TANJONG KARANG, 26 DIS : Kerajaan Negeri Selangor diminta menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pembinaan perumahan yang dibina di atas tanah Kerajaan Negeri yang diluluskan semasa era pemerintahan kerajaan BN.
Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Misran Serman berkata, sepatutnya Kerajaan Negeri akan memperolehi 20 unit rumah kos sederhana yang berharga RM200,000 sebuah yang keseluruhannya bernilai RM4 juta.
Namun ia dipersoal apabila pemaju hanya menyerahkan 20 unit rumah kos rendah berharga RM35,000 sebuah dengan jumlah keseluruhannya berharga RM700,000.
Pembangunan perumahan itu dijalankan di tanah berkeluasan 7.7 ekar yag terletak di Lot 176 dan Lot 177 yang berhampiran dengan Dataran Tanjong Karang.
“Permohonan itu diluluskan pada tahun 2004 untuk pembangunan perumahan mengandungi rumah kos sederhana dua tingkat 100 unit dan kuarters 20 unit.
“Kerajaan Selangor sebagai tuan tanah dalam ratio 10:2 sepatutnya mendapat rumah kos jenis sederhana sebanyak 20 unit yang berharga 1 unit berjumlah RM200,000 atau keseluruhanya berjumlah RM4juta.
“Di sini terdapat penyelewengan apabila Kerajaan Negeri Selangor hanya mendapat rumah murah townhouse yang berharga RM35,000.
“Kerajaan telah ‘ditipu’ sebanyak RM3.3 juta,” katanya kata Misran ketika dihubungi oleh TVSelangor.
Misran mendakwa menerima maklumat berkenaan daripada kakitangan kerajaan yang menduduki rumah itu sendiri sekitar bulan Ogos lepas.
Hal demikian mendatangkan rasa tidak puas hati kakitangan berkenaan yang membuat aduan kepada Misran bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Saya harap pihak negeri dapat menyiasat perkara ini,” ujarnya.
Tambahnya beliau akan membuat semakan di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memperolehi maklumat lanjut butiran pemilikan syarikat berkenaan untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.
Dalam dokumen yang ditunjukkan Misran kepada TVSelangor, pihak pemaju projek berkenaan ialah Pembinaan Tegap Perkasa Sdn Bhd yang mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang kepada pihak MDKS pada 12 Sep 2000.
Setelah mendapat kelulusan permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah kerajaan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) untuk tujuan pembangunan kediaman.
Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui surat bil(15)dlm.PTKS.3C/TK.70/99 bertarikh 14 Mac 2000 dengan syarat pembinaan bangunan kediaman hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Syaratnnya adalah dengan membina 20 peratus rumah kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana rendah dan 10 peratus rumah kos sederhana.
Pemaju berkenaan beralamat di 40-A, Jalan Datuk Sulaiman,Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur dan Jururancang Bandar ialah Berkat Consult.