Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Seramai 2,385 disyaki positif, lebih 56,000 sertai saringan di 28 DUN

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 2,385 individu disyaki positif Covid-19 hasil saringan di 28 lokasi sepanjang bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu dikesan daripada 56,463 individu yang menyertai Program Saringan Komuniti secara percuma antara 8 Mei hingga 27 Mei.

Jumlah keseluruhan itu dikongsi beliau menerusi Facebook yang merangkumi keputusan saringan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan DUN Kota Damansara semalam.

Berdasarkan perkongsian Amirudin, seramai 49 daripada 2,548 individu di DUN Kota Anggerik disyaki positif manakala saringan di DUN Kota Damansara mengesan 103 disyaki positif daripada 3,017 individu.

Program saringan hari ini bertempat di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam dan Dewan MPK, Meru Klang.

Esok, saringan diteruskan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali dan Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Semua saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Puncak Alam, Kajang esok

SHAH ALAM, 9 APRIL: Penduduk sekitar Bandar Puncak Alam dan Kajang digalak menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor, esok.

Dato’ Menteri Besar berkata program diadakan di Dewan MDKS Sinar Alam, Fasa 2, Bandar Puncak Alam dan gelanggang bola keranjang Taman Setia, Kajang serentak mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Penduduk yang tinggal sekitar Puncak Alam Fasa 3, Sinar Alam, Alam Suria, Taman Alam Jaya, Taman Alam Sutera, Alam Perdana, Saujana Utama dan Seri Pristina digalakkan hadir pada hari berkenaan.

“Sementara di Kajang, penduduk Kampung Sungai Chua, Kampung Baru Sungai Chua, Desa Kekwa, Taman Setia, Taman Berjaya, Pusat Perindustrian Sungai Chua dan Taman Kajang Raya digalakkan hadir,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di facebook.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari screening.selangkah.my

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Seramai 4,352 individu terlibat dalam program saringan setakat Februari yang turut membabitkan 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti percuma di Subang Jaya, Puchong hari ini

SHAH ALAM, 13 MAC: Saringan komuniti percuma diteruskan di Subang Jaya dan Puchong hari ini sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang berjalan serentak di Dewan Serbaguna MPSJ di Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Saringan sama akan diteruskan esok di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7.

Orang ramai yang mahu menjalani saringan boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Setakat Februari, seramai 4,352 individu menyertai program saringan berkenaan termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar tahfiz, kanak-kanak antara golongan jalani saringan percuma

SHAH ALAM, 6 MAC: Seramai 20 pelajar Pusat Tahfiz Madrasah Miftahul Khoir Taman Subang Perdana menyertai Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Resak Subang Perdana hari ini.

Gurunya, Muhammad Azuan Mat Hussin berkata langkah itu demi memenuhi tuntutan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) susulan pembukaan semula sesi persekolahan.

Muhammad Azuan Mat Hussin

“Kita mengambil inisiatif untuk pergi ke program saringan ini kerana tidak mahu wujudnya kluster membabitkan pelajar tahfiz memandangkan sekolah sudah dibuka.

“Saya harap lebih ramai guru atau penyelia pusat pembelajaran ambil inisiatif rebut peluang sertai saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri ini,” katanya.

 

Nor Sazwani Safian

Sementara itu, ibu dua anak, Nor Sazwani Safian, 34, berkata beliau mengambil keputusan untuk menyertai saringan ini selepas dimaklumkan terdapat kes positif Covid-19 di tadika anaknya.

“Inisiatif Kerajaan Negeri menyedia saringan percuma bagus terutama kepada mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai, saya cadangkan mereka hadir dan buat ujian ini,” katanya yang tinggal di Meru.

Warga emas, Norliah Ahmad, 60, berkata beliau memberanikan diri hadir ke saringan tersebut kerana bimbang dengan peningkatan kes wabak kebelakangan ini.

Norliah Ahmad

“Rutin harian mengguna pengangkutan awam membuatkan saya khuatir kerana sering terdedah kepada orang ramai dalam keadaan berhimpit. Justeru, saya bertindak hadir ke sini hari ini untuk melakukan saringan,” katanya yang tinggal di Taman Subang Perdana.

Seorang lagi peserta, Mohd Kamal Kassim, 40, turut berkongsi kegelisahan menjalani ujian calitan kali pertama yang akhirnya reda selepas mendapati ia tidak menyakitkan.

Mohd Kamal Kassim

“Ini kali pertama saya buat saringan dan rasanya tidak sakit. Semoga Kerajaan Selangor meneruskan lagi inisiatif membantu penduduk negeri ini,” jelasnya yang bekerja sebagai juruteknik penerbangan.