Categories
AGENDA NASIONAL

Murid sekolah rendah dibenar buat ujian kendiri di rumah

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Murid sekolah rendah akan dibenarkan melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 di rumah bermula minggu ini, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), para murid yang dipilih kemudiannya perlu mengemukakan hasil ujian saringan berkenaan kepada pihak sekolah.

“Kit ujian akan disediakan oleh pihak sekolah. Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan keluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara itu,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM sebelum ini, 10 peratus murid sekolah rendah dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 yang dilaksanakan di sekolah mulai 1 Dis tahun lepas.

Pelaksanaan ujian kendiri itu hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pelaksanaan pendekatan baharu ini memerlukan ibu bapa berperanan memastikan ujian saringan Covid-19 dilaksana dengan teratur dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan KKM supaya sesi persekolahan dapat berlangsung dengan selamat.

“Jika ia tidak dilaksana mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara-saudari tetapi kawan-kawan serta guru mereka di sekolah,” katanya dalam video berdurasi lebih dua minit itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes Covid-19 murid sekolah rendah di Selangor terkawal

SHAH ALAM, 5 DIS: Kes positif Covid-19 melibatkan murid sekolah rendah di Selangor masih berada pada tahap terkawal, kata Pengarah Pendidikan Negeri Anismah M. Noh.

Beliau berkata ia berdasarkan rekod peratusan murid sekolah rendah yang disaring pada setiap Rabu di semua sekolah di negeri itu.

“Setakat ini untuk sekolah rendah, terdapat di setiap sekolah itu mungkin dua ke satu orang murid (positif Covid-19) apabila diuji pada setiap Rabu. Jadi memang ada. Dalam puluhan tetapi terkawal. Setelah murid itu positif, kita ikut tatacara operasi piawai (SOP) dan tindakan telah diambil.

“Kita ada lebih kurang 600 sekolah rendah di Selangor jadi setiap sekolah contohnya kalau ada 400 murid, 10 peratus daripada yang ada itu (perlu diuji) secara rawak setiap Rabu. Perhatian akan diberikan kepada murid yang nampak tidak sihat namun kita sudah maklumkan murid yang tidak sihat, tidak digalakkan datang ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Majlis Guru Besar (MGB) Negeri Selangor 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Terdahulu, Anismah berkata penganjuran majlis apresiasi berkenaan adalah bagi meraikan jasa guru-guru besar di negeri ini yang memainkan peranan hebat dalam dunia pendidikan dan juga majlis persaraan Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Selangor Sukimin Juki.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Norma baharu persekolahan jaminan keselamatan murid

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Setelah hampir empat bulan melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian di rumah, akhirnya semua pelajar dan murid akan kembali ke sekolah pada 15 dan 22 Julai ini.

Pastinya bukan sahaja mereka berasa gembira bercampur khuatir, guru dan ibu bapa juga mungkin dibayangi perasaan yang serupa.

Namun dengan keadaan wabak Covid-19 yang semakin terkawal, pembukaan sekolah ini diyakini akan berjalan lancar, berpandukan tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kalangan guru sudah tentunya tidak sabar untuk berjumpa anak didik mereka selepas “bercuti” sekian lama, apabila sekolah diarahkan tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

Usaha guru yang tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu ketika berdepan dengan pelbagai kekangan sepanjang tempoh tersebut bagaikan “wira yang tidak didendang”. Ada yang sehingga sanggup menghantar sendiri bahan tugasan kepada pelajar yang tidak dapat mengikuti kelas dalam talian sepanjang tempoh PKP.

Bagi golongan pelajar dan murid pula, perasaan keterujaan itu kian terasa apabila mereka dapat bertemu kembali secara bersemuka dengan rakan-rakan sekolah setelah hampir empat bulan “terperuk” di rumah dan menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian.

Guru Tabika Perpaduan Kampung Baru Rasah, Seremban Ng Choy Song (tengah) membantu anak muridnya Tee Pu Hong memakai pelitup muka dengan betul semasa melalui proses pembelajaran ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Bimbang lepaskan anak ke sekolah

Sekiranya ada ibu bapa yang berasa gelisah penyakit Covid-19 masih belum reda sepenuhnya, kerisauan mereka hanyalah memikirkan kesejahteraan anak-anak mereka terutama anak di sekolah rendah, yang pastinya terdedah dengan ramai orang ketika berada di sekolah nanti.

Apatah tidaknya, selama ini anak-anak mereka diawasi 24 jam sama ada di luar ataupun di dalam rumah, sering diingatkan untuk mengamalkan kebersihan diri seperti memakai pelitup muka sebelum keluar dari rumah, sentiasa basuh tangan serta elakkan kawasan sesak.

Bagi Sazlinda Osman, 45, sepanjang PKP, beliau sudah melatih anak-anaknya yang berusia sembilan dan 10 tahun itu mengamalkan kebersihan diri setiap hari, selain mengawasi mereka dalam sesi pembelajaran dalam talian bersama guru menerusi aplikasi ‘Zoom’.

“Apabila kembali ke sekolah, biasalah jumpa kawan-kawan mesti ‘excited’, jadi sukar mereka nak pastikan penjarakan sosial kerana guru-guru tidak mungkin dapat mengawal begitu ramai anak murid mereka di sekolah.

“Apa yang dibuat oleh anak-anak, ibu bapa tidak tahu. Adakah mereka mengamalkan pembersihan kendiri di sekolah seperti mana yang telah dilatih di rumah? Itu yang kami risaukan,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi ibu, Hayley Lee, 40, berkata, pihak sekolah perlu sentiasa memantau supaya semua murid mematuhi SOP ketat yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Jika di rumah, kami tahu setiap gerak-geri anak-anak di rumah ataupun dengan siapa mereka bergaul kerana kami sentiasa bersama dengan mereka.

“Ada pesakit Covid-19 ini tidak bergejala. Malang tidak berbau, lain ibu bapa lain cara mendidik anak-anak mereka. Ada sesetengah murid tidak tahu etika batuk dan bersin. Itu yang kita risau. Bukan sahaja kita risau Covid-19, batuk dan selesema pun mudah berjangkit,” katanya.

Persediaan rapi

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Yoong, Teluk Intan Perak, Leow Wooi Hian memberitahu Bernama, beliau yakin semua sekolah sudah pun membuat persediaan rapi untuk pembukaan sesi persekolahan yang akan bermula pada 15 Julai dan 22 Julai ini.

Beliau berkata, ibu bapa boleh datang ke sekolah dengan anak mereka bagi meninjau bagaimana guru mengendalikan murid mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Mereka boleh memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada guru-guru jika mereka tidak yakin terhadap SOP di sekolah jadi tanggungjawab guru tidaklah berat selain mengajar murid-murid,” katanya menerusi panggilan video Whatsapp.

Guru Taska Sinarku Gemilang Cawangan Sekolah Tunas Bakti, Melaka Aida Atikah Mohd Rizal, 23, membantu Nur Syazwana Husna Zawawi, 3, melakukan aktiviti pembelajaran di dalam kelas ketika tinjauan pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu, ajknya Tiew Lian Ching berkata setakat ini, murid-murid prasekolah yang sudah kembali ke tadika pada 1 Julai lalu dilihat dapat mengikut SOP yang ditetapkan.

“Jika murid-murid prasekolah yang berusia 6 tahun ke bawah boleh mengikuti arahan guru-guru di tadika, murid-murid sekolah rendah pun boleh ikut arahan kerana guru-guru akan sentiasa mengingatkan mereka untuk menjaga kebersihan diri selain mengamalkan jarak sosial,” katanya.

Kerjasama ibu bapa, guru

Komuniti, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni sekolah boleh memainkan peranan dalam membantu pentadbir sekolah melaksanakan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah ketika menerima kehadiran murid-murid di sekolah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan dalam temu bual dengan sebuah stesen televisyen tempatan menyarankan ibu bapa merekodkan suhu anak-anak mereka sebelum ke sekolah bagi memastikan mereka tidak dihalang jika suhu melebihi 37.5 darjah celsius.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kepada ibu bapa dan alumni bagi membantu pihak sekolah dalam membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik, berdasarkan keperluan sekolah, seperti mana yang dilakukan oleh ‘frontliners’ seperti polis dan tentera sepanjang PKP.

Oleh itu, sekiranya ibu bapa sendiri masih lagi risau terhadap anak-anaknya yang tidak boleh mengikuti amalan pembersihan dan keselamatan seperti mana dipratikkan di rumah, apa kata mereka tampil sebagai sukarelawan bagi membantu meringankan beban guru di sekolah.

Atas hikmah daripada PKP dan pandemik Covid-19, pengorbanan ibu bapa dilihat sangat besar, apabila mereka menjadi ‘guru’ kepada anak-anak mereka di rumah sepanjang tempoh PKP sebelum bermulanya sesi persekolahan.

Ibu bapa sudah tentunya mengambil berat saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendidik anak mengenai amalan normal baharu bermula dari rumah mereka sendiri.

Kini, sudah tiba masanya tanggungjawab itu diserahkan kepada guru di sekolah, dan sudah pasti mereka akan memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak terjamin.

Garis panduan ketat di sekolah

Setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Sudah pastinya, sebelum kerajaan membenarkan sesi persekolahan dibuka semula, tatacara operasi piawai (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah dibincang dan dimuktamadkan.

Sesi persekolahan juga dibuka secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 24 Jun.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah pada 4 Jun lalu, dengan protokolnya merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera.

Mereka dengan suhu badan yang melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah, manakala aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan nanti.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat digesa bela nasib 6,000 graduan GSTT

guru gstt1

SHAH ALAM, 4 OKTOBER : Kerajaan Pusat digesa membela nasib lebih 6,000 graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata, Kerajaan Pusat perlu memberikan penjelasan dan statistik kekosongan guru di semua sekolah agar dapat dinilai dengan perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, perkara itu menunjukkan kegagalan Kerajaan Pusat membuat perancangan sempurna yang membazirkan sumber negara.

Menurut Nie Ching, pada Januari 2012, Kementerian Pendidikan membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Akan tetapi graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian tersebut pada bulan Mei tahun ini masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

“Graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang iaitu seramai 2,017 orang di bawah kategori Sekolah Rendah dan 4,003 orang di bawah kategori Sekolah Menengah.

“Senarai calon dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober dan lantikannya bermula pada bulan Januari tahun depan,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Tambah Nie Ching, laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga tersebut sehingga sekarang.

Apabila graduan-graduan menelefon Jabatan berkenaan, pegawai tersebut tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri.

“Kesemua graduan tersebut menandatangani kontrak perkhidmatan selama 2 tahun dengan Kementerian maka ini menjadi halangan mereka mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta.

“Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama 7 bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?,” katanya.

Nie Ching berkata, survey tidak rasmi menunjukkan bahawa seramai 100-120 kekosongan guru di sekolah rendah.

“Jika kekurangan sudah lama berlaku, mengapakah temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih lagi ditangguh?

“Tambahan pula, pengajian DPLI  melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, perkara ini menimbulkan satu keraguan besar,” katanya.