Categories
AGENSI SELANGOR

Tempahan slot vaksin Selangor dos penggalak bulan Mac kini dibuka

SHAH ALAM, 13 FEB: Tempahan slot dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster bagi bulan Mac telah dibuka.

Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memaklumkan tempahan itu boleh dilakukan sendiri dengan individu boleh memilih tarikh serta lokasi menerima pelalian.

“Jangan lupa, tebus dos penggalak anda secara percuma dengan menggunakan kod baucar,” katanya di Facebook.

Sehingga awal bulan ini, seramai 74,000 individu menerima suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster sejak Disember tahun lalu.

Pengurus Besar Klinik Selcare Dr Jeevarajah Ratnarajah berkata program terus mendapat sambutan baik dengan 1,950 dos diperuntuk setiap hari di 13 klinik.

“Kita mengalu-alukan jika wakil rakyat ingin mengadakan program ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan menyediakan pusat pemberian vaksin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar janji temu dos penggalak menerusi SELangkah, terhad 150 individu sehari

SHAH ALAM, 10 DIS: Warga Selangor yang ingin mendapat janji temu program Vaksin Selangor (Selvax) Booster diminta membuat pra pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata slot berkenaan terhad kepada 150 orang sehari di 13 klinik Selcare terbabit dalam program itu.

“Pastikan anda mengikuti tutorial pra pendaftaran dengan melayari https://bit.ly/selvaxb,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu, Amirudin turut berkongsi kod baucar untuk mendapatkan dos penggalak di bawah program Selvax Booster sebagai panduan kepada orang ramai.

Pada 7 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah.

Pada 30 Jun Selangor melaksanakan Selvax Komuniti yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Kemudian pada 12 September Selvax bergerak dilaksanakan menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Kerajaan Negeri mengumumkan pula program Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah jadi pusat sehenti, mudahkan pelbagai urusan pengguna

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menjadi pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk penggunanya.

Duta SELangkah, Adibah Noor berkata sebelum ini aplikasi dibangunkan Kerajaan Selangor tertumpu kepada khidmat saringan serta suntikan vaksinasi namun kini dipelbagaikan termasuk e-dompet bermula November.

“Memang dah banyak penggunaan e-dompet tetapi di SELangkah ia berbeza. Kita kena cuba untuk lihat perbezaan itu.

“Boleh juga digunakan di mana-mana termasuk premis kecil. Yang penting dapat kurangkan sentuhan atau penyebaran virus Covid-19,” katanya pada majlis pelancaran e-dompet di Sentul Depot semalam.

Justeru penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu menyeru orang ramai menggunakan kemudahan e-dompet bagi memudahkan urusan.

Bulan lalu, SELangkah turut menambah fungsi dengan menyediakan tempahan janji temu saringan Covid-19 serta pembelian kit kendiri.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah perkenal e-dompet, galak masyarakat lakukan transaksi tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kemudahan e-dompet dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) mampu mengurangkan sentuhan antara individu sekali gus mengekang penularan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare berkata inisiatif bermula bulan lalu itu juga seiring dengan keperluan masyarakat untuk memasuki era endemik tidak lama lagi.

“Aplikasi e-dompet ini menggalakkan ahli SELangkah menggunakan transaksi tanpa tunai dan dapat mengurangkan sentuhan yang mungkin berisiko memberi jangkitan virus.

“Ini antara langkah diambil Kerajaan Selangor dalam mengekang dan melawan Covid-19,” kata Dr Muaz Omar ketika majlis pelancaran e-dompet di Sentul Depot, dekat sini.

Jelasnya kemudahan berkenaan boleh digunakan di pelbagai premis antaranya syarikat telco, Burger King dan kedai serbaneka KK Super Mart serta 99 Speedmart.

“Beberapa agensi dari luar Selangor turut menjadi rakan niaga SELangkah dan ada beribu lagi syarikat yang dalam proses integrasi,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak lagi penambahan fungsi SELangkah pada masa akan datang bagi memudahkan urusan masyarakat.

“Mulanya aplikasi ini untuk penjejakan kontak dan saringan sahaja tetapi kita rasa perlu untuk mengevolusikannya. Dari matlamat menyelamatkan nyawa sekarang beralih kepada menyelamatkan kehidupan,” katanya.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Aplikasi itu terus diperkemas dengan menawarkan kemudahan tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor laksana e-dompet, wujud masyarakat tanpa tunai

SHAH ALAM, 26 NOV: Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet awal tahun depan bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut mempunyai kumpulan pasaran (captive market) selaku Super App.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

“(Ia) lengkap dengan lesen pinjaman wang dikeluarkan bank negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta saiz e-dompet sebanyak RM10,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Super App e-dompet akan mengumpulkan semua perkhidmatan urusan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan anak syarikat yang dikawal selia Citizen e-Payment (Cepat) milik Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Katanya, ia turut merangkumi perkhidmatan kebajikan disalurkan kepada rakyat dan mewujudkan pasaran dalam talian untuk pendigitalan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro.

“Ini akan membolehkan penerima program Iltizam Selangor Penyayang seperti Bingkas, Iltizam Selangor Sihat, Skim Mesra Usia Emas terdiri daripada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbeza seperti Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Selgate Corporation disalurkan melalui aplikasi tersebut.

“Aktiviti seperti pembayaran cukai dan hasil kerajaan tempatan serta pembayaran tanpa tunai parkir boleh dilaksana melalui platform tersebut yang memudahkan urusan serta menjimatkan masa golongan memerlukan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Fungsi terbaharu SELangkah mudahkan urusan orang ramai

SHAH ALAM, 24 NOV: Tempahan janji temu saringan Covid-19 serta pembelian kit kendiri menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memudahkan warga negeri ini melakukan sebarang aktiviti, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahan fungsi bermula awal November turut membantu penduduk merancang perjalanan dengan selamat selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Selangor mengorak setapak maju lagi dengan fungsi berkenaan. Kerajaan Negeri sentiasa peka dan cakna perkembangan semasa negara bagi memastikan usaha dilaksanakan dapat dilaraskan mengikut keperluan rakyat.

“Semoga kemas kini fungsi ini dapat memberi kebaikan kepada seluruh warga Selangor menjalani kehidupan seharian dengan lebih selamat dan mudah,” katanya di Facebook hari ini.

Orang ramai boleh menggunakan fungsi berkenaan selepas mengemaskini aplikasi SELangkah masing-masing.

Bagi pembelian kit kendiri pelanggan boleh memilih sama ada mengambil sendiri di lokasi tertentu atau dihantar ke rumah.

Terbaharu aplikasi dibangunkan Kerajaan Selangor itu memperkenal e-dompet bagi memudahkan pengguna melakukan transaksi tanpa tunai.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah kerjasama dengan pelbagai pihak kumpul data

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Aplikasi mudah alih yang dibangunkan negeri, Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam pengumpulan data.

Pengarah Projeknya Dr Helmi Zakariah berkata salah satu rakan kongsinya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia membantu mengeluarkan diagnosis kesihatan mental.

“Kami berharap usaha itu dapat diterjemahkan daripada analisis tahap kesihatan penduduk kepada data penjagaan peribadi pada masa hadapan,” katanya pada Persidangan Kesihatan Selangor 2021 semalam.

Persidangan itu sebahagian acara Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung secara hibrid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 18 November.

Aplikasi SELangkah diperkenalkan pada Mei 2020 untuk memudahkan pemantauan orang ramai susulan pandemik Covid-19 dan tempoh perintah kawalan pergerakan.

Mula dibangunkan bagi mengesan kontak rapat, ia kemudian berkembang dengan pelbagai ciri termasuk e-dompet dan Selangor Mental Sehat untuk menangani isu kesihatan mental.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

SELangkah rekod 6.7 juta pengguna sejak tahun lalu

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sekitar 6.7 juta pengguna memilih Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak aplikasi itu dilancarkan pada 4 Mei tahun lalu.

Sebanyak 44 peratus pengguna direkodkan di Lembah Klang manakala selebihnya dari negeri lain termasuk Johor dan Pulau Pinang, kata pengarah projeknya.

Dr Helmi Zakariah menjelaskan kebanyakan pengguna dari negeri lain menggunakan aplikasi itu untuk pelbagai fungsi lain yang tidak terhad di Selangor.

“Ini termasuk ciri Selangor Mental Sehat (SEHAT), perunding isu kesihatan mental yang terbuka kepada semua,” katanya menambah seramai 2,700 pengguna menggunakan ciri itu setakat minggu lalu.

Beliau ditemui pada Persidangan Kesihatan Selangor 2021 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan susulan pandemik Covid-19.

Melaluinya, pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal skala tekanan dan pemeriksaan risiko secara kendiri.

Categories
RENCANA RENCANA

Siap siaga lawan wabak Covid-19, Selangor sedia pelbagai inisiatif

Berkat persiapan awal Kerajaan Negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan, jumlah kes harian Covid-19 berjaya diturunkan. Walau seluruh negara menyaksikan kenaikan jumlah kes pada pertengahan Ogos, Selangor mula merekodkan penurunan.Program vaksinasi meluas, termasuk Vaksin Selangor (Selvax), membantu mengurangkan kes berisiko kategori empat dan lima. Selain aplikasi SELangkah yang dibangunkan pada 2020, agihan kit kuarantin di rumah juga meringankan beban keluarga pesakit.

Wartawan NADIAH ZAMLUS merakam tajuk berita utama peri pentingnya sumbangan Kerajaan Negeri sehingga usaha ini diiktiraf pentadbiran Putrajaya.

Walau kejayaan ini perlu terus diawasi agar wabak tidak menular kembali, dua kerajaan ini sentiasa lengkap-melengkapi dalam perang menentang virus Covid-19.

Bendung jangkitan di tempat kerja

4 Julai

Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang menyediakan dos suntikan pelalian kepada pekerja kilang mampu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat

Program vaksin negeri diakui pusat

16 Julai

Usaha Kerajaan Negeri meningkatkan jumlah pemberian vaksin menerusi Selvax bagi mempercepat imuniti kelompok diiktiraf kerajaan persekutuan

Guna SELangkah ketika kuarantin

24 Julai

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong menyarankan pesakit Covid-19 tidak bergejala yang kuarantin di rumah menggunakan beberapa aplikasi pemantuan kesihatan termasuk SELangkah, aplikasi dibangunkan Kerajaan Negeri

Suntikan vaksin lepasi sasaran

1 Ogos 

Jumlah suntikan vaksin di Selangor melepasi sasaran 135,000 dos sehari pada Julai apabila lebih 150,000 suntikan sehari berjaya diberikan kepada penduduk

Kadar suntikan vaksin tertinggi

23 Ogos 

Kadar suntikan vaksin di negeri ini mencatatkan rekod tertinggi seluruh negara selaras kepadatan penduduk dan bilangan kes, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

10 September fasa dua

50,000 dos untuk vaksin bergerak

15 September 

Kerajaan Negeri melaksanakan program Selvax bergerak secara percuma ke beberapa kawasan meliputi 11 Dewan Undangan Negeri sejak 12 September

Inisiatif negeri jadi contoh Putrajaya

19 September

Inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan kit ujian penilaian kesihatan kepada pesakit Covid-19 dicontohi kerajaan persekutuan

1 Oktober fasa tiga

150,000 dos vaksin negeri untuk remaja

17 Oktober

Program Selvax Remaja untuk individu berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini bermula November, kata EXCO kesihatan awam

18 Oktober fasa empat

Sumber  GitHub, Kementerian Kesihatan Malaysia

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan kit ujian kendiri Covid-19 laris di SELangkah

SHAH ALAM, 9 NOV: Jualan kit ujian kendiri Covid-19 melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menerima sambutan baik sejak dipasarkan awal bulan ini.

Dua jenis kit dijual iaitu ujian pantas antigen (RTK-Ag) salixium dan air liur yang dibekalkan Farmasi Selcare pada harga RM19.90 seunit, kata pengarah projek SELangkah.

Tanpa mendedahkan jumlah unit terjual, Dr Helmi Zakariah berkata permintaan tinggi daripada mereka yang melancong ke luar negeri dan memiliki ahli keluarga ramai.

“Kita perkenal jualan dalam talian, terhad kepada dua jenis kit paling popular untuk memudahkan orang ramai dengan memilih sama ada guna khidmat penghantaran atau ambil sendiri.

“Penghantaran dicaj RM8 dengan mengambil masa antara dua hingga lima hari bergantung kepada lokasi,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah menjawab pertanyaan moderator dalam program Bual Bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Dr Helmi berkata kit air liur mudah dikendalikan selain membantu individu mengenal pasti dan mengawal risiko jangkitan Covid-19 tanpa hadir ke fasiliti kesihatan.

Sementara kit Salixium pula, katanya, pensampelan air liur dan hidung dibuat menggunakan dua alat calitan dan keputusan ujian antara 10 hingga 15 minit.

“Mereka yang membeli kit air liur dibekalkan alat uji, buffer, peranti pengumpulan seperti corong, tiub dan hujung tiub serta beg biokeselamatan.

“Manakala kit Salixium disertakan tiub penyangga pengekstrakan dan penitis, dua calitan pakai buang termasuk beg biokeselamatan,” katanya lagi.

SELangkah menampilkan fungsi terbaharu tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri dengan orang ramai perlu mengemas kini aplikasi untuk menggunakannya.

Selangor membangunkan aplikasi sendiri pada 4 Mei tahun lalu bagi mengelak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat untuk memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Categories
AGENSI SELANGOR

SELangkah perkenal fungsi tempahan saringan Covid-19, beli kit ujian kendiri

SHAH ALAM, 5 NOV: Tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri antara fungsi terbaharu yang diperkenal dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Berdasarkan paparan pada notifikasi SELangkah, fungsi itu diperkenal pada 1 November lalu dan orang ramai perlu mengemaskini aplikasi untuk menggunakan fungsi berkenaan.

“Kini melalui aplikasi ini anda boleh membuat janji temu untuk menjalani ujian saringan Covid-19 atau boleh beli terus kit ujian kendiri dan pilih untuk ambil sendiri atau hantar ke rumah,” kata notifikasi berkenaan.

SELangkah juga menggalakkan orang ramai terutama yang ingin melancong untuk menempah kit ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Singgah di farmasi pilihan anda dan ambil ketika hendak ke lapangan terbang,” katanya menerusi Facebook.

SELangkah mula diperkenalkan 4 Mei tahun lalu bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Aplikasi itu terus diperkemas dengan orang ramai yang mahu menjalani saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Selangor perlu mendaftar melalui SELangkah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selvax Remaja di Bandar Utama, Seri Serdang awal November

SHAH ALAM, 31 OKT: Dua lagi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja akan diadakan pada awal November masing-masing di Bandar Utama dan Seri Serdang dekat sini.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memaklumkan program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang pada 6 November dan 7 November ini.

“Berita baik jika belum vaksin, ada dua lagi acara tambahan untuk program Selvax Remaja yang anda boleh sertai.

“Pada 6 November di Dewan Komuniti BU3 (Bandar Utama) dengan kod baucar DKB6NOV dan 7 November di Stadium Tertutup Sri Serdang (Seri Serdang) dengan kod baucar STS7NOV,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai juga diingatkan untuk membuat pra daftar menerusi SELangkah untuk mendapatkan janji temu.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.