Categories
AGENDA NASIONAL

Zurinah bangga belia manfaat digital bawa suasana baharu karya sastera

SHAH ALAM, 7 DIS: Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan bangga melihat anak muda memanfaatkan kemajuan teknologi bagi membawa suasana baharu dalam kesusasteraan.

Beliau berkata golongan terbabit berkongsi dan menyiarkan semula karya penulis terdahulu seperti syair, sajak dan novel secara digital kepada pengguna media sosial.

“Saya banyak menghasilkan sajak, cerpen dan novel. Saya masih ingat semasa buku pertama diterbitkan pada 1974, buku itu hilang entah ke mana…tidak dipedulikan, saya tak nampak siapapun yang baca.

“Tetapi sekarang saya lihat mereka (anak muda) dapat bawa semula karya yang diminati masyarakat di media sosial. Saya berterima kasih kepada internet sebab saya boleh tahu siapa yang baca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi hati dan minda sasterawan sempena Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan bercakap ketika program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 6 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penulis dan penyair berusia 72 tahun yang lebih dikenali dengan nama pena Haniruz turut berharap agar bahasa Melayu terus dimartabatkan melalui karya dan penulisan.

“Saya ingin lihat penulisan ini sesuatu yang dihormati dan diangkat serta tidak dipermainkan oleh masyarakat,” katanya.

Mula dikenali dengan sajak ‘Sesayup Jalan’ pada 1974, wanita kelahiran Bakar Bata, Alor Setar mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi hingga terhasil kumpulan puisi ‘Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour’, 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Zurinah pernah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara ASEAN (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana.

Beliau juga menghasilkan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil tulisan ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990).

Beliau turut menghasilkan 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak 1963.

Beberapa karya puisi dan sajaknya diterjemahkan ke bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesta Buku Selangor tampil enam sasterawan negara

SHAH ALAM, 1 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 menampilkan enam sasterawan negara sepanjang program itu berlangsung mulai 2 hingga 12 Disember depan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad berkata usaha itu adalah sebahagian daripada menghargai sasterawan negara.

“Dengan bertemakan hati dan minda, kita jemput sasterawan negara ini untuk berkongsi dan mengetahui bagaimana pemikiran mereka. Selain itu, kita juga akan mengusahakan memanggil semua pengarah perpustakaan negeri lain.

“Ini supaya masyarakat tahu ke mana hala tuju perpustakaan dan sasterawan negara serta mereka boleh berkongsi idea dan pendapat. Sudah tiba masanya kita menghargai individu berilmu,” katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Enam sasterawan negara itu, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Seri A. Samad Said, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan disertai beberapa panelis lain akan tampil dalam program bual bicara ‘Hati dan Minda Sasterawan’.

Tambah Mastura, pesta buku kali ini juga menganjurkan Selangor International Children Content secara dalam talian pada 2 hingga 4 Disember.

“Ini adalah usaha kita ini ke arah pesta buku ke peringkat antarabangsa dan ia melibatkan penceramah dan pembentang dari Filipina, Europe, Indonesia.

“Malah, program ini bukan sekadar pesta buku kerana terdapat juga gerai-gerai jualan seperti makanan dan pakaian. Kita menempatkan peniaga-peniaga dalam bantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan menawarkan lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah pemergian Sasterawan Negara, Kemala

SHAH ALAM, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang meninggal dunia hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

“Menerima khabar dukacita Sasterawan Negara Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) telah menghembuskan nafas terakhir hari ini.

“Allahyarham merupakan penerima Anugerah Sasterawan Selangor 2005,” katanya menerusi Facebook.

Allahyarham yang berusia 80 tahun dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah hari selepas berada dalam keadaan uzur berikutan beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang.

Untuk rekod, Ahmad Kamal pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1968 sebagai penolong penyunting sebelum menjadi pengarang majalah Dewan Sastera.

Sebelum bersara pada 1969, beliau bertugas sebagai ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sasterawan Negara, Kemala, meninggal dunia

SHAH ALAM, 27 OKT: Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini.

Kematian Allahyarham disahkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, lapor Berita Harian.

Menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar dunia sastera Malaysia, Mohamad Saleeh berkata Ahmad Khamal berada dalam keadaan uzur kerana beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang sebelum menghembuskan nafas akhir.

“Sumbangannya bukan sahaja dalam bentuk karya puisi, kritikan, dan prosa yang bermutu tinggi dan menjadi antara ikon sastera tanah air, malah gerakan sastera yang dilancarkan beliau sebagai aktivis memberikan kesan yang besar dalam perkembangan sastera dan jalinan sastera di peringkat antarabangsa.

“PENA sangat menghargai sumbangannya selama ini dan untuk mengenang jasa serta sumbangan beliau, kerajaan diharap dapat merancang sesuatu yang bermakna dan monumental sifatnya,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air.

“Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara.

“Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dan bergiat aktif bersama-sama DBP demi bahasa dan persuratan Melayu,” katanya.

Ahmad Kamal, 80, pernah bertugas di DBP bermula pada tahun 1968 bermula sebagai penolong penyunting, sebelum menjadi editor majalah-majalah sastera dan berbagai lagi dan sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat sasterawan negara meriahkan acara baca puisi Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini akan bergegar dengan lontaran suara empat Sasterawan Negara menyampaikan puisi kenegaraan pada acara Malam Puisi Hari Malaysia pada jam 8.30 malam Selasa depan.

Pada acara anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) bersempena sambutan Hari Malaysia 2020 itu, Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhuan, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Dr Siti Zainon Ismail akan beraksi bersama-sama para pemenang sayembara puisi kebangsaan, penyanyi lagu puisi dan penggiat teater tempatan pada persembahan percuma untuk warga kota.

Presiden Pemuisi Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata ini merupakan kali pertama acara Pemuisi diadakan dengan penyertaan penonton sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan mulai Mac lepas.

“Sebelum ini beberapa program kami termasuk Baca Puisi Ramadan Sedunia 2020 pada 30 April lepas yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai acara baca puisi yang menampilkan paling banyak hantaran video diadakan secara dalam talian.

“Untuk persembahan kali ini, kami akan pastikan ia mematuhi tatacara operasi piawai bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Peminat puisi yang ingin menghadiri acara ini diminta menempah tempat dengan menelefon 012-5025688 (Zaleena E-naa).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sasterawan Negara berkumpul pada majlis Hadiah Sastera Selangor 2019

SHAH ALAM, 17 DIS: Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2019 menjadi sejarah apabila berjaya menghimpunkan enam Sasterawan Negara terkemuka pada majlis dianjurkan Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) yang dikenali sebagai Media Selangor.

Sasterawan Negara yang hadir ialah Datuk A.Samad Said, Datuk Dr Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Baha Zain.

Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Amirudin Shari berkata, majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2019 menjadi detik bermakna walaupun penganjurannya baru kali keempat diadakan.

“Saya masih ingat ketika Dr Anuar Rethwan memberikan ulasannya pada tahun pertama penganjuran acara ini, katanya (Dr Anuar Rethwan) walaupun ruangan dalam SelangorKini berbentuk tabloid sangat kecil namun ia memberi ruang kreatif kepada penulis.

“Ruang kecil tetapi garapannya sangat luas, oleh itu saya percaya bahawa anugerah serta ruangan ini perlu dikekal dan diteruskan,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Sastera Selangor 2019 bertempat di Black Box SACC Mall di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CCSB, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree yang juga penganjur utama program terbabit.

Acara kali keempat yang dianjurkan sejak 2015 adalah cetusan idea Amirudin ketika menyandang jawatan Exco Kebudayaan negeri.

Hadiah Sastera Selangor bertujuan memupuk kemahiran seni sastera dalam kalangan penulis, khususnya yang masih baru dan belum mendapat tempat di beberapa penerbitan lain.

Pada tahun ini, kira-kira 600 karya bagi kategori esei, cerpen dan sajak diterima SelangorKini dalam tempoh setahun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

DBP disaran wujud Akademi Sasterawan Harapan – Maszlee

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bagi melahirkan pelapis sasterawan berbakat negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran mewujudkan Akademi Sasterawan Harapan untuk membolehkan mereka mendapat bimbingan daripada sasterawan negara.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata akademi itu boleh mengambil pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga universiti untuk memperoleh ilmu dan pengalaman daripada seorang ahli dalam bidang itu.

“Kita tahu sasterawan negara datang dan pergi dan ada juga pelbagai program telah dianjurkan… namun apa yang saya ingin utarakan adalah mengembalikan tradisi keilmuan iaitu tradisi berguru, bertalaqqi, kita ingin membina sasterawan daripada umur cilik lagi,” katanya pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Sastera Tunas Cipta 2017/2018 di sini, hari ini.

Selain itu, Maszlee berkata kementerian akan memastikan sekolah harian kerajaan mewujudkan sudut sasterawan negara mulai tahun depan bagi memupuk kecintaan terhadap ilmu kesusasteraan.

Pada majlis itu, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar memenangi hadiah berjumlah RM9,500 menerusi dua kategori iaitu buku sastera dewasa bergenre autobiografi ‘Jejak Seni Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad’ dan kategori drama eceran berjudul ‘Pokok’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Generasi muda wajar diberi pendedahan karya penggiat sastera

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 15 NOV: Generasi muda di negara ini perlu diberi pendedahan dengan karya nukilan Sasterawan Negara supaya tidak hilang ditelan zaman.

Penggiat Teater dan Pelakon, Fauziah Nawi berkata, kebanyakan anak muda masa kini tidak mengenali karya sastera termasuk Sasterawan Negara itu sendiri.

“Oleh sebab itu, kita memperjuangkan seni pentas dan kesusasteraan negara melalui program seni persembahan Gempita Sastera-Sasterawan Negara yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

“Kalau tiada orang yang mahu mengambil usaha bagi menggalakkan lagi program seperti ini, siapa lagi yang mahu bertanggungjawab?,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu pada Majlis Pelancaran Program Gempita Sastera Sasterawan Negara 2019 di De Palma Hotel, Shah Alam.

Fauziah berkata, pihaknya bersyukur dengan kerjasama dan sumbangan yang diterima, terutama daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)

“Kami bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu bagi menjayakan program ini dan berharap masyarakat dapat memberikan sokongan dengan menghadiri teater yang diadakan pada Disember ini dengan bayaran RM25 setiap seorang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Prof Dr Siti Zainon Sasterawan Negara ke-14

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Penulis dan pengkaji budaya terkenal, Prof Dr Siti Zainon Ismail, dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke-14.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, Siti Zainon dipilih berdasarkan sumbangannya terhadap perkembangan sastera dan impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterimanya.

“Kita juga tidak mengenepikan sasterawan terdahulu yang mana mereka juga terlibat memberikan sumbang saran dan nasihat kepada panel pemilihan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Maszlee berkata, majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 21 September ini.

Siti Zainon akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku dengan jumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Maszlee berkata, Siti Zainon akan turut diberikan kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Buat pertama kalinya, Sasterawan Negara ke-14 juga akan menerima elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

Maszlee berkata, anugerah itu diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Menurut Maszlee, sasterawan negara perlu diberi lebih perhatian dan patut dicontohi dalam perkembangan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan.

“Di peringkat universiti kita membawa sasterawan melalui program ‘Sasterawan di Fakulti’. Begitu juga di peringkat sekolah, kita sedang meneliti beberapa karya sajak dan puisi untuk dimasukkan dalam silibus Bahasa Melayu untuk diperkenalkan kepada pelajar sejak darjah satu,” katanya.

Siti Zainon, 69, anak kelahiran Gombak, Selangor yang telah menulis 25 kumpulan puisi, kumpulan cerpen (10), antologi cerpen (tujuh), antologi puisi (lima) dan novel (tiga).

Beliau turut menghasilkan 18 buku kajian ilmiah, 21 esei kajian dalam buku (bab) dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah-katalog.

Siti Zainon pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Southeast Asian (SEA) Writer Award 1989, Anugerah Budayawan Selangor, Anugerah Tokoh Seni Budaya, memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak enam kali, Penghargaan Seni Seoul Country Club, Korea dan Anugerah Profesor Luar Biasa Universitas Jabal Ghafur Aceh, Indonesia.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Zurinah terkilan pihak pertikai elaun sasterawan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan terkilan dengan sikap segelintir pihak yang menyifatkan pemberian elaun kepada penerima anugerah sasterawan sebagai tidak wajar kerana terlalu tinggi.

Zurinah yang juga dikenali dengan nama pena Haniruz berkata, pemberian elaun sebanyak RM5,000 itu bukanlah satu isu memandangkan ia sudah dilaksanakan di negara maju lain.

Katanya, masyarakat perlu menerima dengan hati terbuka kerana ramai pihak tidak mengetahui bahawa penggiat sastera melalui detik sukar dalam menghasilkan ‘buah tangan’ kepada pembaca.

“Sebenarnya elaun untuk Sasterawan Negara adalah satu perkara biasa di negara seperti Jepun, Korea termasuk Thailand. Mereka memberi sara hidup kepada sasterawan dan perkara ini tidak pernah terjadi di Malaysia.

“Apabila elaun ini diberi, bermakna kerajaan sudah mengikut negara maju lain yang menghargai seniman dan sasterawan mereka…tetapi melihat reaksi rakyat yang mempertikai, pemikiran masih belum maju walaupun kerajaan mahu menjadikan negara yang menghargai ilmu serta seniman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Malam Silaturrahim Aidilfitri & Baca Puisi Bumbung @ Shah Alam IDE, di perkarangan Pejabat Institut Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Pada masa sama, penulis dan penyair yang mula dikenali dengan sajak ‘Sesayup Jalan’ itu berkata, sokongan dan bantuan daripada kerajaan sememangnya diperlukan sebagai penyuntik semangat untuk terus bergiat aktif dalam bidang penulisan seterusnya menjadi seorang sasterawan tulen.

Akui Zurinah yang pernah mengungguli Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004, sasterawan juga perlu tekun dalam menulis tanpa memikirkan keuntungan sama ada daripada segi fizikal mahupun material.

“Apabila sasterawan tidak menulis, maka mereka tiada hasil pendapatan. Jadi, pendapatan sasterawan itu dari mana kalau tak dibantu sehingga menyebabkan seseorang sasterawan harus bekerja untuk hasilkan sastera. Masa untuk berfikir itu sudah berkurang kalau bekerja.

“Sebab itu elaun kerajaan beri ini sangat berguna dan berharap ia berterusan untuk membantu meningkatkan industri sastera. Kalau tanya sasterawan, sudah tentu mereka akan berterusan menulis,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memperkenalkan elaun RM5,000 untuk penerima anugerah Sasterawan Negara dengan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan RM35,000 kepada Kementerian Pendidikan untuk bayaran itu mulai bulan depan hingga Disember ini.

Bagaimanapun, beberapa pihak mengkritik pemberian terbabit dan dikatakan lebih baik diberi kepada yang lebih memerlukan seperti bekas tentera, nelayan atau bilal masjid.

Ada juga berpendapat bahawa elaun itu sepatutnya diberikan sejak pentadbiran BN lagi memandangkan golongan sasterawan sudah lama diabaikan.

 

Categories
NASIONAL

Tujuh Sasterawan Negara terima elaun penghargaan bulanan RM5,000

PUTRAJAYA, 24 JUN: Tujuh sasterawan negara menerima Elaun Penghargaan Bulanan RM5,000 sebagai menghargai sumbangan mereka menaikkan martabat Bahasa Melayu dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Mereka ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan, untuk RM5,000 sebulan seorang, kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun sara hidup itu yang bermula bulan ini.

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, memastikan kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada semua Sasterawan Negara agar terus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Penghargaan Bulanan itu kepada sasterawan berkenaan di sini.

Turut hadir pada majlis di Kementerian Kewangan itu ialah Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah; dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Sementara itu, Anwar berkata pemberian elaun penghargaan ini merupakan satu inisiatif yang membanggakan.

“Ini sekaligus memberi mesej yang jelas kerajaan Pakatan Harapan, sementara menumpu perhatian pada pertumbuhan ekonomi, tidak meninggalkan malah tetap mempertahankan keutuhan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan juga mengangkat martabat sastera negara kita supaya dapat dinikmati oleh khalayak ramai,” katanya.

Salah seorang penerima, A. Samad berkata mereka tidak menjangka akan diberi penghargaan kewangan yang begitu munasabah.

“Yang terpenting, tentunya kementerian sendiri mengharapkan wang ini tidak mematikan kita sebagai sasterawan malah menumbuhkan (sumbangan kepada negara),” katanya. – BERNAMA

FOTO EHSAN: FB DATUK AMIRUDDIN HAMZAH

Sasterawan Negara di nobat penerima Dana Sastera Selangor 2015

Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan dinobatkan sebagai penerima sulung Dana Sastera Selangor 2015.