Categories
AGENSI SELANGOR

Empat sekolah tahfiz terjejas banjir Kuala Selangor terima bantuan asas

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan keperluan asas kepada empat sekolah tahfiz sekitar Kuala Selangor yang terjejas akibat banjir.

Agensi berkata bantuan beras, lapik tidur dan barangan makanan asas disalur kepada Akademi Shahadah Tahfiz Al Faizin Banat di Parit Mahang dan Maahad Tarbiah Gontory Banat Bukit Hijau, Jeram.

Turut menerima sumbangan tersebut ialah Maahad Tarbiah Islamiah Al-Ansar di Bestari Jaya dan Maahad Tahfiz Diniah Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

“Semoga dengan usaha ini, dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Mais menambah kerja pembersihan sekolah Maahad Tarbiah Islamiyah Al Ansar turut dijalankan bersama Skuad Prihatin Mais, wakil sukarelawan dari agensi dan anak syarikat Mais terdiri Yayasan Islam Darul Ehsan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa serta Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Turut sama dalam program pembersihan ini ialah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan yang dianggarkan lebih 50 orang terlibat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan wujud SKM Tahfiz buka lebih banyak peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: ​Cadangan mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahfiz dilihat membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar aliran itu untuk mendapat peluang dalam sektor pekerjaan arus perdana.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh​ berkata, ia juga dapat memastikan pelajar tahfiz mendapat lebih banyak kemahiran dan tidak ‘tersekat’ dengan hanya menghafal al-Quran.

​”Banyak modul tahfiz di​ Malaysia yang​ sedang dan sudah dibangunkan​ seperti ​tahfiz berkemahiran melalui Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)​.

“Jadi, akreditasi dan SKM Tahfiz yang diperoleh melalui penubuhan Majlis Tahfiz Negara pada Mac 2020 nanti, akan memastikan semua aspek termasuk kurikulum dan latihan guru yang ditawarkan di pusat tahfiz adalah kompeten,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program PICOMSpreneur sempena majlis Liqa’ Jamaie Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) di sini hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi meningkatkan ilmu kemahiran pelajar institusi berkenaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Fuziah berharap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi pelaksanaan pelan tindakan Sosioekonomi Rahmah pada tahun hadapan dapat mewujudkan satu skim dana mikrokredit agar tidak hanya bergantung kepada pembayar cukai sebaliknya daripada zakat infak dan sedekah.

“Kita sedang kaji untuk membentuk satu ‘house of mal’, bukan sahaja Baitulmal, tetapi yang menggabungkan dana daripada bukan pembayar cukai termasuk zakat, infak, sedekah dan sebagainya.

“Ini penting kerana kita kini hanya berpandukan kepada dana zakat dan secara jelas, ia tidak cukup untuk membantu usahawanan asnaf,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuziah turut menegur orang ramai khususnya ibu bapa yang memberikan respon negatif mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang akan diwajibkan tahun hadapan.

“Ramai ibu bapa marah apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan (CRS), mereka kata mahal dan sebagainya tetapi ini adalah dasar maqasid syariah, pengurusan Islam kerana jaga nyawa juga maqasid syariah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

13 tahfiz tidak penuhi standard diarah tutup – JAIS

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 14 MEI: Sekurang-kurangnya 13 sekolah tahfiz di sekitar Selangor diarahkan tutup bagi mematuhi standard pembinaan dan kokurikulum yang ditetapkan demi kecemerlangan pelajar tahfiz.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, semua tahfiz terbabit adalah sebahagian daripada 362 sekolah tahfiz swasta dan persendirian yang berdaftar di bawah JAIS.

“Manakala 13 daripada jumlah itu diarah menghentikan operasinya dalam memastikan semua sekolah Tahfiz mematuhi standard pembinaan dan kokurikulum yang telah ditetapkan demi kecemerlangan pelajar Tahfiz,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar diarah tutup.

Titah baginda, penutupan juga perlu dilakukan ke atas sekolah tahfiz yang tidak mempunyai kokurikulum serta sistem pendidikan akademik moden.

Pada masa sama, Haris berkata, seramai 225 pelajar tahfiz mengikuti Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Huffaz Selangor yang bermula Mac lalu.

Katanya, ia turut membabitkan 52 guru yang akan mengajar lapan mata pelajaran bagi SPM.

“Program ini berjalan di tujuh lokasi di enam daerah seluruh Selangor. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.94 juta kepada JAIS bagi menjayakan program itu.

“Objektif utama program ini adalah sebagai persediaan kepada pelajar-pelajar maahad tahfiz swasta untuk mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas tambahan dan membolehkan mereka mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya giat menambah blok bangunan baru di tiga buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Istana Bandar, Bagan Lalang dan Bagan Terap.

“JAIS juga sedang membangunkan tiga buah sekolah baru di pelbagai lokasi Sekolah Agama Rakyat (SRA) Denai Alam, SRA Country Home dan MITS Kg Pandan bagi menampung permintaan kemasukan pelajar baru ke sekolah aliran agama,” katanya.

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

MB: Hanya satu sekolah tahfiz ditutup tahun lalu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan hanya 14 sekolah tahfiz yang tidak berdaftar di Selangor dengan satu daripadanya ditutup tahun lalu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk mendaftarkan tahfiz sekolah dan menyedari potensi sekolah terbabit dalam menghasilkan huffaz mahir keperluan untuk keselamatan yang lebih besar.

“Itulah sebabnya sekarang Kerajaan Negeri telah mendaftarkan lebih daripada 200 sekolah tahfiz dan dari rekod kami, sehingga kini, hanya 14 sekolah tahfiz yang belum mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah dikenal pasti.

“Jika mahukan angka, maka ini adalah 14 (sekolah tahfiz) yang menghadapi risiko ditutup, kerana mereka sudah diberi tempoh penangguhan cukup.

“Satu sekolah yang ditutup mempunyai 25 pelajar dan dua orang guru,” katanya pada sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini mengarahkan semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAIS ditutup dan ditamatkan perkhidmatan.

Baginda bertitah, tindakan sama juga perlu diambil terhadap sekolah swasta tahfiz yang tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan moden.

Secara keseluruhan terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.

JAIS : Selebriti buka sekolah tahfiz usaha yang baik

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengalu-alukan usaha selebriti tempatan menceburkan diri dalam pendidikan agama antaranya mendirikan sekolah tahfiz.