Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sedia beri kerjasama, galak aktiviti ekonomi

CYBERJAYA, 30 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menggalakkan aktiviti ekonomi seperti program Selangor Agro Market (SAM) dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata program seperti itu membantu usahawan dalam menjana pendapatan selain memudahkan masyarakat setempat memperoleh keperluan harian dengan kualiti yang baik.

“Contohnya di program SAM di Taman Tasik Cyberjaya ini, selain masyarakat dapat bersenam mereka berpeluang untuk membeli keperluan seperti ikan dan tidak perlu ke pasar.

“Di daerah Sepang kawasan agak luas dan sekiranya ada permintaan kita tiada masalah untuk mempertimbangkannya dan sedia memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Abd Hamid mengiringi EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ke tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya hari ini bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Fama yang sudah bermula sejak tiga tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sasar tambah lokasi pasar agro Selangor, bantu peniaga tingkat pendapatan

CYBERJAYA, 30 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan menambah jumlah lokasi Program Selangor Agro Market (SAM) pada tahun hadapan dalam usaha membantu peniaga meningkatkan pendapatan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata pihaknya cuba menaikkan dua kali ganda atau 100 tapak secara berperingkat seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat ini sebanyak 31 lokasi dibuka seluruh Selangor untuk tapak program SAM dengan melibatkan 465 usahawan melibatkan nilai jualan RM350,000 sehingga Oktober ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak secara terperinci bagaimana hendak meningkatkan lagi prestasi SAM dan pasar tani,” kata Ir Izham Hashim selepas melawat tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya hari ini.

Lawatan Izham itu diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Sementara itu, Izham berkata fungi SAM ini agak berbeza dengan pasar tani kerana menempatkan usahawan langsung iaitu peladang atau pengilang untuk memasarkan produk mereka.

“Tapak jualan SAM tidak sama dengan pasar tani dan tidak memerlukan ruang yang besar selain harganya lebih murah,” katanya.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Fama yang sudah bermula sejak tiga tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.

Categories
SELANGOR

Selangor Agro Market akan diperluas

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 10 FEB: Program Selangor Agro Market (SAM) akan diperluaskan kepada beberapa lokasi yang akan dikenal pasti di sekitar negeri ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sejak ditubuhkan tahun lalu sambutan terhadap program SAM amat memberangsangkan.

“Sambutan agak luar biasa apabila tahun lalu sahaja hasil jualan lebih RM5 juta berjaya dijana, manakala sehingga Januari ini ia sudah mencecah lebih RM300,000.

“Susulan sambutan diterima amat menggalakkan, kita bercadang mahu menambah lagi SAM di kawasan strategik selain memastikan penjual yang datang benar-benar ‘genuine’ (tulen) dan terus dari ladang atau kilang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program SAM dan Pelancaran Agro Bandar peringkat Hulu Langat di Taman Pelangi Semenyih, di sini, semalam.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sudah bermula awal tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.

Program itu menawarkan beberapa aktiviti ‘touchpoint’ antaranya Program Jualan Secara Terus Dari Ladang dan Kilang produk berasaskan pertanian dengan menawarkan harga berpatutan pengurangan sejumlah lima hingga 25 peratus lebih rendah.

Selain itu, objektif program SAM dilaksana bertujuan menambah outlet akses rangkaian pemasaran yang memberi peluang kepada agropreneur di peringkat pengeluaran menambah pendapatan.

Malah, ia juga sebagai pelan pemasaran untuk memasarkan hasil pertanian sekiranya berlaku lambakan (buah-buahan bermusim) di pasaran.

Categories
SELANGOR

Selangor Agro Market: 34 lokasi bakal ditambah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OKT: Program Selangor Agro Market (SAM) akan diperluaskan lagi kepada 34 lokasi baharu yang akan dikenalpasti di negeri ini.

EXCO Infrastruktur&Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, program itu merupakan kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sudah bermula awal tahun 2018 membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM3.5 juta.

“Susulan sambutan yang diterima amat menggalakkan, Kerajaan Negeri bersetuju menambah lokasi dan pengguna boleh mendapat produk segar serta barangan industri asas tani secara terus.

“Sambutan diterima amat bagus, jadi kita komited meneliti 34 lokasi berpotensi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Izham berkata, antara lokasi tersebut adalah membabitkan lapan di Petaling, lima di Klang dan masing-masing tiga di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lokasi SAM di Selangor adalah 121 menjelang 2019.

“Setakat ini, program SAM kita buat secara mingguan namun akan lihat sama ada untuk buat secara bulanan dan besar-besaran pada masa akan datang.

“Selain program ini, Kerajaan Negeri dan FAMA turut mengenalpasti ruang lain untuk memasarkan produk sedemikian kerana kita tidak boleh fokus pada satu cara sahaja,” katanya.

Sementara itu, Izham berkata, seminar kali pertama kerjasama bersama FAMA itu merupakan platform terbaik untuk berhubung terus dengan usahawan dalam memberi perkhidmatan bersesuaian dengan kehendak pasaran dunia.

“Kita menyediakan kursus, simposium dan bengkel yang akan dibuat secara berturutan pada masa akan datang bertujuan meningkatkan kemampuan industri asas tani khususnya usahawan dalam mendepani cabaran dan meningkatkan hasil jualan mereka.

“Antara kaedah yang kita buat menerusi seminar ini adalah saringan produk bagi mengenalpasti keperluan mereka dari segi kualiti, pembungkusan serta paling penting persijilan supaya mereka dapat melihat hala tuju produk mereka,” katanya.