Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan #Selangor2022: Tumpu kesihatan awam, tambah peruntukan

SHAH ALAM, 22 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap dapat menambah dana sektor kesihatan awam bagi menjayakan inisiatif pendidikan serta pencegahan berkaitan kesihatan.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berharap penambahan dana sebanyak dua kali ganda berbanding peruntukan 2021 dapat diluluskan pada belanjawan kali ini.

“Kita harap ada tambahan dana untuk melengkapkan usaha kesihatan awam ini contohnya kesihatan mental kita ada Program Selangor Mental Sihat (SEHAT), jika perlu merujuk psikiatri kita ada dana untuk rawatan itu.

“Untuk Covid-19 pula ada Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) dan kita mahu dana itu untuk melatih mereka supaya boleh ada jaringan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Talian SELamat di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat belanjawan memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, sesi taklimat itu juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.