SHAH ALAM 13 DIS : Kerajaan Negeri dijangka akan memperkembangkan Selangor Agro Fest dengan menarik lebih ramai petani moden dari luar negara untuk mempamerkan produk mereka.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dengan memperluaskan program itu, petani atau peniaga di negeri ini boleh melihat sejauh mana keupayaan peniaga dalam negara dan luar negara.
Katanya, jemputan itu akan melibatkan beberapa negara luar antaranya Indonesia, Thailand dan Filipina.
“Kita akan jemput petani moden dari luar negara supaya kita dapat membuka mata dan pandangan kita tentang bagaimana sektor pertanian dapat diteruskan dan cara untuk mempertingkatkan lagi pendapatan,” katanya selepas merasmikan program Selangor Agro Fest 2012(SAF 2012) yang diadakan di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam, di sini.
Hadir sama Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari ; Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Idros Hamid dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.
Turut memeriahkan majlis, Exco-exco Kerajaan Negeri, Adun dan Ahli Parlimen Negeri Selangor.
Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri turut akan berbincang dengan UPEN bagi mengumpul dan mengkaji segala maklumat teknologi moden yang bersesuaian untuk digunakan dalam sektor pertanian di negeri itu.
“Ia untuk memantapkan lagi sektor ini supaya Selangor menjadi contoh kepada negeri lain dalam usaha meningkatkan keuntungan petani seterusnya merancakkan ekonomi negeri sebagai tanda aras kejayaan perlaksanaan agenda Pertanian Moden negeri Selangor,” katanya.
Dalam majlis itu, Selangor Agro Fest 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 16 Disember ini mensasarkan hasil jualan sebanyak lebih RM1 juta dengan kehadiran 500,000 pengunjung.
Bertemakan ‘Selangor Peneraju Pertanian Moden’, sebanyak 150 gerai yang terdiri daripada usahawan baru dan peniaga khususnya dalam bidang pertanian, industri asas tani (IAS) dan industri kecil sederhana (IKS) dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.
Pameran itu merupakan acara khusus untuk meraikan golongan tani sekali gus mempromosikan hasil tani sebagai usaha melambangkan keprihatinan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
Terdahulu, Dr Yaakob berkata, program selama enam hari itu menyediakan pelbagai acara seperti pameran pertanian, ?fun-fair?, pertandingan memasak, pertandingan sukan rakyat, pertandingan futsal, ceramah perdana, persembahan pentas, ‘live stock exhibition’ dan ‘petting zoo’.
?Pada tahun lalu, program ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada peniaga dan pengunjung dan bagi menambah kelainan pada tahun ini, SAF 2012 turut bekerjasama dengan Tourism Selangor Sdn Bhd bagi menjemput usahawan makanan seperti sate Kajang, nasi ambeng, lontong, cendol dan pelbagai lagi,? katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar turut menyampaikan lima anugerah kepada usahawan-usahawan tani dari seluruh negeri Selangor antaranya kategori tanaman terbaik, ternakan terbaik, akuakultur terbaik, industri asas tani terbaik dan anugerah khas sri kandi padi.