JURNAL BERITA – PAS tidak akan sertai BN, tiada agenda tersembunyi kerjasama hudud

1. “Saya tetap terus berjuang di Malaysia walaupun ke penjara”

2. Kompleks Sukan MPSJ berwajah baru, kemudahan bertaraf antarabangsa

3. MPSJ bakal bergelar bandaraya

4. PBT: MPSJ bertaraf 5 bintang, 9 PBT peroleh 4 bintang

5. Diskaun RM20 kompaun letak kereta tertunggak sempena ‘Jom Bayar Kompaun’

6. Dr MAZA: Hudud hanya boleh dilaksanakan dalam suasana bukan kepentingan peribadi

7. Kes APA, kerajaan tidak patut bazir wang rakyat

8. Proses laksana hudud ibarat ‘ingin beli kereta’

9. PAS tidak akan sertai BN, tiada agenda tersembunyi kerjasama hudud

10.MBSA tawar hadiah RM71,000 indahkan lorong belakang Seksyen 7

11.MCA akan timbang kedudukan dalam BN jika Umno sokong Hudud

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Peruntuk RM552,500 Kepada Atlet Sukma

msn 03

SHAH ALAM 5 OGOS : Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM552,500 kepada 338 atlet pengurusan pasukan dan persatuan kontinjen Selangor yang memperoleh pingat dan mengharumkan Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-16.

Insentif itu disampaikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) di Laman Kayangan, Seksyen 7, di sini.

msn 01Hadir sama Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan Ketua Kontinjen, Amiruddin Shari.

Pada majlis itu, seramai 198 atlet menerima insentif berjumlah RM451,000, manakala 70 pengurusan sukan menerima insentif berjumlah RM50,750 dan 70 persatuan menerima insentif berjumlah RM50,750.

Setiap atlet yang memenangi emas menerima insentif berjumlah RM3,500, RM2,000 diberikan kepada pemenang perak manakala pemenang gangsa menerima RM1,000.

Sementara pengurusan sukan dan persatuan masing menerima RM1,000 bagi pingat emas, RM750 bagi perak dan RM500 bagi gangsa.

Abdul Khalid berkata, pemberian insentif itu diharap akan memberi motivasi dan galakan kepada kontinjen Selangor untuk mengekalkan kejuaraan pada Sukma ke-17 yang akan diadakan di Perlis tahun depan.

msn 02Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah peruntukan sedia ada iaitu RM5 juta, jika kontinjen memerlukan penambahan peralatan dan infrastruktur.

“Kerajaan Negeri sedar, peruntukkan kita kurang berbanding negeri-negeri lain, namun bagi kita bukan peruntukkan besar yang menentukan kemenangan tetapi latihan yang teratur dan penglibatan yang mantap memberikan peluang menang.

“Bagaimanapun, kita akan minta Pihak Berkuasa Tempatan dan pejabat daerah untuk menaiktaraf kemmudahan dan insfrastuktur sukan bagi keselesaan atlet kita,” katanya dalam ucapannya.

Pada kejohanan Sukma lalu, kontinjen Selangor yang terdiri daripada 477 atlet, pegawai, pengurus pasukan dan jurulatih muncul juara keseluruhan menyingkirkan juara bertahan Terengganu selepas meraih 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa.

Kejayaan itu adalah yang kelapan buat Selangor selepas kali terakhir muncul juara keseluruhan pada edisi ke-11 di Kedah pada 2006.

Anugerah Olahragawan Sukma ke-16 turut dimenangi atlet gimnastik artistik dari Selangor, Danniel Iskandar Richard yang meraih tiga pingat emas menerusi acara individu lelaki, berpasukan lelaki dan kekuda berpelana lelaki serta dua perak daripada acara melombol dan palang tunggal.

Sementara itu, Danniel, 19, ketika ditemui melahirkan rasa gembira di atas insentif yang diterimanya sebanyak RM14,500.

“Insentif ini akan digunakan dengan sebaiknya, bagi saya ia merupakan satu suntikan semangat kepada saya untuk meneruskan kecemerlangan.

“Apa yang penting selepas ini, kita akan menyiapkan diri dengan sebaiknya untuk menghadapi Sukma tahun depan.

“Dan berharap satu hari nanti saya dapat melayakkan diri ke Sukan Komanwel,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Edar 370 Topi Keledar Percuma

MBSA Topi 01

SHAH ALAM, 3 OGOS : Dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mementingkan keselamatan khususnya menjelang Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 370 topi keledar secara percuma.

Pengedaran topi keledar itu adalah bersempena Kempen Selamat Pulang ke Kampung anjuran MBSA dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalanraya Selangor (JKJR), Sirim QAS International Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kempen kali ketiga itu bertujuan memupuk kesedaran kepada penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang disahkan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kempen ini mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pekerja industri dan orang perseorangan.

“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan kepada yang baru.

MBSA Topi 02

“Kempen ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen itu di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Katanya, kempen ini akan terus diperkasakan di masa akan datang melalui kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain pengedaran topi keledar, Mohd Jaafar turut menyerahkan 500 pek bubur lambuk kepada penunggang motosikal dan orang ramai.

(KEMAS KINI) Seorang Maut, 5 Cedera Dalam Kejadian Runtuhan Bumbung Banglo

SHAH ALAM, 19 OKT : Polis mengesahkan seorang mangsa maut dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini. Kesemua enam mangsa adalah pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara buruh yang maut dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Anggota SMART juga turut membantu dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari yang turut turun padang melihat kejadian itu menasihati warga Shah Alam yang berhasrat melakukan pengubahsuaian rumah agar mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau yang juga Adun Kota Anggerik berkata, ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di masa hadapan yang boleh mengorbankan nyawa.

Categories
SELANGOR

Projek Persimpangan Bertingkat Seksyen 7 Dijangka Siap 2013

SHAH ALAM, 7 APRIL : Masalah kesesakan di Seksyen 7 di sini dijangka selesai apabila projek persimpangan bertingkat yang menghubungkan Lebuhraya Persekutuan dengan kawasan sekitar  mual dibina 2 April lalu.

Persimpangan bertingkat bernila hampir RM46 juta itu adalah milik Perbadanan Menteri Besar Selangor atau MBI manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) diamanahkan sebagai pengurus projek.

Projek ini dilaksanakan dengan perkongsian kos antara PKNS dengan 9 syarikat penswastaan dan usahasama serta dua pemaju lain iaitu i-City Properties Sdn Bhd dan IJM Properties.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan. Lawatan beliau ke tapak projek diiringi Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan barisan pengurusan kanan PKNS.

Menerusi satu kenyataan media, PKNS memaklumkan projek berkenaan mengambil masa 18 bulan untuk siap pada 30 September 2013.

“Projek ini bakal memberi impak baru kepada pertumbuhan kawasan terbabit di samping mengatasi masalah kesesakan lalulintas yang meruncing.

“Sebahagian jajaran sepanjang Persiaran Kayangan, Persimpangan Permai, Lebuh Keluli dan Persiaran Bestari dijangka menjadi laluan bagi 2,000 kenderaan sehari sahaja apabila projek ini siap kelak berbanding 3,000 kenderaan ketika ini,” kenyataan itu menyebut.

Tulis kenyataan itu lagi, projek ini bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur serta pembeli hartanah ke kawasan sekitarnya, malah meningkatkan nilai hartanah kawasan terbabit. Selain itu, perkembangan industri pelancongan di Shah Alam juga akan bertambah rancak dengan kemudahan laluan selesa ke bandaraya Shah Alam serta ke lokasi rekreasi seperti i-City.