Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor Cyber Games 2019 tawar hadiah lumayan

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran lumayan berupa wang tunai mencecah RM215,000 dalam Selangor Cyber Games 2019 yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Oktober depan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman berkata, acara yang akan berlangsung di Central I-City bakal menyaksikan empat permainan e-sukan termasuk Dota 2, Player Unknown Battlegrounds Mobile (PUBG), Fifa 20 dan Tekken 7.

“Kerajaan negeri komited dalam usaha melahirkan bakat baharu terutamanya kalangan orang muda dalam sukan e-sukan.

“Pertandingan kali ini melibatkan 3,300 peserta dari seluruh negara melibatkan empat jenis permainan e-sukan,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Perasmian Selangor Cyber Games 2019 di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Generasi Muda, Jestin Raj Savarimuthu.

Khairuddin berkata, penyertaan terutamanya dari golongan belia diharap dapat mencungkil bakat terpendam serta menjadi tradisi dalam perkembangan sukan e-sukan di Malaysia.

Pendaftaran peserta telah dibuka dan boleh diakses di laman sesawang www.selangorcybergames.net serta slot bermain adalah terhad.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor Cyber Games, acara terbesar di Malaysia tahun hadapan

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 DIS: Kerajaan Negeri merancang untuk menjadikan Selangor Cyber Games (SCG) sebagai acara terbesar di Malaysia, tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ekoran respon positif daripada penggiat dan pemain industri E-Sukan, SCG akan ditingkatkan kualiti dan tahap penganjurannya.

“Kali pertama SCG diadakan pada 2014, ketika itu kita menerima maklum balas yang skeptikal, masyarakat tidak begitu prihatin terhadap sukan elektronik ini.

“Namun, kecekalan dan keyakinan akan masa depan sukan ini, Kerajaan Negeri menganjurkan kembali pada 2015.

“Menerusi itu, kita menerima peserta dari luar negara selain menarik perhatian pemain tempatan sekali gus, berjaya melahirkan pemain berpotensi dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Selangor E-Sport Experience, di The Pantheon, di sini, semalam.

Amirudin berkata, pengalaman lima tahun dalam menganjurkan SCG itu juga turut diikuti di peringkat Penggerak Belia Tempatan (Pebt) kepada komuniti kawasan masing-masing.

“Dengan kejayaan ini, saya percaya Selangor boleh dikatakan ke hadapan berbanding negeri lain.

“Saya juga percaya, dengan jaminan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, SCG akan menjadi acara terbesar di Malaysia, tahun hadapan,” katanya.

Selangor terus menjadi peneraju dalam bidang e-sukan di Malaysia. Selangor Cyber Games yang bermula pada 2014 telah menjadi jenama yang disegani di kalangan penggiat e-sukan di negara ini.

SCG 2018 berjaya menarik 1,100 orang peserta dengan jumlah hadiah terkumpul berjumlah RM250,000.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 400,000 bagi pembangunan dan penganjuran sukan e-sukan.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melonjakkan pembangunan sukan e-sukan ke peringkat serantau.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Kaji tingkat kualiti Selangor Cyber Games

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 29 OKT: Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan mempertimbangkan cadangan meningkatkan kualiti dan tahap penganjuran Selangor Cyber Games, pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia berikutan kejayaan dan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak khususnya pemain e-sukan.

“Saya sedang fikirkan untuk meningkatkan lagi kualiti Selangor Cyber Games, pada tahun depan sama ada dari segi hadiah atau tahapnya tetapi kita perlu meneliti beberapa aspek seperti kewangan.

“Penaja, Empire City juga bersetuju untuk melakukannya dengan kos sangat minimum dan kita juga sedia mempertimbangkan tawaran beberapa penaja lain yang berminat bekerjasama,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Selangor Cyber Games 2018, di Empire City, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ia dijangka akan diadakan pada Oktober atau November tahun depan, namun tahap penganjurannya akan diteliti sama ada kekal seperti kini atau kembali pada tahap ASEAN seperti 2016.

“Ia bergantung pada kedudukan kewangan, penajaan dan tempoh masa diadakan. Jika kita mahu anjurkan pada tahap tertentu (lebih tinggi), maka kita perlukan tempoh masa lebih panjang.

“Bagaimanapun, setakat ini percubaan kita bermula 2014 berjaya membuahkan hasil, malah melahirkan pemain e-sukan berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja antaranya Mineski Events Team, Big Machinez dan Empire City yang memberi kerjasama baik bagi menjayakan Selangor Cyber Games 2018.

“Terima kasih juga kepada Astro eGG kerana menyiarkan Selangor Cyber Games secara langsung,” katanya.

Selangor Cyber Games 2018 mendapat sambutan meriah dengan penyertaan lebih 2,300 peserta dari seluruh negara.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Generasi Muda MSN Selangor, Jestin Raj Savarimuthu.

Acara juga disertai Pengarah Eksekutif Kumpulan Empire City, Dato’ Danny Cheah Joi Yong; Ketua Pegawai Eksekutif Mineski Event Team, Kenchi Yap dan Pengarah Mineski Events Team, Firdaus Hashim.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Sokongan Kerajaan Negeri jaya Selangor Cyber Games

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 28 OKT: Sokongan Kerajaan Negeri memberi impak besar terhadap penganjuran Selangor Cyber Games yang menyaksikan acara itu terus berkembang dan mendapat sambutan di kalangan peserta dari seluruh negara.

Pengarah Mineski Events Team, Firdaus Hashim berkata, sokongan Kerajaan Negeri itu amat penting bagi terus menjayakan program berkenaan pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri memberikan sokongan sepenuhnya kepada acara ini sejak 2014 dan ia amat penting kerana inilah acara tunggal menyediakan hadiah wang tunai.

“Kerajaan Negeri juga adalah satu-satunya kerajaan di Malaysia yang menberi sokongan terhadap acara permainan e-sukan dengan penyertaan anak muda,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklum balas, Selangor Cyber Games akan terus dipertingkatkan menjadi acara antarabangsa pada tahun depan.

“Kita telah melakukannya pada 2016 dan pada tahun depan dijangka membabitkan penyertaan lebih besar di mana ia akan menjadi acara antarabangsa pada peringkat Asia,” katanya.

Berhubung penyertaan pada edisi kali ini, katanya, pihaknya menganggarkan penyertaan lebih kurang 10,000 pemain e-sukan dengan 5,000 peserta pada hari pertama diikuti lebih kurang jumlah sama pada hari kedua.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Mineski Events Team Malaysia dan Big Machinez menganjurkan Selangor Cyber Games 2018.

Ia menyediakan hadiah keseluruhan RM250,000 dengan mempertandingkan enam acara iaitu Dota 2 dengan hadiah RM70,000, Player’s Unknown Battleground (RM20,000), Fifa 19 (RM60,000), Pes 19 (RM20,000), Tekken 7 (RM30,000) dan Mobile Legends Bang Bang (RM50,000).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri hargai usaha pembangunan eSports

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri menghargai usaha dijalankan pihak berkaitan demi pembangunan dan kemajuan eSports yang dianggap sebagai satu profesion, pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkembangan eSports amat menggalakkan, pada masa ini dan kini dianggap setanding sukan fizikal lain, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Salah satu matlamat penganjuran Selangor Cyber Games ialah mempromosi dan membangunkan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Ia juga bagi menarik minat pelabur asing atau syarikat penerbit permainan asing ke Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai salah satu pusat bagi pembangunan industri eSports,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Selangor Cyber Games 2018, di sini, hari ini.

Selangor Cyber Games 2018 adalah edisi kelima dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Mineski Events Team Malaysia dan Big Machinez di Empire City, Petaling Jaya, pada 27 dan 28 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berbangga dengan kejayaan penganjuran Selangor Cyber Games yang semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia amat membanggakan kerana Selangor adalah negeri pertama yang menganjurkan pertandingan itu, sejak 2014.

“Selangor Cyber Games 2018 ini akan disertai lebih 2,200 peserta bersaing dalam enam acara sukan seperti Dota 2, Player’s Unknown Battleground (PUBG), FIFA 19, PES 19, Tekken 7 dan Mobile Legends untuk merebut hadiah keseluruhan RM250,000.

“Buat pertama kali juga kita akan memperkenalkan Push The Limit LAN Party oleh ZOTC iaitu acara istimewa selama 48 jam bermula dari 26 hingga 28 Oktober ini dengan pemain akan berkumpul dan bermain dalam aktiviti berpasukan juga berkongsi idea,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited dengan penganjuran kejohanan itu dan memperlihatkan pelbagai perubahan dilakukan sejak 2014 antaranya meningkatkan kualiti kejohanan serta penambahan jumlah hadiah keseluruhan saban tahun.

Katanya, kejohahan itu juga mencapai tahap antarabangsa bermula pada 2015 dan 2016.

“Sebelum ini, eSports dianggap sebagai aktiviti membuang masa dan paling berkait rapat kerana sebagai punca kepada isu anak kurang berdisiplin di sekolah tetapi kini dilabel sebagai permainan minda membantu meningkatkan fokus serta kemahiran seseorang pemain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Cyber Games kembali, tawar hadiah lumayan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penganjuran Selangor Cyber Games 2017 diharap mampu menyemarakkan minat dan meningkatkan reputasi sukan itu dalam kalangan masyarakat di seluruh negeri juga negara.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berbesar hati acara sukan tahunan memasuki tahun keempat itu terus mendapat kerjasama baik daripada pelbagai agensi termasuk swasta.

“Saya kira ia mempunyai reputasi baik ekoran kita menganjurkan pertandingan yang kompetetif di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri MSN Selangor, di sini, hari ini.

Selangor Cyber Games 2017 kali ini akan berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya, pada 12 dan 13 Ogos dengan mempertaruhkan hadiah keseluruhan RM180,000.

Ia mengumpulkan peserta dari seluruh negara yang turut dianjurkan penggerak belia tempatan dan pihak swasta antaranya Garena Malaysia, Digi, Mineski Events Team, Big Machinez, Legion, Logitech serta Time Fibre Optic Communications.

IMG_20170718_145503Semua peserta akan menyertai acara dalam pertandingan League of Legends Thw Legends Circuit (TLC) Grand Finals yang menyediakan hadiah RM80,000, Selangor Cyber Games Dota 2 Cup (RM50,000), Selangor Cyber Gamems FIFA Online 3 Cup (RM30,000) dan Selangor Cyber Games Tekken 7 Cup (RM20,000).

Sementara itu, Pengurus Perkongsian Garema Malaysia, Yeap Su Gern berkata, pihaknya berbangga terlibat dalam penganjuran sukan berkenaan dan berkongsi misi bersama dengan Kerajaan Negeri.

“Ia adalah penyertaan kedua bersama Selangor Cyber Games dan kita berkongsi matlamat jangka panjang untuk melihat komuniti permainan ini terus melalui perkembangan baik.

“Sebagai penerbit permainan, Gamera Malaysia memperluaskannya dengan memasukkan dua tajuk utama, EA Sports FIFA Online 3 dan League of Legends bagi pertandingan kali ini,” katanya.

EXCO : 8 Negara rebut RM217,000 dalam Selangor Cyber Games 2015

Pada tahun lalu, hadiah yang ditawarkan dalam Selangor Cyber Games hanya berjumlah RM30,000. Kerajaan Negeri juga mensasarkan seramai 10,000 peserta akan menyertai pertandingan ini.