Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Sikap sendiri punca antivaksin hadapi kesukaran

BERA, 17 OKT: Kerajaan tidak akan secara sengaja menyukarkan kehidupan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19, tetapi perkara itu berpunca daripada sikap mereka sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun suntikan vaksin tidak diwajibkan buat masa ini, namun ia membantu mereka yang menerimanya untuk menjalani kehidupan lebih mudah, menerusi pelbagai kelonggaran yang diberikan termasuk kebenaran merentas negeri.

“Mereka yang tidak mengambil vaksin yang menyukarkan diri, bukan kerajaan yang sengaja menyusahkan…sebab itu saya menyeru mereka yang masih belum menerima vaksin untuk berbuat demikian, supaya semua kemudahan yang diberikan turut boleh dinikmati.

“Tambahan pula, sebagai manusia kita kena bertanggungjawab membantu melindungi orang lain, dengan mengurangkan risiko jangkitan dan mengurangkan keseriusan kesan penyakit jika dijangkiti, dengan mengambil vaksin Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di sini hari ini.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Turut dinaikkan pangkat adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka.

Kenyataan Khairy itu, menurut Perdana Menteri adalah merujuk kepada kesukaran yang terpaksa dilalui mereka yang tidak mahu menerima vaksin, memandangkan syarat lengkap vaksin Covid-19 bukan hanya dibuat kerajaan Malaysia, namun pelbagai pihak lain.

“… seperti hanya mereka yang lengkap vaksin dibenar mengerjakan umrah dan tahun hadapan boleh menunaikan ibadah haji. Ini syarat daripada kerajaan Arab Saudi yang sudah tentu menyusahkan diri mereka yang tidak divaksin,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada lengkap dua dos vaksin akan dijadikan syarat pengambilan baharu penjawat awam, Ismail Sabri berkata walaupun ia cadangan yang baik, ia memerlukan perincian dan kajian mendalam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia (cadangan itu) mungkin boleh dipertimbangkan, namun JPA kena lihat daripada pelbagai aspek termasuk perundangan. Setakat ini, tindakan hanya boleh diambil terhadap mereka yang sudah bekerja seperti yang ditetapkan tarikh akhir penjawat awam mengambil vaksin ialah 1 Nov ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit kekal lemah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Ringgit Malaysia kekal lebih lemah berbanding dolar AS hari ini selepas diseret oleh sentimen positif terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu berikutan kebimbangan terhadap pemulihan pertumbuhan global termasuk sekatan berterusan di Eropah.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1440/1490 berbanding dolar AS daripada 4.1290/1320 yang dicatatkan semalam.

Menurut seorang peniaga, dolar US meningkat kepada paras tertinggi hampir empat bulan selepas pelabur mencari mata wang selamat disebabkan oleh ketidakpastian di pasaran, termasuk kelewatan dalam penghantaran vaksin Covid-19 di beberapa bahagian di dunia.

“Kebimbangan terhadap potensi kenaikan cukai di AS susulan kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen bahawa penyelarasan yang lebih tinggi pada masa akan datang mungkin diperlukan bagi membiayai projek infrastruktur dan pelaburan awam lain, sebahagiannya telah menyumbang kepada sentimen di pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan secara meluas lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0769/0813 daripada 3.0690/0719 tetapi mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7994/8050 daripada 3.8006/8037 semalam.

Ringgit juga jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6777/6854 daripada 5.6687/6741 sebelum ini dan merosot berbanding euro kepada 4.8936/9012 daripada 4.8858/8910.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka 4.1120/1150 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati.

Pelabur berbuat demikian selepas kuasa ekonomi dunia AS, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Kanada mengumumkan sekatan ke atas China berikutan isu hak asasi manusia.

Pada 9 pagi, ringgit dibuka pada 4.1120/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1160 ketika ditutup pada Isnin.

China dikenakan sekatan berikutan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia ke atas komuniti Islam Uyghur di Xinjiang, sekali gus mendorong tindakan balas segera dari Beijing.

“Ini akan meningkatkan kebimbangan mengenai perdagangan akan datang yang melibatkan negara-negara ini.

“AS dan China, contohnya, merupakan rakan dagang utama Malaysia dan apa sahaja yang berlaku ke atas kedua-dua negara itu akan menjejaskan pasaran mata wang, termasuk ringgit,” kata peniaga kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata mata wang tempatan akan terus diniagakan pada kecenderungan lemah disebabkan penurunan harga minyak mentah yang ketika ini didagangkan pada US$64.06 setong, susut 0.87 peratus.

“Bagaimanapun, susulan pulangan ke atas bon AS yang sedikit rendah dan dolar AS yang secara amnya lemah di seluruh papan pada pagi ini, maka ringgit dan mata wang negara Asia sewajarnya diniagakan lebih positif pada Selasa,” katanya.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.7777/7815 daripada 3.7843/7883 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6935/6993 daripada 5.6964/7031.

Unit tempatan bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0664/0693 daripada 3.0652/0689 serta rendah berbanding euro kepada 4.9060/9113 daripada 4.8929/8985.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM saran pergerakan rentas daerah, negeri diperketat jika Covid-19 meningkat

JOHOR BAHRU, 9 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketat kawalan pergerakan rentas daerah dan negeri, sekiranya kes Covid-19 dalam negara terus meningkat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah itu perlu berikutan peningkatan kes Covid-19 akhir-akhir ini dipercayai berpunca daripada kebenaran merentas daerah dan negeri sejak Disember lepas.

Selain itu, beliau berkata peningkatan kes turut disebabkan tindakan aktif untuk melaksanakan ujian saringan kesihatan ke atas semua pekerja asing di sektor perkilangan dan pembinaan bermula Januari.

“Sejak 1 Januari lepas, kerajaan telah mewajibkan majikan di sektor industri dan pembinaan membuat saringan kepada warga asing. Jadi, apabila banyak ujian dibuat maksudnya kita akan mendapat banyak kes positif tetapi kita tidak sangka peningkatan kes yang mendadak ini berlaku begitu pantas.

“Ia terjadi kerana kita dapati ada unsur ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan semasa pembukaan semula sektor ekonomi,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Fasa Dua di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tenggara itu berkata kes positif Covid-19 yang direkodkan ketika ini membabitkan kes sporadik (kes berlaku dalam komuniti) dan kes bukan warganegara.

“Nisbah peratusan antara kedua-dua kes ini adalah 50-50. Kes sporadik dijangkiti melalui pergerakan rentas negeri dan juga kerana tindakan berkumpul atau berhimpun di sesuatu tempat,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media memberitahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan bakal dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan akhir-akhir ini.

Ismail berkata kerajaan juga sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL NASIONAL

Singapura sedia bekerja dengan Malaysia tarik sekatan sempadan

SINGAPURA, 21 JUN: Singapura bersedia untuk bekerja dengan Malaysia dalam menangani keperluan pelawat rentas sempadan ketika penularan pandemik Covid-19.

Pelawat terbabit termasuk mereka yang berkunjung atas urusan perniagaan dan rasmi serta warga Singapura dan Malaysia yang sebelum ini berulang-alik di antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Singapura berkata demikian dalam kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media mengenai cadangan Malaysia untuk menarik balik sekatan sempadan di antara Singapura dan negara itu.

“Persetujuan dua hala sedemikian perlu merangkumi protokol kesihatan awam yang dipersetujui kedua-dua belah pihak bagi memelihara kesihatan awam dan keselamatan rakyat di kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara akan memerlukan sedikit masa untuk mengusahakan perincian bagi menarik balik sekatan secara beransur-ansur untuk memastikan proses pemulihan yang stabil daripada pandemik Covid-19,” kata jurucakap kementerian itu.

Pada Jumaat (19 Jun), Malaysia secara dasarnya bersetuju membenarkan rakyat Singapura dan Brunei memasuki sempadan negara tanpa perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Dibenar pandu kenderaan tamat tempoh, syarat insurans berkuat kuasa

PUTRAJAYA, 5 MEI: Orang awam dibenarkan memandu kenderaan jika Lesen Kenderaan Motor (LKM) ataupun lesen memandu tamat tempoh dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan lesen memandu dalam tempoh PKP seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 24 Mac lepas.

Bagaimanapun, JPJ telah membenarkan Pos Malaysia untuk menjalankan urus niaga pembaharuan lesen memandu dan LKM bagi kenderaan persendirian.

“JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter urus niaga di pejabat JPJ hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa jenis urus niaga sahaja,” menurut kenyataan itu.

Pembukaan urus niaga bagi kaunter JPJ dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak pandemik COVID-19.

“Bagi menyokong kelangsungan ekonomi, pembukaan urus niaga berperingkat ini adalah memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja.

“Seterusnya, secara beransur-ansur JPJ akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan dengan kenderaan persendirian,” menurut JPJ.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP tidak dilonggarkan, peraturan sedia ada kekal

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan tidak akan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun jumlah kes positif Covid-19 menunjukkan aliran penurunan dengan hanya 36 kes baharu dicatatkan semalam.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berikutan penurunan jumlah kes baharu di negara ini, ada pihak mula merasakan keperluan untuk melonggarkan PKP.

“Selagi PKP (sedia ada) tidak ditamatkan dan tiada SOP baharu diperkenalkan oleh kerajaan, maka peraturan dalam PKP sekarang terus kekal.

“Oleh itu pematuhan kepada arahan PKP masih menjadi tanggungjawab semua dan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan tidak mahu apa yang terjadi di sesetengah negara berlaku di Malaysia, iaitu kes meningkat selepas sekatan pergerakan dilonggarkan.

“Ada sesetengah negara melonggarkan sekatan mereka apabila kes (positif Covid-19) berkurangan, akhirnya berlaku peningkatan semula hingga terpaksa mengisytiharkan darurat,” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 36 kes positif Covid-19 baharu di negara ini, iaitu jumlah kes terendah dicatatkan sejak 12 Mac lalu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 946 individu ingkar PKP ditahan semalam, merangkumi 822 orang direman serta 124 lagi diberikan jaminan.

“Daripada 946 individu yang ditahan, 433 adalah di zon merah. Jumlah tangkapan kumulatif sehingga semalam adalah 16,870 orang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tambah sekatan jalan raya, elak orang ramai balik kampung

SHAH ALAM, 18 APRIL: Polis akan menambah sekatan jalan raya bagi meningkatkan kawalan, khususnya terdapat ura-ura orang ramai mungkin mengambil kesempatan pulang ke kampung menjelang Ramadan.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekatan itu akan ditambah di ibu negara serta lokasi lain yang difikirkan sesuai.

“Kita jangka mungkin ada ura-ura untuk (orang ramai) pulang ke kampung sambut puasa, jadi polis akan tambah sekatan jalan raya di ibu negara atau di mana-mana bagi memastikan kawalan ditingkatkan,” katanya di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata dasar kerajaan berhubung pergerakan merentasi negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sama, tidak kira melalui jalan darat, udara atau laut.

“Jadi penumpang yang ingin mengambil penerbangan tatacara operasi piawai (SOP) ketika PKP sama seperti jalan darat, iaitu untuk kes kecemasan saja misalnya keluarga sakit, mereka mesti mendapat kebenaran polis,” katanya.

Mengenai ada syarikat penerbangan yang mula menjual tiket kepada orang ramai, beliau menegaskan syarikat penerbangan hanya boleh beroperasi dengan kebenaran kerajaan.

“Walaupun telah menjual tiket, operasi mereka ditentukan oleh kerajaan, kalau PKP tamat, masih ada SOP tertentu perlu dipatuhi, tak bermakna semua orang boleh bebas seperti hari biasa.

“Maknanya kalau (syarikat penerbangan) sudah mula menjual tiket, apabila tiba masa penerbangan tetapi kerajaan tidak benarkan, maka syarikat itu tetap tidak boleh beroperasi,” katanya.

Categories
AGENDA

Tujuh peratus ingkar PKP, 800 individu diambil tindakan – MB

HULU KELANG, 11 APRIL: Masih berbaki tujuh peratus rakyat di negeri ini ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau menerima laporan daripada polis semalam bahawa 93 peratus mengikuti arahan pihak berkuasa manakala seramai 800 individu ingkar dikenakan tindakan.

“Peperangan kita terhadap wabak Covid-19 masih diteruskan dan masyarakat perlu patuh agar rantaian Covid-19 segera diputuskan,” katanya selepas program turun padang ke DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Lembah Keramat di sini hari ini.

Beliau turut menggesa rakyat berganding bahu memerangi wabak itu bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan di hospital yang sedang bertungkus-lumus merawat pesakit.

“Terdapat 1,118 kes di Selangor pada Khamis dan 73 peratus atau 819 pesakit sembuh sehingga semalam, diharap rakyat terus mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

“Kita bukan hanya mahu meningkatkan jumlah pesakit sembuh tetapi mengimbanginya dengan mengurangkan pertambahan kes baharu di negeri ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 April.

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Tarik balik kawalan pergerakan ‘terlalu awal’ boleh bawa padah

GENEVA, 11 APRIL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat memberi amaran, menarik balik kawalan pergerakan “terlalu awal” boleh mencetuskan penularan semula Covid-19 yang jauh lebih buruk, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata ada beberapa negara sudah merancang untuk menarik balik arahan duduk di rumah.

“Langkah itu boleh menimbulkan keadaan lebih berbahaya jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul,” katanya.

WHO kini sedang bekerjasama dengan negara terjejas Covid-19, berhubung strategi bagaimana untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dan selamat.

Beberapa negara Eropah antaranya sudah mempertimbangkan untuk melonggarkan arahan itu berikutan jumlah jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan.

Antaranya, Austria dan Switzerland, masing-masing bercadang melonggarkan sekatan bermula pertengahan dan hujung April.

Ketua WHO itu menegaskan, sebarang keputusan untuk menarik balik kawalan pergerakan seharusnya dengan syarat penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan.

Sementara itu langkah pencegahan perlu diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal; dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini.

Di seluruh dunia, hampir 1.5 juta kes positif Covid-19 dilaporkan kepada WHO, dengan lebih 92,000 kematian.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

PKP: IPD Petaling Jaya terima bantuan kekuatan FRU

PETALING JAYA, 10 APRIL: Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan sekatan jalan raya Op COVID-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah itu bermula hari ini.

“Kami telah menggunakan kekuatan maksimum melibatkan 930 anggota dan pegawai.

“Pertambahan dua lagi sekatan jalan raya di daerah ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan sekatan, juga memerlukan kami untuk mendapatkan kekuatan tambahan daripada FRU, “ katanya ketika ditemui selepas memeriksa dua sekatan jalan raya tambahan di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan  pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di lokasi tertentu di daerah ini.

“Rancangan itu masih di peringkat kajian dari segi kekuatan anggota, logistik dan kawasan yang sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sembilan kompaun dikeluarkan bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini semalam.

“Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh termasuk berkumpul bersama rakan dan menghantar barang selepas 10 malam,” katanya.

-BERNAMA