Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

4,902 pengguna manfaat aplikasi kesihatan mental negeri

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 4,902 rakyat negeri ini berdaftar dan menggunakan aplikasi program Selangor Mental Sihat (Sehat) sejak 1 September.

Jumlah itu termasuk mereka yang membuat saringan dan ujian literasi kesihatan mental hingga 21 November, kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata sebanyak 18,253 tontonan turut direkodkan bagi 30 video pendidikan kesihatan mental dalam aplikasi yang dilancarkan pada 30 Ogos.

“Bilangan yang dinasihati melalui aplikasi ini seramai 89 orang. Mereka menjalankan konsultansi secara dalam talian dan melalui panggilan lisan bersama kaunselor bertauliah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung prestasi aplikasi Sehat pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah berkata julat umur pengguna aplikasi berkenaan secara purata antara 10 hingga 82 tahun dengan majoriti dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun iaitu 57.8 peratus.

Sebelum ini, beliau berkata individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh bertemu pakar segera tanpa perlu menunggu lama, antara yang ditambah baik dalam belanjawan negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Urusan rawatan psikiatri dipercepat, sokong individu alami tekanan

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai yang meluahkan tekanan menerusi program Selangor Mental Sihat (Sehat) akan dirujuk kepada pakar psikiatri dengan segera mulai tahun depan.

EXCO kesihatan berkata langkah itu antara penambahbaikan program SEHAT selepas sektor kesihatan negeri ini menerima peruntukan Belanjawan #Selangor2022 berjumlah RM65 juta.

“Kita sudah ada pelbagai program mendidik rakyat untuk menjaga kesihatan mental menerusi talian Sehat, ada dalam kalangan mereka yang menghubungi memerlukan rawatan atau terapi dengan pakar psikiatri.

“Jadi tahun depan, InsyAllah ada mekanisme yang mana kita akan berhubung terus dan mereka mereka tanpa perlu janji temu yang lama akan dirujuk kepada pakar, kita perlu sokong mereka,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata peruntukan bagi sektor kesihatan awam meningkat kepada RM65 juta pada 2022 berbanding RM56.5 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, peningkatan sebanyak RM8.5 juta itu selaras dengan agenda Kerajaan Negeri yang mengutamakan kesihatan rakyat.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Utama kesihatan mental, seru cakna keadaan orang keliling

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri mengutamakan agenda kesedaran kesihatan mental dengan memperkenalkan inisiatif Selangor Mental Sihat (Sehat).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang terdapat di dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) antara usaha membantu warga Selangor menangani isu kesihatan mental.

“Usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan literasi mengenai isu-isu sebegini wajar dirancakkan dalam kalangan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang sihat serta harmoni.

“Setiap dari kita mempunyai peranan yang boleh dimainkan bagi memastikan kesihatan mental terpelihara. Cakna dengan keadaan orang sekeliling dan dapatkan bantuan segera,” katanya menerusi Facebook sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Beliau berkata Selangor melaksanakan agenda kesedaran mental sejak setahun lalu susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 1,080 kes percubaan membunuh diri.

“Statistik Polis Diraja Malaysia merekod 336 kes bunuh diri sehingga Mac dan statistik ini sangat menggusarkan,” katanya.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan Sehat dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

SEHAT  boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat digalak akses Selangor Mental Sihat, tonton video pendidikan kesihatan

SHAH ALAM, 7 SEPT : Masyarakat digalak mengakses fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menangani isu mental.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata fungsi itu menyediakan pelbagai komponen berbentuk video dan forum yang dapat membantu individu mengalami tekanan ekoran pandemik Covid-19.

“Selain saringan dan intervensi awal, SEHAT turut menawarkan video pendidikan kesihatan mental daripada kaunselor berpengalaman termasuk dilengkapi jurubahasa isyarat untuk orang kelainan upaya (OKU).

“Forum SEHAT pula dibuat secara mingguan melibatkan kerjasama NGO (badan bukan kerajaan) Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa), justeru masyarakat perlu manfaatkan inisiatif ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Pengguna turut berpeluang menonton 30 video pendidikan kesihatan mental dilengkapi jurubahasa isyarat bagi memenuhi keperluan OKU.

Inisiatif tersebut dibangunkan dengan kerjasama kumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadang wujud subsidi terapi tangani isu kesihatan mental

SHAH ALAM, 27 OGOS : Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif subsidi terapi bagi menangani isu kesihatan mental.

Juwairiya Zulkifli berkata perkara itu wajar dipertimbangkan kerana kos menjalani sesi terapi dan perubatan agak mahal sekaligus menyukarkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan tersebut.

“Saya mencadangkan agar inisiatif subsidi terapi dapat dipertimbangkan pada masa akan datang, usaha ini untuk menjamin kesejahteraan serta kesihatan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perbahasannya, Juwairiya berkata menyambut baik inisiatif mewujudkan Selangor Mental Sihat (Sehat) yang dapat membantu individu melakukan saringan mental secara kendiri.

“Sehat adalah sebuah fungsi dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membolehkan pengguna melakukan ujian saringan awal secara kendiri untuk tahu tahap kesihatan mental masing-masing,” katanya.

Pada 15 Ogos, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan program Sehat bakal dilancar pada 30 Ogos ini.

Program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Mental Sihat bantu urus emosi ketika pandemik

SHAH ALAM, 25 OGOS: Inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan program Selangor Mental Sihat (Sehat) bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin parah sepanjang tempoh pandemik.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masalah kesihatan mental bukan hanya melibatkan penjawat awam malah termasuk petugas barisan hadapan.

“Justeru, Kerajaan Negeri membangunkan sebuah inisiatif lebih holistik iaitu Sehat dengan peruntukan RM500,000 mencakupi aspek promosi, kesedaran, saringan awal, intervensi, pembangunan modul dan latihan kaunselor.

“Ia melibatkan kerjasama pasukan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman dan NGO (MIASA),” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain itu, Siti Mariah berkata sebanyak 17 kes kesihatan mental direkodkan melalui perkhidmatan kaunseling oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor setakat Julai.

Beliau berkata sebanyak 420 aduan membabitkan isu lain turut diterima dalam tempoh sama.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan sebanyak 122,328 panggilan bantuan sokongan psikososial diterima di seluruh negara antara 1 Januari hingga 18 Jun, meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu.