Categories
AGENDA BERITA UTAMA

20 wanita terima bantuan peti sejuk beku, jana pendapatan dari rumah

SHAH ALAM, 13 JAN: Seramai 20 peserta program Halal Suri Darul Ehsan (Halal Suri) menerima peti sejuk beku bersama produk untuk dijual mulai minggu hadapan.

Pengurus Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Mohammad Syukri Ismail berkata pemberian itu adalah bagi fasa pertama daripada 56 peserta yang terpilih.

“Peti sejuk beku bernilai RM2,000 ditaja oleh Kerajaan Negeri manakala produk untuk dijual pula adalah modal peserta sendiri.

“Bagi peserta yang belum dapat peti sejuk beku dan produk, kita akan berikan dalam fasa seterusnya. Insya-Allah semua peserta dapat memulakan perniagaan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 9 Disember lalu, Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif Halal Suri bagi membantu suri rumah menjana pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata seramai 56 peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek rintis dengan kerjasama Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Katanya setiap peserta menerima bantuan peti sejuk beku daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran padanan bernilai RM2,000, manakala untuk permulaan modal perniagaan, mereka perlu melabur RM2,000 bagi membeli barangan sejuk beku halal.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Dua juta terjual, ketupat sejuk beku asnaf penuhi selera perantau

Oleh Nur Syafiqah Ahmad Radhuan

TANAH MERAH, 11 MEI: Bermula sekadar beramal untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dari Kampung Bukit Gading, di sini, ketupas palas sejuk beku yang dihasilkan mereka kini mendapat permintaan ramai khusus buat perantau di luar Kelantan.

Pengasas Dapur Ramadan, Zarina Mohd Nawawi, 49, berkata ketupat sejuk beku hasil air tangan golongan asnaf itu memberi fokus kepada pesanan dari luar Kelantan, menyaksikan 90 peratus tempahan dihantar ke Kuala Lumpur, Johor dan Pahang.

Mesra disapa sebagai Kak Na, beliau berkata perniagaan yang pada awalnya sekadar untuk beramal serta memberi peluang pekerjaan kepada golongan asnaf berubah apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sehingga mereka tidak menang tangan memenuhi tempahan.

“Semua pekerja yang Kak Na ambil merupakan golongan asnaf dan hampir kesemuanya adalah terdiri daripada wanita yang berumur sekitar 30 hingga 60 tahun.

“Untuk tempahan kita buka sejak Februari lepas, dalam tempoh tersebut 4,000 hingga 5,000 biji ketupat disiapkan sehari. Tetapi memasuki bulan Ramadan proses pembuatan mencecah 10,000 biji sehari. Sejak 2018 hingga sekarang, kita berjaya hasilkan lebih kurang dua juta biji ketupat sejuk beku,” katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Zarina berkata sejak awal memulakan perniagaan tersebut, beliau memang memberi fokus memasarkan produk ke pasaran luar untuk memberi peluang masyarakat di luar Kelantan menikmati ketupat palas buatan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan resipi ketupat palas sejuk beku Dapur Ramadan, Zarina berkata ia merupakan resipi daripada seorang pekerja di situ sendiri yang kemudiannya diubah suai supaya juadah itu lebih enak dan berkualiti.

Selepas mendapat keuntungan yang tinggi saban tahun, Zarina telah menubuhkan Skim Pinjaman Qardhul Hassan (tanpa faedah) kepada golongan asnaf yang membuat ketupat di Dapur Ramadan dengan membolehkan mereka membuat pinjaman bagi membeli keperluan seperti mesin basuh dan peti sejuk.

“Menerusi skim pinjaman ini, sesiapa nak beli barang seperti mesin basuh, Kak Na akan pergi beli secara tunai di kedai. Jadi dari situ, kita akan potong gaji setiap hari dalam RM10 sampai habis dengan harga yang sama.

“Pekerja di sini bekerja dengan gaji harian. Kak Na bagi gaji berdasarkan kepantasan dan kecekapan mereka bekerja. Sebiji ketupat Kak Na upah dengan 17 sen.

“Dalam masa sehari, seorang boleh dapat RM150 untuk bungkus ketupat sahaja,” tambahnya.

Mengakhiri temu bual tersebut, Zarina berharap untuk meneruskan perniagaan ketupat sejuk beku itu sekali gus terus membela nasib golongan asnaf di kampung berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: SPRM rampas dokumen syarikat import bahan sejuk beku sejak 2015

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Dokumen-dokumen sebuah syarikat pengimport bahan mentah sejuk beku sejak 2015, yang dipercayai terbabit isu kartel daging dirampas dua minggu lepas, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Beliau berkata SPRM akan mengkaji semua dokumen dan akaun-akaun syarikat yang terlibat, dalam mengesan keseluruhan dalang, termasuk anggota penguatkuasa terlibat melindungi kegiatan ini.

“Siasatan kes ini dibuat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai penahanan dua pengarah sebuah syarikat dan dua pekerja syarikat, masing-masing disyaki menyeludup bahan mentah sejuk beku, Ahmad Khusairi berkata ia dimport masuk secara haram daripada beberapa negara, yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Tumpuan siasatan SPRM ialah terhadap dua aspek iaitu, pertama berhubung kesalahan mengemukakan pengisytiharan palsu dalam borang Kastam 1 oleh syarikat pengimport dan ejen yang mengendalikan kemasukan bahan mentah sejuk beku ini.

“Aspek kedua ialah meneliti dan mengkaji sebarang bentuk pembayaran rasuah, melalui akaun-akaun syarikat yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata dalam setiap penyiasatan SPRM, elemen kerahsiaan dan kejutan amat penting sekiranya sesuatu kes mendapat pendedahan luas di media massa.

“Ia seolah-olah memberi peluang kepada mereka (perasuah dan pemberi) melupuskan semua bukti serta keterangan yang ada.

“Tindakan berdiam diri bukan bermaksud agensi-agensi yang terlibat dalam penyiasatan kes ini tidak mengambil tindakan, sebaliknya pengumpulan bukti dan keterangan memerlukan masa dan penganalisaan yang teliti,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata jika SPRM terlalu membincangkan isu ini dalam media, maka ia akan merumitkan penyiasatan dan memberikan persepsi negatif masyarakat.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan semalam oleh SPRM Johor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pagi tadi, untuk proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Hari ini, Bernama melaporkan SPRM Johor menahan empat individu iaitu pengarah dan pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung isu kegiatan penyeludupan bahan mentah itu dari negara yang dilarang dibawa masuk ke Malaysia.

Kesemua mereka berusia 39 hingga 50 tahun itu, ditahan di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

– BERNAMA