Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tetap jalankan saringan di tahfiz, madrasah tidak berdaftar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tetap menjalankan saringan Covid-19 kepada pelajar dan kakitangan tahfiz atau madrasah yang tidak berdaftar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kementerian itu mengalu-alukan institusi itu untuk berdaftar dengan majlis agama.

“Sama ada tahfiz atau madrasah itu daftar atau tidak kita tetap mengambil pendekatan jalankan saringan Covid-19 secara berperingkat kepada mereka semua.

“Namun, tahfiz dan madrasah yang tidak berdaftar digalakkan untuk daftar kerana ia memudahkan KKM untuk mengetengahkan beberapa syarat yang perlu mereka patuhi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Namun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

MB: Saringan Covid-19 besar-besaran di zon merah bermula Sabtu

SHAH ALAM, 10 APRIL: Saringan besar-besaran di zon merah Covid-19 di Selangor bermula esok selepas penyelarasan pegawai selesai hari ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya sedang mengumpulkan 5,000 kit saringan dan perkembangannya dipaparkan menerusi video.

“Esok  kita lakukan di beberapa lokasi dan kita  pamerkan video kawasan tersebut. Kita maklumkan berapa ramai kita dapat uji (saring).

“Setakat ini kita cuba kumpulkan 5,000 kit ujian, mungkin satu kali operasi itu sekitar 400 hingga 500 (digunakan) untuk dibuat saringan,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Covid-19 Selangor hari ini.

Amirudin sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Enam daerah dikategori zon merah adalah Hulu Selangor, Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak dan Sepang.

Sehingga 9 malam tadi, Hulu Langat mencatat 370 daripada keseluruhan 1,116 kes di negeri ini, diikuti Petaling (319), Klang (146), Gombak (119), Sepang (54), Hulu Selangor (41), Kuala Selangor (27), Kuala Langat (25) dan Sabak Bernam (15).

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saring 25,020 individu dari luar negara, 18 ada simptom Covid-19

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 25,020 individu dari luar negara disaring di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dengan 18 daripadanya mempunyai simptom Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang disaring sejak 3 April lalu kini ditempatkan di hospital dan pusat kuarantin bagi mengekang penularan wabak.

“Sebelum ini kita minta mereka kuarantin di rumah tetapi sekarang kita tempatkan mereka di pusat (kuarantin) dan hotel,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia turut berjanji untuk memperkukuh kawalan di semua sempadan dan pintu masuk utama negara seperti dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Setakat ini, 118 daripada 551 pusat kuarantin diwartakan kerajaan di seluruh negara beroperasi sepenuhnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Polis terima data 40,000 individu dalam rangkaian penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis menerima data rangkaian penularan Covid-19 melibatkan kira-kira 40,000 individu termasuk individu dikaitkan dengan kluster ahli tabligh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata data berkenaan diperincikan secara satu persatu pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed bagi mengesan mereka berkemungkinan terlibat jangkitan wabak itu

Beliau berkata hasil daripada data KKM itu, pihaknya mengenal pasti beberapa daerah terdapat individu dan kumpulan seharusnya perlu tampil membuat saringan pemeriksaan Covid-19.

“Kami membuat analisis daripada data-data itu dengan membantu KKM mengenal pasti sehingga lebih kurang 11,000 ahli tabligh yang menyertai majlis ijtimak di Masjid Sri Petaling, di sini, baru-baru ini.

“Daripada data ini, pasukan berkenaan memperhalusi dan menggunakan kaedah tertentu untuk mengenal pasti rangkaian kontak rapat, perjalanan dan siapa yang mungkin dijangkiti mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

“Kami kenal pasti individu itu termasuklah mendapatkan maklumat lengkap seperti alamat rumah, nombor telefon dan kad pengenalan yang diperoleh daripada pasukan itu untuk kami beri pada KKM untuk hadir membuat saringan pemeriksaan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan kumpulan ahli tabligh itu disaring dan pihak polis menyeru orang ramai agar tidak mengecam dan mendiskriminasi ahli tabligh.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan berkenaan juga sedang berusaha memperoleh maklumat ahli tabligh yang berada di luar negara dan menyampaikannya kepada pihak Jabatan Imigresen atau pihak pelabuhan untuk menunggu kepulangan mereka di lapangan terbang dan pelabuhan

“Ini bertujuan untuk sahkan kumpulan ahli tabligh yang tiba dan polis akan terus ambil tindakan mengiringi mereka menaiki bas serta dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pihak penganjur ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di sini mendakwa sebanyak 95 peratus daripada kira-kira 11,000 peserta perhimpunan tabligh telah tampil membuat saringan kesihatan bagi COVID-19.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan itu dari 28 Feb hingga 1 Mac lepas yang kini menjadi kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini.

-BERNAMA