Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima sekolah agama terjejas bah mohon dana baik pulih infrastruktur

SHAH ALAM, 3 FEB: Lima sekolah agama di negeri ini yang terjejas banjir pada Disember tahun lalu memohon bantuan baik pulih infrastruktur setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata permohonan diterima dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Tun Perak (Hulu Langat), Sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi As Sufla (Petaling) dan SRA Al Hidayah, Taman Tun Teja (Gombak).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari dua lagi melibatkan Sekolah Rendah Assiddiqin, Bandar Tasik Puteri Rawang (Gombak) dan SRA Merbau Sempak (Petaling).

“Sekolah terbabit dikenal pasti hasil penelitian dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Ini adalah sekolah agama yang terkesan di Selangor hasil lawatan dibuat oleh pihak terbabit. Kita mempunyai satu (sekolah) anggaran (kos baik pulih) RM1.8 juta, yang lain belum dimuktamadkan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata kerja pembaikan tersebut akan dilaksana segera supaya operasi sekolah agama berjalan dengan baik.

“Ia juga bagi memastikan proses penyampaian pendidikan kepada anak-anak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bina banyak sekolah bukti negeri martabatkan pendidikan Islam

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pembinaan beberapa sekolah agama baharu di negeri ini membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa berusaha mematabatkan pendidikan Islam.

Dato’ Menteri Besar berkata Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah, Hulu Langat; Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam, Shah Alam dan SRA Country Homes, Gombak akan beroperasi tahun ini.

“Kita sentiasa prihatin dengan permintaan masyarakat untuk mendapatkan pendidikan berteraskan Islam dan sedar tradisi pendidikan diurus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu dipertahankan.

“Kewujudan sekolah agama kelolaan Jais seperti prasekolah, sekolah rendah agama (SRA), SRA Integrasi (SRAI), Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta MITS akan terus diperkasa hari ini dan masa depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika merasmikan majlis sambutan Hari Guru Jais 2021 bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jais hari ini.

Amirudin berkata peruntukan juga akan disalurkan untuk membaik pulih bangunan sekolah supaya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dijalankan secara kondusif.

“Melalui peruntukan dasar baharu ‘one-off’, Kerajaan Negeri meluluskan perbelanjaan bagi tujuan pembelajaran di SRAI dan MITS. (Usaha ini) seiring slogan Selangor Maju Bersama,” katanya.

24 November lalu, Setiausaha Sulit kepada Amirudin Saifuddin Shafii memaklumkan Selangor memperuntuk sejumlah RM211.11 juta khusus untuk pendidikan Islam pada 2021.

Peruntukan pendidikan Islam negeri ini meliputi:

  • RM1.1 juta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 guru Kafa.
  • RM10 juta pembinaan SRA Denai Alam.
  • RM11 juta pembinaan SRA Ehyaul Falah, Sabak Bernam.
  • RM12 juta pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah, Hulu Langat dan MITS Bagan Lalang, Sepang.
  • RM5.6 juta pembinaan Akademi Syahadah Tahfiz Al Faizin, Kuala Selangor
  • RM2 juta program ‘Fast Track’ Tahfiz bagi memberi peluang penajaan kepada pelajar tahfiz layak untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • RM2 juta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
  • Pembinaan sembilan masjid dijangka siap tahun ini.
  • Pembiayaan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) .
  • Peruntukan membaik pulih masjid dan surau seluruh negeri.
  • Sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM200,000 dalam bentuk komputer riba kepada 42 SRA dan Kafa.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sekolah seliaan Jais dibuka 1 Mac, boleh pakai baju biasa

SHAH ALAM, 25 FEB: Sekolah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) termasuk institusi swasta akan beroperasi mulai Isnin depan, kata pengarahnya.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pelajar prasekolah, tahun satu serta dua akan menjadi kumpulan pertama hadir diikuti pelajar tahun tiga hingga enam pada 8 Mac.

“Pelajar maahad tahfiz dan pondok juga memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac manakala pelajar tingkatan satu hingga enam pada 5 April,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pihaknya turut membenarkan pelajar yang masih tidak mempunyai seragam untuk hadir ke sekolah mengenakan pakaian yang bersesuaian dan sopan.

“Kebenaran berkuat kuasa dari 1 hingga 26 Mac selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Semalam, KPM memaklumkan kelonggaran kepada pelajar yang belum mempunyai pakaian seragam hadir ke sekolah dengan pakaian sesuai sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan.

Keputusan dibuat susulan pertanyaan daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Sesi persekolahan agama di Selangor mulai esok

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan di lima jenis sekolah agama peringkat rendah dan menengah bermula esok, 15 dan 22 Julai depan.

Merujuk hantaran Facebook jabatan itu, pembukaan sesi itu esok membabitkan pelajar tahun lima dan enam sekolah rendah agama (SRA), sekolah rendah agama integrasi (SRAI), kafa integrasi (Kafai) serta sekolah tahfiz dan pondok persendirian.

Bagi sekolah persendirian atau swasta (SRI, SRII, SMI, pusat tuisyen) pembelajarannya turut bermula esok melibatkan pelajar tahun lima dan enam serta pelajar tingkatan satu hingga empat bersama tingkatan empat maahad integrasi tahfiz Selangor (MITS).

Pada 22 Julai pula, persekolahan membabitkan pelajar tahun satu hingga empat SRA, SRAI, Kafai dan SRI, SRII, SMI, pusat tuisyen. Ia termasuk pelajar tingkatan satu hingga empat sekolah swasta terbabit.

Pelajar tingkatan satu hingga tiga MITS pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 Ogos 2020.

Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan sekolah agama negeri di Selangor. Grafik: Jabatan Agama Islam Selangor
Categories
NASIONAL

Permintaan ke sekolah agama meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 23 MEI: Permintaan bagi pendaftaran masuk ke sekolah agama semakin meningkat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, ia ekoran wujudnya keperluan membina sekolah agama yang semakin tinggi sejak akhir-akhir ini.

“Hari ini kita bukan saja menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan tapi pada masa sama keperluan untuk mendidik kerohanian juga dititikberatkan supaya agama dijaga dengan baik.

“Oleh sebab itulah permintaan masuk ke sekolah agama meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Gombak Setia 2019 di Surau Jabal Nur, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Soffan Affendi Aminudin.

Pada majlis sama, 500 penerima dari kawasan DUN Gombak Setia menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri.

Mohamed Azmin berkata, beliau percaya Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melihat aspek pembangunan institusi agama.

“Kepimpinan Kerajaan Negeri bukan sahaja bersih dan berintegriti tetapi turut menggunakan kekayaan untuk membela dan memelihara sekolah, surau dan institusi agama,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan memperuntukkan sebanyak RM1,940,400 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk meneruskan pelaksanaan program fast track SPM pelajar tahfiz persendirian dengan memanfaatkan fasiliti sedia ada sekolah-sekolah JAIS.

Pada masa sama, kerajaan turut akan memperuntukkan RM24 juta bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah di Selangor supaya tahap infrastrukturnya lebih selamat dan kondusif.

Pemberian itu termasuklah bantuan sebanyak RM10 juta bagi di Sekolah Agama Rakyat.

Categories
SELANGOR

Tindakan serius kepada sekolah agama tidak berdaftar

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan serius kepada mana-mana sekolah agama di Selangor yang tidak mendaftar di bawah garis panduan pendaftaran dan keselamatan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya amat menekankan perkara itu ekoran terdapat banyak sekolah agama di terutamanya sekolah tahfiz belum berdaftar dan mengabaikan keselamatan pelajarnya.

“Melalui pelaksanaan ini, satu garis panduan dikemas kini akan diberikan yang mana kita meletakkan jangka masa sesuai untuk sekolah mendaftar, sama ada dalam tempoh setahun atau enam bulan.

“Sekiranya sekolah itu sudah melepasi tempoh berkenaan, kita akan menutup operasi sekolah terbabit serta merta,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Garis Panduan Pendaftaran dan Keselamatan Sekolah-sekolah Agama Islam Selangor, semalam.

Ahmad Yunus berkata, ia bertujuan membolehkan semua sekolah agama dapat memenuhi syarat-syarat asas ditetapkan setelah didaftarkan.

“Apabila berlaku sesuatu kemalangan seperti kebakaran, kebanyakan sekolah persendirian seperti sekolah tahfiz ini tidak memenuhi kriteria sedia ada dan hanya berpandukan dasar atau pengurusan sekolah sahaja.

“Bagi mengelakkan perkara sama berulang, mereka seharusnya menekankan aspek lain seperti bangunan dan keselamatan kerana selain memberikan pendidikan agama, menjaga nyawa dan keselamatan adalah perkara asas.

“Kita mahu mereka jelas dengan perkara ini yang mana akhirnya sekolah berkenaan akan mempunyai sudut keselamatan iaitu tidak terdedah dengan bahaya,” katanya.

Setakat ini, terdapat 265 sekolah tahfiz berdaftar manakala lebih 170 belum berdaftar dengan jumlah pelajar lebih 20,000.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Exco: Tiada kenaikan yuran asas SRA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Negeri tidak pernah menaikkan yuran Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah pentadbirannya seperti didakwa segelintir pihak.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi berkata, yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tinggi hingga mendatangkan rungutan daripada ibu bapa bukan berpunca daripada Kerajaan Negeri sebaliknya diputuskan pihak sekolah.

“Yuran asas tidak pernah naik sejak 2007 berdasarkan saranan daripada Kementerian Pelajaran supaya (yuran) tiada kenaikkan kecuali PIBG.

“Itu terpulang (kepada sekolah) dan prosesnya sama seperti di sekolah kebangsaan, bergantung kepada keputusan PIBG.

“Bagi SRA tiada kenaikan. Kalau KAFA itu terpulang, bukan dibawah kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mendakwa Kerajaan Negeri tidak membantu sekolah agama dalam soal kebajikan.

Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri sudah ambil tindakan dengan memberikan skim pinjaman buku-buku teks kepada sekolah agama sejak 2008 melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Jelasnya, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM7 juta bagi mencetak buku teks Tahap Satu pada 2017 untuk kegunaan 2018.

Jumlah sama turut diperuntukkan tahun ini untuk mencetak buku teks Tahap Dua yang akan digunakan pada 2019 bagi menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM14 juta

Mengulas mengenai janji BN untuk memberikan pendidikan agama percuma jika kembali berjaya memerintah Selangor Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang itu menyifatkan ia sebagai cakap-cakap politik semata-mata.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Terus lahirkan modal insan berkualiti & integriti

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 OGOS: Sekolah aliran agama diyakini mampu melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti, berintegriti dan produktiviti menerusi penekanan gabungan akademik dan ko-akademik dalam sistem pentadbirannya.

Exco Agama, Datuk Ahmad Yunus Hairi menyeru warga pendidik aliran berkenaan untuk terus berusaha membentuk jati diri pelajar seiring arus pembangunan.

Sekolah Agama“Pendidikan adalah industri terpenting mampu menyiapkan negara dengan barisan modal insan berkualiti.

“Disinilah peranan pendidik kerana mereka yang akan membentuk pelajar bagaimana membina jati diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di Dewan Sekolah Agama Menengah Tinggi Ampuan Jemaah Seksyen 11, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Ihtifal Ilmi berlangsung empat hari bermula 6 hingga 9 Ogos depan mengaksikan seramai 793 peserta mengambil bahagian membabitkan 13 negeri kecuali Sarawak.

IMG_2691Selangor buat julung kalinya menjadi tuan rumah menyediakan lima lokasi bagi sembilan kategori dipertandingkan iaitu Tilawah dan Hafazan al-Quran, Syarahan Bahasa Melayu dan Inggeris, Perbahasan ala Parlimen, Nasyid, Seni Khat dan Kuiz.

Penganjuran acara itu turut mendapat pujian Yunus berikutan komitmen berterusan mampu menjadikan sekolah aliran agama mendapat tempat dan menjadi pilihan dalam kalangan pelajar rendah untuk meneruskan pengajian menengah.

“Justeru, guru terlibat dalam proses pendidikan ini diharap tidak pernah kenal jemu berusaha dalam melahirkan pelajar hebat dan bersedia jasmani dan rohani untuk bekorban mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

“Modal insan sebegini menjadi aset berharga sebagai generasi pelapis yang meneruskan pembangunan negara,” katanya.

EZY