Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 70,000 guna Scan to Ride dalam tempoh kurang sebulan

SHAH ALAM, 26 MAC: Seramai 74,037 penumpang Bas Smart Selangor menggunakan Scan To Ride ketika menaiki perkhidmatan awam itu sejak 1 Mac lalu.

Sistem imbasan kod QR melalui aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) diwajibkan ke atas penumpang ketika naik dan sebelum turun bas.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata caj 90 sen yang dikenakan ke atas warga asing pula mencatatkan sebanyak RM8,964 setakat ini.

“Walaupun pelaksanaannya tidak sampai sebulan namun sambutan terhadap sistem ini amat menggalakkan, malah pengguna mematuhi arahan untuk mengimbas kod itu,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan Selangor melancarkan Scan To Ride sejajar hasrat menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai bagi menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2035.

Bermula 15 Mac, penumpang bukan warganegara dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun perlu membayar perkhidmatan tersebut manakala rakyat tempatan kekal percuma.

Penumpang warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak tidak diwajibkan mempunyai aplikasi itu sebaliknya hanya perlu membawa kad pengenalan.

Smart Selangor Delivery Unit menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi CEPat yang turut menawarkan khidmat bayaran cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan utiliti.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBSA: ‘Scan To Ride’ galak masyarakat guna aplikasi tanpa tunai

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyokong usaha Kerajaan Negeri mewajibkan penggunaan ‘Scan To Ride’ kepada penumpang Bas Smart Selangor.

Datuk Bandar Dato’ Haris Kasim berkata usaha itu selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara yang menggalakkan transaksi tanpa tunai dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Kita percaya ramai dalam kalangan pengguna Bas Smart Selangor akan memuat turun aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) untuk menggunakan sistem tersebut.

“Sehingga kini sebanyak 34 bas itu bergerak di lapan laluan sekitar Shah Alam yang rata-rata pengguna dalam kalangan pelajar dan kakitangan awam,” katanya pada Pelancaran ‘Scan To Ride’ Perkhidmatan Bas Smart Selangor di Menara Bank Simpanan Nasional semalam.

Beliau menambah pihaknya juga berusaha menyediakan pelbagai platform digital untuk memudahkan urusan orang awam dan pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Kita juga sedang bergerak ke arah teknologi digital dengan mewujudkan pelbagai jenis aplikasi untuk beri kemudahan kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan atau berurusan dengan MBSA,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penumpang Bas Smart Selangor wajib guna ‘Scan To Ride’

SHAH ALAM, 2 MAC: Pengguna Bas Smart Selangor wajib menggunakan ‘Scan To Ride’ yang perlu dimuat turun menerusi aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat).

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata sistem itu membolehkan mereka membayar tambang dengan kaedah mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.

“Sistem ini diperkenal sejajar hasrat Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai selaras menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2025.

“Bagaimanapun, pengguna bas warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak pula tidak diwajibkan mempunyai aplikasi ini sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan sahaja,” katanya ketika melancarkan ‘Scan To Ride’ Perkhidmatan Bas Smart Selangor semalam.

Beliau berkata warga asing akan dikenakan bayaran RM0.90 setiap perjalanan mulai 15 Mac ini manakala warga Malaysia kekal percuma.

“Sistem ‘Scan To Ride’ ini juga digunakan untuk selenggara dan tambah baik jumlah laluan Bas Smart Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata setakat Disember tahun lalu terdapat 11,000 pengguna telah memuat turun aplikasi CEPat.

“Kita menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi ini. SSDU juga akan berusaha untuk tambah baik dengan beberapa perkhidmatan lain akan datang,” katanya.

Selain ‘Scan To Ride’, CEPat merupakan platform pembayaran elektronik berpusat yang turut menawarkan perkhidmatan sedia ada iaitu cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan bayaran utiliti.

Categories
EXCO SELANGOR

Pengguna Bas Smart Selangor wajib ada aplikasi CEPat mulai 16 Januari

SHAH ALAM, 26 DIS: Orang ramai diwajibkan mempunyai aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) bermula 16 Januari untuk menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata aplikasi CEPat boleh dimuat turun melalui Playstore dan AppStore.

“Namun bagi peringkat permulaan, sistem yang dipanggil ‘Scan to Ride’ ini akan dilaksanakan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Pelaksanaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) lain akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanapun Sze Han berkata warga emas dan kanak-kanak tidak perlu menggunakan aplikasi terbabit.

“Tetapi mereka digalakkan membawa kad pengenalan asli atau salinan. Ini bagi membolehkan kapten bas memberi kebenaran kepada mereka untuk menaiki bas.

“Saya harap orang ramai peka kepada sebarang pengumuman berkenaan ‘Scan to Ride’ serta perkembangan pelaksanaannya bagi PBT lain,” katanya.

Aplikasi ‘Scan to Ride’ membolehkan pengguna membayar tambang melalui kad atau mengimbas kod QR.

Usaha itu selaras hasrat mewujudkan masyarakat Selangor tanpa tunai serta ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.