itu memaklumkan majikannya mewajibkan setiap kakitangan membuat saringan susulan peningkatan kes Covid-19 di Selangor.

“Saya berterima kasih kepada wakil rakyat Kota Anggerik yang peka dengan keadaan semasa dan menggerakkan inisiatif bagi membantu rakyat kurang mampu,” kata wanita berusia 28 tahun itu.

Pekerja binaan Muhamad Solehin Mohamed Kauzi, 30, mengambil peluang keemasan itu selepas terlihat poster yang menawarkan kemudahan tersebut di Seksyen 13 di sini.

“Saya berharap usaha ini diperluaskan bukan sahaja peringkat DUN tetapi parlimen supaya lebih ramai akan mendapat manfaat,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi menawarkan inisiatif tersebut bermula 20 Januari, mengambil kira peningkatan kes Covid-19 yang semakin serius.

Program dengan kerjasama Selgate Corporation Sdn Bhd menyasarkan 2,000 peserta dan dilaksana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Saringan ke atas warga asing guna aturan ketat

SHAH ALAM, 8 JAN: Peraturan ketat dilakukan ketika saringan Covid-19 membabitkan warga asing melalui penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Pengurus Klinik Selcare Sdn Bhd berkata langkah itu bagi memudahkan pengesanan individu terbabit sekiranya disahkan positif.

“Kaedah RTK-Ag sememangnya mudah dan pantas terutama melibatkan rakyat tempatan untuk mendapatkan keputusan dengan cepat namun bagi warga asing dua kaedah dilaksanakan iaitu sama ada dibenar pulang selepas proses calitan atau menunggu di ruang khas.

“Kita hanya membenarkan mereka pulang jika keputusan negatif dan individu didapati positif akan terus ditahan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk dikuarantin,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di perkarangan Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Noor berkata semua proses pengambilan sampel Covid-19 warga asing menerusi program saringan komuniti bersasar dijalankan agensi Kerajaan Negeri itu setakat ini berjalan lancar.

“Sebelum saringan, kita akan dapatkan maklumat majikan di tempat kerja mereka supaya mudah untuk dihubungi semula jika timbul perkara tidak diingini.

“Ini antara langkah untuk menangani isu tempat tinggal warga asing memandangkan ada sebahagian daripada mereka tinggal di rumah kongsi,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Semua kakitangan hospital Klang akan disaring – MB

SHAH ALAM, 21 DIS: Semua kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akan disaring memandangkan mereka berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) termasuk mekanisme pelaksanaannya.

“Sehari dua ini kita akan lihat langkah susulan untuk pekerja HTAR dan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan bantu dan JKNS mungkin tidak menghalang langkah ini kerana semua pekerja HTAR berisiko besar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Perayaan Hari Krismas 2020 peringkat negeri.

Sementara itu, Amirudin berkata Majlis Keselamatan Negera (MKN) memanggil Kerajaan Selangor secara khas dalam masa terdekat bagi membincangkan situasi terkini Covid-19 di negeri ini.

“Saya akan memberi beberapa cadangan serta mendengar pandangan susulan bagi mengekang penularan virus.

“Bagaimanapun sebarang langkah sama ada pelaksanaan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) atau PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) diputuskan MKN,” katanya.

Semalam, Pengarah JKNS Datuk Dr Sha’ari Ngadiman memaklumkan terdapat 143 kes positif Covid-19 direkodkan di HTAR membabitkan 62 kakitangan kesihatan serta 81 pesakit.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM digesa buat audit, elak orang tengah komersial ujian Covid-19 warga asing

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semalam menggesa kerajaan menjalankan audit di lokasi ketika proses saringan secara besar-besaran terhadap pekerja asing dijalankan pada masa ini bagi memastikan piawai dan pematuhan sepenuhnya garis panduan saringan Covid-19.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata audit itu boleh dijalankan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan Covid-19 yang semakin meningkat, disebabkan permintaannya yang semakin tinggi.

“Nampaknya tiada kawalan atau penguatkuasaan ke atas aktiviti orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen untuk menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 kepada majikan. Perlu diingat bahawa orang-orang tengah ini, bukanlah penyedia penjagaan kesihatan.

“Majikan perlu sedar hanya pengamal perubatan am yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap saringan dan piawai penjagaan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Dis, MMA mengingatkan majikan agar berwaspada terhadap orang tengah atau syarikat bukan penyedia penjagaan kesihatan, yang menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 yang menyasarkan pengamal perubatan yang mempunyai masalah dengan mengenakan bayaran profesional yang rendah dan seterusnya mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih daripada majikan.

KKM pada awal November menyatakan ujian Covid-19 oleh pihak swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta, manakala hanya klinik perubatan swasta boleh menawarkan saringan di lokasi seperti di kilang, dewan orang ramai ataupun pejabat.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Lebih 4,900 kakitangan Air Selangor disaring berperingkat

SHAH ALAM, 6 NOV: Lebih 4,900 warga kerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalani saringan Covid-19 secara berperingkat mulai semalam di ibu pejabat dan semua pejabat wilayah.

Agensi memaklumkan saringan dikendalikan BP Healthcare yang dilantik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terbahagi kepada dua kumpulan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

“Sesi pertama melibatkan 3,231 warga kerja barisan hadapan didahului Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman serta pengurusan kanan, pegawai pembaca meter, pegawai kaunter khidmat pelanggan dan polis bantuan yang bermula semalam hingga 12 November.

“Manakala sesi kumpulan kedua bagi 1,757 warga kerja selebihnya akan dijalankan pada minggu ketiga November,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kerjasama dengan Perkeso melalui Program Saringan Prihatin (PSP) sebagai langkah menangani penularan jangkitan seterusnya menjamin keselamatan dan kesihatan warga kerja serta pelanggan.

Air Selangor juga menubuhkan pasukan khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar pada 12 Mac lalu untuk membantu warga kerja berkongsi maklumat terkini serta menjawab sebarang pertanyaan mengenai Covid-19.

“Pasukan ini sudah menjalankan proses sanitasi dan nyahkuman mengikut SOP dan menggunakan syarikat sanitasi yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Air Selangor juga sentiasa memastikan pematuhan terhadap peraturan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja serta pelanggan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Sidang DNS: 1,200 individu disaring mulai esok

SHAH ALAM, 24 OKT: Sekurang-kurangnya 1,200 individu akan menjalani saringan Covid-19 bermula esok bagi memastikan kelancaran sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada 30 Oktober ini.

Speaker, Ng Suee Lim berkata saringan membabitkan wakil rakyat, pegawai, petugas dan pengamal media yang terlibat.

“Saringan ini juga dilakukan disebabkan penularan beberapa kluster tempatan di Selangor dan telah diisytihar di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hanya mereka yang disahkan negatif sahaja boleh menghadiri persidangan berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Saringan akan dilakukan selama dua hari bermula esok hingga Isnin (26 Oktober) di Bangunan SUK, Shah Alam.

Pada 7 Julai lalu, Kerajaan Negeri turut menjalankan saringan yang sama terhadap individu yang menghadiri sidang DNS pada 13 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja di mukim Klang tidak wajib jalani ujian Covid-19

SHAH ALAM, 8 OKT: Pekerja sektor ekonomi yang dibenar beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang tidak perlu melakukan ujian Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan bersasar terhadap individu yang mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19.

“KKM akan melakukan saringan berdasarkan keperluan terutama di kawasan tertentu yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasakan di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Saringan Covid-19 percuma untuk penduduk Kuala Selangor

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) menawarkan saringan Covid-19 secara percuma kepada penduduk sekitar Kuala Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Noor Hisham Mohd Ghouth berkata proses pengambilan ujian calitan itu dijangka diadakan esok di Dewan Bandar Baru Kuala Selangor mulai 9 pagi hingga 6 petang.

“Selain klinik yang sudah ditetapkan, kita memang bercadang untuk mengadakan saringan ini kepada penduduk di daerah berkenaan dengan anggaran 50 hingga 100 individu.

“Pemilihan lokasi ini dibuat berikutan kesemua 16 klinik Selcare sedia ada hanya terdapat di Lembah Klang dan kita masih belum memiliki klinik di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses saringan bersasar Covid-19 di Klinik Selcare di sini hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata individu yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu tidak perlu membuat janji temu sebaliknya hadir mengikut masa ditentukan.

“Jadi, semua penduduk Kuala Selangor dan kawasan berhampiran yang pulang dari Sabah sejak 26 September lalu disaran hadir membuat saringan dalam kadar segera,” katanya.

Individu berkaitan perlu mengemukakan bukti pemastautin tetap di Selangor seperti kad pengenalan, bil air dan elektrik serta tiket penerbangan dari Sabah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 26 SEPT: Individu pulang dari Sabah akan menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa bermula esok sehingga 10 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu bagi mencegah penularan wabak dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan dari negeri tersebut.

“Mereka diwajibkan mendaftar aplikasi MySejahtera setibanya di pintu masuk antarabangsa dan kemudian akan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan Covid-19.

“Kita turut mengarahkan mereka menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) di rumah dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperoleh. Pelepasan HSO diberikan sekiranya ujian makmal menunjukkan negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua individu di pintu masuk antarabangsa akan diberi surat HSO dan perlu memakai gelang kuarantin.

“Saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah dikecuali caj ujian Covid-19,” katanya.

Malaysia merekodkan 82 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 79 daripadanya jangkitan tempatan manakala tiga kes import.

Daripada jumlah keseluruhan Sabah merekodkan sebanyak 64 kes, Kuala Lumpur (enam), Negeri Sembilan (tiga), Selangor dan Terengganu (masing-masing dua) serta Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan (masing-masing satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga daerah di Sabah jalani saringan Covid-19 skala besar

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran bagi penduduk daerah Lahad Datu, Tawau dan Kunak dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan secara besar-besaran itu dijangka melibatkan antara 15,000 dan 20,000 individu di kawasan itu.

“Kami (KKM) telah bersedia untuk menjalankan saringan besar-besaran di kawasan berkenaan dan telah mengenal pasti kampung yang akan menjalani ujian saringan berdasarkan lokaliti,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jika ada lokaliti yang mempunyai kes positif tinggi, KKM akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata kapasiti untuk melakukan saringan itu adalah 2,500 ujian sehari.

Dengan kemampuan ujian dan intervensi kesihatan awam, kementerian akan berusaha membendung wabak di daerah yang dijangkiti. Oleh itu beberapa hari akan datang adalah penting bagi proses pembendungan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata KKM telah mengenal pasti tiga premis untuk dijadikan pusat kuarantin berisiko rendah di Sabah iaitu Dewan Arena Belia Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Ibu Pejabat Daerah Lahad Datu.

Kata Dr Noor Hisham, pusat kuarantin berisiko rendah tersebut akan digunakan apabila jumlah pesakit melebihi kapasiti di hospital dan ia akan menempatkan pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan.

Dalam perkembangan lain beliau turut mengesahkan bahawa virus yang menjangkiti kluster Tawar adalah jenis yang sama dengan kluster PUI Sivagangga iaitu mutasi jenis D614G.

Bagaimanapun sehingga kini hubung kait kedua-dua kluster masih tidak dapat dikenal pasti.

“KKM pun telah tamatkan pemantauan 28 hari bagi kluster PUI Sivagangga, tetapi kluster Tawar masih dipantau dengan rapi. Apa yang pasti virus yang menjangkiti kluster itu adalah virus yang sama dengan kluster Sivagangga.

“Untuk kluster Sungai, Kementerian Kesihatan masih jalankan isolasi dan kenal pasti virus tersebut dan ini mungkin memakan masa tetapi kita mengesyaki kluster Sungai juga besar kemungkinan melibatkan virus yang sama (dengan kluster Sivagangga),” kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Speaker: Ahli parlimen dari kawasan PKPD bersasar perlu disaring

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini menyarankan ahli parlimen yang bergejala atau pulang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bersasar atau Temco untuk membuat saringan Covid-19.

Azhar berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang wabak itu berikutan kluster baharu yang melanda utara Semenanjung, iaitu Kluster Sivagangga di Kedah.

“Sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekang (Covid-19), saya ingin menyarankan kumpulan berikut membuat saringan. Pertama, mereka yang bergejala atau pesakit bawah siasatan (PUI). Kedua, pesakit di bawah pengawasan (PUS). Ketiga, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif.

“Keempat, ini penting kerana saya tahu ahli Yang Berhormat pulang ke kawasan masing-masing, jadi sesiapa yang berada dalam kawasan Temco, semi-Temco dan Temco tempatan, mana-mana ahli parlimen yang pulang ke kawasan tersebut, mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuat ujian saringan sebelum datang ke dewan,” katanya sebelum memulakan sesi persidangan Dewan Rakyat.

Beliau turut meminta whip parti untuk memberikan penekanan kepada ahli parlimen yang terlibat.

Dalam pada itu, Azhar turut memaklumkan penghadang lutsinar telah dipasang sepenuhnya di setiap tempat duduk bagi membolehkan semua ahli parlimen duduk semula di tempat masing-masing serta sebagai jarak pemisah bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Penghadang lutsinar yang dipasang ini bagi memastikan jarak pemisah (antara ahli parlimen) dan tiada kontak rapat. Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan hanya perlu dibuka apabila ingin berucap,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Keputusan saringan hadir Dewan Negeri diketahui Khamis

SHAH ALAM, 7 JULAI: Keputusan saringan Covid-19 ke atas 700 individu yang terlibat dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) diperoleh Khamis ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pencegahan diambil bagi memastikan persekitaran persidangan bermula Isnin depan dalam keadaan selamat serta bebas jangkitan wabak.

Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa suhu badan dan pengecaman wajah sebelum melakukan saringan Covid-19 di perkarangan Bangunan Annex, Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita perlu sentiasa waspada dengan Covid-19 kerana angka serta fakta menunjukkan lebih separuh kes dijangkiti tidak bergejala tetapi kelompok ini sebenarnya pembawa atau penyebar virus,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut menjalani saringan di perkarangan Bangunan Annex, SUK hari ini.

Amirudin berkata penularan Covid-19 di negara ini semakin terkawal, namun rakyat diingatkan untuk mengekalkan disiplin serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Berita baiknya tubuh rakyat Malaysia memberi respon kepada virus ini, sebab itu mereka sihat walaupun pembawa virus manakala pesakit kronik dapat bertahan meskipun dijangkiti,” katanya.

Selain Amirudin, barisan EXCO antara 56 wakil rakyat Selangor yang menjalani saringan Covid-19.

Kakitangan DNS dan pengamal media termasuk TV Selangor dan SelangorKini turut menjalani saringan sama.

Ikuti siaran langsung Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di saluran YouTube selangortv.my pada 13 Julai.

Persidangan DNS pada 13 hingga 24 Julai juga disiarkan secara langsung di saluran sama.