Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan: Industri hotel rugi RM5 bilion, terpaksa buang pekerja

SHAH ALAM, 16 JUN: Industri perhotelan dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan kadar huni rendah susulan sekatan pergerakan akibat pandemik.

Ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata kadar penghunian mencatat purata 21 peratus pada Januari, 17 peratus (Februari) manakala 27 peratus Mac serta April lalu yang kebanyakannya bagi keperluan kuarantin.

Katanya, kadar itu pada Mei hanya 18 peratus dan purata bagi bulan ini dijangka di bawah 15 peratus.

“Pengurangan pendapatan ini juga mengakibatkan hotel terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos dan kesannya adalah kepada pekerja.

“Dalam tinjauan MAH baru-baru ini, hampir 28 peratus hotel mengurangkan pekerja lebih daripada separuh, manakala 51 peratus melaksanakan pembuangan pekerja,” kata Yap Lip Seng seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Categories
AGENDA GLOBAL

Tiada sekatan pergerakan, perintah berkurung di Thailand walaupun kes Covid-19 naik

BANGKOK, 16 APRIL: Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara meskipun jumlah kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatat rekod tertinggi hari ini.

Dalam 24 jam lalu, Thailand mencatat 1,582 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 39,038 dengan jumlah kematian kekal 97.

Bagi mengelak kes terus merebak institusi pendidikan dan pusat hiburan akan ditutup selain melarang penjualan alkohol di restoran sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad.

Selain itu, sebarang aktiviti melebihi 50 orang adalah dilarang.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah pencegahan terbaharu.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata kerajaan mengisytiharkan 18 wilayah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Chonburi, Songkhla, Rayong dan Khon Kaen sebagai zon merah manakala 59 wilayah lagi sebagai zon oren.

Di zon merah, semua pusat beli-belah dan pusat kecergasan wajib ditutup pada 9 malam dan kedai, pasar, pasar raya pula pada 11 ​​malam.

“Restoran di zon merah hanya boleh dibuka hingga 9 malam manakala untuk perkhidmatan bawa pulang hingga 11 malam. Di 59 zon oren, restoran dibenar dibuka hingga 11 malam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp menggesa orang ramai untuk menghadkan pergerakan mereka dan bekerja dari rumah.

Kes penularan terkini itu adalah yang terbesar sejak Januari tahun lalu. Thailand dilanda gelombang kedua pada pertengahan Disember tahun lalu bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka naik semula disokong sentimen pasaran lebih baik

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Ringgit dijangka meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, dipacu oleh sentimen pasaran yang lebih baik dengan didorong harga minyak mentah global yang berpotensi lebih tinggi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata susulan wujud kaitan kukuh di antara ringgit dengan harga minyak mentah maka, unit tempatan berpotensi cerah untuk mencatatkan kenaikan kepada RM4.12 hingga RM4.13 berbanding dolar AS minggu depan.

“Bagaimanapun, sebarang perkembangan lanjut yang negatif berkaitan sekatan yang dikenakan ke atas China oleh pihak barat boleh memberi tekanan kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah meningkat pada Jumaat selepas mengalami penyusutan ketara sehari sebelumnya.

Ia berikutan kebimbangan bahawa kapal kontena berskala besar yang terkandas di Terusan Suez di Mesir mungkin menghalang laluan perkapalan penting bagi tempoh seminggu, dan ini sekali gus menjejaskan bekalan kepada pasaran global.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global meningkat dua peratus kepada US$63.19 setong.

Bagi dagangan yang berakhir minggu ini, ringgit mencatatkan penurunan selama lima hari berturut-turut berikutan minat risiko dipengaruhi oleh hasil pulangan ke atas bon AS yang lebih tinggi, kebimbangan baru terhadap hubungan perdagangan AS-China, perintah sekatan pergerakan di benua Eropah dan keadaan berhati-hati terhadap pemulihan pertumbuhan global.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.1445/1485 daripada 4.1050/1100 pada minggu lepas.

Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0778/0814 daripada 3.0564/0603 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas serta lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7853/7900 daripada 3.7712/7762.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7153/7224 daripada 5.7150/7228 dan rendah berbanding euro kepada 4.8872/8927 daripada 4.8813/8884.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0440/0500 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini berikutan permintaan yang begitu berhati-hati terhadap mata wang tempatan, kata seorang penganalisis.

Bagaimanapun, Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata para pelabur nampak lebih yakin, mungkin mereka agak lega memandangkan Hong Kong telah menamatkan sekatan pergerakan.

Kebimbangan dalam kalangan pelabur turut berkurangan sekiranya China kembali melaksanakan sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19 walaupun negara itu telah berusaha meningkatkan langkah-langkah sekatan pergerakan menjelang sambutan Tahun Baru Cina, katanya

Pada pukul 9.15 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.0440/0500 berbanding dolar AS daripada 4.0415/0445 ketika ditutup Jumaat lepas.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0511 daripada penutupan Jumaat lepas iaitu 3.0451/0485 dan lemah berbanding pound pada 5.5342/5380 daripada 5.5231/5288.

Bagaimanapun, unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.9195/9284 daripada 4.9197/9246 sebelumnya dan lebih tinggi berbanding yen kepada 3.8948/9017 daripada 3.8984/8021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pertumbuhan pasaran baharu susut 3.5 peratus – Moody’s

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Kos ekonomi krisis akibat Covid-19 di tengah-tengah penutupan ekonomi global, tidak termasuk China terkumpul dengan cepat, dengan ekonomi pasaran baharu diunjurkan mencatat pertumbuhan -3.5 peratus pada 2020, turun dari jangkaan 3.2 peratus sebelumnya berlakunya wabak tersebut.

Ekonomi China dijangka tumbuh satu peratus pada 2020.

Dalam satu kenyataan, Moody’s Investors Service berkata ia menjangkakan ekonomi negara maju G-20, sebagai satu kumpulan, akan merosot sebanyak 5.8 peratus pada 2020. Walaupun dengan pemulihan secara beransur-ansur, pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 di kebanyakan negara maju dijangka dapat berada di bawah tahap sebelum berlakunya penularan COVID-19 (coronavirus).

“Penguncupan aktiviti ekonomi pada suku kedua menjadi teruk dan pemulihan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini berlaku secara beransur-ansur.

“Pemulihan juga mungkin tidak sama di semua sektor kerana kebimbangan jangkitan mengubah tingkah laku pengguna walaupun sekatan aktiviti perniagaan dan mobiliti ditarik balik,” kata Naib Presiden Moody, Madhavi Bokil.

Beliau berkata perbelanjaan dalam aktiviti ekonomi yang memerlukan hubungan manusia yang tinggi seperti makan di luar, pergi ke pawagam, perjalanan udara dan menggunakan pelbagai pengangkutan, tidak mungkin menjadi normal sepenuhnya sehingga kadar jangkitan turun ke tahap yang sangat rendah atau vaksin atau rawatan yang berkesan tersedia untuk virus tersebut.

“Banyak perniagaan berusaha untuk kekal bertahan dalam keadaan ini, dan akhirnya beberapa perniagaan ditutup tanpa mengambil kira sokongan dasar terhadap ekonomi,” katanya.

Permintaan terhadap minyak secara beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun ini seiring dengan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial. Bagaimanapun, peningkatan permintaan ini, digabungkan dengan had penyimpanan, menunjukkan bahawa pengeluaran inventori akan menjadi perlahan.

Hasilnya, Moody’s menjangkakan harga minyak akan kekal rendah, dengan purata Brent US$35 setong (US $ 1 = RM4.35) dan kontrak untuk West Texas Intermediate (WTI) tahun ini ialah pada harga US$30 setong.

Madhavi berkata harga Brent dan WTI masing-masing naik hingga secara purata US$45 dan $40 setong, pada tahun 2021, kerana peningkatan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.

Penutupan yang lebih lama atau berulang akan merosakkan ekonomi sebenar, yang berpotensi mencetuskan krisis kewangan. Dalam senario seperti itu, kejutan ekonomi akan menghasilkan krisis kewangan jauh lebih buruk daripada pengalaman krisis kewangan global, dari segi skala.

Ketidaksamaan yang semakin meningkat, kerana bahagian yang paling lemah mengalami kejutan, akan menyebabkan ketidakpuasan sosial dan ketidakstablian politik, katanya.

-BERNAMA