Categories
SELANGOR

Perlantikan Baru 2 Ahli Majlis MPSJ

SHAH ALAM, 14 MAC : Dua muka baru telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggantikan Roslan Shahir dan Ismail Kamal bagi tempoh 2012 hingga 2013.

Perubahan ini melibatkan Muzammil Hafiz dari parti PAS dan Sazana Isa dari wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam Majlis Melafaz Ikrar dan menandatangani Pengakuan Menerima Jawatan itu turut dilantik semula Chang Kim Loong dari Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Chia Yew Ken dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan 17 ahli lagi dikekalkan.

Perlantikan itu bermula 1 Mac 2012 untuk tempoh dua tahun iaitu berakhir pada 31 Disember 2013.

Yang diPertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata lantikan baru itu bertujuan untuk memberi laluan baru kepada wakil-wakil baru yang dilantik untuk mempelajari tugas-tugas sebagai Ahli Majlis.

Katanya, lima kekosongan sebagai Ahli Majlis akan diisi dan diputuskan oleh Kerajaan Negeri dalam satu mesyuarat yang akan diadakan nanti.

” Jumlah keseluruhan masih 24 orang Ahli Majlis, seramai lima orang lagi akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, MPSJ akan menunggu senarai ahli itu sama ada ahli baru atau ahli lama yang akan diputuskan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Asmawi dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas diatas lantikan itu dan berharap semua Ahli Majlis dapat menjalankan tugas dengan baik dan meningkatkan prestasi.