Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor syor ‘percutian’ maya di rumah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Tourism Selangor mengesyorkan beberapa ‘percutian’ menarik secara maya yang boleh dinikmati orang ramai tanpa perlu meninggalkan rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi pelancongan itu mempelawa ‘kaki jalan’ melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.travel bagi percutian pertama mereka ke sembilan daerah di negeri itu.

Katanya orang ramai boleh mengambil peluang membaca semua cerita pelancongan itu di https://selangor.travel/travel-stories/ untuk idea percutian seterusnya selepas tamat PKP.

“Bagi peminat seni, luangkan masa bersama orang tercinta melawat Galeri Shah Alam secara maya dengan melayari laman sesawang https://galerishahalam.com/video/.

“Selain itu, gunakan data internet percuma untuk rakyat sepanjang tempoh PKP mendapatkan pelbagai promosi hotel dan pakej pelancongan menarik di hujung jari anda,” menurut Tourism Selangor.

Tourism Selangor turut menyenaraikan beberapa cadangan ‘percutian’ secara dalam talian lain antaranya :

1) Alami Selangor melalui video Hos Komuniti Selangor di YouTube dan langgani saluran YouTube rasmi Tourism Selangor untuk maklumat lanjut tentang produk serta acara pelancongan Selangor.

2) Tonton video dimuat-naik ke saluran menarik di Kuala Selangor di YouTube untuk pengalaman melancong ke daerah berkenaan.

3) Nikmati perkhidmatan penghantaran makanan dari restoran dan kafe popular di Selangor ke pintu rumah di https://selangor.travel/20-best-eateries-with-takeaways-and-delivery-services-in-selangor/

4) Ambil ilham hotel lima bintang untuk menghiaskan bilik tidur dengan cadar putih bersama tuala mandian yang baru dicuci bagi pengalaman penginapan mewah di rumah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemutihan subsidi pesawah dilaksana pastikan bantuan telus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan subsidi pesawah bagi membolehkan bantuan tersebut sampai kepada penerimanya dengan lebih telus.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, ketirisan dalam pemberian subsidi tersebut menyebabkan ada petani yang tidak menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, ia sekaligus menggagalkan usaha kerajaan untuk memantapkan sektor padi negara.

“Proses pemutihan subsidi ini perlu dibuat memandangkan kita lihat ada penerima bantuan yang mana umurnya semakin meningkat dan sebagainya.

“Saya berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, hari ini.

Salahudin bagaimanapun memberitahu, insentif buat pesawah masih lagi kekal dan tiada rancangan bagi meningkatkan jumlah bantuan terbabit.

“Kerajaan hanya akan meningkatkan hasil pesawah ini melalui pemberian baja yang lebih bermutu, itulah tindakan yang akan dilakukan kementerian bagi membolehkan peningkatan hasil padi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sekinchan antara pengeluar padi terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Sekinchan adalah antara lokasi pengeluar padi terbaik di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub.

Katanya, sehingga kini pesawah Sekinchan berjaya menghasilkan lapan hingga sembilan tan metrik hasil padi untuk sehektar.

“Berbanding dengan tempat lain, mereka hanya memperoleh antara empat hingga lima tan metrik hasil padi sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, disebabkan itu beliau turut mengkaji faktor perbezaan yang berlaku agak ketara, sekali gus meletakkan Sekinchan di tempat yang terbaik.

“Antara faktornya ialah disiplin pesawah dan teknologi yang digunapakai. Oleh itu, saya menyeru supaya semua pesawah di negeri ini mengubah sikap supaya lebih berdaya saing.

“Tidak kira Melayu, Cina atau Banjar. Jika ada disiplin, semua akan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, Sekinchan juga bakal menjadi perintis projek penanaman padi wangi yang pertama di negara ini ekoran kesuburan tanah dan sistem saliran yang serba lengkap serta moden.

Ia ekoran pesawah di Sekinchan juga memiliki teknik penanaman padi terbaik, sekali gus mampu menjayakan projek yang dijangka menambah pendapatan pesawah, di situ.

“Walaupun terdapat banyak kekangan dan risiko dalam proses menanam padi wangi tetapi kita harus berani mengorak langkah untuk mencipta kejayaan serta yakin kerana sebelum ini Sekinchan terkenal sebagai hasil tuaian padi tertinggi juga berkualiti,” katanya.

 

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ng Suee Lim pilihan terbaik demi kemajuan Sekinchan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 6 MEI: Calon N004 Sekinchan, Ng Suee Lim adalah calon terbaik yang diletakkan Pakatan Harapan (PAKATAN) buat pengundi Sekinchan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rekod peribadi Suee Lim tidak perlu dipertikaikan berikutan seringkali mendapat kepercayaan pengundi sejak 2008.

“Saya yakin pemimpin yang boleh memartbatkan Sekinchan ialah Suee Lim, beliau diantara pemimpin yang kerapkali bertemu dengan saya mengadu masalah penduduk.

“Ini termasuk masalah Bagan Sekinchan yang mana penduduknya menetap di atas tanah rizab Melayu hampir 50 tahun lamanya.

“Atas usaha yang tidak berputus asa akhirnya masalah tersebut dapat diselesaikan pada 2015, bukannya pada waktu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita sudah selesai sejak lama dulu lagi,” katanya di hadapan lebih 2,000 penduduk Pekan Sekinchan malam tadi.

Suee Lim berjaya menawan Sekinchan sejak PRU12 dengan majoriti undi kecil sebanyak 190, namun kepercayaan pengundi semakin meningkat terhadap beliau dan terbukti pada PRU13 apabila undi majoriti naik kepada 2,239.

Tahun lalu, Malaysia Kini melaporkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berikrar akan menjatuhkan Suee Lim pada PRU14.

Suee Lim turut mencabar Jamal bertanding dengannya bagi merebut kerusi berkenaan, namun Jamal memberikan alasan Suee Lim bukanlah lawannya yang kuat, dan dia hanya ingin bertanding dengan Mohamed Azmin di Bukit Antarabangsa.

Namun kenyataan Jamal itu hanyalah cakap kosong apabila beliau dilihat tidak dicalonkan bagi kedua-dua kerusi, Sekinchan mahupun Bukit Antarabangsa.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Penantian 3 keluarga pampasan hak milik berakhir

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 27 FEB: Penantian tiga keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan berakhir apabila berjaya menerima pampasan hak milik tanah selepas sembilan tahun menanti.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya menyelesaikan masalah itu dengan membangunkan tiga buah rumah kepada mereka sebagai ganti.

“Sebelum ini, rumah mereka terpaksa dirobohkan kerana PKNS ingin membangunkan sebuah projek pembangunan apartment di tanah berkenaan berhampiran Balai Polis Sekinchan.

“Pada masa itu, Kerajaan Negeri berjanji untuk memberikan pampasan kepada tiga keluarga berkenaan dengan mengusahakan tanah ini supaya diberi geran hak pemilikan,” katanya.

Suee Lim berkata, walaupun terdapat banyak rintangan bagi mendapatkan hak milik tanah kepada mereka namun Kerajaan Negeri tetap berjaya menyelesaikannya.

“Sebenarnya tanah mereka duduki sebelum ini adalah tanah rizab jalan iaitu hak milik Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) namun kita berjaya menguruskan kekangan ini langkah demi langkah.

“Selepas sembilan tahun atas usaha saya, Kerajaan Negeri bersama Pejabat Tanah Daerah (PTD) berjaya kotakan janji kepada mereka,” katanya.

Katanya selepas menyerahkan borang kelulusan 5A kepada tiga keluarga berkenaan di kediaman baru penerima itu, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata, beginilah cara Kerajaan Negeri membela nasib rakyat tidak kira Cina, India, Melayu iaitu apabila berjanji mestilah ditunaikan.

Sementara itu, Suee Lim berkata, syarat turut dikenakan terhadap ketiga-tiga pemilik itu iaitu mereka tidak boleh menyewakan rumah berkenaan kepada orang lain.

“Menariknya, Kerajaan Negeri turut menawarkan insentif bayaran premium RM1,000 sahaja dimana belum ada mana-mana Kerajaan Negeri yang mampu melaksanakan insentif sedemikian.

“Bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada ketiga-tiga penerima kerana berjaya memiliki kediaman yang lebih selesa ini,” katanya.

Sementara itu, Rabas Sanderek Munisamy ,53, berkata, beliau gembira kerana selepas sembilan tahun menanti akhirnya berjaya memiliki rumah yang lebih selesa daripada sebelum ini.

“Sebelum ini belum pernah menerima geran hak milik tanah sedangkan sudah hampir 40 tahun menetap di kediaman itu,” katanya.

Malah, Ratnom Munisamy, 60, berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana peduli dengan nasib rakyat.

“Saya dan keluarga gembira dan tidak sangka mendapat rumah yang sangat luas dan selesa seperti ini berbeza berbanding kediaman sebelum ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Lima rumah teres terbakar di Sekinchan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SEKINCHAN 27 OGOS: Sebanyak lima buah rumah teres terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Taman Ria Sekinchan petang tadi.

Lima buah rumah terlibat iaitu rumah nombor 112, 113, 114, 115 dan 116. Kebakaran disyaki bermula di bahagian loteng rumah nombor 115 yang diperbuat daripada kayu.

Api merebak dengan pantas ke bahagian rumah lain melalui bumbung ditambah dengan angin agak kuat ketika kejadian.

21077746_10213454555539054_2677249215119823616_nNamun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku ekoran kebakaran itu.

BH ONLINE melaporkan Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.05 petang.

Katanya, 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Sungai Besar dan Tanjong Karang bergegas ke tempat kejadian dan tiba empat minit kemudian.

Bomba Sukarelawan Sekinchan turut sama membantu dalam usaha memadam kebakaran itu.

21105501_10213454594460027_4806622996781896704_n“Ketika sampai di lokasi, api sedang marak berikutan tiga rumah sudah terbakar 100 peratus.

“Dua rumah lagi dapat diselamatkan dan kebakaran hanya membabitkan bahagian bumbung sahaja.

 

“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

VIDEO GAMBAR KEBAKARAN OLEH : MOHD EZLI MASHUT

 

10312614_10213454403375250_894685974268500862_n

 

Kebakaran

Categories
KENYATAAN MEDIA

Sembah Ucapan Sempena Keberangkatan DYMM Sultan Selangor Ke Sekinchan

OLEH: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Ampun Tuanku,

Patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku untuk mencemar Duli dan berangkat ke Sekinchan untuk menyantuni rakyat Tuanku di Daerah Sabak Bernam ini di kalangan warga tani; pesawah, petani, nelayan, pengilang dan pengusaha IKS.

Kalau permata di atas dulang,
Makin terang cahaya purnama;
Mencemar Duli Sultan terbilang,
Susah senang tetap bersama.

Keberangkatan Tuanku berdua pada pagi ini menzahirkan sifat kepedulian yang membumi kepada rakyat.

Sekinchan merupakan sebuah desa yang permai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum dan agama. Kepadatan penduduk Sekinchan dianggarkan hampir 20,000 orang yang mewakili 70% orang Cina, 25% orang Melayu dan 5% orang India.

SULTAN SEKINCHAN (12)Hari ini, Sekinchan semakin terkenal seantero dunia dengan industri eco tourism dan sektor pertanian serta perikanan. Sawah padi yang menghijau dapat mengeluarkan purata hasil sebanyak 8 metrik tan per hektar menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, patik amat berpuas hati dengan prestasi kerja YB Ng Sue Lim, Ahli Dewan Negeri Sekinchan yang rajin bekerja, komited dana mat popular di Sekinchan.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu pagi ini.

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Negeri Selangor terus maju dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Selangor terus melangkah ke hadapan dalam penguasaan teknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, bioteknologi dan juga sektor pertanian moden.

Sektor ekonomi desa adalah amat penting memandangkan 30 peratus rakyat Selangor masih menetap di desa.

Justeru, ekonomi desa perlu dimodenkan untuk menyediakan peluang pekerjaan generasi muda serta tidak memaksa warga desa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

SULTAN SEKINCHAN (7)Kerajaan Negeri tuntas untuk mengangkat mutu kehidupan masyarakat desa di Sekinchan ke tahap yang setara dengan kehidupan moden.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mahu watak dan jati diri kedesaan dikekalkan dengan persekitaran yang bermasyarakat, bergotong–royong, bekerjasama, harmoni dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

Nama Sekinchan dalam Bahasa Cina membawa maksud ‘kampung yang sesuai bercucuk tanam’. Berkat namanya, begitulah potensinya.

Sekinchan hari ini merupakan kawasan yang subur dengan hasil padi, buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan dan pelbagai hasil laut.

Hari ini, Sekinchan merupakan penyumbang terbesar kepada penghasilan padi Negeri Selangor sekaligus menjadikan Selangor sebagai pengeluar hasil padi tertinggi di Malaysia.

Ini didorong oleh penggunaan teknologi pertanian dan kaedah tanaman yang moden. Sekinchan juga memiliki tanaman buah-buahan serta herba yang dikomersialkan untuk pasaran domestik dan ekspot.

SULTAN SEKINCHAN (2)Sementara itu, industri perikanan di Sekinchan juga berkembang dengan pesat di Bagan Sekinchan.

Hasil laut yang dikeluarkan di Bagan Sekinchan ini bukan sahaja untuk kegunaan penduduk Daerah Sabak Bernam tetapi juga turut menyumbang kepada permintaan hasil laut bagi pasaran dalam dan luar negara.

Kerajaan Negeri tuntas menjadikan konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ sebagai asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor.

Agrofest Selangor 2017 yang berlangsung selama 4 hari di Perkarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan berakhir semalam telah berjaya menarik seramai 200,000 pengunjung. Program ini telah memberi peluang kepada lebih 100 usahawan tani untuk mempromosikan produk tani mereka dalam satu Ekspo pertanian yang terbesar di Negeri Selangor .

Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Haji Zaidy Bin Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, MARDI dan PKPS yang telah menggembeleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian di Negeri Selangor.

Kita komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian, perikanan dan penternakan sebagai sektor peneraju ke arah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

SULTAN SEKINCHAN (14)Justeru itu, selaras dengan misi dan visi pembangunan Daerah Sabak Bernam ke arah perbandaran agropolitan menjelang tahun 2025, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan berusaha membangunkan Sekinchan sebagai Bandar Pelancongan dan Perindustrian di Daerah Sabak Bernam.

Rancangan ini telah diterjemahkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam 2025 yang telah diwartakan pada 8 Oktober 2015 yang lalu.

Untuk menggarap sepenuhnya potensi industri pelancongan di Sekinchan, Kerajaan Negeri akan membangunkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan untuk memberi informasi berhubung pelbagai produk pelancongan di Sekinchan yang menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu.

Ampun Tuanku,

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

CP2A8472-1024x683Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Patik sekali lagi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor ke Sekinchan pada pagi ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu kebajikan nelayan, Sultan Selangor lawat Jeti Bagan Sekinchan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Pembangunan kebajikan nelayan seluruh negeri mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Komitmen itu dizahirkan baginda menerusi lawatan rasmi baginda ke Jeti Bagan Nelayan, di sini.

Diiringi Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Isteri, Datin Seri Shamshida Taharin dan delegasi pimpinan Kerajaan Negeri, lawatan diadakan sebagai sebahagian inisiatif lawatan rasmi baginda ke Sekinchan, hari ini.

SULTAN SEKINCHAN (1)Tumpuannya ke arah mendekati masyarakat luar bandar dan melihat sendiri perkembangan pelbagai aspek kebajikan dan keperluan industri di Sekinchan.

Pada masa sama, Jeti Bagan Nelayan Sekinchan adalah kawasan pengumpulan sumber perikanan khusus bagi Parlimen Sabak Bernam.

Difahamkan, jeti berkenaan berpotensi untuk diangkat sebagai lokasi agro pelancongan terkenal sekiranya dibangunkan secara konsisten di peringkat nasional.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan RM3.1 juta bagi proses pembaikan dan jeti baharu di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, peruntukan juga disalurkan bagi projek pembaikan jeti secara berperingkat bagi merancakkan lagi ekonomi perikanan negeri.

Categories
SELANGOR

Pantau projek naik taraf pasar Sekinchan secara berkala

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 MEI: Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim akan memantau pelaksanaan projek menaik taraf Pasar Awam Sekinchan supaya ia siap mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, projek itu adalah antara janji yang diumumkan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

“Mereka janji akan menaik taraf pasar itu pada PRK di Sungai Besar, namun kerja naik taraf baru dimulakan bulan lalu.

“Saya akan terus memantau projek ini supaya mereka mematuhi spesifikasi ditetapkan, sekali gus mengurangkan kesulitan kepada peniaga tambahan Ramadan dan Aidilfitri bakal tiba,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga berharap penambahbaikkan itu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar di samping menaikkan imej serta menjadi tarikan pelancong.

Beliau turut menggesa peniaga dan orang awam supaya bersabar sepanjang tempoh naik taraf itu.

Dianggarkan kos naik taraf pasar itu menelan belanja RM500,000 membabitkan gerai, lantai baru dan sistem saliran.

Categories
SELANGOR

Sekinchan sedia sambut DYMM Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MEI: Keberangkatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Sekinchan, pada 22 Mei ini adalah detik dinantikan rakyat jelata.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, kesudian baginda mencemar duli bagi melihat sendiri kawasan yang terkenal dengan jolokan ‘Jelapang Padi Selangor’ itu adalah penghormatan besar.

“Saya dan seluruh rakyat di Sekinchan memang menantikan keberangkatan DYMM Sultan Selangor ke daerah ini buat julung kalinya.

“Kita kini bersiap sedia untuk menyambut kedatangan baginda, tambahan sekarang akan masuk musim menuai padi di sini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Persatuan Kemajuan Pelancongan Skinchan (PKPS) sedang melakukan persiapan akhir temasuk menaikkan kain rentang supaya kemeriahan turut dirasakan penduduk setempat.

Katanya, DYMM Sultan Sharafuddin akan melawat lima lokasi di Sekinchan bermula dengan taklimat di Restoran Hao Xiang Chi dan diakhiri kunjungan ke Kilang IKS Masri di Parit 7.

“Dalam tempoh lawatan ini, Pegawai Daerah Sabak Bernam akan berkongsi maklumat setempat berkenaan Sekinchan dan kita berbangga dengan usaha mempromosikan daerah ini sebagai tarikan pusat pelancongan diusahakan sejak 2008.

“Sebelum ini, Sekinchan hanya terkenal dengan pertanian dan nelayan sahaja tetapi kini indsutri pelancongan kita berjaya menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baiki segera kerosakan Jalan Persekutuan ke Sekinchan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SEKINCHAN, 1 MAC: Kerajaan Persekutuan digesa menyelesaikan segera masalah kerosakan jalan semakin serius di sepanjang laluan ke Sekinchan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, jalan raya Persekutuan itu kurang diberi perhatian dan sering kali terlepas pandang menjadikan jalan tersebut tidak rata dan berlekuk-lekuk.

“Tanggungjawarb Kerajaan Negeri dari segi penyelenggaran jalan di kawasan perkampungan telah lama dibaiki dan dalam keadaan baik, namun jalan Persekutuan masih tidak rata dan berlekuk yang boleh mengundang bahaya.

“Saya sendiri menggunakan jalan ini, malah saya turut menerima pelbagai aduan dari pengguna jalan raya. Namun dalam isu ini adalah terhad kerana jalan ini diseliakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan dan bajet tersebut datang dari mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Walaubagaimanapun, katanya beliau akan membawa isu itu ke dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) supaya kerosakan jalan itu dapat diberi perhatian.

“Saya cuba bawa sekali lagi dalam Sidang DNS akan datang pada 28 Mac ini supaya Persekutuan juga maklum dan ambil tindakan sewajarnya serta proaktif menaiktaraf jalan supaya pengguna tidak lagi mengeluh,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Projek WCE Persekutuan ganggu sistem air Sekinchan-Sabak Bernam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 13 FEB: Penduduk Sekinchan dan Sabak Bernam diminta mengambil langkah persediaan terhadap sebarang kemungkinan berlakunya gangguan air susulan pelebaran jalan Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, projek di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan itu melalui jajaran Jalan Persekutuan 5 menghubungkan laluan Sekinchan dan Sabak Bernam.

“Untuk tempoh tiga hingga empat tahun ini, sepanjang jalan terbabit akan mengalami kesulitan terutama di kawasan Sekinchan yang turut mengalami tempias susulan pembangunan projek ini.

Ng Suee Lim“Paling membimbangkan, projek ini juga akan memberi kesan kepada masalah paip pecah dan gangguan bekalan elektrik.

“Hampir setiap minggu, saya menerima aduan berhubung masalah ini kerana pelebaran jalan sebenarnya turut membabitkan gangguan longkang dan saliran air yang terpaksa ditutup,” katanya kepada SelangorKini.

Projek WCE dibina sepanjang 233 kilometer menghubungkan Banting ke Taiping, Perak berjalan mengikut jadual dan dijangka siap, pada 2019.

Pembinaan yang dimulakan pada 2014 membabitkan 11 fasa pembangunan dan kini sedang memasuki fasa kelima meliputi kawasan di Selangor, manakala fasa 8 sehingga 11 di Perak.

Menelan belanja RM6 bilion, lebuh raya itu bakal bakal menghubungkan laluan bandar seperti Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dengan Teluk Intan.

-NFN-