Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam rugi RM383,000 jadi mangsa ‘pegawai LHDN’

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM383,000 selepas dihubungi ‘pegawai’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 12 Februari lepas.

Wanita berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada LHDN mengatakan dia mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM36,690 dan kemudian dinafikan wanita tersebut menyebabkan panggilannya disambungkan kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan’.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita itu kemudian bercakap dengan seorang ’pegawai polis’ berpangkat Inspektor dan setelah semakan dibuat, dia dikatakan mempunyai rekod penyeludupan dadah.

“Mangsa yang bimbang terhadap ugutan itu, memasukkan sejumlah wang secara berperingkat sebanyak empat kali ke dalam akaun yang berbeza pada 14 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setelah memindahkan wang keseluruhannya berjumlah RM383,000, wanita itu menyedari dirinya ditipu.

Mohamad Fakhrudin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang dilakukan oleh sindiket itu.

“Orang ramai dinasihatkan segera menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan-panggilan telefon sebegini. Modus operandi sindiket ini menyasarkan sesiapa sahaja terutama yang cepat panik dan golongan yang kurang pendedahan mengenai maklumat-maklumat terkini jenayah siber,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru wanita rugi RM27,550 ditipu lelaki mengaku polis

KUANTAN, 23 JAN: Seorang guru wanita membuat laporan polis kerana mengalami kerugian RM27,550 akibat diperdayakan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berumur 57 tahun itu mendakwa dia dihubungi suspek lelaki mengaku sebagai pegawai polis Rabu lepas, yang memberitahu namanya digunakan bagi membuka sebuah akaun bank yang dikaitkan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Wanita itu mendakwa telah menuruti arahan untuk memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada suspek, kononnya bagi tujuan siasatan kerana bimbang ditangkap jika tidak memberikan kerjasama kepada polis.

“Bagaimanapun selepas wanita itu memeriksa baki akaun banknya pada pagi semalam, dia mendapati ada banyak transaksi pemindahan wang secara atas talian daripada dua akaun bank miliknya ke akaun yang tidak dikenali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata guru wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, kira-kira 220 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dan perbankan menerusi panggilan telefon, termasuk kepada mereka yang memperkenalkan diri sebagai polis atau agensi kerajaan lain, sebaliknya membuat pemeriksaan terlebih dahulu di balai polis berhampiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas rugi RM61,500 diperdaya kekasih Facebook

KUANTAN, 19 DIS: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM61,500 selepas terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang hanya dikenalinya di laman sosial Facebook selama beberapa bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 73 tahun mendakwa mula berkenalan dengan suspek sekitar April dan hubungan itu semakin rapat sehingga menjadi pasangan kekasih.

“Mangsa mendakwa pada penghujung November lepas, suspek menyatakan hasrat untuk meminjam wang sebanyak RM100,000 kerana berdepan masalah kewangan dan memberi jaminan akan memulangkannya kembali apabila keadaan semakin baik.

“Atas dasar percaya, mangsa meminjamkan wang RM61,500 yang dimasukkan ke dalam akaun diberikan suspek menerusi mesin deposit tunai sebanyak empat kali dengan transaksi terakhir dibuat pagi semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa hanya mengetahui dirinya ditipu selepas dihubungi pihak bank pada petang semalam, bagi membuat semakan selepas melihat transaksi pengeluaran simpanan dalam jumlah yang besar.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bentong kira-kira 162 kilometer dari sini semalam dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CyberSecurity Malaysia keluar tiga amaran keselamatan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: CyberSecurity Malaysia (CSM) mengeluarkan tiga amaran dan saranan keselamatan berkaitan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengarah dan ketua pegawai eksekutifnya.

Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata ia susulan penjenayah siber melakukan penipuan dalam talian membabitkan scam serta e-mel ‘Phishing’ menggunakan isu Covid-19 selain serangan ‘malware’ seperti ‘Ransomware’, lapor Berita Harian.

“Sesebuah organisasi berkemungkinan menjadi sasaran kepada serangan lebih besar seperti Penafian Perkhidmatan (Denial of Service – DDOS), Spam dan Spear-phishing Email yang mampu mengganggu atau merosakkan sistem rangkaian mereka.

“Bagaimanapun setakat ini tiada laporan berkaitan penggodaman terhadap panggilan atau sidang video dikemukakan mana-mana pihak kepada Pusat Bantuan Cyber999,” katanya hari ini.

Amiruddin berkata kaedah atau teknik menggodam terbahagi kepada dua, iaitu secara teknikal dan kejuruteraan sosial atau mungkin gabungan kedua-duanya.

“Kesan boleh dikenal pasti mangsa yang digodam adalah kebocoran data peribadi atau maklumat sulit serta akaun e-mel atau media sosial diceroboh menyebabkan pemilik tidak dapat mengakses akaun terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata laman sesawang berpotensi digodam seperti insiden ‘web defacement’, penafian perkhidmatan (DOS/DDOS attack), percubaan pencerobohan dan ‘hosting malicious file’ atau program, jika tidak dikemas kini atau gagal mematuhi amalan terbaik.

“Selain itu, berlaku transaksi tidak sah, sama ada perbankan, kad kredit atau aplikasi pembelian dalam talian serta menerima mesej amaran dari pihak pentadbir aplikasi digunakan menyatakan akaun mereka sudah diakses dan mencurigakan,” katanya.

Info amaran dan saranan keselamatan dikeluarkan CSM:

1) ‘COVID-19: Penipuan dan Scam’ disiarkan di
https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-779.032020, pada 18 Mac lalu.

2) ‘Bekerja dari Rumah: Nasihat Keselamatan dan Amalan Terbaik’
disiarkan di https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-780.032020, pada 21 Mac lalu.

3) ‘Online Video Tele-conferencing (VTC) Application Security
Guidelines’ disiarkan di https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-782.042020, Selasa
lalu.

Categories
NASIONAL

Polis: Waspada panggilan individu tidak dikenali

SIBU 28 JAN: Polis menggesa orang ramai di Sibu digesa agar tidak melayan sebarang panggilan daripada orang yang tidak dikenali agar tidak menjadi mangsa penipuan ‘Macau Scam’.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata pelaku penipuan itu akan membuat panggilan secara rawak bagi mendapatkan mangsa dan mereka yang melayan panggilan itu akan terdedah kepada tipu daya pelaku, lapor BERNAMA.

“Kes seumpama ini banyak dilaporkan berlaku di Semenanjung tetapi ramai yang tidak melayan panggilan itu.

“Suspek sukar dikesan kerana mereka berpusat di luar negara atau nombor yang mereka gunakan adalah palsu manakala akaun yang digunakan untuk menerima pindahan wang adalah milik pihak ketiga,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Bukit Aman sedang giat memantau kegiatan sindiket penipuan itu.

Stanley Jonathan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian penipuan terbaharu melibatkan seorang pesara jururawat berusia 69 di bandar ini semalam.

Wanita tersebut yang kerugian RM29,950 sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan hutang kad kredit yang perlu dibayar segera.

Mangsa kemudiannya membuat transaksi pemindahan wang tersebut ke dalam akaun yang didaftar atas nama seorang wanita seperti yang diarahkan dan sejurus selesai, pemanggil terus menamatkan talian telefon itu.

“Modus operandi suspek ialah memperdayakan pengadu untuk membayar hutang kad kredit yang tidak wujud dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.

Terbaharu, sebanyak 31 laporan telah dibuat berkaitan kes penipuan Macau Scam pada bulan ini di Sibu, membabitkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM98,562,58.

Khamis lalu, seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun di sini mengalami kerugian RM9,800 selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa dari Bank Negara, yang memberitahu beliau ada tunggakan kad kredit berjumlah RM3,900 dan perlu dibayar segera.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Macau Scam: RM7.2 juta kerugian dicatatkan di Selangor

PETALING JAYA, 21 NOV: Sebanyak 228 kes berkaitan penipuan ‘Macau Scam’ dicatatkan membabitkan kerugian kira-kira RM7.2 juta di Selangor dari Januari hingga November ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan banyak peringatan kepada orang ramai namun kes berkaitan penipuan seumpama ini masih berlaku melibatkan pelbagai latar belakang mangsa termasuk golongan profesional.

“Masyarakat harus berhati-hati dalam melakukan sebarang transaksi melibatkan kad kredit dan jangan mudah panik serta terpedaya dengan sindiket ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Judi Dalam Talian di Balai Polis Ara Damansara, semalam.

Jenayah ‘Macau Scam’ kebiasaannya melibatkan penipuan menggunakan panggilan palsu daripada talian antarabangsa yang memperdaya mangsa untuk mendedahkan nombor akaun bank, nombor pengeluaran wang otomatik (ATM) atau kad kredit.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan modus operandi anggota sindiket yang licik menipu rakyat negara ini.

Mazlan berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 213 kes berkaitan penipuan itu direkodkan melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM17.3juta, lapor Bernama.

Beliau berkata anggota sindiket itu juga dikesan menyamar sebagai pegawai bank dan menawarkan bantuan kononnya untuk mengelakkan wang mangsa dirampas atau dibekukan sebelum meminta mangsa memindahkan wang ke akaun lain yang dibekalkan oleh sindiket.

“Sekiranya sesiapa menerima panggilan yang mengatakan daripada pihak polis atau bank, jangan takut. Orang ramai boleh terus datang ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

=EZY=