Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti fasa tiga bermula Sabtu, sasar 7,000 orang di dua DUN

SHAH ALAM, 16 JUN: Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula Sabtu ini menyasarkan memeriksa 7,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Dua kawasan berkenaan dipilih kerana merekodkan kes Covid-19 tinggi berdasarkan keputusan saringan fasa dua pada 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata saringan percuma berkenaan diadakan di Dewan Komuniti MBPJ Kampung Lindungan, PJS6/1 bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Tempoh saringan akan dilanjutkan sehingga jam 6 petang sekiranya kehadiran ramai, masyarakat termasuk warga asing dijemput membuat pemeriksaan bagi kita mengesan pembawa wabak terutama yang tidak mempunyai gejala.

“Dalam mesyuarat hari ini kita anggarkan kehadiran 6,000 ke 7,000 orang, saya nasihatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak membawa bayi seperti berlaku sebelum ini bagi mengelakkan jangkitan,” kata Halimey Abu Bakar ketika dihubungi.

Wakil rakyat Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri pula berkata orang ramai harus memanfaatkan inisiatif Kerajaan Negeri demi mengekang penularan Covid-19.

“Sekarang Kerajaan Negeri fokus kepada saringan dan selepas ini beralih kepada pemberian vaksin pula,” katanya.

Saringan fasa tiga di DUN Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer juga dijalankan serentak pada Ahad ini manakala Kajang pada 26 Jun selain Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa 27 Jun.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Saringan Komuniti fasa tiga dicadang di lapan DUN kes tinggi

SHAH ALAM, 15 JUN: Saringan Komuniti fasa ketiga anjuran Kerajaan Selangor dicadangkan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatatkan kes Covid-19 tinggi.

Pengurus Klinik Selcare berkata pihaknya mencadangkan program itu dibuat di Seri Setia dan Taman Medan Sabtu ini diikuti keesokannya di Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang pada 26 Jun selain Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa 27 Jun.

Menurutnya, perkara tersebut sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri yang akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Pemilihan kawasan berdasarkan keputusan saringan sebelum ini yang menunjukkan lokasi terbabit merekodkan kadar jangkitan lebih lima peratus.

“Kita berharap lebih ramai tampil untuk membuat saringan dan kaedah pendaftaran sama seperti fasa kedua,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi di sini hari ini.

Di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, program secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu manakala 97,565 peserta diuji di 56 DUN sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu bagi fasa kedua.