Categories
AGENDA EKONOMI

Eksport minyak sawit turun 41.7 peratus sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020 mencatatkan penurunan signifikan 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata eksport minyak sawit iaitu minyak sawit mentah dan minyak sawit proses menyusut 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan.

“Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama.

Mohd Khairuddin berkata antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan) dengan anggaran pasaran dua juta tan setahun.

Menurutnya sebilangan besar negara tersebut telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka,” kata Mohd Khairuddin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyelidik UKM bantu industri sawit sisa sifar

SHAH ALAM, 22 OKT: Pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan loji rintis industri sawit berkonsep sisa sifar bagi memastikan tidak berlakunya pencemaran air, tanah dan udara.

Ketua kumpulan penyelidik, Prof Ir Dr Mohd Sobri Takiff berkata, pihaknya yakin sisa kelapa sawit mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber tenaga baharu khususnya dalam sektor pertanian.

Katanya, impak inovasi itu dipercayai dapat meningkatkan hasil produktiviti minyak sawit negara serta menjamin kemampanan masa depan industri berkenaan.

“Saya harap penyelidikan ini akan menjadi panduan kepada kilang-kilang kelapa sawit sedia ada supaya mereka membuat perubahan ke arah teknologi hijau yang neutral dan bebas sisa.

“Pada masa sama, kami turut berbangga kerana dapat berkongsi hasil penyelidikan ini yang dilihat merupakan antara model terbaik dalam tadbir urus sisa pemprosesan minyak kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke Kompleks Loji Yayasan Sime Darby (YSD), Bestari Jaya.

Penyelidikan yang mendapat kerjasama YSD itu turut dibantu Prof Dr Jamaliah Md Jahim, Prof Madya Dr Mohd Shahbudin Mastar, Prof. Madya Dr Sahilah Abdul Mutalib dan Ir Dr Shuhaida Harun.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, penyelidikan yang dijalankan itu turut memfokuskan kepada penghasilan tenaga boleh diperbaharui dan pemerangkapan gas karbon dioksida.

Katanya, ia juga mampu menghasilkan baja organik dan kitar semula penggunaan air dari air kumbahan dan sisa pepejal yang terhasil dalam pemprosesan minyak sawit.

“Kejayaan penyelidik UKM ini wajar diberikan penghormatan kerana bukan semua pihak mampu memikirkan penyelesaian yang paling bernas dalam menyelesaikan masalah sisa buangan industri sawit hingga menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Sawit: Malaysia, Indonesia akan cabar peraturan EU di WTO

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Malaysia dan Indonesia komited untuk mencabar Akta Perwakilan Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat penggunaan minyak sawit dalam biobahan api menerusi pihak Badan Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta saluran lain yang bersesuaian.

Malah, kedua-dua negara itu turut meneliti hubungan dengan EU dan negara anggotanya, kata Kementerian Industri Utama (MPI) dalam satu kenyataan bersempena Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) kali ke-7 di sini, hari ini.

“Kalangan menteri terbabit menyuarakan rasa kesal terhadap pelaksanaan Akta Perwakilan EU pada 10 Jun, 2019. Ia telah dikuatkuasakan walaupun pelbagai usaha sudah diambil oleh negara-negara pengeluar bagi menyampaikan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif mapan yang dilaksanakan,” kata kementerian itu.

Selain itu, mesyuarat sama turut mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja CPOPC-EU Mengenai Minyak Sawit (JWG) yang berperanan sebagai platform baharu dan respon terhadap akta tersebut.

Langkah ini diputuskan selepas mengambil kira kesediaan delegasi CPOPC dan EU untuk mengadakan dialog secara lebih kerap.

“JWG boleh membabitkan negara anggota CPOPC dan negara pengeluar minyak sawit lain seperti pengeluar sawit Afrika dan akan membangkitkan isu pekebun kecil serta usaha pembasmian kemiskinan sebagai maklum balas terhadap Akta Perwakilan itu,” kata kementerian.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Darmin Nasution, turut membincangkan pelbagai isu berkaitan industri minyak sawit termasuk dasar perdagangan antarabangsa dan akses pasaran, perniagaan dan penglibatan pekebun lecil dan Agenda Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 (UNSDG).

Duta Colombia ke Malaysia, Mauricio Gonzalez Lopez turut hadir dalam mesyuarat itu selaku wakil negara pemerhati.

Menurut kementerian, kalangan menteri-menteri terbabit turut menyambut baik hasil kajian Pelan Induk Pelaksanaan Strategik SDG dalam Sektor Minyak Sawit menjelang 2030 dilaksanakan oleh CPOPC yang menunjukkan minyak sawit menjadi sebahagian besar daripada 17 objektif SDG PBB.

Ini berdasarkan kajian kes yang dijalankan di Indonesia, Malaysia, Thailand, Colombia dan Nigeria.

Mengulas isu tahap pencemaran 3-Monochloropropanediol (3-MCPDE) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Eropah, kalangan menteri itu bersetuju bahawa satu tahap maksimum 2.5 ppm bagi semua minyak sayuran perlu diterima pakai sebagai had keselamatan penggunaan yang sewajarnya.

Menteri-menteri terbabit juga bersetuju bahawa CPOPC perlu meneruskan usaha melibatkan isu-isu semasa berkaitan dengan industri minyak sawit seperti bekalan dan permintaan, produktiviti, kestabilan harga, kebajikan pekebun kecil dan imej positif minyak sawit di sepanjang rantaian nilainya.

Menurut kenyataan kementerian itu, semua negara pengeluar minyak sawit turut dipelawa untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Negara Pengeluar Minyak Sawit kali kedua di Kuala Lumpur pada 18 November depan.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

Penangguhan duti minyak sawit galak eksport

SANDAKAN, 1 MEI: Duti eksport minyak sawit mentah ditangguhkan bermula 1 Mei hingga 31 Disember, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata penangguhan duti itu dijangka mampu menggalakkan eksport minyak sawit ke luar negara, selain ke pasaran baharu.

“Kementerian menyambut baik syarikat pengeluar dan pengeksport menggunakan peluang ini untuk mengeksport minyak sawit.

“Dengan cara ini, kita akan dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil kelapa sawit,” katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Penanam Sawit di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Teresa berkata beberapa pasaran baharu negara lain juga berminat mengimport minyak sawit, termasuk benua Afrika, Arab dan Rusia.

“Namun, semua itu perlukan masa untuk dijalankan, dan berharap dengan duti percuma ini akan mengalakkan lebih banyak eksport minyak sawit,” katanya.

Mengenai dialog itu, Teresa berkata antara masalah yang dihadapi penanam sawit ialah harga rendah, tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan cukai.

Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil untuk menangani isu itu ialah memberikan gambaran yang jelas tentang manfaat minyak sawit, khususnya di pasaran Eropah.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dana RM500 juta, Geran RM100 juta buat pekebun kecil sawit

PUTRAJAYA, 27 APR: Kerajaan hari ini mengumumkan dana pinjaman mudah sebanyak RM500 juta bagi penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian dengan kadar faedah rendah dua peratus setahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, program pinjaman mudah ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan para pekebun kecil dalam melaksanakan penanaman semula sawit.

“Di samping itu, dana pinjaman mudah sebanyak RM50 juta juga disediakan pada kadar faedah dua peratus setahun bagi membiayai input dan bahan penanaman sawit dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka yang berkualiti dan terkini,” katanya.

Jelas Guan Eng, bantuan untuk pekebun sawit itu diperkenalkan atas keprihatinan kerajaan terhadap keadaan semasa yang dihadapi oleh pengusaha sawit berikutan harga komoditi minyak sawit yang rendah.

“Penyediaan dana pinjaman mudah dan bantuan terutamanya kepada pekebun kecil untuk penanaman semula adalah selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menjamin kebajikan pengusaha sawit dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan utama di dunia,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Guan Eng turut mengumumkan geran RM100 juta untuk pengusaha sawit yang mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Di bawah dasar ini, kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan MSPO daripada 70 peratus sedia ada bagi pengusaha sawit yang mempunyai saiz penanaman sederhana (40 – 1000 hektar).

“Kerajaan juga akan menambahkan bantuan untuk kos pengauditan daripada 30 peratus kepada 50 peratus. Insentif ini akan dibayar setelah pengusaha berjaya mendapat pensijilan,” katanya.

Tambah Guan Eng, Kementerian Kewangan mengalu-alukan pengiktirafan sawit Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk pemeteraian memorandum persefahaman di antara Malaysia dan China pada Khamis yang melibatkan pembelian tambahan 1.9 juta tan minyak sawit Malaysia dengan anggaran nilai RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun (2019 – 2023).

Justeru, katanya, penambahbaikan bantuan kepada pengusaha sawit terutamanya golongan pekebun kecil persendirian bertujuan memastikan pertumbuhan permintaan minyak sawit Malaysia tidak hanya dinikmati syarikat besar.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia-negara EU bincang isu minyak sawit

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit secara mampan semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari negara Kesatuan Eropah (EU) dan anggota Parlimen blok ekonomi itu, baru-baru ini.

Mesyuarat berasingan dengan menteri luar Hungary, Itali, Luxembourg, Romania, Sepanyol dan EU; serta Jawatankuasa Luar Negeri dan dua naib presiden Parlimen Eropah itu diadakan semasa lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium pada 21 hingga 23 Januari lalu, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-EU ke-22.

“Agenda utama Malaysia ialah isu minyak kelapa sawit. Menteri Luar menggariskan komitmen negara terhadap pengeluaran minyak kelapa sawit secara mampan dalam usaha meraih pengiktirafan antarabangsa bagi skim pensijilan Minyak Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Beliau seterusnya menyeru EU dan negara anggotanya menjadi pemudah cara bagi usaha Malaysia membangunkankan industri minyak kelapa sawit, termasuk dengan menyebarkan maklumat tepat berkenaan minyak kelapa sawit selain menekankan sistem perdagangan bebas perlu bersifat adil,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Saifuddin sekali lagi menekankan bahawa industri minyak kelapa sawit negara kini tertumpu kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan hasil, bukannya memperluas pembukaan ladang baharu seperti diuar-uarkan sesetengah pihak di Eropah.

Beliau turut menerangkan bahawa MSPO adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempertimbangkan aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi secara komprehensif, menurut kenyataan tersebut.

“Menteri Luar seterusnya menjelaskan kerjasama berterusan antara Malaysia dan badan pensijilan antarabangsa seperti Pensijilan​ ​​​​​​Kemampanan dan Karbon Antarabangsa menunjukkan MSPO dilaksanakan secara integratif dan bukan satu usaha persendirian” katanya.

Wisma Putra berkata, Saifuddin turut mengalu-alukan tindakan Itali menandatangani Perjanjian Pengisytiharan Amsterdam pada 2017 sebagai tanda sokongan kepada minyak kelapa sawit mampan di Eropah.

Bagi isu lain, Saifuddin menyatakan sokongan negara terhadap demokrasi penyertaan berasaskan kedaulatan undang-undang, selain menyuarakan agenda utama Malaysia termasuk melaksanakan pembaharuan serta mempromosikan perlindungan hak asasi manusia.

Beliau turut berkongsi berkenaan program bantuan kemanusiaan yang disampaikan Malaysia kepada pelarian Rohingya, termasuk mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar dan memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya di negara ini.

“Isu Laut China Selatan juga telah dibangkitkan. Dalam hal ini, Menteri Luar mengulangi pendirian Malaysia bahawa Laut China Selatan harus bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tangguh hubungan dialog ASEAN-EU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, menyuarakan pendapat untuk menangguhkan peningkatan hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah kepada status ‘perkongsian strategik’.

Beliau berkata, ia harus ditangguhkan pada satu tarikh akan datang ekoran pertikaian perdagangan minyak sawit yang berterusan.

“Harapan Malaysia bahawa ASEAN dan EU terus berusaha mengukuhkan hubungan antara kedua-dua organisasi berasaskan kerjasama erat yang sedia ada seperti yang digariskan Pelan Tindakan ASEAN-EU (2018-2022).

“Semua menteri luar bersetuju untuk menaiktaraf hubungan itu, namun butiran dan masa akan ditentukan kelak ekoran isu yang dibangkitkan Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Saifuddin berkata, tindakan melabel minyak kelapa sawit sebagai suatu ancaman adalah ‘tidak adil’, memandangkan Malaysia mempunyai lebih daripada 60 undang-undang dan peraturan yang meliputi hidupan liar dan perlindungan alam sekitar sebagai tambahan kepada penekanan keselamatan serta kebajikan pekerja.

“Itu sebabnya tidak adil untuk menyebarkan minyak kelapa sawit Malaysia sebagai ancaman kepada alam sekitar dan bertentangan dengan (Tujuan Pembangunan Mampan PBB). Yang kami masukkan dalam manifesto (Pakatan Harapan), Rancangan Malaysia ke-11 dan Rangka Kerja Dasar Asing kita antara lain.

“Memandangkan kesan buruk terhadap keadaan ini terhadap Malaysia dan negara pengeluar minyak sawit ASEAN lain. Malaysia dan Indonesia bersama-sama sokongan negara anggota ASEAN lain berpendapat bahawa peningkatan hubungan dialog ASEAN-EU ke arah perkongsian strategik seharusnya ditangguhkan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, dalam bidang anti-keganasan, Menteri Luar menggariskan peranan yang dimainkan oleh Malaysia melalui program pembinaan keupayaan di bawah Pusat Serantau Asia Tenggara bagi mencegah keganasan.

Pada Januari 2018, Parlimen Eropah meluluskan resolusi untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam pengeluaran biofuel di EU pada tahun 2020 dalam usaha untuk menghentikan penebangan hutan di Indonesia dan Malaysia iaitu dua pengeluar komoditi terbesar minyak sawit.

 

Categories
EKONOMI

Harga minyak sawit mentah dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR 30 SEPT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka rendah dan didagangkan dalam jajaran antara RM2,480 dan RM2,550 satu tan minggu depan berikutan kelemahan permintaan daripada pasaran asing.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata pembeli asing berkemungkinan mengehadkan pembelian mereka berikutan ketegangan politik antara Korea Utara dan Amerika Syarikat.

“Ketegangan politik itu akan menjejaskan sentimen dan menyebabkan peniaga memilih untuk berada di luar pasaran,” katanya.

Beliau berkata, India juga sudah mula menambah stok bekalannya menjelang perayaan Deepavali pada 18 Oktober depan.

Pada Isnin, jurunilai kargo Intertek Testing Services berkata eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-25 September menokok 16.1 peratus kepada 1.085 juta tan daripada 934,544 tan yang dicatatkan pada tempoh sama pada Ogos.

buah-sawitSementara itu, bagi perbandingan Khamis hingga Jumaat, Oktober 2017 susut RM29 kepada RM2,719 satu tan, November 2017 berkurangan RM38 kepada RM2,697 satu tan, Disember 2017 merosot RM42 kepada RM2,695 satu tan manakala Januari 2018 berkurangan RM45 kepada RM2,695 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 114,287 lot daripada 221,608 lot pada Khamis minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 274,461 kontrak berbanding 261,316 kontrak, sebelum ini.

Di pasaran fizikal, September Selatan merosot RM35 kepada RM2,730 satu tan daripada RM2,765 satu tan pada Khamis.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

BN lulus kilang sawit, penduduk derita bau busuk

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Kewujudan kilang sawit di sempadan Jementah dan Kebun Baharu, Johor telah mengakibatkan pencemaran udara sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk setempat.

Penduduk sekitar terpaksa menghadapi masalah bau busuk khususnya waktu pagi dan selepas hujan kerana jarak kilang dari jalan utama dan rumah penduduk lebih kurang 500 meter sahaja.

Setelah satu bantahan penduduk bersama pimpinan Pakatan Harapan Johor diadakan pada 10 Jun lepas, saya dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Subramaniam telah mengarahkan penutupan kilang tersebut serta-merta selama sebulan.

Saya difahamkan pihak pengurusan kilang telah bersetuju untuk mengadakan sesi perbincangan secara bersama dalam masa terdekat. Apa yang saya mahukan ialah wakil-wakil yang terlibat mestilah mereka yang terdiri daripada pimpinan kerajaan, pimpinan pembangkang, Majlis Perbandaran dan wakil komuniti di Jementah.

Masalah utama setelah pembinaan kilang ini wujud adalah lebih membawa kesan negatif apabila berlakunya pencemaran alam sekitar yang berkemungkinan menjadi lebih serius dan menjejaskan kesihatan penduduk.

Mungkin setelah tiada jalan penyelesaian diperolehi, penduduk terpaksa menanggung penderitaan seperti mendapat penyakit kulit manakala kanak-kanak pula sering batuk dan selsema akibat menghidu udara yang tercemar.

Saya menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri untuk menyiasat aduan yang telah dibuat oleh penduduk akibat pencemaran air longkang dan parit yang dipercayai berpunca daripada kilang kelapa sawit tersebut.

Bukankah amalan pertanian dan pemprosesan sawit di negara ini dikawal ketat oleh beberapa badan kerajaan di mana ianya tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan akta-akta tertentu.

Saya berharap pihak pengurusan kilang dapat menghentikan operasinya sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai dan segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan dan bukannya mengutamakan keuntungan sebelah pihak sahaja.

# Dato’ Seri Dr Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN