Categories
NASIONAL

Produktiviti buruh susut kepada -2.9 peratus suku keempat 2020

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Produktiviti buruh Malaysia terus susut kepada negatif 2.9 peratus pada suku keempat 2020 daripada negatif 2.2 peratus pada suku ketiga tahun yang sama berikutan krisis kesihatan serta pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM)

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produktiviti buruh kekal dalam trend menurun bagi empat suku berturut-turut, mencatatkan angka tersebut pada suku keempat 2020 bagi merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM23,570 per pekerja.

“Pada suku ini, jumlah pekerja berkurangan 0.6 peratus (suku ketiga 2020: -0.4 peratus) kepada 15.2 juta orang sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2020 menguncup 3.4 peratus (suku ketiga 2020: -2.6 peratus),” katanya dalam kenyataan bagi Produktiviti Buruh Suku Tahun Keempat 2020 yang dikeluarkan DoSM pada Rabu.

Beliau berkata pada suku keempat tahun lepas, jumlah jam bekerja turun 2.7 peratus selaras dengan waktu operasi perniagaan yang lebih singkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, merekodkan jumlah jam bekerja sebanyak 8.6 bilion jam.

Ini menyebabkan produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turun sedikit 0.8 peratus kepada RM42 per jam setelah meningkat marginal 0.1 peratus (RM41 per jam) pada suku ketiga 2020, katanya.

Menurut DoSM mengikut sektor ekonomi, pembuatan merupakan satu-satunya yang mencatatkan pertumbuhan pada 3.2 peratus (suku ketiga 2020: 3.7 peratus) bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja.

Di samping itu, hampir kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan dalam produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini kecuali pembuatan yang terus mencatatkan kenaikan 6.0 peratus (suku ketiga 2020: 7.0 peratus), jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai keseluruhan prestasi produktiviti buruh bagi 2020, Mohd Uzir berkata produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja jatuh 5.4 peratus daripada 2.1 peratus pada 2019 berikutan krisis kesihatan dan pelbagai fasa PKP.

Beliau berkata nilai ditambah per pekerja pula sebanyak RM88,899 per pekerja (2019: RM93,973 per pekerja).

“Sebaliknya, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada 2020 meningkat 3.4 peratus (2019: 2.2 peratus) dengan nilai RM42 per jam (2019: RM41 per jam).

“Jumlah jam bekerja pada 2020 adalah sebanyak 32.0 bilion jam (2019: 35.0 bilion jam), berkurangan 8.7 peratus (2019: 2.1 peratus). Sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi yang ditunjukkan melalui nilai ditambah, jatuh kepada 5.6 peratus (2019: 4.3 peratus) manakala pekerja jatuh 0.2 peratus (2019: 2.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata sebagai rumusan, pandemik ini menyebabkan perniagaan perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui pendigitalan.

Menerusi penggunaan teknologi, ia akan menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka sederhana dan panjang, katanya.

“Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan, dan dengan itu akan mengekalkan perniagaan serta pekerjaan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor lulus pelaburan sektor pembuatan RM17 bilion pada 2019

RAWANG, 9 OKT: Sejumlah RM17 bilion nilai pelaburan sektor pembuatan diluluskan tahun lalu di Selangor, tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata nilai itu merangkumi 315 projek dan mewujudkan 21,085 peluang pekerjaan.

“Pelaburan domestik dan luar negara menjadi kejayaan ekonomi Selangor sekali gus menawarkan peluang pekerjaan yang menjamin penduduk negeri ini,” kata Dato’ Hassan Azhari Idris ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengedaran Berpusat Daikin Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan Kerajaan Selangor bagi menarik pelabur dan meyakinkan mereka negeri ini destinasi tepat pada peringkat pasaran tempatan serta global.

“Ini termasuk tumpuan terhadap pengurusan proses permohonan bagi memudahkan urusan pelabur yang ditambah baik dan dipermudahkan,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menyumbang 24.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Beliau berkata angka tersebut meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar perolehan sektor pembuatan RM10 bilion

SEPANG, 24 OGOS: Selangor menyasar perolehan sektor pembuatan antara RM8 hingga RM10 bilion tahun ini, sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM3 bilion dicapai dalam tempoh tiga bulan selepas sektor ekonomi dibuka semula Mei lalu.

“Kita faham situasi pelaburan tetapi kita cuba dapat nilai signifikan. Tahun lalu kita capai RM17 bilion dan RM18.9 bilion pada 2018 tetapi sebab Covid-19 kita kena turunkan,” katanya menambah baki sasaran boleh dicapai melalui pelaburan di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Tahun lalu, Selangor mencatat nilai pelaburan RM47.8 bilion, tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Amirudin berkata inovasi dan pelaburan teknologi oleh Hartalega NGC boleh dimanfaat untuk berdepan Revolusi Industri 4.0 bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.

“Usaha boleh dibuat melalui dana Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor dan kita alu-alukan nilai pelaburan besar tetapi harus dirancang untuk melihat manfaatnya bagi pembangunan sumber manusia serta modal insan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan sektor pembuatan susut tiga peratus pada Mac

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan penurunan tiga peratus kepada RM110.2 bilion pada Mac 2020 berbanding RM113.5 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jualan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain merosot -7.4 peratus; produk makanan, minuman dan tembakau (-5.9 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (-5.7 peratus).

Berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut 0.9 peratus atau RM1.1 bilion manakala bagi terma pelarasan musim, nilai jualan mencatatkan penurunan 9.5 peratus, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020, Mohd Uzir berkata nilai jualan sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 2.2 peratus kepada RM339.4 bilion berbanding tempoh yang sama 2019.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor itu pada Mac 2020 berjumlah 2.26 juta, peningkatan 1.2 peratus atau 27,541 pekerja berbanding 2.23 juta pekerja pada Mac 2019.

Menurut Mohd Uzir, gaji dan upah pada Mac 2020 berjumlah RM7.46 bilion dengan pertambahan 1.8 peratus atau RM130.5 juta pada bulan yang sama tahun lepas.

“Pada masa sama, nilai jualan per pekerja menguncup 4.1 peratus kepada RM48,815 berbanding bulan sama 2019. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,303 pada Mac 2020,” katanya.

Bagi suku pertama 2020, jumlah pekerja meningkat 1.2 peratus kepada 2.26 juta manakala gaji dan upah mencatat kenaikan 3.4 peratus kepada RM22.7 bilion. Nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan itu naik satu peratus kepada RM150,368, kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FMM harap ringgit lebih kukuh pada 2020

KUALA LUMPUR 10 JAN: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan terus mengukuhkan mata wang dan pasaran modal negara.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata peningkatan akan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan.

“Perlu diingat bahawa kira-kira 70 peratus daripada barangan perantara untuk sektor pembuatan diimport dan kami mahu kerajaan membantu mengukuhkan ringgit,” katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Majlis FMM dan majlis makan malam di sini, semalam.

Acara itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut bersetuju dengan Soh, bekas Presiden Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS daripada 4.2 kepada 4.1 dalam beberapa minggu ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga pengeksport dalam industri (pembuatan) dan industri lain; justeru mata wang yang stabil merupakan penyelesaian yang terbaik untuk semua. Tidak terlalu kukuh dan tidak terlalu lemah.

“Saya fikir julat 3.8 hingga 4 adalah paras terbaik. Sebelum ini pada 3.8, ringgit telah mencatatkan prestasi yang amat baik untuk kebanyakan sektor,” katanya.

Soh berkata bagi 2020, FMM akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan sektor pembuatan, menambah aktiviti dan mempunyai lebih banyak eksport selain membawa masuk lebih banyak pendapatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nilai jualan sektor pembuatan November 2015 meningkat

SHAH ALAM 11 JAN : Nilai jualan sektor pembuatan negara pada November 2015 mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus (RM1.2 bilion) kepada RM55.5 bilion berbanding RM54.3 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia di laman sesawangnya menyatakan manakala bulan ke bulan, nilai jualan menurun 5.3 peratus (RM3.1 bilion) berbanding bulan sebelumnya. Nilai jualan pada bulan Oktober 2015 kekal tidak berubah.

sektor pembuatanBerdasarkan pelarasan musim, nilai jualan pada bulan November 2015 mencatatkan penurunan 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Tahun ke tahun, peningkatan nilai jualan pada bulan November 2015 adalah berikutan peningkatan dalam 66 daripada 138 industri yang diliputi dalam penyiasatan.

Sementara itu, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan November 2015 adalah seramai 1,028,791 orang, menurun 0.2 peratus atau 1,652 orang berbanding 1,030,443 orang pada November 2014.

Sementara itu, bulan ke bulan, bilangan pekerja meningkat sebanyak 0.1 peratus berbanding 1,028,147 orang pada bulan sebelumnya.

Berdasarkan tahun ke tahun, jumlah gaji dan upah yang dibayar pada bulan November 2015 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya meningkat 7.4 peratus (RM209.1 juta).

Sementara itu, bulan ke bulan, nilai gaji dan upah yang dibayar pada bulan November 2015 menurun 0.3 peratus (RM8.2 juta) kepada RM3,047.2 juta.

EZY

Jambatan Ke-Tiga Klang Akan Siap Dalam Dua Tahun – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 18122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 18 DESEMBER 2012 :

1. Pengguna jalan raya tidak perlu lagi meredah kesesakan di tengah bandaraya Klang, selepas jambatan ke-tiga Klang sepanjang 500 meter siap sepenuhnya dalam dua tahun lagi.

2. Lebih 20 ribu kerja kosong di Selangor dibuka untuk diisi segera di mana majoriti peluang ini adalah dalam sektor pembuatan.

3. Kuota Wanita : Sekali Lagi PR Lakukan Apa Yang Umno-BN Tidak Mampu

4. Polis Harus Menjadi Pengerak Utama Bendung Perjudian

5. Benar Mahasiswa Bertanding, KPT Jangan Berat Sebelah

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

20,000 Kerja Kosong Di Selangor, Kerajaan Negeri Perluaskan Karnival Kerjaya

karnival kerjaya kumpulan peransang 01

KUALA SELANGOR, 15 DIS : Kira-kira lebih 20,000 peluang kerja kosong wujud di Selangor yang perlu diisi segera di mana majoriti peluang ini adalah dalam sektor pembuatan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri pula memerlukan 1,000 juru ukur tanah untuk mempercepatkan proses ukur tanah di Selangor.

Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 3 juta kepada karnival kerjaya tahun depan bagi menemukan graduan dan individu yang tidak bekerja dengan majikan.

Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin berkata, sebanyak RM 2.7 juta sudah dibelanjakan untuk Karnival Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) yang disertai 629 individu.karnival kerjaya kumpulan peransang 02

Raja Idris berkata program tersebut akan diperluaskan kepada golongan ibu tunggal, pesara dan remaja mulai tahun depan.

“Dengan itu diharap golongan ini akan mendapat pekerjaan dan juga boleh memulakan perniagaan sendiri,” katanya di dalam RKSS yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Ujarnya Karnival ini akan diperluaskan ke seluruh Selangor dalam masa terdekat ini.

Katanya, 80 peratus yang menyertai program itu berjaya memperolehi pekerjaan manakala 20 peratus menjadi usahawan sejak program itu dilancarkan pada 30 September 2011.

“Kita akan mempertingkatkan usaha ini sehingga mencapai tahap 90 peratus,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis itu, Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yasid Bidin.