Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti tertentu sektor perumahan dibenarkan

PUTRAJAYA, 27 JULAI: Kerajaan membenarkan sektor pemajuan perumahan beroperasi pada Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lepas.

Menurut KPKT kebenaran itu terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif serta sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118).

“Di bawah Fasa 1 PPN, aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah.

“Aktiviti lain yang dibenarkan beroperasi adalah kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period); dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4,” menurut kenyataan itu.

Di bawah Fasa 2 PPN pula, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, agen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit hartanah subsale.

Menurut KPKT kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini sektor tersebut yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT https://www.kpkt.gov.my.

Ini termasuk SOP lain seperti SOP pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya di www.cidb.gov.my dan SOP am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan di www.mkn.gov.my  bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Maklumat lanjut, boleh hubungi Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4493/4494.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rancak semula sektor perumahan pascawabak Covid-19

SHAH ALAM 15 SEPT: Sektor perumahan di negeri ini kembali rancak selepas terhenti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata projek merangkumi pembinaan 30,000 unit Rumah Idaman dalam tempoh tiga hingga lima tahun serta kediaman lain yang menyumbang RM12 bilion kepada nilai ekonomi.

“Walaupun sektor perumahan hanya meliputi antara 10 hingga 15 peratus daripada kek ekonomi Selangor tetapi sumbangannya amat penting.

“Kelembapan sektor perumahan akan menjejaskan sistem sokongan meliputi sektor bahan mentah seperti simen dan batu atau perbekalan merangkumi aksesori rumah seperti kipas, penghawa dingin, perabot dan pelbagai komponen penting lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Projek Perumahan Idaman Taman Air Manis, Sabak Bernam di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata pelaksanaan projek Rumah Idaman bakal menyelesaikan masalah pemilikan rumah golongan B40 dan M40 selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta peluang pekerjaan.