Categories
AGENDA NASIONAL

SELamat sedia khidmat profesional atasi keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Selangor hari ini melancarkan talian khas SELamat sebagai sistem sokongan bagi membantu individu berdepan keganasan rumah tangga membuat aduan.

Beroperasi 24 jam setiap hari, talian itu diselia 10 sukarelawan dan kaunselor bertauliah, petugas sepenuh masa serta jabatan kerajaan berkaitan, kata EXCO pembangunan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mangsa diberi penyelesaian jangka pendek dari sudut nasihat dan bantuan psikologi sebelum menerima bantuan susulan.

“Saya menyeru masyarakat untuk hubungi talian ini dan kita akan berusaha membantu tindakan lanjut seperti mengaturkan perlindungan sementara atau tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan SELamat di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Dr Mariah berkata sebanyak empat panggilan diterima membabitkan aduan keganasan rumah tangga dan satu kes penderaan kanak-kanak sejak talian itu beroperasi awal bulan ini.

Beliau berkata panggilan lain meliputi bantuan Kerajaan Negeri dan lokasi pusat khidmat masyarakat.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian 03-6419 5027. SELamat antara inisiatif terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dengan peruntukan RM100,000.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kes dera kanak-kanak antara aduan diterima talian SELamat

SHAH ALAM, 16 NOV: Empat daripada 10 aduan diterima melalui talian khas SELamat membabitkan keganasan rumah tangga termasuk satu kes penderaan kanak-kanak.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata kes dera itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut manakala selebihnya diberi kaunseling.

“Kes keganasan rumah tangga dirujuk ke kaunselor kerana mangsa mahu menyelamatkan perkahwinan. Enam lagi panggilan melibatkan agensi kerajaan, vaksin dan operasi talian,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

SELamat yang dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga beroperasi sejak 3 November lalu dengan menghubungi talian 03-64195027.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri turut melancarkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu orang ramai meluahkan tekanan yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Covid-19 selamat, tiada mikrocip

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon menegaskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat dan tidak mengandungi mikrocip yang akan mengawal minda manusia.

Menjawab persoalan berhubung teori konspirasi yang mendakwa vaksin berkenaan mengandungi mikrocip, Dr Rohaizat berkata kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin terbukti selamat dan berkesan.

“mRNA adalah sangat kecil, kita tidak boleh memasukkan mikrocip di dalamnya dan juga ia tidak berinteraksi dengan genom manusia,” katanya dalam rancangan Bernama TV’s Mid-day Update dikendalikan oleh Jessy Chahal hari ini.

Justeru, beliau menggesa agar masyarakat mempercayai mesej rasmi atau maklumat daripada laman rasmi kerajaan serta kajian literatur yang boleh dipercayai berkaitan vaksin.

Beliau berkata orang ramai boleh merujuk kepada Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengandungi maklumat antaranya mengenai jenis-jenis vaksin Covid-19 digunakan oleh kerajaan, kemudahan penyimpanan vaksin serta pandangan sudut keagamaan mengenai panduan vaksin dan imunisasi.

Buku panduan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dr Rohaizat juga menegaskan bahawa vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan.

“Setakat ini, kajian daripada negara-negara lain menunjukkan vaksin ini selamat. Sepanjang yang kita ketahui, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura mendahului kita (pelaksanaan program imunisasi), oleh itu Malaysia boleh mempelajari dan mengkaji semula prestasi, kekurangan dan pencapaian mereka,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pharmaniaga jamin vaksin CoronaVac berkesan, halal

SHAH ALAM, 3 FEB: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan vaksin Covid-19, CoronaVac keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), yang akan diterima rakyat negara ini adalah selamat, berkesan dan halal.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badarulhisam Abdul Rahman, berkata vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif itu merupakan kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lepas.

“Kaedah sama juga digunakan untuk penghasilan vaksin penyakit berbahaya antaranya Polio dan Hepatitis A. Teknologi ini terbukti berkesan berbanding teknologi baharu lain yang belum diketahui risikonya,” katanya semasa membentangkan mengenai perkembangan vaksin berkenaan secara maya, semalam

Turut menyertai sesi pembentangan itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Bagaimanapun, Dr Badarulhisam berkata kekeliruan mengenai keberkesanan vaksin berkenaan timbul selepas kajian klinikal di dua negara menunjukkan Turki memperoleh skor 91.25 peratus manakala Brazil 50.38 peratus.

Jelas beliau, kajian di Turki boleh dilihat sebagai penanda aras tahap keberkesanan vaksin CoronaVac kerana ia dijalankan ke atas populasi awam melibatkan 13,000 individu berumur 18 tahun ke atas berbanding Brazil yang melaksanakannya terhadap 13,060 petugas kesihatan yang terdedah kepada virus Covid-19 setiap hari.

“Bagaimanapun, kajian di Turki hanya akan lengkap pada awal bulan ini. Namun kita percaya, tahap keberkesanannya akan melebihi 90 peratus iaitu melebihi piawaian 50 peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk sesuatu vaksin didaftarkan,” katanya.

Tambah Dr Badarulhisam, melalui kajian klinikal itu juga, tiada kesan sampingan serius termasuk ‘Vaccine Enhance Disease’ dikesan selepas dua dos vaksin berkenaan diberikan kepada peserta dan majoritinya hanya mengalami tindak balas ringan.

Dalam pada itu, Zulkarnain pula berkata Pharmaniaga telah meneliti kandungan, formula serta kaedah vaksin berkenaan dihasilkan dan yakin ia adalah halal untuk digunakan sepertimana dinyatakan oleh Majlis Ulamak Indonesia.

Beliau turut menjangkakan vaksin CoronaVac akan memperoleh kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hujung bulan ini atau awal Mac sebelum diedarkan pada April.

“Mengikut perjanjian, Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin ini. Dalam bulan pertama, kita akan bekalkan sejuta dos vaksin CoronaVac diikuti dua juta dos pada bulan seterusnya untuk diedarkan oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada Pharmaniaga mungkin menjual vaksin berkenaan kepada pihak swasta terutamanya industri bagi kegunaan pekerja asing mereka, Zulkarnain berkata perkara itu ada dibincangkan dengan kerajaan.

“Kita sedang berunding dengan kerajaan (untuk menjual CoronaVac) kerana selepas membekalkan 12 juta dos vaksin ini, Pharmaniaga masih mempunyai bekalan dua juta lagi dos. Namun, kerajaan telah meminta vaksin turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan ‘economic fronliner’ selain pekerja asing dan ekspatriat.

“Pharmaniaga juga sedang mengumpul maklumat mengenainya dan sejurus selesai, kita akan berunding bagaimana ia akan dijalankan. Namun, agihan vaksin untuk rakyat Malaysia adalah keutamaan kami ketika ini,” katanya.

Pada 12 Januari lepas, Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membekalkan 14 juta dos vaksin Covid-19 yang mana proses pembotolan dilakukan di kilang berteknologi tingginya di Puchong, Selangor.

Pada 26 Jan pula, Pharmaniaga menandatangani perjanjian untuk membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia masih antara terawal terima vaksin Covid-19 – menteri

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Walaupun negara maju lain serta negara jiran telah mula menerima vaksin Covid-19, Malaysia berada dalam landasan tepat untuk menerima bekalan vaksin itu bulan depan dan masih merupakan antara negara terawal di Asia Pasifik untuk menerimanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Malaysia tidak terlewat walaupun negara lain telah menerima bekalan vaksin lebih awal dengan membayar wang pendahuluan yang tinggi sebelum data keselamatan dan keberkesanan diterbitkan.

“Malaysia membuat keputusan perolehan berdasarkan penelitian ujian klinikal tanpa perlu membayar harga premium atau wang pendahuluan yang tinggi. Maka Malaysia boleh menilai proses vaksinasi di negara lain supaya apabila pelaksanaan vaksinasi kelak, kita mampu melaksanakan secara teratur dan berkesan.

“Ramai yang mempersoalkan tentang ‘kelewatan’ Malaysia dalam memperoleh vaksin terutamanya apabila melihat negara jiran mula menerima vaksin Covid-19. Saya ingin jelaskan bahawa Malaysia masih lagi ‘on-track’, malah tempoh masa ini telah dipersetujui dalam rundingan bersama Pfizer pada November lepas,” katanya di Twitter beliau hari ini.

Mengenai proses penerimaan vaksin bulan depan, Khairy berkata kesemua vaksin yang ditempah tidak akan diterima secara serentak sebaliknya mengikut suku tahunan.

“Untuk vaksin keluaran Pfizer, satu juta dos akan diterima pada suku pertama, 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta (suku keempat). Ini juga adalah sama dengan vaksin keluaran syarikat lain yang telah ditempah,” kata Khairy.

Memperincikan pemberian vaksinasi, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah membuat perancangan vaksinasi mengikut senarai keutamaan dengan matlamat melindungi kumpulan paling berisiko tinggi iaitu petugas barisan hadapan sektor keselamatan serta kesihatan.

“Disusuli warga emas dan individu berpenyakit kronik diikuti populasi dewasa lain bagi membentuk imuniti kelompok. Jika anda adalah seorang dewasa yang sihat di bawah umur 60 tahun dan bukan petugas barisan hadapan, jangkaan paling awal menerima vaksin adalah pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, mengurus jangkaan adalah penting memandangkan pelan vaksinasi Malaysia mengambil masa sehingga 18 bulan.

Selain itu, Khairy turut memberi jaminan bahawa kesemua vaksin dikenal pasti selamat serta berkesan bagi memastikan kepentingan orang ramai serta kewangan negara terpelihara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan positif Covid-19, Rapid Rail jamin perkhidmatan selamat diguna

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Rapid Rail Sdn Bhd memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat meskipun seorang pegawai stesen transit aliran ringan (LRT) di Stesen Bandaraya didapati positif Covid-19.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi.

Selain itu, katanya kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren juga sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan para penumpang.

Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. Foto Sumber: Facebook Rapid KL

“Staf berkenaan disahkan positif Covid-19 dua hari lepas dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Staf berkenaan bertugas kali terakhir pada 19 Disember lepas dan tidak bekerja sejak tarikh berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tidak mempunyai kontak dengan para penumpang ketika bertugas,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan pihak pengurusan Rapid Rail, selaku operator LRT laluan Kelana Jaya melaksanakan kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan pada hari pegawai itu disahkan positif berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan pegawai stesen itu turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah SOP KKM.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas, telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, khususnya memakai pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belantan, pistol renjat untuk penguatkuasa PBT

teng pc stripe tie 01SUBANG JAYA 24 SEPT : Pegawai Penguatkuasa di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan dilengkapi dengan peralatan keselamatan belantan renjat dan pistol renjat tidak lama lagi.

Exco Kajian, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim berkata kelengkapan ini perlu supaya penguatkuasa dapat melaksanakan tugas mereka dalam keadaan selamat ketika menjalankan tugas seperti operasi serbuan atau rampasan.

Katanya, pihaknya sudah membuat sebut harga dan setakat ini hanya tunggu kelulusan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Kita sudah menghantar permohonan kepada SIRIM awal bulan ini dan kita masih menunggu kelulusan, jika sudah mendapat maklum balas kita akan terus laksanakannya,” katanya kepada pemberita seusai pembentangan Dialog Belanjawan 2014 yang bertajuk Pengukuhan Perkhidmatan PBT, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Senjata renjat menggunakan aliran elektrik untuk menganggu kawalan otot dan menyebabkan saraf otot kehilangan upaya buat seketika. Belantan dan pistol renjat itu tidak bertujuan untuk menyebabkan kesakitan melampau, kecuali penggunanya memilih mod tertentu.

Sebagai permulaan hanya anggota-anggota terlatih akan diberi kelengkapan itu.

“Peruntukkan saya masih lagi mempunyai baki RM1 juta. Jika sebut harga dan keputusan dari SIRIM itu dalam tempoh terdekat maka kita akan gunakan peruntukkan itu dan jika lambat, kita gunakan peruntukkan tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Teng memaklumkan Kerajaan Negeri dan PBT sedang mengkaji untuk memberi kenaikan elaun lebih masa kepada penguatkuasa. Turut diberi perhatian adalah kenaikan pangkat penguatkuasa.

“Penguatkuasa yang sedia ada akan ditawarkan bonus yang menarik serta elaun yang tinggi bagi mereka mempertingkatkan mutu kerja seterusnya menaikkan imej PBT,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri mengkaji untuk melantik penguatkuasa secara kontrak bagi memantapkan lagi penyampaian khidmat PBT di wilayah masing-masing.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.