Categories
BUDAYA RENCANA

Bukit Besi bukan sekadar sejarah perlombongan, wujud perkampungan antarabangsa

DUNGUN, 16 OKT: Sejarah perlombongan di Bukit Besi bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosioekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini sejak 1929.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata pada era kegemilangannya, kawasan itu didiami warga British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

Katanya, tumpuan warga asing di situ menjadikan Bukit Besi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuklah kolam renang pertama di Malaysia yang lengkap dengan papan anjal, dibina sekitar 1950-an.

Miniatur yang terdapat di Muzium Bukit Besi memaparkan aktiviti perlombongan bijih besi ketika itu dan menggunakan kereta api untuk membawa bijih besi ke pelabuhan untuk dieksport ke luar negara. Foto BERNAMA

“Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930.

“Ia sentiasa beroperasi 24 jam dan penempatan pekerjanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stesen keretapi, sekolah, balai polis, hospital dan pawagam. Ia berlaku ketika syarikat dari British, Eastern Mining Metal Company (Emmco) mengambil alih perlombongan bermula 1950. Ketika itu, Bukit Besi sangat terkenal setaraf Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya kepada Bernama sempena pembukaan hari pertama Muzium Bukit Besi di sini, semalam.

Menurut Wan Mohd Rosli, menyedari kehebatan di sebalik sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi itu, beliau bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul pelbagai maklumat dan bukti agar dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Susulan itu, sebuah galeri perlombongan diwujudkan di pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Cawangan Bukit Besi pada 2002.

“Sejak itu, usaha berterusan dilaksanakan hinggalah terbinanya Muzium Bukit Besi yang membolehkan pengunjung melihat gambar penduduk ketika itu dan peralatan melombong, malah ada juga data penduduk asing yang dilahirkan di situ.

“Sebab itulah, kita menjangkakan muzium ini bukan sahaja akan dikunjungi rakyat negara ini tetapi juga waris warga asing yang mempunyai nilai sentimental tersendiri dengan Bukit Besi. Malah sehingga kini ramai waris dari Kanada, Australia dan Amerika Syarikat sering datang ke sini untuk mengimbau semula kenangan manis ayah, ibu, datuk dan nenek mereka yang pernah bekerja di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran mengumpulkan semua koleksi bersejarah di situ, beliau berkata pihaknya bukan sahaja perlu mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi tetapi juga berhubung dengan waris warga asing.

Tambahnya, sebahagian peralatan yang dipamerkan dibeli daripada pemilik asal dan waris, tetapi ada juga yang disumbangkan oleh waris warga asing dari Kanada dan Australia sebagai kenangan untuk diabadikan di muzium ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah (tiga, kiri) menerangkan kepada pengunjung mengenai aktiviti perlombongan bijih besi ketika ditemui di Muzium Bukit Besi. Foto BERNAMA

“Cuma, ada satu artifak yang masih kita usahakan iaitu keretapi lama yang digunakan di Bukit Besi. Agak sukar mahu mendapatkan keretapi yang sebenar untuk diletakkan di muzium ini. Ia adalah simbol kegemilangan dan kemajuan sektor pengangkutan darat hasil aktiviti perlombongan dari Bukit Besi ke pelabuhan di Dungun,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Rosli berkata pengunjung berpeluang masuk ke situ secara percuma sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kelak. Pengunjung juga akan didedahkan dengan lebih terperinci tentang pemprosesan bijih besi bermula dari kerja-kerja perlombongan hinggalah bahan mentah itu dieksport ke luar negara.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka teruja dapat melihat semula nostalgia kehidupan pada masa dahulu dan menghargai kesungguhan kerajaan yang komited membina muzium berkenaan.

Wan Mohamad Hazman Wan Ramli, 51 berkata muzium itu adalah bukti betapa tabahnya generasi terdahulu mengharungi liku-liku kehidupan meskipun terpaksa bekerja di bawah syarikat asing pascaperang dunia kedua ketika itu.

“Generasi sekarang terutama rakyat Terengganu perlu mengambil iktibar dan roh perjuangan nenek moyang mereka demi meneruskan kelangsungan hidup ke arah yang lebih baik,” katanya.

Bagi Fatimah Tambon, 67 yang pernah menetap di situ ketika suaminya bekerja di Bukit Besi, kewujudan muzium itu dapat mengembalikan kenangan manisnya kerana ia adalah penempatan yang sangat moden dan menjadi kebanggaan ramai ketika itu.

“Ia adalah titik permulaan kehidupan yang lebih berkualiti kerana syarikat perlombongan sangat menjaga kebajikan kami semua.

“Peluang menjadi sebahagian komuniti Bukit Besi secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga kerana lebih berfikiran positif dan berjiwa besar hasil asimilasi bersama penduduk dari pelbagai negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Sarat sejarah, Klang sasar jadi bandar warisan dunia

KLANG, 1 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia untuk mengumpul semula bahan dan sejarah bandar diraja berkenaan.

Yang dipertuanya berkata usaha itu bagi menjadikan Klang sebagai bandar warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Dalam usaha ke arah itu, MPK amat memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak terutama Arkib Negara Malaysia yang menyimpan pelbagai rekod dan khazanah Klang.

“MPK berbesar hati menjalin kerjasama strategik ini bagi mendapat khidmat nasihat daripada agensi bertauliah selain rekod dan bahan berkaitan bandar ini,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Beliau yang ditemui pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di Dewan Hamzah di sini berharap hubungan itu memberi dampak dan manfaat besar dalam memartabatkan sejarah bandar berkenaan.

“Saya harap agar perancangan dan hasrat MPK untuk menaik taraf bandar ini menjadi Warisan Bandar Diraja tercapai,” kata Ahmad Fadzli.

Klang yang kaya dengan nilai sejarah pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor, sebelum Shah Alam dipilih sebagai ibu negeri.

Antara lokasi bersejarah yang popular ialah Stesen Kereta Api (KTM), Gedung Raja Abdullah, Kota Raja Mahadi, Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana dan Masjid Diraja Sultan Suleiman.

Selain itu, Istana Alam Shah, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Stesen Keretapi Klang, Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan dan Old Chartered Bank Building.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kubu di Pantai Sabak, lokasi Jepun mendarat di Tanah Melayu lenyap

KOTA BHARU, 26 JULAI: Tanggal 8 Dis 1941 menjadi detik sejarah yang tidak akan dilupakan apabila laluan Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini ketika itu menjadi saksi lokasi pendaratan pertama Jepun menakluki Tanah Melayu.

Namun, menurut Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, Sarapa Ismail, 48, tinggalan berupa kubu itu tenggelam akibat hakisan pantai terutama di Pantai Kuala Pak Amat, Sabak dan sehingga kini masalah itu turut sama menenggelamkan Jambatan Bijih Jubakar Tumpat.

“Antara tempat tinggalan tersebut yang sudah tiada ialah kubu-kubu di Pantai Sabak, namun tinggalan sejarah yang masih ada pula sehingga kini ialah perigi di Kampung Sungai Nyor, terowong dan pelabuhan di Palekbang (Tumpat) dan Jambatan Guillemard (Kuala Krai/Tanah Merah),” katanya.

Memorial Perang Dunia Kedua (Kota Bharu) pula pernah menjadi pusat tahanan orang Melayu dan tentera ‘kempeitai’ iaitu polis dan tentera yang ditangkap, diseksa dan dipancung kepala.

“Bagi kubu yang terdapat di Cabang Tiga Pengkalan Chepa ini, ia dikatakan antara 25 kubu yang ada sepanjang Pantai Sabak hingga ke Pantai Bachok, yang kebanyakannya sudah hampir ditenggelami akibat hakisan pantai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tapak Peninggalan Kubu di Cabang Tiga Pengkalan Chepa di sini, baru-baru ini.

Ketika mengimbau sejarah itu beliau berkata serangan Jepun tersebut mampu melumpuhkan Tanah Melayu termasuk Singapura hanya dalam masa 70 hari sahaja.

Sarapa yang juga guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan ‘123sejSPM seMalaysia’ berkata menurut sumber, kubu tersebut dibina oleh British untuk menempatkan tentera India dan Punjabi.

“Namun selepas penjajahan Jepun, ia dijadikan kubu pertahanan, cuma setelah menyedari bentuk yang tidak sesuai (kecil), kubu tersebut akhirnya dijadikan tempat menyimpan senjata dan barang-barang rampasan penduduk,” katanya.

Sarapa berkata walaupun kubu itu dibina oleh tentera British, namun penduduk tempatan lebih gemar menggelarnya sebagai kubu Jepun.

Mengaitkan sejarah penaklukan itu, beliau berkata masyarakat negara ini diminta tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing yang bertentangan dengan nilai norma kerana bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata iktibar yang dapat dipelajari daripada penaklukan Jepun itu ialah menjadi kuasa industri yang maju dan berlumba-lumba bersama negara penjajah lain seperti Jerman dan Itali dengan mempunyai strategi serta perancangan kukuh.

“Kaedah Jepun membawa slogan ‘Asia Untuk Asia’ menjadikan masyarakat tempatan terpegun kerana pihaknya menonjolkan perjuangan untuk membela orang Melayu menggunakan dakyah tersebut, biarpun hakikat sebenar adalah untuk mendapat sokongan penduduk,” katanya.

Seorang pelajar universiti swasta di sini, Lim Siew Fong, 25, yang bersama rakannya di tapak tersebut berkata rakyat perlu mengambil iktibar sejarah itu agar negara tidak dijajah semula dan terus maju sehingga dihormati seluruh dunia.

“Saya sebagai generasi muda mahu kita belajar mengenai sejarah penjajah ini,” katanya yang berasal dari Selangor dan meminati bidang Sejarah.

Bagi rakannya, Azizah Hassan, 24, juga mahu menjadikan sejarah lama sebagai penguat azam untuk membangunkan negara tercinta dan meminta mana-mana pihak yang cuba untuk meruntuhkan apa yang dibina pemimpin terdahulu perlu bermuhasabah diri.

“Alhamdulillah saya berbangga bersama rakan-rakan berbangsa lain dapat hidup bertoleransi sesama kami dan saya pohon janganlah ada pihak yang cuba merosakkan semua ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pendekatan baru bantu anak muda jiwai sejarah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Anak muda harus diberi pendekatan berbeza dalam mengenal dan menjiwai sejarah kemerdekaan Malaysia mengikut peredaran zaman.

Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shamsudin berkata, generasi belia hari ini sebenarnya cukup menghargai kemerdekaan cuma mereka tidak tahu bagaimana ingin membuktikan rasa cinta yang begitu mendalam terhadap negara.

“Kita perlu memulakan langkah pendekatan berbeza supaya sejarah itu jadi lebih menarik dan mudah untuk mereka fahami kerana golongan muda sebenarnya tidak menolak sejarah tetapi tidak tahu cara bagaimana untuk lebih mengenalinya.

dr-mohd-shamsudin“Kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti dan sekolah perlu memberi pendekatan serta kaedah baru dalam mendekatkan anak muda dengan sejarah selari dengan kemajuan teknologi kini,” katanya yang juga Pensyarah Sejarah Dasar Luar dan Malaysia Moden UKM.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Memori Kemerdekaan PPAS dan Majlis Pelancaran Buku ‘Persekutuan Malaysia 1961-1966:Penubuhan dan Cabaran’ di Auditorim PPAS, pada 9 September lalu.

Katanya, apabila anak muda mengenal sejarah secara tidak langsung mereka dapat membina jati diri dan menjadi rakyat yang baik.

“Antara yang boleh dilaksanakan adalah melalui sesi diaolog, forum atau ceramah tetapi dianjurkan anak muda itu sendiri melalui cara mereka selari dengan kemajuan teknologi dan idea baru yang menarik.

“Jadi, tidak adil mengatakan orang muda ini buta sejarah kerana seperti pelajar saya dalam jurusan sains dan kejuruteraan, ramai yang mendapat keputusan cemerlang dalam kertas sejarah, bahkan saya juga yakin dalam setiap hati orang muda mesti ada rasa sayang pada negara tetapi perlu diisi dengan cara betul,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0:  300,000 hadir ambang merdeka, catat sejarah besar negara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Sambutan ambang kemerdekaan ke-58 dianggap paling bersejarah berikutan kejayaan mencatatkan jumlah kehadiran kira-kira 300,000 peserta, malam ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, berkata kejayaan itu adalah bukti keinginan tinggi rakyat mahu menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin korup.

IMG_8653“Tujuan kita ke sini untuk menyelamatkan Malaysia dan sebab itu Najib kena turun.

“Jika Najib turun esok, nilai ringgit juga harga saham akan naik dan kepercayaan pelabur asing kembali,” katanya di pentas utama Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Selain Kit Siang, beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat (Pakatan) turut menyampaikan ucapan masing-masing sebelum menjelang detik 12.00 malam.

Antara yang memberi ucapan adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kuala Kubu Bharu kekal identiti sejarah

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 27 OGOS: Pembangunan Kuala Kubu Bharu dan kawasan sekitarnya dilaksana dengan mengekalkan ekosistem juga identiti sejarah dimiliki.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata ketetapan itu diambil selaras dengan geografi setempat yang kini dikenali sebagai bandar dalam taman.

Lee Kee Hiong a“Kita mahu kekalkan keadaan asal dengan memastikan tiada bangunan tinggi kerana di sini banyak tumbuhan hijau yang melebihi 100 tahun dan tidak bercadang mewujudkan sebarang kawasan perindustrian,” katanya kepada Selangor Kini.

Kee Hiong berkata, penekanan juga terarah kepada eko pelancongan kerana Kuala Kubu Bharu adalah kawasan tadahan air yang membekalkan 60 peratus keperluan kepada penduduk di Lembah Klang.

Katanya, ia juga membantu menarik lebih ramai pelancong selain menggalakkan masyarakat tempatan membabitkan diri dalam industri pelancongan.

“Kita sedang berusaha meningkatkan pelbagai kemudahan, di samping berbincang dengan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu) dalam usaha mempopularkan bandar ini.

Balai_Polis_Kuala_Kubu_Bharu“Kita juga akan membantu usahawan dalam penghasilan produk contohnya penghasilan kemeja-t ‘I Love Kuala Kubu Bharu’,” katanya.

Beliau merancang mewujudkan sudut puisi di Dataran Kuala Kubu Bharu bagi menghidupkan suasana malam yang lebih ceria.

“Ia khusus untuk mereka yang berminat dalam sastera membuat persembahan seperti membaca puisi di dataran yang terkenal sebagai lokasi menjamu selera di wilayah ini.

“Selain itu, Kuala Kubu Bharu berjaya menarik minat orang ramai ke sini kerana faktor makanannya yang enak dan berbeza dari bandar lain,” katanya.

-NR-

Categories
NASIONAL

‘Profesor kangkung’ dijangkiti ‘sindrom bebalisme’ putar belit sejarah negara

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PUCHONG 6 JAN: Tindakan segelintir ahli akademik yang sengaja mengeluarkan fakta songsang untuk mengelirukan pemikiran masyarakat dianggap sebagai ‘profesor kangkung’ yang dijangkiti ‘sindrom bebalisme’.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Profesor Dr Syed Husin Ali, berkata fakta yang dikemukakan ‘profesor kangkung’ itu bukan sahaja mencerminkan kegagalan menerima hakikat sebenar tetapi turut merugikan nilai sejarah dengan menyeleweng fakta penting.

“Ada di kalangan ‘profesor kangkung’ yang mengatakan kita tidak pernah dijajah. Kenyataan itu bukan sahaja mencerminkan sikap hendak menafi kenyataan tetapi mewujudkan sikap bebalisme iaitu bebal,” katanya.

syed husin ali 01Dr Syed Husin berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya dalam Kursus Merdeka Rakyat yang diadakan di Pusat Reformasi Demokrasi dan Inisiatif Sosial, di sini, semalam.

Dr Syed Husin berkata, sesuatu bangsa yang berada dalam cengkaman penjajahan bangsa lain akan menyebabkan mereka kehilangan kuasa dan martabatnya berada di bawah golongan bangsa penjajah itu.

Katanya, jawatan politik dan jawatan penting dalam pentadbiran juga dikuasai golongan bangsa penjajah, sekali gus mereka yang dijajah itu kehilangan kuasa mentadbir dan memerintah.

“Mereka yang dijajah tidak dapat menentukan arah tuju politik sendiri dan akhir sekali ekonomi serta sumber kekayaan negara itu juga dikuasai penjajah. Kekayaan itu bukan untuk yang dijajah tetapi untuk yang menjajah.

“Ini mendorong untuk mencapai kemerdekaan supaya daripada segi politik kita mempunyai kuasa sendiri untuk menentukan arah tuju negara. Begitu juga daripada segi ekonomi, supaya kekayaan dan hasil bumi negara tidak dipunggah keluar oleh penjajah serta dapat digunakan khususnya kepada rakyat bukan hanya golongan bangsawan dan menengah sahaja,” katanya.

Beliau berkata, senario yang berlaku ketika era penjajahan British di Malaysia adalah seperti ciri sebuah negara dan bangsa yang dijajah ibarat yang dinyatakannya itu.

“Kemerdekaan akan menjadi sia-sia jika rakyat masih tidak dapat menikmati sumber kekayaan negara tetapi hanya dimonopoli golongan bangsawan dan kapitalis sahaja,” katanya.

-NFN-

Singgah Selangor – Island BBQ Steamboat & Sejarah Jugra – SALAM SELANGOR

Episod 28

Sinopsis 1: Membawa para penonton ke Subang untuk menikmati makanan yang enak dan lazat. Pelbagai jenis makanan boleh didapati dengan berkonsepkan pulau

Sinopsis 2:Menceritakan tempat-tempat sejarah yang terdapat di Muzium Institut Jugra.

Tetamu: Mohd Asruddin Selamat, Pembantu Muzium Kanan